SELEPAS strok dan menjadi OKU pada Ogos 2018, saya menjadi lupa 100 peratus dan membaca hampir 4,000 buah buku hingga ke hari ini untuk mengingati apa yang saya lupa. Saya juga menulis 30 buah buku serta puluhan cerpen, puisi, artikel, anekdot, dan memoir. Sebanyak 44 buah buku dan 30 e-book telah diterbitkan sehingga kini.
Rakyat Malaysia sering distereotaipkan kerana menghabiskan sedikit masa untuk membaca buku.
Menurut Picodi, Malaysia berada di antara negara yang berbelanja buku tertinggi di dunia. Dari tinjauan pada Mac 2019 yang dijalankan dalam kalangan 7,800 orang dari 41 negara, termasuk Malaysia, Picodi menyatakan bahawa 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya satu buku sepanjang tahun lalu. Ini meletakkan Malaysia di atas skala 41 negara, di tempat keenam, di atas negara jiran Singapura, Indonesia, dan Filipina, tetapi di bawah Thailand.
Walau bagaimanapun, Picodi menyatakan statistik itu tidak menggambarkan tabiat membaca responden. Sebaliknya, berdasarkan pembelian mereka dalam talian dan menekankan bahawa 76 peratus rakyat Malaysia gemar membaca fiksyen, thriller, percintaan, dan jenayah. Genre ini menjadi pilihan utama mereka. Manakala genre sastera kurang diminati.
Menurut statistik, faktor utama yang mempengaruhi gelagat pembelian rakyat Malaysia termasuklah tawaran jualan, cadangan rakan, usul media sosial dan ulasan blogger.
Menariknya, 78 peratus wanita dan 74 peratus lelaki berkata mereka membeli sekurang-kurangnya sebuah buku setahun. Namun terdapat peratusan kecil yang membeli dengan lebih banyak dan kerap. Manakala, kira-kira 22 peratus responden berkata mereka langsung tidak berminat dengan buku.
Dan walaupun permintaan kepada e-buku dan buku audio semakin meningkat di peringkat global, laporan itu berkata lagi bahawa majoriti rakyat Malaysia masih lebih menyukai buku fizikal.
Rakyat Malaysia berada di kedudukan antara yang berbelanja terbesar untuk buku; laporan 2017 oleh worldatlas.com telah mengeluarkan senarai 30 negara teratas yang paling banyak membaca tanpa menyenaraikan nama Malaysia.
Saya teringat perkataan Jepun “tsundoku” yang berasal sebagai istilah slanga untuk mentakrifkan tabiat membeli buku dan membiarkannya bertimbun tanpa membacanya.
Saya melihat rak buku dan berfikir, ‘Sudah cukup intelektual!’ Ia adalah ilusi yang menenangkan dan yang meningkatkan ego. Terasa seperti dikelilingi oleh kebijaksanaan dan pengetahuan, dan hal itu terasa baik. Walaupun tidak membacanya, buku boleh berfungsi sebagai hiasan. Mereka (yakni buku) menambah watak dan keperibadian kepada ruang hidup kita.
Saya hanya berada sehari di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL2024) di WTC. Ramai orang berhimpun tetapi membuat saya tertanya-tanya, mengapa rakyat Malaysia berada di kedudukan 53 di antara 61 negara di dunia apabila tiba bab membaca?
Rekod tertinggi PBAKL yang terbaharu mencatatkan 1.8 juta pengunjung dan melibatkan lebih 1000 gerai pempamer.
Dari rekod World Culture Score Index (WCSI), rakyat Malaysia hanya membaca buku kurang 3 jam seminggu. Hal ini kurang memberangsangkan – iaitu 15 hingga 20 buku setahun berbanding India 10 jam, Thailand dan China antara 8 – 9 jam.
Kajian terbaru Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca 20 buku setahun. Sedikit peningkatan daripada rekod 2014 iaitu 15 buku setahun.
Bagi saya, ia sesuatu yang menyedihkan kerana beberapa sebab:
Satu, kadar celik huruf ialah 95 peratus, bermakna hampir semua rakyat Malaysia boleh membaca. Mungkin rakyat Malaysia suka beli buku tetapi malas membaca.
Dalam tinjauan 2019 ke atas negara yang paling banyak membaca pada setiap minggu (Top 30), India menduduki tempat teratas dengan 10 jam 42 minit. Thailand di tempat kedua dengan 9 jam 24 minit. Manakala Korea Selatan di tempat terakhir dengan 3 jam 6 minit. Saya tertanya-tanya, apakah Malaysia sudah terlepas jam dan minit sehinggakan tidak tersenarai langsung?
Kedua, jumlah pembaca 20 buku setahun bukanlah seperti yang disangka. Jumlah ini disebabkan oleh rekod bacaan yang mengagumkan bagi sebilangan orang. Dan rata-ratanya tidak bercakap benar
Bagi saya, membeli buku tidak sama dengan membacanya. Pengabaian terhadap buku ini membimbangkan. Boleh bayangkan betapa hampirnya Malaysia menjadi negara tidak membaca.
Dengan pemberian baucar buku untuk pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia memberikan satu rangsangan terhadap kejayaan PBAKL 2024.
Industri perbukuan memerlukan galakan dan dorongan dengan semua strata dalam industri perbukuan mendapat nikmat. Penulis, pereka bentuk, ilustrator, pembekal dan perkhidmatan penghantaran akan mendapat durian runtuh.
Tetapi tidak semua sekolah berminat untuk pelajar mereka membaca buku bukan akademik. Alasannya jelas: sekolah enggan kerana mahu mengekalkan skor akademik mereka. Ini mementingkan diri sendiri kerana menafikan masa depan pelajar mereka. Sama ada disedari atau tidak, ia akan menjadikan Malaysia sebagai negara bukan pembaca.
Bagi saya, membaca bukanlah satu tabiat yang mudah untuk dipupuk. Tetapi membaca sepatutnya lebih mudah di Malaysia yang sangat celik huruf berbanding di banyak tempat lain.
Bukannya rakyat Malaysia tidak boleh membaca, tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian. Satu idea yang menjadikan orang yang tidak mahu membaca menjadi bibliofil 15 buku setahun.
Ramai telah melakukan peranan dalam mengembangkan tabiat membaca – perpustakaan, penerbit, dan sebagainya. Apa yang jelas, kita mesti berusaha lebih gigih sebagai sebuah negara.
Perkara yang paling penting ialah rakyat Malaysia mesti mempunyai minat untuk membeli buku dan dibaca. Walaupun buku yang dibeli tersimpan di rak – jika pembeli tidak membacanya – dengan harapan ahli keluarga mereka boleh membaca buku itu kemudian.
Begitupun, Malaysia masih ketinggalan dalam ranking membaca, di mana banyak rumah tidak mempunyai rak buku. Atau mungkin ada e-buku yang sedang melonjak naik!? Entahlah!
– MOHD FUDZAIL MOHD NOR merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, 5 Anugerah Sastera Johor, 2 Hadiah Sastera Pahang dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa untuk Timur Tengah, Afrika dan Eropah Timur. Sekarang mengambil ijazah kedoktoran (PhD) di Open University Malaysia.
