Saya pernah terfikir nak tampung hidup dengan menulis dan menjual buku saja. Waktu mula-mula cuba jual buku dulu sebab saya tengok, boleh tahan juga hasilnya. Biasanya, kalau saya jual buku di mana-mana acara, memang boleh dapat ratus-ratus.
Saya mula berfikir apa cara nak kembangkan perniagaan itu. Mungkin tubuhkan syarikat, ambil stok buku daripada beberapa penerbit, belajar berniaga online dan lebih agresif cari peluang berniaga fizikal.
Tapi perlahan-lahan saya sedar, kerja itu bukan mudah. Ia menuntut tenaga fizikal dan modal kewangan yang relatif banyak. Situasi saya ketika itu, hingga sekarang, tak mengizinkannya. Jadi saya berniagalah runcit-runcit, hanya apabila ada acara yang menarik untuk disertai dan sewa tapaknya murah (atau percuma).
Tahun ini saya tak aktif berdagang buku. Ada acara sambutan tahun baharu di Bijou Cafe, Ara Damansara dan jualan di Hentian Kajang. Kemudian berehat beberapa bulan sampailah KL Zine Etc. (KLZE) yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kampung Attap pada 7 hingga 9 Ogos lalu.
Saya tahu tentang edisi pertama KLZE tahun lalu tapi tak ikut serta, malah tak datang pun menjenguk entah atas sebab apa. Tak ingat. Tapi apa-apa acara tentang zin memang saya suka. Ia tak sama dengan acara buku, terutamanya yang sudah popular.
Apabila Lucy M., kawan yang berada dalam jawatankuasa acara itu mengajak saya ikut serta, saya terus setuju dulu. Ada modal atau tak, itu tolak tepi. Seawal Jun, saya fikir, saya dah hantar permohonan untuk jadi salah satu vendor.
Dalam tempoh itu, saya belum ada rancangan untuk menerbitkan apa-apa buku baharu. Cuma ada satu koleksi cerpen yang diusahakan perlahan-lahan, tanpa meletakkan tarikh siap.
Teks persembahan jadi zin
Tahun ini juga, saya dua kali buat persembahan puisi. Untuk saya, dua kali itu kira banyak. Dan sepanjang menyusun dua persembahan itu, saya bertemu satu kesukaan yang dimotivasi kelemahan sendiri.
Saya mudah gementar ketika membaca puisi. Berdiri seorang di hadapan ramai orang buat otot-otot saya mudah menggigil, dan selalu ia mengganggu persembahan. Jadi, seboleh mungkin, apabila buat persembahan, saya mahu kurangkan interaksi dengan penonton.
Sebab itu, saya tak suka berhenti selepas membaca setiap sajak, kemudian membacakan tajuk sajak-sajak itu. Lebih selesa kalau dari mula sampai habis, saya baca saja semua sajak yang ada tanpa henti.
Kelemahan itu buatkan saya mencipta sesuatu yang saya namakan sebagai “kolaj sajak”. Kolaj sajak ialah kumpulan beberapa sajak yang disusun bersambung, kadangkala dirawakkan susunannya, atau diambil sebahagian-sebahagian saja, untuk membentuk sebuah kumpulan kata-kata yang lebih panjang.
Ia berbeza dengan “sajak kolaj” yang mengambil kata-kata dari sumber lain seperti artikel surat khabar atau lirik lagu untuk membentuk satu sajak baharu. Saya menggabungkan sajak sedia ada untuk menyampaikan sebuah cerita.

Teknik ini saya guna pertama kali di acara Bangku Mousai: Dead Poets Society di Rumah Mandiri pada 7 Februari. Ada tiga kolaj yang saya sediakan pada hari itu yang sepatutnya diiring lagu ‘Alife’ dan ‘Alifib’ oleh Robert Wyatt tapi laptop saya hang. Tiga itu draf, disebabkan had masa, saya hanya baca dua.
Selepas itu, saya terima jemputan berpuisi di acara Closed Quarters Vol. 7 pula di Menjalara, pada 27 Februari. Saya persembahkan dua kolaj sajak, salah satunya sama seperti yang dipersembah di Bangku Mousai.
Disebabkan saya perlu teks untuk persembahkan puisi, sebab saya tak berani nak baca tanpa teks, kolaj-kolaj yang dicetak di atas kertas itu beri saya ilham untuk terbitkannya sebagai zin.
Lima Kulaj, lima cerita
Saya namakan zin kolaj sajak saya itu sebagai “Kulaj”, portmanteau mengada-ngada nama saya dengan kolaj, dan saya jadikannya bersiri. Saya letakkan sasaran, untuk KLZE, biar ada lima Kulaj yang dihasilkan.
