RANDAI Macbeth arahan Norzizi Zulkifli adalah penerokaan yang menarik dalam adaptasi naskhah klasik Barat dalam teater tradisi yang berakar tunjang di alam Melayu. Tidak sahaja pada bentuk, malah seni tradisi Melayu itu mampu mengungkapkan peringatan dan pesanan daripada naskhah klasik perihal tewasnya manusia pada rasukan kuasa.
Macbeth antara naskhah terkenal William Shakespeare yang terbina daripada kisah sebenar sekitar kehidupan Macbeth pada zaman feudal Scotland lebih satu alaf lalu. Sekalipun tidak bersandarkan fakta sejarah, peristiwa yang diangkat itu benar berlaku terutama pembunuhan dan kudeta politik pada zaman itu.
Misalnya dalam naskhah, Macbeth membunuh Raja Duncan ketika datang bermalam di kediamannya. Tetapi fakta sejarahnya Macbeth membunuh Raja Duncan pada tahun 1045 ketika berperang, kemudian mengisytiharhan dirinya sebagai Raja Scotland. Shakespeare menulis Macbeth pada 1606, lebih kurang enam abad selepas berlakunya tragedi berkenaan.

Sekalipun begitu Macbeth tetap sebuah naskhah yang penuh tragedi. Malah dianggap naskhah wajib bagi mereka yang mahu menjadi pengarah atau pelakon teater. Macbeth amat mencabar untuk ditafsirkan ke pentas sekalipun dalam budaya yang asal.
Oleh hal yang demikian, Randai Macbeth adalah satu pengalaman menonton yang mempesona sekalipun naskhah Macbeth sudah banyak kali dipentaskan di Kuala Lumpur – sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Hal itu kerana adaptasi Norzizi memperlihatkan tafsiran baharu dalam seni randai dan mampu meneruskan citra Macbeth.
Malah randai menjadikan adaptasi itu penuh kelainan dan lebih memikat apabila Norzizi membawa persoalan manusia dalam persekitaran sosial feudal Barat merentas budaya ke alam Melayu. Hasilnya tradisi randai dari alam Melayu mengalirkan Macbeth dalam persekitaran budaya yang baharu.
Hal itu juga menunjukkan perihal kitaran sikap manusia yang dirasuk kuasa tidak terhenti pada sesuatu zaman, lingkaran budaya atau di garis geografi tertentu. Randai Macbeth membuatkan kita merasakan hal itu suatu yang amat dekat, malah seperti ternampak berlaku di sekitar kehidupan pada hari ini. Misalnya pembunuhan perwatakan (character assassination) yang berlalu secara amat berleluasa.
Kegelojohan pada kuasa tidak pernah berubah biarpun seribu tahun berlalu. Hal itulah yang menjadikan Macbeth terus sesuai diletakkan dalam mana-mana budaya dan zaman. Manusia sedemikian juga tidak pernah berubah, dan mewajarkan kita mengingati pesanan Shakespeare tentang orang berkuasa yang tidak punya kuasa untuk memelihara peribadi dan moral.
Pementasan yang diadakan selama tiga malam pada 10 hingga 12 Oktober lalu di Black Box Aswara itu dianjurkan bersama oleh Pusat Seni Pentas Tradisional Aswara (PuTRA) dan Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM.
Keajaiban dua budaya
Randai Macbeth membuka ruang untuk kita merenung keajaiban dua budaya yang berbeza menjadi harmoni. Ada pertautan antara naskhah asal dan naskhah baharu yang disulamjalinkan seni tradisi randai asal Minangkabau dan tumbuh merendang di Negeri Sembilan.
Maka tidak hairanlah kalau unsur-unsur randai kelihatan menguasai hampir seluruh pementasan itu. Sekalipun milieu sosialnya berubah, nama watak yang kekal seperti naskhah asal itu menjelma dalam lingkaran budaya zaman feudal di alam Melayu.
Maka berdirilah Macbeth, Lady Macbeth, Raja Duncan dan lain-lain dalam dakapan budaya dan busana klasik Melayu Minangkabau. Malah ungkapan pembukaan oleh watak tukang cerita dan nyanyian juga menggunakan loghat Negeri Sembilan yang dalam.

