KEBANGKITAN golongan seniman yang amat dirasakan pada dekad 1970-an hingga akhir 1980-an adalah semangat zaman (zeitgiest) yang sangat diingati dan luar biasa pengaruhnya. Tidak semua dekad menemukan kita dengan pemikiran dan tindakan intelektual yang dominan seperti yang ditunjukkan sepanjang garis masa berkenaan.
Hakikatnya pada dekad-dekad itu suara nyaring, telus dan berani yang datang daripada seniman menjadi suatu yang sangat berpengaruh. Mereka bangkit menyatakan hasrat, harapan sekali gus pendirian terutama dalam kegelisahan sosial yang berlaku dalam masyarakat.
Pemikiran dan tindakan intelektual itu dilontarkan melalui berbagai-bagai wadah seni – puisi, teater, lukisan dan tidak kurangnya juga karya kesusasteraan. Di tengah-tengah muka bumi Kuala Lumpur yang mulai teranjak wajah sosialnya, suara seniman yang lantang dinantikan oleh khalayak.
Sekalipun begitu kebangkitan seniman tidak berlaku pada semua dekad atau zaman. Selepas bangkitnya sasterawan pada dekad 1950 melalui ASAS 50 yang mendukung perjuangan kemerdekaan Malaya, hanya pada dekad 1970-an barulah suara seniman yang menggegarkan itu berulang sekali lagi.
Semangat zaman seperti itu tidak berlaku secara semula jadi kecuali ada cetusan dalam kalangan seniman. Hal itu ditandai dengan lahirnya karya-karya yang meledakkan kesedaran di bawah garis politik dan sosial yang semakin bersimpang siur dan masyarakat tersesat dalam mencari jalan lurus.
Acara seni dan sastera secara kecil-kecilan tetapi berterusan dianjur secara mandiri memperlihatkan iltizam seniman pada dekad-dekat berkenaan. Kuala Lumpur yang materialistik menadah acara yang bercorak kesenian. Lalu deklamasi puisi, pementasan teater malah seni lukis boleh dilihat di setiap penjuru bandar raya itu. Menariknya waktu itu tidak banyak seniman yang bercakap mengenai bantuan dan dana, tetapi terus berkarya dalam persekitaran yang sedia ada.
Salah seorang yang tidak boleh dipisahkan dengan semangat zaman dekad 1970-an itu adalah penyair Pyanhabib. Bersama-sama pelopor kesenimanan yang lebih tertampil ketika itu, Pyanhabib turut mendukung gagasan membicarakan isu pergulatan sosial dalam gerakan pemikiran pada zamannya.
Kelantangan seniman dekad 1970-an menjadi satu tanda aras dalam mencorakkan gerakan pemikiran dan inelektual. Ruang dan kebebasan bersuara dimanfaatkan dengan penghasilan karya-karya yang melintas zaman, terkeluar daripada lingkaran yang didominasi pada dekad sebelum itu.
Tulisan ini memperingati Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman yang kembali ke pangkuan Ilahi pada 4 Jun 2024 pada usia 66 tahun. Allahyarham yang dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak itu meninggalkan isteri, Zurina Zakaria serta dua anak – Najihah (31 tahun) dan Ashman (28 tahun).
Pyanhabib mewariskan puisi-puisi yang dihasilkan sejak 1975 hingga bulan-bulan terakhir hayatnya kepada masyarakat. Karya-karya itu terbina daripada rasa sedar dan tanggungjawab yang tidak pernah surut di jiwanya – kesan daripada pemerhatian dan pengamatan di sekitar kehidupan.
Memperkatakan semangat zaman dekad 1970-an hingga 1980-an tentunya tidak lengkap tanpa menyebut nama Pyanhabib, sekalipun waktu itu dia merupakan penyair paling junior. Begitu juga kalau memperkatakan tentang kebangkitan seniman di Kuala Lumpur, Pyanhabib adalah nama yang wajib dipetik sebagai satu penegasan dan pembuktian.
Bergiat bersama Anak Alam
Pyanhabib yang ketika itu masih belasan tahun bergerak secara aktif bersama-sama Anak Alam, sebuah pergerakan seniman tidak rasmi tetapi amat berpengaruh di Kuala Lumpur. Suara yang dikumandangkan Anak Alam yang dalamnya ada sasterawan, pelukis, aktivis teater memberikan kesan yang menggegarkan.
Pyanhabib, remaja yang berdepan masalah pendengaran dan pertururan itu dimatangkan oleh semangat zaman yang melingkari golongan seniman waktu itu. Dia bernasib baik kerana menyertai Anak Alam ketika memuncaknya ledakan hippies dalam kalangan orang muda di negara ini.
Malah semangat zaman ketika itu telah mencorakkan kesenimanan Pyanhabib daripada sudut berfikir serta menyatakan pendirian terhadap isu-isu sosial yang melingkari masyarakat sebuah bandar raya yang masih muda.
