MERDEKA bukan sekadar perayaan tahunan yang diulang setiap kali tibanya Ogos dengan laungan dan kibaran bendera. Ia juga adalah ruang refleksi tentang kebebasan yang sebenar iaitu bebas dalam berbahasa, berbudaya, berfikir, dan berdiri teguh dengan identiti sendiri. Seni pula hadir sebagai cermin yang mengingatkan kita bahawa kemerdekaan yang tidak disertai keberanian mempertahankan akar budaya dan sejarah hanyalah slogan kosong.
Inilah yang ingin dipersoalkan melalui pameran Rasa Merdeka, sebuah kerjasama antara Senimalaya dan Galeri Puteh yang berlangsung di galeri baharu Ruang Teduh, yang terletak di Exchange 106, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. Dibuka pada 16 Ogos lalu, pameran ini menghimpunkan 31 seniman dengan karya-karya penuh lapisan makna, berlangsung hingga 16 September 2025.
“Hakikatnya, kemerdekaan tidak hanya bermakna bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan untuk berdiri teguh dengan identiti sendiri tanpa rasa rendah diri,” kata Ketua Editorial Senimalaya, Irwan Muhammad Zain.
Pameran ini membawa gagasan bahawa makna merdeka lebih daripada sekadar sejarah silam, sebaliknya ia perlu terus diperdebatkan dan ditafsir dalam konteks kehidupan masa kini. Karya-karya yang dipamerkan membongkar kegelisahan seniman terhadap persoalan kebebasan sejati, sama ada dalam bentuk kebebasan individu, kreativiti, suara, mahupun tafsiran semula pengalaman sejarah.
Antara nama besar yang turut serta ialah Masnoor Ramli, Johan Marjonid, Ahmad Shukri Mohamed, Long Thien Shih, Hamir Soib, Rafiee Ghani, Ramlan Abdullah, Bayu Utomo, Kide Baharudin, Ika Sharom, Azizan Paiman, Husin Othman, Umibaizurah Mahir, Azzaha Ibrahim, Lina Tan, Abdullah Jones, dan Suddin Lappo. Kehadiran mereka menegaskan kewibawaan Rasa Merdeka sebagai pameran kolektif penting dengan kepelbagaian medium dan gaya ekspresi.
Ruang Teduh, yang baru dilancarkan, tampil dengan misi sebagai ruang seni kontemporari terbuka dan inklusif di tengah nadi pembangunan Kuala Lumpur. Dengan lokasinya yang strategik, galeri ini diharap menjadi titik temu antara komuniti seni dan masyarakat umum, sekali gus memacu wacana seni ke tahap lebih kritis.
Rasa Merdeka dibuka kepada orang ramai sehingga 16 September 2025. Pengunjung berpeluang menyaksikan karya seni segar dan penuh pemikiran sambil merasai suasana sebuah ruang seni yang muncul di mercu tanda ikonik ibu kota.

Tahniah! SM x GP
Gandingan hebat! Satu permulaan padu, InsyaAllah