Apabila institusi budaya mengadopsi bahasa baharu, persoalan utama bukanlah sama ada bahasa itu progresif, tetapi sama ada ia benar-benar mengubah struktur institusi yang menggunakanya.
Disinilah terletaknya cabaran sebenar desentralisasi, site-specific, dan degrowth dalam dasar budaya Malaysia.

Di Malaysia, kecenderungan ini muncul menerusi hantaran Facebook Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad bertarikh 20 Jun 2026 yang membincangkan hala tuju baharu tadbir urus kuratorial pasca-2020 melalui tiga gagasan utama tersebut, yang dirumuskan melalui istilah Sebar Sela Selisih.
Ia menawarkan satu percubaan yang menarik untuk memikirkan semula hubungan antara institusi seni nasional, ruang geografi, dan masyarakat.
Usaha mengalihkan perhatian daripada model seni yang terlalu berpusat kepada Kuala Lumpur, serta keinginan untuk menghubungkan seni dengan konteks lokal seperti Chuping, Ulu Dong, Simunjan, dan Lundu, selari dengan perkembangan seni kontemporari global yang semakin memberi perhatian kepada komuniti, tempat, ekologi, dan bentuk penglibatan alternatif.
Dalam erti kata lain, gagasan yang diketengahkan bukanlah sesuatu yang asing dalam perbincangan seni kontemporari hari ini.
Persoalan utama dalam wacana ini bukanlah sama ada konsep-konsep tersebut baik atau buruk.
Perlu diketahui bahawa konsep desentralisasi, site-specific, dan degrowth mempunyai sejarah intelektual yang panjang serta telah dibahaskan secara meluas dalam bidang seni, budaya, ekonomi politik, dan kajian masyarakat. Dengan demikian, persoalan yang lebih penting ialah bagaimana konsep-konsep tersebut difahami, diterjemahkan, dan dijadikan asas kepada keputusan institusi.
Dalam pengurusan budaya, istilah progresif sering mempunyai daya tarikan yang besar kerana ia membawa imej pembaharuan, keterbukaan, dan perubahan. Sesuatu konsep tidak menjadi bermakna hanya kerana ia kelihatan baharu atau canggih dari segi bahasa; ia memerlukan pemahaman terhadap sejarah pemikirannya, konteks kemunculannya, implikasi pelaksanaannya, serta kesesuaiannya dengan keadaan tempatan.
Perbincangan ini juga tidak boleh dipisahkan daripada kedudukan Balai Seni Negara sebagai sebuah badan berkanun yang ditubuhkan melalui Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724). Sebagai institusi awam, legitimasi setiap pembaharuan bukan hanya bergantung kepada kebaharuan istilah yang digunakan, tetapi kepada sejauh mana pembaharuan tersebut memenuhi mandat yang telah diperuntukkan oleh undang-undang.
Sebarang pengadopsian bahasa baharu perlu dinilai secara kritikal berasaskan kesepadanan antara konsep yang dilaungkan dengan amanah asal institusi. Oleh itu, persoalan utama esei ini bukan sekadar sama ada konsep desentralisasi, site-specific, dan degrowth sesuai digunakan, tetapi sama ada penggunaannya benar-benar memperkukuh amanah institusi untuk membangunkan seni visual negara.
Oleh sebab itu, soalan yang wajar diajukan bukanlah sama ada Balai Seni Negara perlu menggunakan konsep-konsep tersebut, sebaliknya apakah syarat intelektual, institusional, dan etika yang perlu dipenuhi apabila konsep-konsep tersebut dijadikan asas kepada keputusan budaya.
Adalah penting untuk dijelaskan bahawa esei ini tidak bertujuan membuat kesimpulan tentang niat, pemikiran peribadi, atau komitmen intelektual Ameruddin Ahmad. Kritik ini bukan ditujukan kepada individu, tetapi kepada bagaimana sesuatu gagasan berfungsi apabila ia bergerak daripada ruang wacana kepada ruang institusi.
Dalam organisasi awam, terdapat perbezaan antara visi seseorang pemimpin dengan cara visi tersebut diterjemahkan melalui sistem yang lebih besar. Sesuatu gagasan boleh lahir daripada niat yang progresif, tetapi pelaksanaannya tetap dipengaruhi oleh budaya organisasi, mekanisme pembiayaan, struktur pentadbiran, dan hubungan kuasa yang telah lama terbentuk.

