DALAM beberapa tulisan saya sebelum ini, sering saya tekankan pentingnya teater berskala kecil untuk diperluaskan ke pelbagai ruang di dalam malah di luar negara. Teater skala kecil yang fleksibel berupaya memenuhi keperluan teater tempatan yang mungkin sering terbatas pada satu lokasi atau khalayak tertentu.
Tidak terkecuali contoh daripada produksi Off-off Broadway seperti The Flick oleh Annie Baker di Barrow Street Theatre atau Circle Mirror Transformation di Atlantic Theater Company, yang sering berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain di New York, memberikan dimensi baru terhadap akses teater yang lebih dekat kepada masyarakat setempat. Pementasan di pelbagai ruang ini juga membolehkan produksi tersebut membina komuniti penonton yang berbeza di setiap lokasi.
Dr. Hatta Azad Khan, tokoh teater tanahair yang berpengalaman, pernah mengulas cadangan ini dalam ruang komen hantaran saya tentang Persiapan Seorang Aktor (PSA) di Facebook saya. Beliau menekankan bahawa jika sesuatu produksi itu sudah tersedia baik dari segi skrip, lakonan, pengarahan, dan sinografi yang ringkas namun bermakna – produksi tersebut haruslah terus dihidupkan, diulang-pentas, dan dibawa jelajah.
Mengambil semangat dan cadangan tersebut, teater Persiapan Seorang Aktor dipentaskan semula di Panggung Eksperimen Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kampus Samarahan, pada 25 hingga 27 Oktober lalu, menjadi pertemuan semula yang segar dan mencetuskan perspektif baharu apabila bertemu audiens baharu yang luas dan pelbagai.
Diversiti penonton dan perspektif baharu
Pengalaman di UNIMAS menyuntik perspektif baharu melalui audiens yang tidak hanya terdiri daripada mahasiswa seni persembahan tetapi juga dari pelbagai jurusan seperti kejuruteraan, farmasi, perubatan dan khalayak umum. Dengan latar belakang yang berbeza ini, karya yang saya sangka mempunyai daya tarik spesifik kini berkembang menjadi wacana yang lebih menyeluruh. Persiapan Seorang Aktor, yang dalam fikiran saya menyelami dunia teater, lakonan dan kehidupan pelakon, kini menjadi topik perbincangan lebih luas di UNIMAS, di mana dialog kami selepas persembahan menyelami isu-isu yang saya sendiri tidak sangka.

Dua orang penonton di malam pertama pementasan, misalnya, bertanya tentang peranan mental health dalam karakter yang dibawakan. Barangkali disebabkan Firdaus Karim sebagai Sadiq Saufi berjaya menggambarkan ketakutan, kekeliruan dan kegelisahan yang menyelubungi watak seorang pelakon dalam menghayati Hamlet. Penonton mula melihat sudut-sudut psikologis dalam pergolakan jiwa watak, membawa penilaian yang lebih dalam dan segar terhadap persembahan ini.
Sarawak mempunyai potensi besar untuk terus menerima pendedahan terhadap karya-karya kontemporari, yang bukan sahaja memberi peluang kepada penonton tempatan untuk mendalami cerita dan gaya pementasan baharu, tetapi juga berfungsi sebagai platform bagi seni budaya asli tempatan untuk bersinar. Dengan pertemuan dan kacukan karya baharu, nilai budaya tradisional yang unik di negeri ini boleh diangkat dan diperkaya dengan teaterikal segar, sekaligus merangsang apresiasi yang lebih mendalam terhadap keunikan Sarawak. Usaha memperkenalkan karya kontemporari di sini akan membuka laluan kepada apresiasi lebih meluas terhadap budaya dan seni autentik tempatan, merentasi generasi dan sempadan.
Eksperimen bunyi dan tekstur suara
Pementasan kali ini berbeza apabila saya memutuskan untuk mengurangkan muzik dan memberi tumpuan kepada bunyi persekitaran, seperti bunyi mesin, kenderaan, dan siren ambulan misalnya. Secara tak langsung, bunyi-bunyian ini mencipta atmosfera realistik yang bukan sahaja menjadi latar tetapi turut berfungsi sebagai gangguan dalaman watak Sadiq, seolah-olah bunyi-bunyi ini adalah gema dari dalam jiwanya yang sedang bertarung.
Dengan bunyi sebagai tekstur, suasana yang terbentuk menjadi mendalam dan rapat kepada realisme yang saya idamkan. Setiap detik bunyi luar, seperti hentaman mesin menebuk dinding atau deru kenderaan, seolah-olah berfungsi sebagai dialog tidak langsung dalam naratif ini, memberikan pengalaman sensori yang memperkaya cerita di atas pentas. Ditambah pula dengan gesekan cello terutamanya pada babak soliloki Hamlet yang mencengkam rasa dan keperihan dalaman dendamnya.
Ruang, suara, dan cabaran pementasan
Namun begitu, peralihan dari ruang intim Studio Sedar Ruang ke Panggung Eksperimen FSGK di UNIMAS membawa cabaran baharu. Dengan hanya tiga pelakon (dalam banyak masa hanya berdua), ruang yang lebih besar menuntut fokus suara dan energi bagi memastikan penonton terus terpaku. Di peringkat awal, kami sedikit bergelut. Fazleena Hishamuddin mempunyai kelebihan projeksi suara yang kuat dan jelas, sementara Firdaus Karim membawa pendekatan naturalistik yang lebih tenang. Sebagai pengarah, keseimbangan perlu dicapai – mengekalkan gaya yang paling mendekati naturalistik sambil memastikan dialog tetap berdaya tahan untuk ruang besar.

