APA yang dimaksudkan dengan Malaya di sini ialah merangkumi entiti politik bernama British Malaya, Malayan Union dan Federation of Malaya yang diterjemahkan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Dari segi tarikh, Malaya bermula ketika British menubuhkan Straits Settlements yang pada mulanya hanya terdiri daripada Pulau Pinang dan Melaka dengan ibu kotanya di Georgetown pada tahun 1827, iaitu British memperoleh Singapura. Straits Settlement yang bererti Pemukiman Selat (maksudnya Selat Melaka) diterjemahkan secara rasmi sebagai Negeri-negeri Selat).
Maka Malaya berakhir dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Entiti politik Federation of Malaya sudah tidak ada. Entiti geografi Malaya digantikan dengan Malaysia Barat dan pada tahun 1971, ia menjadi Semenanjung Malaysia.
Dari segi tempoh masa, ia meliputi tahun 1827 hinggalah 1963. Entiti Malaya hilang semasa pendudukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Jepun memanggilnya Malai. Federation of Malaya terdiri daripada dua fasa iaitu sebelum merdeka (1948-1957) dan sesudah merdeka (1957-1963).
Maka “Bangunan-bangunan Malaya” adalah yang didirikan dari tahun 1827 hingga 1963, baik oleh kerajaan mahupun swasta, baik oleh pentadbir kolonial British mahupun kerajaan merdeka.
Ketika saya dalam usia remaja pada tahun 1970, bermulalah rasa apresiasi saya pada seni bina. Saya menggunting gambar-gambar bangunan dari akhbar dan majalah serta menjadikannya satu koleksi album. Maknanya bangunan-bangunan yang seni binanya saya anggap indah. Tentunya ia subjektif.
Pada tahun 1970, era Malaya sudah tujuh tahun berlalu. Malah Malaysia sedang menempuh satu era baharu iaitu peralihan dari pemerintahan Tunku Abdul Rahman kepada Tun Razak.
Perlu diingat juga bahawa sumber imej yang saya peroleh adalah terhad pada tahun 1970: Hanya kalendar; poskad, akhbar, majalah dan buku yang sumbernya hanyalah dari empat buah kedai buku dan dua perpustakaan kecil di sebuah bandar daerah iaitu Batu Pahat
Dari bahan-bahan yang terkumpul, saya buat kesimpulan bahawa bangunan tercantik di dunia adalah Taj Mahal yang terletak di Agra, India. Sementara bangunan tercantik di Malaysia ialah Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.
Kedua-duanya adalah dari gambar yang menjadi hiasan pada kalendar tahun 1970. Pertama kali saya kunjungi Masjid Ubudiah ialah pada tahun 1977.
Pada masa itu saya sedang menunggu keputusan peperiksaan MCE (SPM) dan dalam melakukan “kembara masjid” dengan Langkawi sebagai destinasi akhir.
Kalendar berkenaan itu ada 12 helaian dan setiap bulan dipaparkan sebuah masjid di Malaysia iaitu bermula dari bulan Januari iaitu Masjid Negara, diikuti dengan Masjid Ubudiah, Masjid Jamek Kuala Lumpur dan berakhir dengan Masjid Kuah, Langkawi bagi bulan Disember. Gambar masjid di Kuah itu diambil dari laut. Kelihatan pokok-pokok kelapa di kelilingnya.

Saya pergi bersama seorang rakan sekolah. Kembara itu dilakukan pada bulan Februari 1977 dengan menaiki bas henti-henti syarikat Len atau Syarikat Bas Len Seng dari Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Masjid pertama yang kami singgah ialah Masjid Jamek Slim River yang berada di tepi sungai. Kemudian kami pergi ke Tanah Rata, Cameron Highlands dan bermalam di masjid di situ. Tok Siak memberikan kami tambahan selimut. Keesokannya, lepas subuh, imam mengajak kami bersarapan di rumahnya.
Selepas itu dalam perjalanan, kami bermalam juga di Masjid Kampar. Kemudian kami pergi ke Pulau Pangkor dan bermalam di masjid di situ. Kami sampai pada waktu isyak. Setelah mendapat kebenaran dari imam, kami tidur di anjung masjid. Keesokannya baru kami lihat bahawa sebelah anjung itu adalah tanah perkuburan.
Bila sampai Ipoh, kami singgah di Masjid Negeri. Kemudian kami terus ke Kuala Kangsar. Kami ziarah Masjid Ubudiah tetapi kami bermalam di sebuah masjid di depan Sekolah Menengah Clifford. Lepas itu kami ke Georgetown, singgah di Masjid Kapitan Kling tetapi bermalam di Masjid Melayu (Malay Mosque) di Lebuh Acheh (Acheen Street) Terdapat banyak orang bermalam di situ.
Keesokannya kami pergi ke Kuala Kedah dengan menyangka bahawa di situlah terletaknya jeti ke Pulau Langkawi. Pada masa itu sukar untuk mendapat maklumat tentang sesuatu perkara. Sampai di jeti Kuala Kedah, baru kami tahu bahawa untuk ke Langkawi, kami perlu naik feri di Kuala Perlis Kami kembali ke Alor Setar dan bermalam di Masjid Zahir. Oleh kerana sudah jemu kami membatalkan hasrat untuk ke Langkawi dan terus pulang ke Kuala Lumpur.
