Pendahuluan.
Ismail Zain dalam esei bertajuk “Modenisma dan Tekanan Kritikan Diri” dalam penerbitan pameran sulung 4 Persepsi: Bicara Makna di Pusat Kreatif Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1989 menulis:
“Ternyata kurang lebih satu tahun dahulu, Hasnul Jamal dan Taufik merasai gelisah yang kadangkala keadaan itu memuncak kepada perasaan kecewa. Fauzin dan Mohd Noor sebaliknya, lebih suka menyembunyikan perasaan mereka. Jelas perasaan ini tidak mempunyai kaitan dengan ketipisan peluang kerja bagi graduan-graduan seni halus. Mereka sedar bahawa mereka mempunyai ketahanan hati yang cukup untuk bekerja secara sambilan sehinggalah mereka tersua dengan satu peluang yang lebih memuaskan. Namun, apa yang tidak dirasai senang oleh mereka ialah keadaan dalam mana tidak ada perbezaannya antara seni dan komoditi dagangan dalam mana kriteria tunggal dari segi amalan adalah untuk mencari peluang pemasaran semata-mata.”

Pernyataan Ismail Zain ini semacam merumuskan hasrat Hasnul Jamal Saidon, Mohd Fauzin Mustaffa, Mohd Noor Mahmud dan Taufik Abdullah untuk bergabung dalam sebuah pameran seni yang dinamakan 4 Persepsi: Bicara Makna kira-kira 37 tahun lalu. Hal itu diperjelas dan dirumuskan oleh Hasnul J. Saidon dalam kata “Pengenalan” pameran itu bahawa persoalan berpameran itu melibatkan dua perkara: pertama, soal pendekatan dan kedua, sikap pelukis terhadap aktiviti tersebut, jelasnya dalam konteks ini membenarkan kata-kata Ismail Zain dalam tulisannya, bahawa seni bukanlah semata-mata mengenai soal pemasaran atau pengkomersilan.
Hasnul menegaskan keselarian atau keserasian antara mereka dalam beberapa perkara juga menjadi motivasi keinginan untuk berpameran bersama, selain daripada percaya bahawa catan atau ekspresi kreatif yang lain harus mampu berkomunikasi. Ia adalah perihal persoalan peri pentingnya idea dan komunikasi.
Sambil menegaskan idea mereka tidak terkongkong pada catan sahaja, tetapi dapat dikembangkan dalam medium penzahiran yang lain bagi mewujudkan interaksi, sebagaimana dihuraikan oleh Fauzan Omar dalam tulisannya bertajuk “Bahan” dalam penerbitan yang sama, mereka percaya bahawa pameran seni adalah untuk mendekatkan penonton dengan pelukis.
Lantaran itu tambah Hasnul, “Kami bersedia untuk berkongsi ide dan kemahiran. Pameran ini diharap dapat dijadikan lapangan untuk kita menyemai budaya ilmu dan berfikir yang sihat, sebagai gelanggang untuk pertembungan ilmu yang berkesan terutama di kalangan generasi muda” (ibid).
Kefahaman dan hasrat ini, serta dukungan persahabatan erat memungkinkan mereka bergabung lagi dalam pameran kedua di Pusat Kreatif Balai Seni Negara pada tahun 2019 dan terkini dalam edisi ketiga Empat Persepsi: Kesinambungan Hidup di Ruang Teduh. Ikatan persahabatan antara mereka itu pernah diceritakan Hasnul J. Saidon dalam catatannya “Air Dicincang Takkan Putus – Nukilan Seorang Teman Perjuangan” yang dipetik dari Blog Jiwa Halus, 2 Februari 2012 dan terbit dalam katalog pameran kedua Empat Persepsi terbitan Balai Seni Negara (2019).
Menurut Taufik Abdullah, Empat Persepsi bukanlah sebuah kumpulan seni yang terancang atau formal sebagaimana beberapa kumpulan seni lain di negara ini, atau seperti kumpulan-kumpulan seni yang sudah bertapak di Barat sejak awal abad yang lalu, tetapi terbina atas dasar persahabatan erat dan bertemu dalam sebuah pameran secara bersama (Perbincangan bersama Taufik Abdullah dan Im Sadri di Ruang Teduh, Rabu, 1 April 2026, 12.00 tengah hari).
Mengimbau kembali hasrat dan asas mereka berpameran pada tahun 1989 dan penegasan Ismail Zain dalam eseinya, penyatuan mereka semula dalam pameran kali ini mendukung asas yang sama, perihal budaya ilmu, dan bagaimana karya seni boleh berkomunikasi tentang idea dan makna, menerusi terjemahan bahasa visual yang dicipta. Karya seni bukan berperanan sebagai komoditi semata-mata, tetapi wadah komunikasi intelektual di antara pelukis dan audiensnya, terjemahan pemikiran pengkarya perihal intipati kehidupan, alam dan budaya.
Kesatuan dalam Kepelbagaian.
Banyak sudah ditulis mengenai karya pelukis-pelukis 4 Persepsi, sama ada sebagai satu kumpulan atau berasingan, sementelahan mereka terlibat dalam banyak pameran sama ada secara solo mahupun berkumpulan dengan pelukis-pelukis lain. Malahan, dalam bahagian lain penerbitan ini juga, ada dihuraikan secara terperinci latar diri mereka, pernyataan dan huraian karya dengan jelas.