Bagi memahami jurang yang sentiasa berulang antara retorik progresif dan realiti pelaksanaan ini, wacana ini berpaksi kepada persoalan utama: adakah institusi benar-benar bersedia melakukan desentralisasi epistemik, atau sekadar memindahkan kehadiran fizikalnya.
Paul DiMaggio dan Walter Powell (1983) menerusi teori Institutional Isomorphism menjelaskan kecenderungan sesebuah organisasi untuk mengadopsi bahasa dan retorik daripada wacana global terkemuka bukan kerana keperluan fungsional dalaman, tetapi demi memperoleh legitimasi simbolik.
Jika Institutional Isomorphism menjelaskan mengapa institusi cenderung mengadopsi bahasa global demi legitimasi simbolik, maka Akta 724 menyediakan ukuran normatif untuk membezakan sama ada legitimasi tersebut benar-benar disokong oleh perubahan struktur institusi atau sekadar perubahan retorik.
Apabila Balai Seni Negara mengguna pakai istilah seperti degrowth dan site-specific, wujud risiko bahawa penyerapan ini bersifat mimetik semata-mata. Istilah-istilah ini berisiko menjadi lencana kemodenan institusi di pentas antarabangsa, sedangkan struktur pentadbiran, saluran kewangan, dan logik kerja dalamannya kekal birokratik dan terpusat.
Keadaan ini diparahkan oleh ketidakseimbangan ruang budaya, di mana geografi fizikal dan autoriti berfikir dipisahkan secara hierarki. Pusat dianggap sebagai satu-satunya ruang pengeluar teori dan penilai, manakala wilayah pinggir dipandang sebagai latar pasif yang membekalkan bahan mentah. Pusat bukan sekadar kedudukan geografi, melainkan nodus pengumpul modal wacana yang menentukan apa yang sah sebagai seni.
Tanpa pembongkaran terhadap ketidakseimbangan ini, pergerakan institusi ke pinggir hanya memindahkan kehadiran fizikal pusat, tetapi memelihara struktur dominasi yang berat sebelah, di mana syarat-syarat pameran, nilai estetik, dan pertimbangan legitimasi tetap dikawal ketat dari Lembah Klang.
Antara gagasan utama yang diketengahkan ialah usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada model seni yang tertumpu di Kuala Lumpur. Secara prinsipnya, usaha ini mempunyai nilai yang penting kerana sejarah seni moden menunjukkan bahawa institusi pusat sering memainkan peranan besar dalam menentukan legitimasi, pengiktirafan, dan nilai terhadap pengamal seni.
Meskipun begitu, desentralisasi bukan sekadar persoalan geografi. Seni yang bergerak keluar daripada Kuala Lumpur tidak semestinya bermaksud kuasa seni turut bergerak keluar daripada pusat.
Dalam pengurusan budaya, desentralisasi lazimnya boleh difahami melalui tiga tahap, iaitu desentralisasi akses yang memperluaskan peluang masyarakat untuk menikmati seni, desentralisasi pengeluaran yang membina keupayaan komuniti tempatan untuk menghasilkan karya dan wacana sendiri, serta desentralisasi tadbir urus yang memberi ruang kepada pihak di luar pusat untuk menentukan agenda dan membuat keputusan.
Ketiga-tiga bentuk ini tidak semestinya berlaku serentak, dan sesebuah institusi boleh berjaya memperluaskan akses tanpa benar-benar mengagihkan autoriti.

Tidak semua program perlu mencapai tahap tadbir urus. Namun, kegagalan membezakan ketiga-tiga aras ini menyebabkan banyak inisiatif desentralisasi diraikan sebagai kejayaan walaupun sebenarnya hanya memperluaskan capaian geografi tanpa mengubah struktur autoriti.
Perbezaan antara ketiga-tiga tahap ini dapat dilihat melalui beberapa inisiatif semasa Balai Seni Negara. Penganjuran Bakat Muda Sezaman (BMS) di luar Lembah Klang, misalnya, boleh dilihat sebagai salah satu contoh usaha desentralisasi institusi seni dalam kerangka ini.