Randai Macbeth mengenai tragisnya hidup seorang panglima perang, Macbeth yang mula kehausan kuasa selepas diramal tiga ahli sihir bahawa dia bakal menjadi raja. Awalnya ramalan itu dipersoalkan kerana Raja Scotland, Duncan masih di atas takhta.
Macbeth juga mulanya seorang yang berpekerti mulia menolak jalan serong untuk ke puncak kuasa. Bagaimanapun ramalan itu dipergunakan Lady Macbeth yang menguasai kehidupan suaminya merancang pembunuhan Duncan dan melancarkan kudeta politik secara yang amat licik.
Pembunuhan itu berjaya dan terlindung dari semua mata – melainkan mata dan hati mereka berdua. Macbeth berjaya menjadi raja melalui kudeta politik kotor yang diaturkan oleh Lady Macbeth dan detik itu juga bermulanya kejatuhan Macbeth, dia dibunuh dan kitaran kudeta politik berulang.
Daripada naskhah itu, Shakespeare dengan cemerlangnya menggambarkan cita-cita yang melampaui batas moral menjadi punca tragedi yang berlarutan dan menelan banyak korban – sekaligus menghancurkan individu dan masyarakat. Hal yang sedemikian diangkat dengan cemerlang juga dalam Randai Macbeth.
Meskipun berselisih jauh dalam jarak geografi, tradisi dan budaya, teater Randai Macbeth berhasil memberikan tafsiran baharu pada isu utama tentang ketamakan kuasa. Masa yang sama menyingkap kuasa wanita dalam institusi kepimpinan – sama ada sebagai pendiri kerukuman atau peruntuh kemuliaan.
Kuasa wanita dalam karya klasik Macbeth lebih pada meruntuhkan sebuah institusi feudal yang amat dihormati. Ternyata yang diperlukan bukan sahaja pemimpin yang baik, tetapi juga mesti berpendirian menolak kecurangan yang cuba dikaitkan dengan dirinya.
Adaptasi adalah satu karya baharu yang bersandar naskhah asal dan dikerjakan dengan dengan mata fikir yang tajam untuk menafsir semula sesuatu yang menjadi teras utama. Teater Randai Macbeth satu penerokaan yang menarik dalam mencari rangkuman sejagat antara Barat dengan Timur di pentas alam Melayu. Malah Randai Macbeth juga sebuah adaptasi yang menyingkap jalur estetika seni pentas yang baharu dari naskhah klasik itu.
Antara cabaran adaptasi adalah mengekalkan makna dan nuansa budaya karya asli dalam lingkaran budaya yang berbeza. Maka kefahaman dan ketajaman mentafsir menjadi perkara yang amat penting dalam menghasilkan adaptasi rentas budaya.
Randai Macbeth sebuah adaptasi yang berjaya melepasi halangan-halangan itu dan kerja kreatif menggabungjalinkan tradisi randai dengan naskhah klasik Barat telah memperkayakan pengalaman daripada sudut seni pementasan. Masa yang sama pula memberikan pengalaman baharu kepada khalayak tempatan melihat Macbeth dari sudut pandang budaya setempat.
Menoleh Throne of Blood
Tokoh filem Akira Kurosawa pernah mengadaptasi Macbeth menjadi filem Throne of Blood (1957) berlatarkan zaman feudal Jepun. Hasilnya Throne of Blood mengejutkan ramai sarjana Barat kerana kemampuan Kurosawa memberikan tafsiran baharu terhadap Macbeth dalam latar feudal Jepun.
Throne of Blood mengangkat tradisi kepahlawanan samurai yang digerak selari dengan teras Macbeth tentang percaturan dan ketamakan kuasa. Kurosawa membawa Macbeth keluar jauh dari lingkaran alam dan budaya asalnya dan menjadi nyawa yang menghidupkan Throne of Blood.
Pada awal tahun 1990-an, Marzuki Ali mengadaptasi Macbeth dalam latar budaya Sarawak dengan judul Makbeh. Saya menonton tiga malam berturut-turut ketika dipentaskan di Panggung Bandaraya kerana tertarik dengan karya alih budaya yang dihasilkan oleh Marzuki.