Justeru itu, tulisan ini lebih menumpu kepada semangat kesatuan mereka menerusi ertikata sebuah persahabatan seni dan dalam kepelbagaian bentuk pengucapan visual yang ditampilkan. Mereka terbuka kepada pengucapan dan penampilan yang berbeza, namun mempunyai satu semangat kebersamaan yang menyatukan keseluruhannya, iaitu perihal kepercayaan peri pentingnya idea dan makna serta bagaimana seni berkomunikasi dengan audiensnya.
Jika ditinjau secara kronologi, ketiga-tiga pameran mereka diadakan dalam konteks tiga fasa masa kehidupan dan kerjaya yang penting. Ketika mengadakan pameran pertama pada tahun 1989, mereka baru sahaja menamatkan pengajian seni secara formal di ITM; ketika pameran kedua pada tahun 2019, mereka telah menjalani pendidikan lanjutan dan sudah bertugas secara tetap, Hasnul sebagai tenaga akademik di universiti, Mohd Noor sebagai guru, sementara Taufik dan Fauzin bergiat aktif dan bertugas dalam sektor industri seni; sementara dalam pameran terkini, mereka semua sudah bersara daripada kerjaya tetap dan telah memasuki ambang umur golongan warga emas dan menjadi pelukis sepenuh masa.
Secara logiknya, ketiga-tiga pameran yang berlangsung dalam ketiga-tiga fasa masa ini mencerminkan semacam suatu suasana atau anjakan usia dan penglibatan, tahap pemikiran serta persepsi mereka dalam kesenian: fasa pertama, berada pada era eksplorasi bahan dan idea seni; fasa kedua mencerminkan diri berada di puncak kerjaya; sementara fasa terkini, melambangkan kematangan idea, pemikiran dan pengucapan seni. Begitulah keempat-empat mereka ini menelusuri perjalanan seni masing-masing, meskipun terpisah oleh batas kerjaya dan geografi, akhirnya tetap bertemu dalam satu titik temu pameran ini.
Cuba kita renungi semula pernyataan-pernyataan seni mereka 37 tahun lalu dalam pameran sulung Empat Persepsi: Bicara Makna (1989) dan membandingkannya dengan persepsi serta pernyataan-pernyataan terkini.
“Tidakkah kita ingin melihat ke dalam diri kita sendiri? Membawa renungan, pemikiran dan penghayatan jauh-jauh dari realiti material yang sering dibaluti oleh permukaan-permukaan yang indah. Kita harus mengenal diri sendiri kerana ianya adalah jalan yang baik untuk kita mengenal orang lain, alam dan lebih dari itu… Tuhan” (Hasnul Jamal Saidon, 1989: 24).
“Kita perlu ikhlas kepada diri sendiri dengan sentiasa bertanya, adakah kita benar-benar membuat penilaian yang total atau sekadar memberi nilai yang hanya terletak pada permukaan sahaja. Jika tidak, mungkin kita bakal sama-sama mengorak dan mengubah nilai dan jalan hidup di atas dasar yang salah dan cemar” (Taufik Abdullah, ibid).
“Saya sentiasa menggunakan salah satu daripada imej Barat yang popular iaitu jeans sebagai motif artistik saya. Ianya sengaja dipilih untuk mengingatkan kita terhadap pengaruh dan penguasaan sistem pemakaian budaya Barat terhadap masyarakat dan kebudayaan Timur” (Mohd Noor Mahmud, ibid: 25).
“Seni adalah kehidupan dan ia terus hidup bersama alam dan isinya. Daun-daun yang mati dan jatuh adalah kita yang hadir di dunia ini, yang hanya cuma dianugerahkan dengan kehidupan yang sementara” (Mohd Fauzin Mustaffa, ibid).
Diberi judul Empat Persepsi: Kesinambungan Hidup, pameran terkini mendukung kefahaman bersama yang mencerminkan kepekaan terhadap “hubungan yang mengikat kewujudan manusia dengan alam, budaya dan spiritualiti” (Ruang Teduh, 2026) justeru mencerminkan asas yang mereka bina lebih 37 tahun lalu.
Menurut Taufik Abdullah, pameran kali ini tidaklah terikat atau membawa satu-satu tema yang terlalu khusus atau ketat, sebaliknya merupakan suatu refleksi dan tinjauan semula selepas pameran pertama yang dilaksanakan lebih tiga dekad lalu serta menghimpunkan sejumlah karya terpilih mereka yang merentasi sebilangan waktu (op.cit). Dalam konteks ini, Hasnul Jamal Saidon mengetengahkan tema kasih sayang, ikatan kekeluargaan dan penyembuhan, mencerminkan kepercayaannya bahawa seni merupakan satu kuasa transformasi dan pemulihan dengan menjadikan alam sebagai kiasan dan perlambangan.
Dalam penulisan dan karya seninya, Hasnul J Saidon sering menganyam metafora nadi (laluan), air, sungai, dan penyembuhan sebagai simbol perjalanan dalaman, kesedaran, dan pemulihan spiritual. Bagi Hasnul, nadi bukan sekadar laluan fizikal seperti sungai atau salur darah, tetapi saluran metafizik yang menghubungkan alam nyata dan alam ghaib — menghubungkan tubuh, minda, dan roh kepada satu susunan kosmik yang lebih besar. Air dan sungai melambangkan kuasa hayat ini: mengalir, membersihkan, dan terus membentuk kewujudan. Melalui seni, Hasnul mengajak khalayak untuk mengembara ke dalam diri, menelusuri nadi masing-masing ke sumber penyembuhan dan kesejahteraan asal (Ruang Teduh, 2026, op.cit).