Apabila program nasional seperti BMS dibawa ke lokasi seperti Langkawi melalui pendekatan seni di lokasi, pusat kegiatan seni tidak lagi tertumpu sepenuhnya di Kuala Lumpur, sebaliknya diperluaskan ke wilayah lain yang mempunyai latar sosial, budaya, dan geografi yang tersendiri.
Langkah ini penting kerana ia membuka akses kepada khalayak tempatan, memperluaskan keterlihatan seni kontemporari, serta memberi peluang kepada seniman untuk berinteraksi dengan ruang di luar lingkungan galeri pusat. Namun, pemindahan lokasi tersebut pada asasnya masih menunjukkan desentralisasi pada tahap geografi dan akses.
Ia belum dengan sendirinya membuktikan bahawa autoriti kuratorial, sumber kewangan, atau kuasa membuat keputusan turut diagihkan kepada pengamal dan komuniti tempatan.
Oleh itu, BMS boleh dijadikan contoh bahawa pusat telah mula bergerak ke pinggir, tetapi persoalan sama ada perpindahan lokasi tersebut turut disertai dengan pengagihan autoriti, sumber, dan hak menghasilkan pengetahuan merupakan persoalan yang memerlukan penelitian lanjut.
Di sinilah kita dapat merujuk cermin sejarah dan pengajaran daripada inisiatif akar umbi. Program pameran seni bergerak ke sekolah dan balai raya luar bandar pada era 1970-an dan 1980-an pasca-Dasar Kebudayaan Kebangsaan misalnya, berjaya meningkatkan desentralisasi akses, namun kesannya terhadap pembinaan keupayaan kuratorial tempatan kelihatan lebih terhad kerana karya dipamerkan secara dari atas ke bawah tanpa dialog bermakna dengan konteks tempatan.
Sebaliknya, perhatikan bagaimana kolektif seni independen seperti Pangrok Sulap di Ranau, Sabah, beroperasi. Menerusi amalan cetakan kayu bersaiz besar seperti karya Sabah tanah air-ku (2017) hinggalah kepada projek pemetaan sejarah lisan dan inisiatif ekologi berasaskan komuniti, Pangrok Sulap tidak memerlukan kerangka teori import dari pusat untuk memvalidasi kerja mereka.
Hal ini terbukti apabila pada Mac 2023, mereka bekerjasama dengan NGO LightUp Borneo dan penduduk Kampung Penulangon di pedalaman Ranau untuk membina penjana hidroelektrik mini bagi membekalkan elektrik ke 27 buah rumah. Bagi merealisasikan projek tersebut, Pangrok Sulap menghasilkan karya cetakan kayu gergasi Cahaya Kehidupan (137 x 275 cm) sebanyak 10 edisi dan memamerkannya di ILHAM Art Show untuk mengumpul dana melalui jualan karya secara berdikari.
Pengalaman Pangrok Sulap menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan lain tentang bagaimana kapasiti tempatan boleh berkembang secara organik di luar struktur institusi pusat. Tanpa merombak struktur ini, penganjuran festival seni luar bandar yang bersifat sementara hanya berakhir sebagai projek pop-up yang mana selepas pegawai institusi pulang, komuniti ditinggalkan tanpa infrastruktur wacana atau dana berterusan.

Sejajar dengan itu, konsep site-specific yang kerap disebut dalam wacana baharu ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas daripada sekadar penukaran latar geografi pameran. Dalam tradisi kritik seni kontemporari, pendekatan site-specific bukan sekadar membawa karya seni atau struktur pameran dari galeri pusat lalu meletakkannya di ceruk kampung, tetapi satu amalan di mana makna karya itu sendiri dibentuk secara mendalam oleh sejarah tempat, dinamika ekologi, dan hubungan sosial komuniti yang mendiaminya.
Implikasinya, pendekatan site-specific secara radikal menuntut perubahan autoriti interpretasi. Jika institusi membawa naratif yang telah sedia lengkap dari Kuala Lumpur dan hanya menggunakan lokasi luar bandar sebagai latar belakang yang eksotik, ia telah mengecilkan potensi site-specific menjadi sekadar hiasan fizikal.
