UNGKAPAN seni dari hati para seniman dari Indonesia, Malaysia, dan Thailand – bersatu dalam sebuah pameran yang memukau, penuh dengan makna dan emosi. “Pameran IMT-GT: Rantau” merupakan sesuatu yang luar biasa kerana ia merupakan sebuah kanvas hidup seniman tiga negara tersebut.
Setiap karya adalah cerminan perasaan dan pemikiran mendalam mengenai alam, hubungan keluarga, perjuangan hidup, sejarah silam, dan realiti kehidupan harian. Kerjasama trilateral ini bukan sahaja memupuk nilai kebersamaan tetapi juga meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi nadi rantau ini.
“Pameran IMT-GT: Rantau” mengetengahkan lima kurator, dua kolektif seni, empat artis solo, dan dua duo artis dari Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Indonesia diwakili oleh Bayu Genia Krishbie dari Galeri Nasional Indonesia bersama kumpulan kolektif Rumah Ada Seni dari Padang, Sumatera Barat yang dipimpin oleh Yusuf Fadly Aser. Mereka juga diiringi oleh Sikukeluang dari Pekan Baru, Riau yang diketuai oleh Adhari Donora, serta duo Arifa Safura dan DJ Rencong dari Aceh.

Malaysia menyaksikan gabungan kreatif Faridah Hanim Abd Wahab dan Adina Quraisa Ibrahim sebagai kurator, dengan penulis jemputan Liu Cheng Hua. Artis Chong Yan Chuah serta duo Khairul Izzudin dan Shamin Sahrum mempersembahkan karya yang berakar dari latar belakang seni bina dan pengalaman merantau mereka.
Thailand diwakili oleh Suebsang Sangwachirapiban dari Bangkok Art Biennale, bersama artis Nordiana Beehing dari Yala, Maneerat Thamnarak dari Chumphon, dan Arichama Pakapet dari Songkhla. Mereka berjaya menzahirkan dialog seni yang merentas sempadan, mengukuhkan ikatan persahabatan dan memberi impak positif kepada ekonomi dan sosiobudaya dalam segi tiga IMT-GT.

“Pameran IMT-GT: Rantau” yang dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Shaik Rizal Sulaiman membuka tirai kepada satu pengalaman artistik yang tidak terlupakan.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, Pengarah Centre for Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Subregional Cooperation, Amri Bukhairi Bakhtiar, wakil daripada Kedutaan Indonesia dan Thailand di Malaysia, serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), jabatan, dan agensi, serta para penggiat seni.
“Pameran IMT-GT: Rantau” bukan sekadar pameran seni, tetapi sebuah usaha Balai Seni Negara untuk terus menyokong perkembangan seni serantau. Ia juga mengeratkan hubungan antarabangsa dan menggalakkan kemajuan sektor pelancongan.
Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati semangat kebersamaan dan meraikan kepelbagaian budaya di Pameran IMT-GT: Rantau di Balai Seni Negara sehingga 1 Disember 2024. Masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.