Taufik Abdullah pula menjadikan jantung sebagai simbol emosi dan kehidupan, mencerminkan emosi jiwa dan nilai dalaman manusia, perihal perasaan dan perwatakan, keimanan, ketahanan dan kerapuhan jiwa. Di samping mencerminkan semangat sejagat, kaedah ini juga menterjemahkan sikap diri yang cekal lagi konsisten berfikir, jujur, berbelas kasihan dan sedar (Ibid).



Fauzin Mustafa pula menimba inspirasi daripada alam semula jadi dan kesenian tradisional Melayu menerusi gabungan elemen-elemen alam dengan motif-motif tradisi seperti yang terdapat dalam seni tekad, batik dan songket lalu diterjemahkan menerusi tata bahasa seni visual kontemporari. Pertembungan aspek tradisi dengan moden dan kontemporari ini menghasilkan kesan visual yang unik lagi memikat, di samping mencerminkan penyatuan nilai-nilai alam, kehidupan dan kebudayaan (Ibid).



Seperti Fauzin, Mohd Noor Mahmud juga menimba inspirasi daripada kesenian tradisional Melayu khususnya batik, mentransformasikan serta mengangkat motif-motif flora dan budaya sebagai suatu bentuk bahasa yang kaya dengan nilai dan makna, bukan semata-mata bersifat dekoratif. Pendekatan Mohd Noor itu bukan sahaja meluaskan sempadan batik dalam konteks seni kontemporari, pada masa yang sama memelihara identiti dan warisan kebangsaan secara berterusan (Ibid).