Sebaliknya, seperti mana yang difahami dalam sosiologi ruang Michel de Certeau (1984) menerusi The Practice of Everyday Life, komuniti di pinggir bukannya pengguna pasif kepada ruang yang dirancang oleh institusi dari atas, melainkan ejen aktif yang sentiasa mentafsir, mereka bentuk, dan mengubah makna ruang melalui amalan harian, taktik penentangan, dan ingatan kolektif mereka sendiri.
Dinamika ini bertambah mendalam apabila program seni bergerak ke wilayah tertentu, sama ada wilayah tersebut sekadar menjadi lokasi pelaksanaan atau turut menjadi rakan yang mempunyai suara dalam menentukan bentuk, kandungan, dan arah program. Dalam konteks Malaysia, persoalan pusat dan pinggir berkaitan dengan sejarah pembentukan legitimasi budaya.
Kuala Lumpur secara tradisinya menjadi pusat kepada institusi nasional, galeri komersial, pasaran seni, jaringan kuratorial, dan mekanisme pengiktirafan profesional, yang mewujudkan kelebihan struktur yang tidak dinikmati oleh wilayah lain.
Cabaran sebenar desentralisasi adalah membina keupayaan supaya wilayah mempunyai ruang untuk menghasilkan pengetahuan, mengurus program, membina jaringan, dan mentafsir pengalaman budaya mereka sendiri. Kewujudan penyelarasan pusat tidak semestinya bertentangan dengan desentralisasi kerana institusi nasional memerlukan mekanisme koordinasi bagi memastikan kesinambungan sumber.
Yang lebih penting lagi ialah bentuk hubungan yang diwujudkan, sama ada ia hubungan perkongsian atau arahan, serta adakah komuniti tempatan berfungsi sebagai rakan intelektual atau sekadar sumber kandungan bagi naratif yang telah ditentukan terlebih dahulu. Ukuran sebenar desentralisasi bukanlah jumlah lokasi yang disentuh, tetapi sejauh mana proses membuat keputusan turut berubah.
Penggunaan konsep degrowth dalam wacana institusi seni juga membuka ruang perbincangan yang penting kerana istilah tersebut merupakan kritikan terhadap paradigma pertumbuhan tanpa batas yang menilai kejayaan semata-mata menerusi angka dan skala. Dalam konteks seni, konsep ini menuntut institusi memikirkan semula kebiasaan menilai pencapaian melalui penanda kuantitatif seperti jumlah program, bilangan pengunjung, dan liputan media.
Namun, apabila degrowth diterjemahkan sekadar sebagai pengurusan sumber yang berhemah atau penterjemahan idea global menerusi metafora tempatan seperti donut, wujud risiko bahawa dimensi kritikannya terhadap sistem pertumbuhan menjadi semakin kabur.
Sebagaimana dalam teori Doughnut Economics oleh Kate Raworth (2017), persoalan utamanya bukanlah sama ada analogi tempatan itu menarik, tetapi sama ada penterjemahan tersebut mengekalkan kerumitan dan daya kritikal asal, atau sekadar mengambil bentuk estetiknya semata-mata tanpa mengubah logik asas penilaian institusi.

Hal ini membawa kita kepada teras dan tesis utama seluruh wacana ini, iaitu keperluan mendesak untuk bergerak daripada sekadar desentralisasi geografi kepada desentralisasi epistemik. Persoalan paling mendalam apabila pusat berjalan ke pinggir bukannya ke mana program itu dibawa, tetapi siapa yang memegang hak untuk mentafsir dan menghasilkan pengetahuan.
Dalam sejarah institusi seni, wilayah pinggir kerap dijadikan sasaran pengeluaran naratif secara sebelah pihak, di mana kurator dari pusat datang untuk mengumpul cerita dan meminjam estetik tempatan untuk dibungkus semula dengan teori import lalu dipamerkan semula di pusat.
Desentralisasi epistemik menuntut pengiktirafan bahawa masyarakat tempatan di Simunjan, Lundu, atau Ulu Dong sudah lama mempunyai sistem pengetahuan dan keupayaan dalaman untuk menentukan paksi nilai dan makna estetika mereka sendiri tanpa perlu disahkan oleh penanda wacana dari luar.