Sekalipun Makbeh telah merentas garis budaya naskhah asal, inti pati wacana tentang ketamakan dan moral dalam kalangan penguasa tetap menjadi kekuatan karya baharu di tangan Marzuki Ali.
Pendekatan Norziizi menjadi amat menarik apabila menggandingkan seni randai dengan naskhah Macbeth. Randai mempunyai bentuk yang tersendiri dengan ciri-ciri yang khusus, misalnya muzik, nyanyi lakon dan tari. Ciri-ciri itu dikekalkan dan menjadi pembawa pada persoalan teras dalam Macbeth.
Selain itu, muzik tradisional Minangkabau yang khas turut menjadi integral dalam adaptasi dan mendokong penghayatan pada setiap babak Randai Macbeth. Bunyi yang lahir dari alat muzik tradisi itu turut membina perwatakan pementasan yang berlegar dalam budaya Minangkabau.
Reka pentas yang konseptual
Reka pentas bertepatan dengan konsep pementasan yang konseptual serta berperanan dengan baik dalam menyokong sesuatu babak. Babak pembunuhan Duncan yang terlindung dari mata penonton misalnya diperlihatkan secara konseptual pada prop berupa untaian kain putih yang tercela warna merah.
Kemudian anak-anak randai mengusung kain putih tercela merah itu keluar pentas. Maksud babak itu sangat jelas dan sampai kepada penonton. Babak itu sangat dramatik, apa lagi dibantu penata cahaya yang juga ringkas tetapi menghidupkan babak.
Norzizi memilih pelakon yang tepat untuk watak-watak utama seperti Macbeth dan Lady Macbeth dan Banquo. Meletakkan tugas kepada Che Kem, Juhara Ayob dan Amir Ameezan adalah mengandingkan kekuatan lakon pada naskhah yang bukan sahaja besar tetapi adaptasi yang mencabar.
Che Kem memperagakan Macbeth dalam lingkaran budaya Melayu Minangkabau, gerak lakonnya kaya dengan seni randai. Hal itu tentunya amat berbeza dengan Macbeth dalam budaya asalnya. Che Kem membuktikan antara naskhah asal Macbeth dan randai, ada keseimbangan di tengah-tengahnya. Kekuatan lakonan itu tentunya sukar untuk dinafikan sumbangan pada pementasan ini.

Saya mengikuti perkembangan Che Kem sebagai pelakon sejak lama – pada zaman mahasiswa lagi. Dia tidak mengecewakan baik di layar televisyen, filem malah di pentas teater. Berdiri sebagai Macbeth di alam Melayu yang gerak lakonnya berisi silat, Che Kem adalah pelakon besar yang wajar diraikan.
Che Kem juga bertuah apabila gandingannya Juhara Ayob memberikan tindak balas lakonan yang tinggi. Watak Lady Macbeth dalam nuansa randai benar-benar meletakkan lakonan Juhara bertepatan dengan lingkaran budaya alam Melayu. Babak ketika menguasai Macbeth dan terbeban dengan rasa bersalah menjelaskan dua keadaan yang berbeza.
Juhara adalah Lady Macbeth yang baharu, tidak lagi yang bergerak dalam lingkaran feudal Barat seperti selalunya. Dia adalah wanita Melayu feudal dan pemikiran watak itu diperlihatkan dengan amat yakin.

Amir Ameezan yang mendukung watak Banquo juga memberikan lakonan yang menarik dan banyak membantu Che Kem ketika berada pada satu pentas. Sekalipun keberadaan di pentas tidak sebanyak Juhara atau Che Kem, akan tetapi kehadiran Amir Ameezan dalam Randai Macbeth memang amat dirasakan.
Ternyata kita mempunyai banyak pelakon-pelakon yang baik, maka mereka yang menunjukkan masa depan dalam lakonan itu wajar diberikan peluang berlakon di pentas. Di stesen televisyen sudah sukar untuk diselamatkan lagi apabila pihak stesen menggunakan formula mereka sendiri dalam pemilihan pelakon. Tetapi di pentas yang belum diserang penyakit konsumerisme yang melampau, perlulah memberi peluang kepada pelakon-pelakon berwibawa. Harap-harap janganlah selepas ini pelakon teater pun disyaratkan perlu ada sejuta pengikut di media sosial.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

