Ada kumpulan yang menghasilkan lagu, ada pula yang tanpa banyak dirancang, menjadi sebahagian daripada cara sebuah generasi mengingati dirinya sendiri.
Reality Club mungkin berada di antara kedua-duanya.
Sepuluh tahun selepas muncul di Jakarta, kumpulan empat anggota ini kini kembali melihat katalog mereka sendiri dari jarak yang lebih jauh.

Pada 13 November 2026, Reality Club akan mengadakan persembahan satu malam di Zepp KL, dianjurkan POST bersama Katarsis Live, sebagai penanda sedekad perjalanan muzik mereka.
Tetapi ulang tahun dalam muzik tidak semestinya perlu difahami sebagai pesta nostalgia.
Kadangkala ia lebih menarik sebagai sebuah bentuk pemerhatian: terhadap masa, perubahan cita rasa, dan apa yang berlaku kepada lagu apabila pendengar serta penciptanya tidak lagi berada pada usia yang sama seperti ketika lagu itu mula ditulis.
Reality Club bermula pada 2016, dalam ekosistem muzik Jakarta yang ketika itu sedang melalui satu lagi fasa keterbukaan. Internet telah mengubah cara muzik alternatif ditemui dan diedarkan.
Batas antara “tempatan” dan “antarabangsa” semakin kabur, sementara kumpulan-kumpulan muda tidak lagi perlu memilih antara menjadi terlalu eksperimental atau terlalu mudah didengar.
Dalam ruang itulah Reality Club menemukan bentuk awalnya.
Empat album kemudian, kumpulan ini tidak lagi mudah diletakkan hanya di bawah payung “indie”. Muzik mereka bergerak antara indie pop, rock alternatif dan pelbagai pengaruh lain, tetapi genre bukanlah perkara paling menarik tentang mereka.
Yang lebih penting ialah cara mereka menjadikan pengalaman yang sangat biasa; cinta, kehilangan, keraguan, pekerjaan, keluarga dan proses membesar, sebagai bahan penulisan lagu.
“Is It The Answer?” dan “Alexandra”, misalnya, tidak memerlukan mitologi yang besar untuk berfungsi.
Daya tarikannya datang daripada sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan seharian: perasaan yang sukar disebut, hubungan yang tidak selalu mempunyai kesimpulan, dan nostalgia terhadap sesuatu yang mungkin belum pun benar-benar berakhir.
Itulah salah satu paradoks muzik indie yang berjaya.
Semakin peribadi sebuah lagu, semakin mudah ia menjadi milik orang lain.
Pendengar mungkin tidak mempunyai pengalaman yang sama dengan penulis lagu, tetapi mereka boleh meminjam lagu tersebut untuk menampung pengalaman mereka sendiri.
Lagu berubah menjadi sejenis ruang kosong yang diisi oleh memori pendengar.
Dalam hal Reality Club, proses itu berlaku merentasi sempadan negara.
Kuala Lumpur bukan Jakarta, tetapi pendengar di kedua-dua bandar berkongsi banyak perkara yang sama: kehidupan bandar, budaya digital, pendidikan, pekerjaan yang semakin tidak menentu, hubungan yang berlangsung melalui skrin dan satu generasi yang membesar dengan muzik dari seluruh dunia berada hanya beberapa klik jauhnya.
Maka, populariti Reality Club di luar Indonesia tidak semestinya perlu dilihat sebagai eksport budaya dalam pengertian lama. Ia lebih dekat kepada pertukaran budaya yang berlaku secara mendatar, pendengar menemukan sesuatu dari Jakarta, menggunakannya untuk menceritakan pengalaman mereka sendiri, lalu mengembalikannya dalam bentuk komuniti dan persembahan langsung.
Album Reality Club Presents… pada 2023 menjadi satu titik penting dalam perkembangan tersebut. Kumpulan ini memperluaskan bahasa muzik mereka dan memberi setiap lagu identiti yang lebih tersendiri.
Pengiktirafan melalui Anugerah Musik Indonesia mengesahkan kedudukan mereka dalam industri, tetapi anugerah bukanlah keseluruhan ceritanya.
Yang lebih menarik ialah keberanian untuk membiarkan muzik berubah.