Institusi perlu mengiktiraf kearifan ini sebagai pengetahuan yang setara, mengagihkan otonomi kuratorial kepada pengamal tempatan, serta membina infrastruktur wacana jangka panjang seperti arkib dan penerbitan tempatan.
Maka, perbincangan mengenai desentralisasi, site-specific, dan degrowth tidak boleh dipisahkan daripada kedudukan Balai Seni Negara sebagai sebuah institusi awam yang beroperasi melalui sumber negara dan memikul tanggungjawab mengurus warisan serta pembangunan seni visual masyarakat.
Penggunaan sesuatu konsep dalam institusi awam bukan pilihan bahasa semata-mata kerana ia mempengaruhi cara sumber diagihkan, program dirancang, dan nilai budaya ditentukan. Pertanggungjawaban institusi tidak seharusnya terhad kepada aspek kewangan sahaja, tetapi juga melibatkan pertanggungjawaban intelektual, di mana institusi perlu menjelaskan asas penyelidikan dan kaedah penilaian keberkesanan konsep yang dipilih.
Tanpa proses penjelasan dan penilaian yang terbuka, bahasa institusi akan bergerak lebih pantas daripada perubahan sebenar dalam struktur institusi itu sendiri.
Bagi menterjemahkan kerangka ini kepada tindakan dasar yang nyata, penataan semula operasi institusi perlu ditumpukan kepada perubahan indikator utama: mengagihkan sebahagian autoriti keputusan dan kewangan kepada wilayah, mengukur kejayaan menerusi kualiti pemindahan ilmu dan ketahanan hubungan sosial, serta melaksanakan audit intelektual yang telus selepas setiap projek luar pusat selesai.

Pada akhirnya, kejayaan desentralisasi hanya boleh dinilai secara berasas menerusi tiga indikator objektif: perubahan autoriti membuat keputusan, perubahan agihan sumber, dan perubahan hak menghasilkan pengetahuan.
Kerangka analisis ini bertaut secara mendalam dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang berfungsi sebagai horizon normatif dan kerangka pertanggungjawaban institusi. Akta 724 memberikan tiga amanah utama kepada Balai Seni Negara, iaitu merangsang minat masyarakat terhadap seni visual, memajukan pengetahuan seni visual, dan memperbaiki standard seni visual negara.
Ketiga-tiga amanah ini bukan sekadar objektif pentadbiran, tetapi membentuk kriteria yang membolehkan keberkesanan dasar diuji secara terbuka dan menyediakan ukuran normatif yang lebih kukuh daripada sekadar retorik institusi.
Dalam esei ini, horizon normatif merujuk kepada piawaian yang membolehkan sesuatu dasar dinilai secara konsisten berdasarkan mandat yang telah ditetapkan oleh undang-undang, dan bukannya semata-mata berdasarkan retorik, niat, atau populariti.
Dengan itu, Akta 724 bukan sekadar memberikan kuasa kepada institusi, tetapi turut menyediakan model penilaian dan mewujudkan kewajipan pertanggungjawaban terhadap institusi itu sendiri.
Semakin besar autonomi sesebuah institusi awam untuk menentukan arah pembangunan budaya, semakin besar kewajipannya untuk mempertanggungjawabkan asas intelektual setiap keputusan yang diambil.
Dalam wacana dasar budaya, pertanggungjawaban institusi bukan sekadar pematuhan terhadap prosedur kewangan atau laporan pentadbiran, tetapi kewajipan menjelaskan bagaimana sesuatu dasar dan bahasa teori baharu memenuhi mandat yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
Ketiga-tiga amanah dalam Akta 724 tersebut secara langsung membentuk tiga aras penilaian yang saling melengkapi. Amanah merangsang minat masyarakat dinilai dari sudut penyertaan dan akses, iaitu sejauh mana akses serta pemilikan ruang diperluaskan kepada komuniti.
Amanah memajukan pengetahuan dinilai dari sudut kapasiti epistemik, iaitu sejauh mana autonomi tempatan diiktiraf dalam menghasilkan wacana dan arkib. Manakala amanah memperbaiki standard seni dinilai dari sudut kualiti dan kelestarian, iaitu sejauh mana mutu penyelidikan, hubungan sosial, serta amalan seni diperdalam.

