KATA Sinaganaga, dalam nada bergurau, “Kutu berjaya lepak di Wisma Yakin. Kutu tak berjaya lepak di Pasar Seni.”
Tetapi Pyanhabib melepak di kedua-dua tempat.
Hal itu tidak diteroka banyak dalam forum Pyan Di Mata Gua yang membuka acara pentas KALIMAT di Balai Seni Negara pada 9 November lalu.
Tak apa, sebab panelis dan moderator sudah ada hal lain yang mahu dibincangkan dan ia tidak kurang menariknya. Cuma itu yang banyak bermain dalam kepala saya.
Apabila Sinaganaga berkali-kali memetik hal kutu berjaya tak berjaya berdasarkan tempat lepak, saya teringat kata-kata ramai orang semasa bersedih mengingat Allahyarham pada awal Jun lalu.
Pyanhabib bercampur dengan semua jenis orang. Dari kutu sampai menteri. Orang muda sampai orang tua.
Sebab itu ada yang anggap dia “Pak cik yang kita tak pernah ada”.
Pak cik, kutu dan abang
Seingat saya, Jack Malik yang mula ungkapkan hal itu. Kemudian disambut Sinaganaga.
Dalam forum itu, Mutalib Uthman yang sebut dulu. Pyanhabib, bagi dia, seorang pak cik yang cool. Allahyarham tak kemaruk bernostalgia dan asyik nak marah-marah.
Dia bukan pak cik yang menjengkelkan.
Mutalib mengenang bagaimana dalam ‘kekutuan’ Pyanhabib, dia tetap teliti dalam bekerja.
Ketika menerbitkan buku Politikus Tikus. Tikus di bawah imprin Gue.ril.la miliknya, Mutalib ingat yang Pyanhabib sanggup datang ke Bangi berkali-kali untuk memastikan buku itu terbit tanpa kesilapan.
Begitu juga apabila sajak atau namanya dipapar secara umum di mana-mana dengan kesilapan. Allahyarham cukup pantang.
Cerita Sinaganaga, dia dan Pyanhabib gunakan kata ganti “lu-gua” ketika bersembang. Tetapi akan ada masa, Allahyarham bahasakan dirinya sebagai “abang”.
Itu petanda ada hal serius mahu diluah. Tentang industri atau persatuan.
Sebagai anggota persatuan, kerja Sinaganaga ialah mencatat luahan Allahyarham dan jika bersesuaian, disampaikan kepada pihak terlibat.
Pyan yang mereka kenal
Mutalib dan Sinaganaga dalam generasi berbeza. Sinaganaga lebih awal kenal Pyanhabib, ketika Tokoh Penyair Kuala Lumpur itu membaca sajak di Jalan Masjid India sekitar 1980-an.
Cerita Sinaganaga – yang turut dicatat dalam buku Balada Pyanhabib terbitan ITBM – dia akan ke Jalan Masjid India selepas selesai belajar melukis di Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS). Di situ ada kutu yang melukis, bermain keroncong dan membaca sajak.
Tapi mereka tidak bertegur. Lama selepas itu, ketika mahu minta Pyanhabib menulis prakata untuk buku Sajak-Sajak Suci Abdullah Jones terbitan Sindiket Sol-Jah, barulah mereka bertegur dan berkawan.

Satu hal menarik yang saya juga baru tahu, ada fasa yang Pyanhabib sepi dari dunia puisi dan glamor. Tempohnya tidak lama, beberapa tahun saja.
Apabila Sindiket Sol-Jah menganjurkan Malam Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-Kawan yang Kita Suka (MASKARA) dan menjemput Pyanhabib, dia mula aktif serta dikenali generasi lebih muda.
Seperti yang diakui Mutalib, generasinya lebih mengenali Pyanhabib dari filem berbanding puisi atau legasinya bersama kolektif Anak Alam.
Penerbitan Balada Pyanhabib dan keaktifannya dalam acara puisi anjuran orang muda membuatkan Pyanhabib kembali dikenali sebagai pemuisi, pendeklamasi yang pernah ‘disindir’ sebagai penjeritasi.
Liar, tak peduli, tak kisah
Keakrabannya dengan orang muda tidak menjatuhkan prestij dan karisma seorang Pyanhabib. Malah, ia membuatkan dia lebih dihormati.
Mutalib mahu jadi macam Pyanhabib. Jadi orang tua yang liar tapi tak sombong. Jadi orang seni yang tak peduli dan tak kisah.
Ramai orang tua menagih hormat dari orang muda tapi Pyanhabib tak begitu. Dia raih hormat dengan terlebih dahulu menghormati idea, semangat dan berahi menyala orang muda.
Waktu mula rapat dengan Allahyarham, Sinaganaga berkali-kali kata, dia cukup suka dengan sajak perawan.
Sajak itu ditulis di atas kertas tisu di kelab Red Rooster, Pyanhabib cerita. Ada pelayan yang menyambut hari jadi, bergurau minta hadiah. Maka Pyanhabib menulis sajak itu untuknya.
Sajaknya romantis, indah dan berisi berahi. Bagaimana Pyanhabib yang liar, tak peduli dan tak kisah boleh menulis seindah itu?
Begitulah uniknya Pyan di mata ramai orang. Dia boleh jadi romantis berseni, boleh menggertak berontak.
Boleh jadi kawan lu-gua yang bergelak rambang, boleh jadi abang yang tegas berpandangan.
Itulah Pyan di mata mereka.

