Pendahuluan
Pameran ini adalah suatu lanjutan atau kesinambungan daripada pernyataan kami lama dahulu sejak mula kami berkarya menjelang akhir dekad 1980-an dan menanam cita-cita mahu menjadi seniman perupa; Mastura seorang pencatan dan aku seorang pengarca.
Kami mula bertemu sebagai pelajar seni rupa pada awal dekad 1980-an, jatuh cinta, menamatkan ijazah pertama dan berkahwin. Kami meneruskan apa yang menggembirakan kami – berkarya, dan perlahan-lahan mengukir nama melalui pelbagai pameran. Keperluan atau desakan hidup menyebabkan kami ada kalanya bekerja secara sambilan atau dalam sesuatu tempoh, namun kami tidak pernah berhenti berkarya.

Ia mendarah daging dalam kehidupan kami. Perkembangan karya masing-masing menjadi tajuk perbualan kami hampir setiap ketika.
Keadaan ini sering mengingatkan kami kepada leluhur kami yang sedikit sebanyak berkesenian demi menggalang hidup mereka. Leluhurku bertukang rumah di kawasan-kawasan Segenting Kra (Kra Isthmus) dan leluhur Mastura pula mencorak dan membuat atau menjahit pakaian di sekitar Kepulauan Riau.
Sayang sekali, kami tidak mempunyai rekod bertulis untuk menyokong dakwaan-dakwaan itu. Yang ada hanyalah ingatan jauh, cerita-cerita atau perkhabaran lisan. Dan yang nyata ialah kami; kami yang terus berbangga dengan kegemilangan lampau para leluhur yang tidak kami kenali dan semestinya hasil karya kami.

Kami terasa yang kami mengotakan harapan leluhur kami terdahulu dengan mengadakan pameran ini. Ia adalah seperti suatu pemanfaatan pusaka yang telah dijiwai oleh leluhur kami. Apalagi dengan penampilan karya-karya berbentuk lukisan cucunda kami, Tengku Yasmin Naraya (Yaya), dalam pameran ini. Kami percaya Yaya sangat berbakat dan mempunyai masa depan cemerlang dalam dunia seni rupa.
Yaya, seorang penghidap ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) atau Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif, sangat suka melukis. Dia boleh menghabiskan dua tiga buku lakaran dalam seminggu dan selalu bertanyakan itu-ini bila melihat neneknya mencatan di studio. Dia malah menyuarakan hasratnya untuk mempamerkan lukisan-lukisannya seperti neneknya juga.
Aku mempersembahkan karya-karya yang didasarkan daripada cerita-cerita Allahyarhamah nendaku yang dibesarkan berhampiran Laut China Selatan, dan gabungan sajak panjang penyair romantik Inggeris, Samuel Taylor Coleridge (1772–1834), The Rime of the Ancient Mariner. Aku kelompokkan karya-karyaku kali ini ke dalam satu siri yang kunamakan ‘Siri Pelaut Purba’ (The Ancient Mariner).

Jika aku meneroka dan membina naratif sendiri, Mastura pula menempatkan karya-karyanya pada naratif yang sedia ada, iaitu Cerita Tuan Puteri Saadung yang popular sebagai cerita legenda di negeri Kelantan, sebagai lanjutan daripada siri ‘Cik Siti Wan Kembang’ yang dicatakannya pada 2021.

Mastura mendasarkan catatannya daripada buku Puteri Saadung: Srikandi Sekebun Bunga Cerang Tegayung, susunan Ninot Aziz (Hikayat Fandom, 2022). Mengenangkan siri catan terdahulu, Mastura menamakan siri catan yang dipersembahkan dalam pameran ini sebagai Siri ‘Anak Wan Kembang’, kerana menurut ceritanya Puteri Saadung itu adalah anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang.
Yaya pula menampilkan sepuluh buah lukisan menggunakan unsur garisan yang didasarkan pada pemerhatian dan khayalannya terhadap dunia persekitarannya.

Begitulah kami meneruskan harapan dan cita-cita (pusaka) leluhur kami yang telah tiada dan menitipkannya kepada turunan muda kami. Insya-Allah.
Kredo
Dan, kami jadi lebih tidak peduli. Kami harus terus berkarya kerana kami percaya yang itulah kerja kami di dunia ini. Allah menyediakan ilham di serata kehidupan, lalu dengan hati tulus kami mencari jalan untuk menghasilkan/mempersembahkan sesuatu yang indah.
Soal keberkesanan, ketepatan, kebenaran, kami suka serahkan perihal itu kepada pengkritik, filsuf atau penghayat sahaja. Hati jadi puas atau senang bila berjaya menyiapkan sesebuah karya, apalagi sebuah pameran.
Cerita
Suatu petang di awal 2025, aku menyambung bacaan Hikayat Malim Deman di pustaka, sampai ke bahagian di mana Tuanku Malim Deman ‘beryang-yang’ (menyeru) bantuan daripada Batara Guru di kayangan (sebuah tempat/negeri mistik) supaya diturunkan empat puluh empat tukang menolongnya membuat sebuah kenaikan air atau sungai untuk menghilir balik ke negerinya di muara sungai, aku jadi teringat kepada cerita Tok Wan (bonda Almarhum Pok Ku) yang selalu diceritakan dengan bangga kepadaku bila aku berkunjung ke rumahnya di Kelantan.

