“Nah! Ambil la rasa,” ujar Abdullahjones sambil menghulurkan sebiji kole biru berisi buah kecil mirip tomato, berwarna oren keperangan. Wajahnya kelihatan tenang, tanpa sebarang ekspresi, atau mungkin memang itu karakternya. Saya tidak pasti apa yang sedang bermain di fikirannya ketika itu.
“Apa benda ni?”, saya bertanya ringkas, bimbang juga kalau mood dia berubah sebab kata kenalan di simpang Damak dia seperti alien dan sukar dijangka dan juga sukar dihubungi. Jadi lebih baik saya diam dan beringat.
“Ni la buah Mencupu”, sahut rakan sebelah, sebaik sahaja selesai makan tenghari di Lang Buana Eco Park, Jerantut sempena Cheka+isme: International Art Camp 2024 baru-baru ini. Saya teringat celoteh pengerusi majlis di ruang balai utama rasa buah ini macam buah oren tapi ada sikit masam dihujungnya. Jadi, saya gagau dua biji sebagai tanda menghormati dan simpan dalam poket jaket hijau, terlintas juga dalam fikiran untuk membawa pulang ke utara sebagai buah tangan yang istimewa. Apakan daya, buah tidaklah seberapa, biarlah semua peserta merasa.

Malam itu, suhu di luar chalet kayu semakin menurun, jauh-jauh nyanyian unggas tenggelam dalam bunyi deruan air dari Lata Jin di Kampung Ulu Cheka menawarkan ketenangan yang berbeza, suasana tumbuhan hutan semulajadi, disela-sela dedaun cahaya bulan dan lampu kecil menembusi celah-celah pokok, bau aroma udara segar hutan seakan belum disentuh menambahkan lagi rasa ketenangan yang mengasyikan. Mengundang nikmat tidur yang menyenyak.
Esoknya, saya sempat juga berpesan kepada empat orang pelajar, “Alang-alang kita sudah meredah perjalanan jauh, hujan, bukit bukau, dan jalan berliku-liku hanya untuk sampai ke sini bagi merasai pengalaman daripada aktiviti seni rugi kalau kita tidak memanfaatkan setiap peluang yang disediakan oleh pihak pengajur. Dan, jangan lupa rasa buah mencupu yang istimewa itu.”
Memahami seni, tidak sekadar cakna dengan ruang atau dimensi karya semata-mata, tetapi juga memerlukan pemahaman kolektif tentang kaitannya dengan nilai sejarah dan peristiwa-peristiwa penting yang membentuk suatu wilayah atau daerah. Oleh itu, pada malam tersebut, pengunjung Artcamp berpeluang mendengar cerita santai daripada mantan Tok Empat Kampung Ulu Cheka, yang memperkenalkan asal-usul nama kampung dan mengungkapkan kisah tokoh penting dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu, iaitu Haji Nong Santan, lebih dikenali dengan gelaran Pawang Diraja Pawang Nong.
Menurut Nazri Che Husin, terdapat beberapa versi cerita lisan yang berkembang di kalangan penduduk asal Ulu Cheka mengenai asal-usul kampung ini. Sejarah awal pembukaan kampung ini bermula sekitar tahun 1880, apabila sekumpulan penduduk dari Kampung Penjom, Lalang, Kampung Pagar, dan Tanjung Besar berhijrah ke kawasan ini, yang pada masa itu dikenali dengan nama Lata Lang. Nama tersebut diambil sempena sebuah lata di mana banyak burung helang sering mandi di sekitarnya. Mereka diketuai oleh Tok Perlom, atau lebih dikenali sebagai Tok Pandak, yang nama sebenarnya adalah Mohamad Osman, seorang tokoh dari Kampung Lalang, Kuala Lipis.
Nama Cheka mula terkenal apabila sekumpulan pencari emas yang sering mudik di sungai Batu Balai menuju ke Lata Lang, singgah memetik pelbagai buah-buahan tempatan dan menikmatinya dalam posisi bercampur baul. Akibatnya, ada di antara mereka yang terkesan sehingga mabuk dan muntah-muntah. Peristiwa tersebut, dalam loghat tempatan disebut “chike”, akhirnya disuaikan dengan lidah umum menjadi “Cheka” dan nama itu terus diabadikan hingga hari ini.

Dalam pada itu, saya kagum mendengar perkataan “mudik” yang masih digunakan secara bersahaja oleh mantan Tok Empat ketika itu. Tiba-tiba, bahu saya dicuit oleh Khairanee, berbisik bertanya maksud perkataan tersebut, sementara Ady, Yap Shin Yin, dan Tong Kwai Yi antara empat orang pelajar Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia yang turut serta meraikan Artcamp ini, terus mendengar dengan penuh perhatian cerita lisan yang disampaikan pada malam itu.
Manfaat seni dalam konteks penceritaan sejarah menjadi sarana rekonstruksi memori kelompok masyarakat, tidak hanya terkait dengan bentuk fizik, tetapi juga makna yang tersemat di dalamnya, iaitu nilai-nilai kesyukuran yang menyentuh jiwa-jiwa individu. Sekali pun hadir daripada cerita rakyat, perjuangan, seni rupa, puisi, atau teater atau nilai-nilai moral yang terkandung dalam sejarah, seni tetap menjadi medium yang menyatukan pengalaman manusia. Sajian cerita tentang tokoh ini dalam sesi Artcamp ini sedikit sebanyak membantu pengunjung memahami bahawa pelantar seni tidak hanya berfungsi sebagai ekspresi peribadi, tetapi juga sebagai penyambung lidah yang merakam sejarah jati diri sesebuah bangsa.
Justeru, seni harus dibaca dalam pelbagai sudut waima dimana sahaja ia berlangsung, kerana setiap pendekatan mengundang konteks pengucapannya sendiri. Jika ia diadakan diluar kawasan bandar, sudah tentu mekanisma kefahamannya dihubungkan dengan sumber persekitaran, seperti alam semula jadi. Alam semula jadi bukan sahaja memberi inspirasi, tetapi juga mengajarkan tentang keindahan, keseimbangan, dan ketahanan. Malahan dalam banyak budaya, seni telah berkembang seiring dengan penghormatan terhadap alam, menunjukkan bahawa hubungan antara kedua-duanya bukan sahaja semula jadi, tetapi juga transenden, melampaui batasan fizikal dan mencakupi dimensi rohani.
Terima kasih yang tulus dan ribuan tahniah diucapkan kepada pasukan pengendali Cheka+isme International Artcamp, Jerantut, Pahang, atas jemputan yang amat bermakna ini. Semoga usaha murni ini terus berkembang dan memberi pendedahan yang berharga tentang seni kepada masyarakat di setiap pelosok daerah, menginspirasikan lebih ramai untuk menghargai dan menghayati keindahan seni, budaya, adat tempatan, ilmu pengetahuan lokal dan manfaatnya dalam kehidupan seharian.
– Dr. Shahrul A. Shaari, merupakan pensyarah kanan Bahagian Seni Halus, Pengajian Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD di Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pengkajian dalam bidang budaya kesenian visual manuskrip alam Melayu dan telah menulis dalam penerbitan jurnal ilmiah, cerpen, artikel majalah Dewan Budaya, disamping mempunyai pengalaman berpameran dalam dan luar negara.