Puncak keseluruhan kembara kami itu adalah ziarah Masjid Ubudiah di Jalan Istana, Bukit Chandan.. Perlu diingat bahawa pada tahun 1977, Masjid Ubudiah masih merupakan bangunan asal yang belum diubah suai. Ia adalah masjid yang asal, iaitu dibuka pada tahun 1917. Maknanya struktur yang kami lihat itu adalah masih sebuah “masjid Malaya”.
Sebenarnya ada tiga kali baik pulih dan ubah suai besar yang dilakukan pada masjid itu. Pertama, satu pembesaran dilakukan pada tahun 1933. Tetapi pembesaran itu tidak banyak menjejaskan seni bina masjid itu. Pembesaran itu dilakukan pada sisinya, dengan ditambah bilik-bilik petugas dan bllik-bilik air. Tetapi oleh kerana tahun 1933, Perak adalah sebahagian daripada British Malaya, maka masjid ini masih merupakan sebuah “masjid Malaya.”
Jadi gambar yang saya lihat pada kalendar tahun 1970 adalah merupakan masjid asal dengan pengubahsuaian tahun 1933. Begitu juga dengan struktur yang saya lihat pada tahun 1977.
Kerja ubah suai kedua berlaku dari tahun 1991 hingga 1994. Ia merupakan pembaikan pulh dan penambahbaikan yang besar. Kubah konkrit utama dan kecil yang pecah atau rosak digantikan dengan aluminium. Kawasan solat luar dibesarkan dan tempat kereta serta lanskap dibaiki.
Inilah Masjid Ubudiah yang pernah juga saya lawati pada tahun 1997. Iaitu 20 tahun selepas kembara awal saya itu. Walaupun ia lebih cantik, kemas dan moden tetapi saya lebih suka pada struktur asal tanpa penambahan supaya keindahan seni bina asal dapat dipertahankan. Lebih-lebih lagi apabila kubah konkrit telah digantikan dengan aluminum.
Amalan menggantikan kubah konkrit dengan kubah aluminium adalah amalan biasa dilakulan ke atas bangunan warisan lain di negara ini. Umpamanya kubah-kubah Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Mungkin ia lebih cantik dan sesuai dengan iklim negara ini yang banyak hujan dan boleh menjadikan kubah konkrit tidak bertahan lama. Namun saya berpendapat ia tidak seindah berbanding kubah konkrit lama. Keindahan bukan saja datang dari segi kelihatannya tetapi juga dari segi keasliannya ketika struktur ini direka bentuk oleh arkitek asal.
Namun begitu, saya faham bahawa Masjid Ubudiah adalah “masjid bidup” dan bukannya “masjid warisan” atau “masjid muzium”. Ia masih digunakan dan jemaah semakin bertambah. Kerja membaikpulih dan perluasan tidak dapat dielakkan.
Seperkara lagi yang menyebabkan kesenian binaan masjid ini terganggu ialah dengan adanya perabot-perabot yang menutupi pandangan estetika dekor dalaman. Perabot-perabot itu adalah seperti almari, rak-rak, papan-papan tanda, papan-papan maklumat dan tirai.
Keadaan ini adalah biasa di masjid-masjid di Malaysia. Sememangnya perabot-perabot yang menempatkan Al-Quran dan kitab itu adalah untuk memenuhi keperluan jenazah tetapi ia tidak tersulam dengan seni bina dan dekor dalam bangunan.
Kerja ubah suai ketiga dilakukan dari tahun 2002 hingga tahun 2003. Dewan solat diperbaharui dengan silingnya dibina semula. Tukang kraf dari Uzbekistan dibawa untuk membuatnya. Alat penghawa dingin juga dipasang dan tempat letak kereta dan lanskap disusun semula.
Ubah suai kedua dan ketiga ini menjadikannya “Masjid Malaysia” dalam erti kata ia telah mengalami pembaharuan bagi menampung keperluan rakyat negara ini selepas tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963.
“Masjid Malaysia” iaitu masjid yang didirikan selepas tertubuhnya Malaysia kini tentu banyak didirikan, dan bilangannya pun sudah melebihi “Masjid-masjid Malaya”.
Saya belum melihat lagi Masjid Ubudiah edisi terbaru ini. Namun begitu, dalam YouTube, ada beberapa pengunjung yang memuat naik pengalaman mereka mengunjungi masjid ini..
Ada yang hanya berbentuk penceritaan lawatan dan ada pula berbentuk dokumentari. Dari hantaran itu, dapatlah diketahui sejarah Masjid Ubudiah. Muat naik terbaik ialah apa yang dibuat oleh sekumpulan pelajar Kuliyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Bina (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pertamanya, masjid ini adalah hasil nazar Sultan Idris Shah I, Sultan Perak ke-28 yang gering dan dirawat di Port Dickson, Negeri Sembilan. Baginda bernazar bahawa jika sembuh dari penyakitnya baginda akan menitahkan pembinaan sebuah masjid.