Konon ceritanya, leluhur kami terdahulu telah juga ‘beryang-yang’ untuk memohon bantuan membina istana dalam tempoh satu malam. Bila waktu ayam jantan berkokok menjelang pecah fajar, sebuah istana siap berukir indah di atas sebuah bukit. Tibalah pula waktunya tukang dan pengukir handal lagi sakti itu berangkat naik pulang ke kayangan. Namun, seorang daripada empat puluh empat orang seniman hebat itu mengambil keputusan tidak mahu pulang ke kayangan! Dia mahu berpetualang di bumi ini dan menjadi orang biasa. Tapi, dia tetap pandai bertukang dan mengukir. Dengan kepandaiannya itulah dia berjaya menampung hidup, beranak cucu hinggalah berketurunan kepada kami.

Ketika mula cerita itu disampaikan, aku kurang lebih berusia lapan atau sembilan tahun. Tercengang aku dibuatnya. Teringat kepada cerita-cerita dongeng yang diberitahu guruku di sekolah. Rasa tidak percaya muncul, tapi Tok Wan kelihatannya marah bila aku mula menunjukkan rasa ketidakpercayaanku. Keriput di wajah dan lengannya seperti bergetar.
Mengenang kembali cerita dan peristiwa itu, aku jadi insaf. Aku tahu semuanya dongengan belaka, namun aku yakin yang tujuan Tok Wan adalah untuk menyemarakkan semangat supaya berbangga dan menuruti kehebatan para leluhur terdahulu dalam menyempurnakan sesuatu tugasan sebaik mungkin. Tidak lebih daripada itu.

44cm – 2025 – 2026
Dan, daripada pemberitahuan serta ingatan, aku sedari bahawa para leluhurku bergelumang dengan pertukangan dan kesenian – membuat atau membina sesuatu yang berguna lagi indah.
Bila aku diserang strok di hujung 2014 dan menjadi sedikit lumpuh kerananya, aku jadi nanar apabila pelbagai persoalan melanggar kesejahteraan minda fikiranku:

“Apa kelumpuhan daripada serangan strok ini akan memisahkan aku daripada seni rupa?”
Tidak. Tidak akan aku biarkan. Aku masih boleh berfikir, boleh berkhayal. Tangan kananku masih baik, aku boleh melukis, aku boleh bercakap.
Aku cari jalan. Aku mempelawa seorang seniman muda, Mat Ramli Ma’nsur (Awie), yang sanggup membantu dan belajar. Aku jadikan dia pembantu studio. Aku ajar dia sedikit sebanyak tentang peralatan pertukangan kayu. Aku buat lakaran, pelan dan gambar rajah. Aku suruh dia buat arca sebagaimana bentuk yang aku lakarkan. Dia berjaya walau tentu saja aku tidak sepenuhnya sangat berpuas hati. Alhamdulillah.
Bagaimana dengan Mastura? Apa dia akan berhenti mencatan, kerana tawar hati dengan keadaan fizikal yang menimpa diriku – yang selama ini memberi semangat berkarya dan berpameran kepadanya?

Tidak. Aku telah selami hati, cita-cita dan semangatnya sejak kurang lebih empat puluh tahun dahulu. Aku tahu dia tidak akan mudah mengalah. Aku faham akan kekerasan hati dan ketekalan keturunan Bawean dalam melakukan dan mempertahankan cita-cita serta tujuan hidup mereka.

Penutup
Aku kira atas latar belakang begitulah kami bertahan sehingga kini dalam dunia pengkaryaan seni rupa. Kami berbangga menerima pusaka pengkaryaan daripada leluhur kami dan berazam untuk terus membina kesinambungannya, lantaran itulah kami bersetuju untuk menampilkan cucunda kami yang memperlihatkan minat dan bakat mendalam dalam bidang seni rupa. Kami percaya jika terus diberi peluang, dia akan menempuh kejayaan dan boleh memberi kebanggaan kepada keluarga. Insya-Allah.

Biografi Ringkas
Tengku Sabri Ibrahim lahir pada 1961 di Jerteh, Terengganu. Belajar Seni Halus di Institut Teknologi MARA. Telah berpameran sejak 1987 di Kuala Lumpur, Eropah dan Jepun.
Mastura Abdul Rahman lahir pada 1963 di Singapura. Belajar Seni Halus di Institut Teknologi MARA. Telah berpameran sejak 1987 di Kuala Lumpur, negara-negara ASEAN dan Eropah.
Tengku Yasmin Naraya (YAYA) lahir pada 2017 di Tangerang, Indonesia. Sekarang belajar di Darjah 3 di Puchong, Selangor.
Nota Editorial:
Tulisan ini diambil dari Katalog Pameran ‘Inherited Soul’ (Pusaka Jiwa) Pameran Seni Rupa Tengku Sabri Ibrahim & Mastura Abdul Rahman, serta penampilan Tengku Yasmin Naraya yang sedang berlangsung di Galeri PUTEH dari 25 April – 23 May 2026.