Pada akhirnya, pementasan ini memerlukan kawalan suara yang tepat, agar kesan naturalistik tidak hilang. Grafik emosi dan dinamik persembahan yang dipamerkan, dengan segala cabarannya, menuntut semua pemain mengekalkan keaslian dan intensiti hingga babak akhir.
Melankolia pasca-pementasan dan kenangan Samarahan/Kuching
Beberapa hari telah berlalu sejak pementasan terakhir kami di UNIMAS, namun jiwa kami masih tertinggal di Samarahan dan Kuching. Hal ini tentunya berbeza dengan pementasan di tempat sendiri dimana kami masing-masing masih terikat dengan rutin hakiki. Rasa rindu ini, sebuah sindrom melankolia pasca-peristiwa (post-event blues syndrom), lebih mendalam daripada sekadar keterikatan pada pentas. Ini adalah kerinduan yang tak dilunaskan, seolah-olah menjelmakan babak terakhir dalam Persiapan Seorang Aktor – sebuah babak di mana Sadiq Saufi merasai kekosongan setelah menutup tirai Hamlet. Seperti kata Nina, isterinya, “Rindu? Kau tak bertepuk sebelah tangan.” Begitulah juga kami saat ini – merasakan satu kerinduan yang tak berbalas terhadap pengalaman dan kenangan yang terbentuk di sana.

Pementasan ini tak mungkin berhasil tanpa bantuan dan sokongan luar biasa dari Semarak Kreatif, Unimastage, dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS. Penghargaan istimewa kami sampaikan kepada Azri Ali dan Qawiem Hamizan yang membantu memastikan setiap aspek perjalanan produksi berjalan lancar. Kesungguhan dan hospitaliti mereka menjadikan setiap detik di Samarahan dan Kuching sesuatu yang manis untuk dikenang.
Mengutip kata-kata Peter Brook, yang saya rasa menghidupkan pengalaman ini,
“Theatre exists only when it is living, breathing, and surrounded by the people who shape and question it.”
Teater harus terus hidup, sebagai cerminan masyarakat dan wacana yang menghidupkan persekitaran manusia di sekelilingnya. Dengan Persiapan Seorang Aktor, bukan hanya kami membawa cerita di atas pentas, tetapi turut membawa hati dan jiwa kami. Kini, yang tertinggal hanyalah kenangan, sebuah memori yang terus berdenyut dan menanti untuk dihidupkan semula di masa hadapan. Moga ada lagi kenangan baharu yang bakal dikutip di ruang baharu untuk dituju.