Dalam konteks ini, refleksi terhadap Empat Pesepsi sejak 37 tahun lalu hingga kini memperlihatkan kesinambungan rupa dan jiwa yang mereka olah dan tampilkan, justeru merealisasikan tema “Kesinambungan Hidup” yang mereka tekankan dalam edisi pameran kali ini. Meskipun merentasi jarak waktu perjalanan kesenian dan kehidupan yang panjang, persoalan diri, alam, budaya dan kehidupan kekal menjadi teras dalam pengkaryaan, sememangnya dalam kepelbagaian itu wujud kesatuan.




Penutup.
Sekitar 40 tahun lalu ketika menuntut seni di Kajian Seni Lukis & Seni Reka (KSSR/AD) Institut Teknologi MARA (ITM) (sekarang Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka/FSSR, Universiti Teknologi MARA/UiTM), para pelajar sering diingatkan oleh pensyarah-pensyarah mereka bahawa mereka semua diterima masuk belajar di situ bukan hanya untuk menjadi “pembuat’ (doers), tetapi juga untuk menjadi pemikir (thinkers), jelasnya menjadi seniman yang bukan hanya pandai dan mahir membuat sesuatu, tetapi juga boleh berfikir: menghasilkan karya yang bukan sekadar kritis dan indah atau berfungsi, tetapi mempunyai makna, mesej dan falsafah yang mendalam.
Pelukis-pelukis Empat Persepsi adalah kumpulan pelukis dan pelajar yang melalui era itu, terlatih dan terdidik dalam suasana pembelajaran yang ketat dan penuh cabaran, kurikulum yang bersifat multi-disiplin dan sering kali diingatkan perihal jati diri, warisan, identiti dan masa depan bangsanya, serta didukungi oleh dasar-dasar pendidikan, kebudayaan dan pentadbiran negara yang menyokongnya.
Kalau diingatkan dan direnungkan kembali, mungkin semuanya kelihatan seperti suatu kenangan dan nostalgia semata-mata, tetapi itulah sebenarnya yang telah membentuk sebahagian daripada asas “kesinambungan hidup” dalam perjalanan kesenian dan kehidupan mereka.
Empat Persepsi menjadi suri teladan dan memberi inspirasi kepada pelukis-pelukis muda terutamanya dari segi pengertian dan peranan seni sebagai wadah komunikasi intelektual di antara pelukis dengan audiensmya, serta perihal kepentingan seni dalam kehidupan, alam dan budaya serta erti sebuah persahabatan.





Rujukan.
Faizal Sidik, 2019. “30 Tahun 4 Persepsi: 1989-2019” dalam Empat Persepsi. Kuala Lumpur: Balai Seni Negara, ms. 8-15.
Fauzan Omar, 1989. “Bahan” dalam 4 Persepsi: Bicara Makna. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, ms. 7-8.
Hasnul Jamal Saidon, 1989. “Pengenalan” dalam 4 Persepsi: Bicara Makna. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, ms. 3-4.
Hasnul Jamal Saidon, 2019. “Air Dicincang Takkan Putus – Nukilan Seorang Teman Perjuangan” dipetik dari Blog Jiwa Halus, 2 Februari 2012 dalam Empat Persepsi. Kuala Lumpur: Balai Seni Negara, ms. 16-23.
Ismail Zain, 1989. “Modenisma dan Tekanan Kritikan Diri” dalam 4 Persepsi: Bicara Makna. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, ms. 5-6.
Mohamed Najib Ahmad Dawa, 2019. Prakata Ketua Pengarah Balai Seni Negara dalam Empat Persepsi. Kuala Lumpur: Balai Seni Negara, ms. 7-8.
Perbincangan penulis bersama-sama Taufik Abdullah dan Im Sadri di Ruang Teduh, Rabu, 1 April 2026, 12.00 tengah hari.
Ruang Teduh, 2026. Four Perception: “The Living Continuum” (Empat Persepsi: Kesinambungan Hidup). Kuala Lumpur: Ruang Teduh.
Nota Editorial:
Tulisan ini diambil dari hantaran kata katalog pameran “4 Persepsi – Kesinambungan Hidup (The Living Continuum) yang sedang berlangsung di di Galeri Ruang Teduh, Lot UG 31 & 32 Exchange 106, TRX Kuala Lumpur dari 8 May – Jun 2026.
Maklumat lanjut hubungi: 011 5758 8500 / Ruang Teduh Gallery Instagram