Maka titah itu jatuh pada pentadbiran Federated Malay States (FMS) atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang berpusat di Kuala Lumpur. Arkitek yang diberi tanggungjawab ialah Arthur Benison Hubback.

Sebelum itu pada tahun 1905, beliau telah mereka bentuk sebuah bangunan di Jalan Raja untuk Federated Malay States Railway (FMSR). Apabila ibu pejabat FMSR berpindah ke Railway Administration Building di depan Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada tahun 1917, bangunan itu menempatkan Jabatan Kerja Raya (JKR Selangor) dan Jabatan Kerja Air Selangor. Setelah merdeka, ia menempatkan juga Central Bank (kini Bank Negara), Bank Pertanian Malaysia (kini Agro Bank), Kraftangan Malaysia dan Mahkamah Tinggi. Sejak tahun 2019, ia menjadi Muzium Tekstil.
Beliau pernah mereka bentuk Masjid Jamek Kuala Lumpur yang siap dibina pada tahun 1909 yang kini bernama Masjid Jamek Sultan Abdul Samad. Beliau kemudian mereka bentuk Federal Lunatic Asylum yang dibina pada 1911, yang kini bernama Hospital Bahagia Tanjong Rambutan. Pada tahun sama, beliau juga mereka bentuk Memorial Museum Klang, yang orang ramai memanggilnya White House Klang. Ia kemudian dinamakan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.
Pada tahun 1912, White House Seremban yang juga direka bentuknya siap dibina. Ia menempatkan Pejabat Setiausaha Negeri Sembilan. Kini ia merupakan ibu pejabat Lembaga Pelancongan Negeri.
Hubback juga mereka bentuk bangunan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dibina pada tahun 1914. Muzium Selangor yang turut direka bentuknya dibina pada tahun 1915. Bangunan ini musnah dibom di penghujung Perang Dunia Kedua dan di tapaknya kini berdiri Muzium Negara.
Pada tahun 1915 juga bangunan Supreme Court yang direka bentuknya telah dibina. Bangunan ini terletak di sebelah Bangunan Sultan Abdul Samad. Di tahun berikutnya, bangunan Town Hall dan Pejabat Pos, Ipoh yang direka bentuk oleh beliau turut dibina. Beliau juga mereka bentuk stesen keretapi Ipoh beserta hotelnya yang siap pada tahun 1920.
Batu asas Masjid Ubudiah diletakkan oleh Sultan Idris Shah I pada tahun 1913 tetapi pembinaannya menghadapi banyak cabaran.
Satu pergaduhan antara dua gajah milik sultan dan Raja Chulan memecahkan jubin Itali. Ini diikuti dengan Perang Dunia Pertama. Akhirnya masjid itu sempurna dibina pada tahun 1917 dengan harga $24,000 atau RM200,000, suatu perbelanjaan yang tinggi ketika itu. Tetapi ketika itu Sultan Idris Shah I sudah mangkat pada tahun 1916 dan pembukaan rasminya dilakukan oleh penggantinya iaitu Sultan Abdul Jalil.
Reka bentuk Masjid Ubudiah itu dinamakan gaya Indo-Sarasenic Revival yang digunakan oleh British di India pada lewat abad ke-19 untuk menggabungkan seni bina Islam India dan Eropah sebagai unsur seni bina bagi bangunan awam dan istana. Ciri-ciri utamanya adalah kubah bawang, menara, gerbang tajam, bumbung berpasak dan ukiran terperinci.
Gaya Hubback juga dikaitkan dengan Wrenaissance yang merupakan istilah menggabungkan kemunculan semula deni bina Baroque di England pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20 mengambil inspirasi dari reka bentuk oleh Sir Christopher Wren, seorang arkitek yang mereka bentuk gereja utama Britain, St Paul Cathedral dan pengasas pertubuhan saintifik bersejarah, Royal Society.
Bagi saya apa yang menjadikan Masjid Ubudiah indah dan berestetika ialah bentuknya yang simetri dengan asasnya berupa oktagon atau poligon lapan segi. Kemudiannya ia mempunyai sebuah kubah besar dipagari empat menara, empat kubah kecil dengan empat menara kecil di lingkaran luar dan empat menara kecil di lingkaran dalam yang masing-masing mempunyai kubah kecil di puncaknya. Selain itu ada empat pasak yang menyokong kubah utama. Kerana terdapat beraneka kubah dan menara, maka bangunan ini kelihatan kompleks, ia seolah-olah merupakan istana di kayangan. Masjid Ubudiah tidaklah besar, tetapi kepadatan dan keragaman aksesorinya menjadikannya indah.
Gabungan visi dan imajinasi arkiteknya menjadikan Masjid Ubudiah ini bukan saja enak dipandang tetapi juga meningkatkan inspirasi serta menaikkan semangat seseorang yang berjiwa estetika seperti mana karya-karya seni lain yang berkesan.