Gagasan desentralisasi, site-specific, dan degrowth yang diketengahkan oleh Balai Seni Negara menunjukkan kesediaan untuk berinteraksi dengan perubahan landskap seni kontemporari. Namun cabaran terbesar bagi mana-mana institusi nasional bukanlah menghasilkan bahasa baharu, tetapi memastikan bahasa tersebut disertai dengan tanggungjawab intelektual dan institusional.
Desentralisasi bukan sekadar memindahkan program kerana ia menuntut pengagihan autoriti dan kewangan. Kelestarian bukan sekadar mengurangkan penggunaan sumber kerana ia menuntut perubahan terhadap cara nilai dan keberkesanan diukur. Hubungan komuniti bukan sekadar mengumpulkan cerita tempatan kerana ia menuntut pengiktirafan bahawa komuniti ialah pengeluar pengetahuan yang sah.
Dengan demikian, Akta 724 mengingatkan bahawa pembaharuan institusi tidak boleh dinilai melalui kebaharuan istilah yang digunakan, tetapi melalui perubahan sebenar terhadap tiga perkara: bagaimana masyarakat memperoleh akses kepada seni, bagaimana pengetahuan seni dihasilkan, dan bagaimana standard seni visual negara dipertingkatkan.
Ketiga-tiga ukuran ini merupakan amanah yang telah lama termaktub dalam undang-undang, jauh sebelum istilah desentralisasi, site-specific, atau degrowth menjadi sebahagian daripada kosa kata institusi. Hubungan inilah yang ingin di cadangkan dalam esei ini sebagai Prinsip Kesepadanan Institusi (Institutional Congruence), iaitu keselarasan antara bahasa dasar, struktur pelaksanaan, dan mandat yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Dengan kata lain, sesuatu dasar budaya hanya memperoleh legitimasi apabila bahasa yang digunakannya, struktur yang dibinanya, dan mandat yang dipikulnya saling menyokong sebagai satu sistem yang koheren. Walaupun dihuraikan melalui kes Balai Seni Negara, pendekatan ini berpotensi digunakan bagi menilai institusi budaya awam lain yang beroperasi di bawah mandat perundangan dan dasar negara.
Persoalan utama kini bukan lagi sama ada pusat boleh berjalan ke pinggir, tetapi sama ada perjalanan tersebut benar-benar memenuhi amanah dan pertanggungjawaban institusi yang telah diberikan melalui undang-undang. Kerana institusi yang benar-benar terdesentralisasi bukanlah institusi yang paling jauh bergerak daripada pusat, tetapi institusi yang paling sanggup mengagihkan autoriti, sumber, dan kapasiti menghasilkan pengetahuan selaras dengan amanah yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Rujukan
1. Malaysia. (2011) Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724). Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang, Malaysia. Dicapai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC): https://www.motac.gov.my/wp-content/uploads/2026/03/Act-724-NATIONAL-VISUAL-ARTS-DEVELOPMENT-BOARD-ACT-2011-as-at-15-June-2015-EN.pdf
2. DiMaggio, P. J., & Powell, W. W. (1983). The iron cage revisited: Institutional isomorphism and collective rationality in organizational fields. American Sociological Review, 48(2), 147–160. https://doi.org/10.2307/2095101
3. Fuad D. (3 May 2023) Pangrok Sulap, Kolektif yang merayakan pengalaman akar umbi. BASKL. Dicapai pada 25 Jun 2026 daripada https://baskl.com.my/pangrok-sulap-kolektif-yang-merayakan-pengalaman-akar-umbi/
4. Raworth, K. (2017). Doughnut economics: Seven ways to think like a 21st-century economist. Chelsea Green Publishing.
5. De Certeau, M. (1984). The practice of everyday life (S. Rendall, Terj.). University of California Press. (Karya asal diterbitkan 1980).
Badrolhisham Mohamad Tahir merupakan kurator, pengkritik, pensyarah dan juga ahli akademik. Beliau diiktiraf diatas kerjanya mendokumentasi dan menulis kritikan berkaitan seni visual kontemporari.