Dua Kulaj pertama adalah yang saya persembahkan di Closed Quarters Vol. 7, iaitu ‘dalam khayal dalam astral’, kolaj sajak cinta yang menggabungkan sajak ‘jelita berkobar’ dan ‘kemasyhuran’ yang pernah diterbit dalam antologi ‘ARUS’ (dengan tajuk ‘masyhur jelita’); ‘ke bawah duli perempuanku’ yang pernah diterbit di Tukang Puisi dan puisi prosa ‘dalam khayal dalam astral’ yang menjadi pembuka, intermisi dan penutup kolaj.
Satu lagi ialah ‘surat darah dalam pengakuan kepada fadhli’ yang memuatkan sajak-sajak yang tak pernah saya terbitkan, iaitu ‘tubuhku legenda’, ‘surat darah’ dan ‘mengadap khianat’. Ketiga-tiga sajak itu dihubungkan dengan sajak dalam bentuk perbualan antara saya dengan arwah kawan, Muhammad Zulfadhli Shamsuddin, ‘kito kono buek baik’ yang ditulis dalam dialek Negeri Sembilan.

Satu lagi Kulaj yang telah saya siapkan awal ialah ‘tombo’ yang sebelum itu dinamakan sebagai ‘adat mati, melalak melolong’ untuk persembahan di Bangku Mousai. Ia diubah suai serba sedikit menjadi ‘tombo’, sebutan dialek Negeri Sembilan untuk “teromba”, puisi tradisional negeri kelahiran saya.
Ia menggabungkan cebisan sajak ‘melalak marah’, sajak homaj saya untuk Jack Malik, Aliff Awan, Tulangkata, Meor Hailree dan ba.re yang menulis antologi ‘Merabak Sembah’, serta sajak ‘lolong’ yang pernah terbit dalam buku ‘Angh–’. Kedua-dua sajak itu dihubungkan ceritanya dengan sajak yang sepenuhnya dalam dialek Negeri Sembilan, ‘tombo adat’.
Dalam ‘kematian’, sajak ‘fahami mati’ digunakan sebagai tulang yang menghubungkan sajak-sajak lain. Ia dipecah-pecah dan disusun berselingan dengan empat sajak homaj, iaitu ‘johan kupra kelak’ (untuk John Cooper Clarke), ‘mampus kau dikoyak-koyak sayang’ (untuk chuchengpo dan Joy Division), ‘jack keretek’ (untuk Jack Kerouac) dan ‘mama’ (untuk Norhayati Ibrahim).
Kulaj terakhir, ‘kebodohan’ lebih longgar. Tidak ada sajak khusus yang menjadi penghubung sajak-sajak lain, hanya prosa ‘kelaziman kebodohan’ yang menggerakkan naratif dari sajak ‘kita tak sama’, ‘samar gelak goblin’ (kedua-duanya pernah diterbit dalam ‘Angh–’) dan ‘ali shariati’ yang menceritakan fenomena kebodohan kepada sajak ‘dia bodoh’ dan ‘iii kebodohan’ yang menjelaskan kebodohan.
Anak baru
Ketika berdagang di KLZE, ada beberapa kawan yang kata, saya dah terbitkan banyak buku dan zin. Saya pun baru sedar tapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan sangat sebab kebanyakannya wujud dalam bentuk buku atau zin yang nipis.
Tambahan lagi, sebenarnya, dalam banyak-banyak karya yang diterbitkan di bawah nama Colang Amai, hanya ‘Angh–’ dan siri Kulaj yang betul-betul baharu. Cerpen bersiri ‘Rayuan Siti Zubaidah’ saya tulis pada 2019, ‘Veritas’ pada 2016, ‘TATAL’ pada 2023 dan ‘Buku Hijau’ merupakan koleksi catatan pada 2017. ‘Bual-Bual Mustahak’ pula terjemahan wawancara, bukan karya sendiri.
Sebab itu saya agak teruja mahu terbitkan siri Kulaj sebab ia produk yang baharu, yang saya sendiri pertama kali membacanya sebagai sebuah zin. Ada lebih gemuruh menunggu respons orang.
Setakat ini, Amir Muhammad dan Jack Malik beri ulasan ringkas yang baik. Menunggu juga ulasan-ulasan lain.
Saya sebut tentang KLZE pada tajuk tapi saya hanya bercerita tentang lima zin siri Kulaj dalam artikel ini. Sebab saya pun nak jadi Abdullah Jones. Cerita KLZE akan tiba dalam artikel seterusnya nanti. Tungguuu~~~
KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis, pemuisi serta pemerhati perkembangan muzik dan lain lain hal berkaitan dunia kontemporari & subbudaya. Sokong dan langgani artikel berbayar beliau di: substack.com