Sebuah kumpulan yang bertahan selama sedekad biasanya berhadapan dengan pilihan yang agak mudah: mengulangi bunyi yang telah terbukti atau mengambil risiko kehilangan sebahagian daripada pendengar.
Reality Club nampaknya memilih pilihan ketiga, mengekalkan beberapa ciri yang membuat mereka dikenali sambil membenarkan penulisan mereka menjadi lebih luas.
Perubahan itu terasa dalam Who Knows Where Life Will Take You?, album keempat mereka yang muncul pada 2025.
Judulnya sendiri hampir seperti sebuah catatan kecil tentang ketidakpastian. Ia bukan lagi persoalan remaja tentang siapa yang mencintai siapa, tetapi persoalan yang muncul apabila seseorang mula menyedari bahawa kehidupan dewasa mempunyai terlalu banyak arah untuk diramal.
Cinta masih ada, tetapi ia kini berkongsi ruang dengan keluarga, pekerjaan, spiritualiti dan kegelisahan tentang kehidupan yang tidak semestinya bergerak seperti yang dirancang.
Dengan kata lain, Reality Club sedang membesar, juga para peminat serta pendengar mereka juga. Maka di sinil nilai sebenar persembahan di Kuala Lumpur mungkin terletak.
Menurut penganjur, set di Zepp KL akan dikurasi khusus untuk ulang tahun sedekad tersebut, dengan katalog kumpulan disusun semula untuk memberi pengalaman yang berbeza daripada persembahan biasa.
Pendekatan itu membuka satu kemungkinan yang lebih menarik daripada sekadar mendengar semula lagu lama: bagaimana sebuah kumpulan membaca semula sejarah kreatifnya sendiri.
Konsert, dalam hubunganini, menjadi sejenis arkib yang tidak pernah benar-benar selesai.
Lagu yang ditulis sepuluh tahun lalu tidak lagi mempunyai makna yang sama apabila dimainkan hari ini. Penyanyinya sudah berubah. Pemuziknya berubah. Pendengarnya berubah. Malah bandar tempat lagu itu dimainkan juga berubah.
Sebab itu nostalgia dalam muzik tidak pernah benar-benar mengenai masa lalu.
Ia mengenai masa kini yang cuba memahami masa lalu.

Reality Club kini mempunyai empat album untuk melihat semula siapa mereka dahulu. Mereka juga mempunyai generasi pendengar yang telah membawa lagu-lagu tersebut ke bilik tidur, perjalanan pulang, hubungan pertama, perpisahan, universiti, pekerjaan dan pelbagai musim kehidupan yang mungkin tidak pernah diketahui oleh penciptanya.
Barangkali itulah pencapaian paling senyap sebuah kumpulan muzik: bukan apabila sebuah lagu menjadi popular, tetapi apabila orang lain menggunakan lagu itu untuk memahami kehidupan mereka sendiri.
Pada 13 November nanti, Zepp KL akan menjadi ruang pertemuan antara dua jenis memori—memori Reality Club terhadap sedekad muzik mereka, dan memori pendengar terhadap kehidupan yang mereka lalui bersama lagu-lagu tersebut.
Selepas sepuluh tahun, persoalan Reality Club bukan lagi bagaimana untuk menjadi sebuah kumpulan indie.
Mereka sudah pun melampaui persoalan itu.
Yang lebih menarik sekarang ialah melihat apa yang berlaku apabila sebuah kumpulan, sebuah katalog dan sebuah generasi membesar pada masa yang sama.
Dan seperti judul album terbaharu mereka, barangkali kita memang tidak pernah benar-benar tahu ke mana kehidupan akan membawa kita.
Kita hanya tahu bahawa ada sesetengah lagu akan mengikuti kita bersama-sama.
Reality Club Live in Kuala Lumpur
Tarikh: 13 November 2026
Tempat: ZEPP KL
Dapatkan tiket-tiket di SINI