Hippies yang tercetus daripada pemberontakan sosial dan politik yang melanda Amerika Syarikat (AS) awal dekad 1960-an yang dalamnya turut terselit ekspresi yang bertentangan dengan nilai dan norma moral dan budaya negara ini. Bagaimanapun Pyanhabib dan seniman muda lain waktu itu hanya meminjam gaya berambut panjang dan berseluar jeans, bukan ekspresi hippies.
Anak Alam menjadi penggerak kesedaran sosial dan intelektual dalam kalangan seniman di Kuala Lumpur. Melalui Anak Alam yang berpusat di Rumah Anak Alam, di pinggir Padang Merbuk yang tapaknya kini menjadi sebahagian Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara) menjadikan suara seniman sebagai reaksi terhadap pergulatan sosial dalam masyarakat.
Pyanhabib tidak sahaja bergiat malah penghuni Rumah Anak Alam hingga saat-saat terakhir sebelum dirobohkan akhir 1980-an sekaligus terasuh dengan seniman besar antaranya Latif Mohidin, Usman Awang, Mustapha Haji Ibrahim dan banyak lagi
Malah puisi terawalnya, ‘Suara’ tahun 1976 ditulis menggunakan mesin taip Latif Mohidin, seterusnya disiarkan di majalah Dewan Sastera tahun 1980. ‘Suara’ dianggap sebagai ekspresi yang santun dan jelas daripada Pyanhabib terhadap keadaan dirinya yang kehilangan suara alam.
Dia manusia yang teruji dengan kehilangan. Ketika berusia 12 tahun demam panas telah merentap nikmat pendengaran dan bertutur daripadanya. Mulai saat itu Pyanhabib menjadi manusia sunyi yang tidak sepi. Dia bangkit dengan tekad yang luar biasa – kekurangan diri dijadikan kelebihan yang tidak tertanding oleh sesetengah orang yang lebih sempurna.
Baca puisi bawah tiang lampu
Pyanhabib juga antara pelopor acara berkonsep jalanan yang popular – baca puisi di bawah tiang lampu berdekatan Central Market. Penglibatan seniman jalanan seperti Pyanhabib menjadikan pengisian acara malam minggu itu tidak sepadan dengan sifatnya yang marhaen.
Seniman jalanan menjadi sebutan baharu dalam kalangan warga kota untuk membezakan dengan yang muncul pada acara-acara yang bersifat elit. Di jalanan, seniman seperti Pyanhabib berinteraksi terus dengan khalayak tentang isu-isu yang sentiasa membelit kehidupan mereka di kelas bawahan.
Maka di jalanan jugalah Pyanhabib membina nama sekaligus pengagum yang mengikuti acara baca puisi di bawah tiang lampu. Pyanhabib dan rakan-rakan seperti Siso, Sani Sudin, Mohd Shah Ibrahim, Kamarul Haji Yusof itu tidak sahaja mendeklamasi puisi malah turut memperkenalkan dan menjual buku-buku puisi.
Pada 1983, Pyanhabib memulakan kerjaya sebagai wartawan Mastika sebuah majalah isu semasa, budaya dan sastera yang sangat dihormati diterbitkan oleh syarikat Utusan Melayu. Semasa di Mastika, Pyanhabib banyak menulis isu sekitar kesusasteraan dan kebahasaan serta anekdot kritikan sosial.
Pada awal 1990-an, Pyanhabib ditukarkan menjadi penyunting di surat khabar Utusan Malaysia. Tugasnya tidak sekadar menyunting malah mengendalikan reka letak pada halaman-halaman yang ditugaskan kepadanya.
Pyanhabib seorang yang sangat tekun, bekerja tanpa terganggu riuh pejabat editorial yang ada kalanya cukup melemaskan. Tetapi itulah rupa keadaannya semua pejabat editorial surat khabar – riuh rendah menjadi sebahagian daripada persekitaran tempat kerja. Sekitar tahun 2000 Pyanhabib meletak jawatan dan menjadi penulis sepenuh masa.
Menyusur kembali puisi-puisi yang dihimpunkan dalam ‘Balada Pyanhabib’ sebuah kumpulan puisi paling lengkap terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) adalah menoleh semangat zaman kebangkitan seniman di Kuala Lumpur. Buku itu menggabungkan puisi yang dimuatkan dalam kumpulan puisi sebelumnya, ‘Suara’ dan ‘Saraf Dukaku’ yang diterbitkan akhir 1970-an.
‘Balada Pyanhabib’ menyingkap Pyanhabib sebagai seorang pemerhati dan pengkritik sosial yang tidak berkompromi dengan kebobrokan yang berlaku. Puisi yang dihasilkan dalam garis masa antara 1975 hingga akhir 1980-an dilihat menyerlahkan keberadaan Pyanhabib dalam bidang puisi.
Karya-karyanya menegaskan tentang keberadaan seniman secara yang amat nyata dalam mencorakkan semangat zaman pada dekad-dekad berkenaan. Pyanhabib antara ratusan seniman dan sasterawan yang menggegarkan Kuala Lumpur dengan pengucapan seni yang keras lagi tegas terhadap pergulatan sosial di sekitar kehidupan masyarakat.
Misalnya puisi bertajuk ‘Ayah Aku Seorang YB’ yang secara sinis mengkritik kelakuan sesetengah dalam kalangan pemimpin politik yang tidak memberikan teladan yang baik kepada masyarakat. Puisi ‘Ayah Aku Seorang YB’ memang enak dibaca dan sedap didengar, apa lagi dideklamasi sendiri oleh Pyanhabib.
Sekalipun tidak mendengar, Pyanhabib adalah wartawan yang terasuh dengan disiplin membaca dan memerhati segala pergulatan sosial dengan ‘mata helang’ yakni mentafsir dalam ruang litup yang luas. Hal yang demikian sangat menyumbang keberadaan Pyanhabib sebagai penyair.
Perhimpunan Penyair Muda 1987
Pyanhabib juga wajar diingati antara penggerak Perhimpunan Penyair Muda 1987 yang diadakan di Padang Merbuk, Kuala Lumpur. Ketika itu Pyabhabib adalah seniman muda yang sudah memacak nama besar dalam peta puisi di negara ini sekalipun membawa penampilan sebagai seniman jalanan.
Acara itu menjadi perhimpunan terbesar yang dihadiri beratus penyair muda dari seluruh negara – mereka berdiskusi tentang sumbangan dan merangka garis masa depan dalam memastikan keberadaan serta terus relevan dengan zaman.
Selain Pyabhabib, perhimpunan itu didukung oleh penyair muda yang mulai senama dengan Kuala Lumpur, antaranya Mohd Daud Mohamad, Hanafiah Samad, Swanlerd Pro Poul, Imlan Adabi, Ladin Nuawi, Aziz HM, Azmi Yusof, Kumpulan Kopratasa (Sani Sudin, Siso, Mohd Shah Ibrahim dan Usop) dan banyak lagi.
Perhimpunan itu adalah ekspresi kebangkitan seniman muda. Kebangkitan itu menjadi kesinambungan dekad 1970-an sekaligus menjadi catatan penting dalam sejarah seniman negara ini. Acara seperti itu dilihat lebih penting daripada sikap sesetengah seniman muda hari ini yang banyak merintih tidak diberi peluang atau rasa dipinggirkan dalam acara-acara kesenimanan.
Dikenali sebagai Osman Tikus
Walaupun dikenali sebagai penyair, pengarah filem Nasir Jani melihat kebolehan luar biasa Pyanhabib dalam lakonan. Ketika banyak filem dekad 1980-an ‘menjaja’ artis popular sebagai daya tarikan penonton, Nasir Jani memilih Pyanhabib untuk digandingkan dengan M.Nasir dalam filem pertamanya ‘Kembara Seniman Jalanan’ (1986).
Filem itu juga mempopularkan Pyabhabib dengan watak ‘Osman Tikus.’ Ternyata luar jangkaan sama sekali, Osman Tikus terus melekat kepada Pyanhabib selepas 30 tahun kemudian. Tahun lalu sebuah syarikat kasut kanvas menerbitkan edisi khas Osman Tikus – reka bentuk kasut yang sama dipakai oleh Pyanhabib dan M. Nasir dalam ‘Kembara Seniman Jalanan.’
Pyanhabib seniman yang berprinsip , tidak tersihir dengan kemilau populariti. Kalau tidak, akan dikatanya tidak. Disebabkan prinsip itu jugalah dia menolak Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenangi menerusi filem ‘Tsu Feh Sofiah’ arahan Rahim Razali pada Festival Filem Malaysia ke-6 (FFM-6) tahun 1986.
Tindakan luar biasa dan mengejutkan itu adalah protes terhadap panel juri yang menolak penyertaan ‘Kembara Seniman Jalanan’ dalam festival berkenaan dengan alasan lakon layar filem itu dihasil oleh warga negara luar. Bagaimanapun hakikatnya lakon layar dihasilkan oleh Nasir Jani sendiri.
Pyanhabib menjadi pelakon filem pertama yang menolak trofi kemenangan di festival filem tempatan kerana memprotes tindakan yang tidak adil kepada golongan seniman. Tindakan yang tidak popular itu adalah langkah kesenimanan Pyanhabib dalam mengubah sesuatu yang tidak betul pada yang lebih adil kepada rakan-rakan seniman lainnya.
Kesimpulannya, tahun-tahun 1970-an hingga akhir 1980-an adalah garis masa penting yang merakamkan semaraknya kegiatan seni di Kuala Lumpur sekaligus menjadi kota para seniman. Persekitaran sosial yang sedemikian menjadi dukungan dan pendiri kesenimanan Pyanhabib. Namanya terus melekat pada Kuala Lumpur dan puisi-puisi kecilnya terus menggegarkan dalam garis masa depan yang panjang.
**************************
• KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Tulisan yangsangat menarik dan msmpu memperlihatkan gambaran zaman 70an dan 80 -an dan keberadaan pyanhabiib sendiri. Dekad 70 an 80an
itulah memperlihatkan kepada kiita suatu angkatan penyair yang masing masing tampil dengan pengucapan puisi yang mantap dan bertenaga.