Judul: Di Bawah Pohon Chinar
Pengarang: Rositah Ibrahim
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – Malaysia Madani
Tahun terbit: 2025
KUMPULAN yang mengandungi 49 puisi ini dihasilkan oleh Rositah Ibrahim. Selain menulis puisi beliau juga seorang pelukis yang pernah mewakili negara ke Pameran Catan Belia ASEAN Keempat di Manila (1987) dan menyertai pelbagai pameran di dalam negara.
Beliau mengakui puisi-puisi di dalam kumpulan ini merupakan hasil ciptanya sekitar tahun 2016 hingga 2024 dan fokus tema utamanya adalah persoalan kehidupan kemanusiaan yang merangkumi hubungan manusia dengan Pencipta dan rakaman perjalanan kembara beliau sendiri.
Kesan dan pengaruh seni lukis ini diakui oleh Rositah mempengaruhi dirinya ketika mencipta puisi. Bagi beliau, disiplin seni halus melatih penghayatan, membantu dirinya melihat sesuatu dan bukan sekadar memandang tanpa rasa. Dalam prakata kumpulan puisinya ini, Rositah mengakui: “Puisi adalah kata-kata berwarna” dan beliau terlebih dahulu mengakrabi garis.
Dengan pemahaman dan penguasaan terhadap disiplin seni tampak inilah, Rositah mampu menjadikan “impian” seperti daun atau melukis rumah bonda dengan kata-kata. Dalam “Seperti Daun” Rositah menggambarkan: Kukenang impian/ Seperti Daun/ Setiap hari berbilas embun/ Pun Lerai/ Dimain angin, / Ada kusimpan, / tanda kenang, dan sayang”
Pemahaman dan penguasaannya terhadap teori dan seni visual terpapar jelas dalam puisinya “Kulukis Rumah Bonda” yang merupakan impersi daripada pameran catatan “Pesan Ibu” oleh Mastura Abdul Rahman di Fergana Art pada tahun 2023: “Melukis rumah ini/ Keluk awan larat membulat adat/ Pucuk Rebung diasuh hari/ Sulur bayung menghias pintu peribadi.”
Rositah mengakui banyak karya seni lukis dijadikan dasar sumber idea kepada penciptaan puisinya. Tidak sahaja hasil karyanya sendiri malah beliau banyak melahirkan puisi sebagai impresi terhadap karya (atau pameran) sahabat pelukisnya yang lain.
Beliau memberikan contoh, selain pameran Mastura Abdul Rahman (halaman 3), puisi lain yang dihasilkan beliau berdasarkan pameran adalah pameran ‘Simbiosis’ oleh suaminya A Shukri Elias bersama pelukis Denmark, Johnny Jack Hansen (halaman 51) dan Retrospektif Ahmad Fuad Osman (halaman 52).
“Ketika garis dan warna/ Menggemuruh dalam alun nafas/ Di atas kanvas/ Rupa dan bayang-bayang menjadi badai/ Melampiaskan jerit suara”. Demikian antara lain puisi berjudul “Simbiosis” sebagai impresi Rositah terhadap pameran suaminya bersama pelukis Denmark dengan judul yang sama.
Sebagai impresi terhadap pameran Retrospektif Ahmad Fuad Osman, Rositah mengakhiri puisinya berjudul “Menyelak Kelopak Makna” dengan ujaran: “… Raungan yang minta didengari/ Meski kita mengerti/ Di penghujung hari/ Yang abadi/ Hanya Dia.”
Selain memberikan impresi, secara peribadi, kerana terlibat dengan dunia garis dan warna, terdapat juga sajak-sajak bertemakan seni tampak. Dan diakui beliau “sambil melukis kadang-kadang terlintas frasa seperti dalam puisi “ Catatan” : “Catatan sajakku / Terjatuh ke air / Tempat aku membancuh warna kanvas,/ Untung masih boleh dibaca. (halaman 2)
Sebagai manusia biasa Rositah mengakui tidak dapat mengelak memperkatakan sesuatu yang menimbulkan rasa tidak puas hati, apa lagi bila melibatkan institusi yang seperti Balai Seni Visual Negara. Rasa keliru dan aneh apabila Balai Seni Visual Negara dijadikan pentas peragaan ratu cantik, telah mendorong beliau menghasilkan puisi Krematorium (halaman 45). Puisi ini di akhiri dengan ungkapan bernada sinis: “Inilah krematorium sebuah bangsa/ Kaulempar sudah resah seniman/ Membeku bicara mereka/ Yang tidak semahal/ Senyuman jelitawan di pentas peraga.”
Sebagai pembaca, timbul persoalan kenapa penyair menjadikan pohon Chinar sebagai judulnya kumpulan puisinya ini?
Tanda tanya ini diperjelaskan dengan pengakuan Rositah betapa paduan keindahan Srinagar di bawah bayangan deretan pohon chinarnya, dibaur dengan rasa duka melihat anak-anak kecil merempat di jalanan telah mendorong beliau menghasilkan puisi “’Di Bawah Pohon Chinar’ .
“Puisi ini memang terhasil oleh dingin pagi di Kashmir!” demikian Rositah mengakui. Di dalam puisi ini dinyatakan kembali secara impresi rasa simpati menatap kemelaratan hidup manusia oleh Rositah: “Tuan, aku mohon sedikit rupee/ Sementara kunanti/ Janji ibu kembali / Membawa makanan bekas/ Sekadar sahaja, untuk kugalas nyawa”
Selain merakamkan pengalaman spritual beliau secara peribadi dan pergulatan dengan garis dan warna, Rositah mengakui 50 peratus daripada puisi yang termuat dalam buku ini juga merupakan rakaman perjalanan kembara beliau ke Amerika Syarikat, Vietnam, India dan lain-lain lokasi di luar studio atau kediaman.
Berkelana ke negeri asing, mengalami peristiwa dan suasana baru bagi Rositah menimbulkan runtunan perasaan yang meminta untuk diungkapkan ke dalam bentuk puisi. Bagi penyair, menikmati keindahan alam sekaligus juga menghadirkan rasa insaf dan syukur ke dalam diri penyair.
Ini diungkapkan penyair dalam puisi “Melukis Niagara” (halaman 11): “Tuhan,/ Aku tidak bermimpi/ Saat kulakar/ Garis takjub kejadian-Mu.” Atau dalam puisi “Melukis Senja” (halaman 16): “Senja itu kulihat dengan goda rasa/ Takjub, syukur/ Langit yang sama/ Di benua jauh, asing, / Mendengar bisik/ Indah sekali pesan-Nya.”
Berpeluang kembara ke Amerika dan melawat beberapa taman negara di sana, penyair sangat terkesan dengan kebersihan dan sikap rakyat yang menjaga kemudahan awam. Rasa kagum ini diucapkan penyair dalam puisinya “Melukis Landskap” di halaman 15.
Demikian juga ketika di taman negara Shenandoah, di Viginia Barat, Amerika. Pemandangan yang mengasyikkan – hamparan padang rumput, perbukitan, awan yang cantik, pokok-pokok, dan tumbuhan renek berbunga kecil. Rasa kagum ini melahirkan ungkapan puisi: “Tupai meloncat / Celahan jejer oak/ Julai, dahan, di celah rimbun daun/ Meresap segar udara/ Pergunungan Blue Ridge.
Atau ketika hiking di tebing Sungai Shenandoah pula, lahirlah ungkapan puitisnya: “Di bawah sana/ Kelok Sungai Shenandoah/ Membelah kedut bukit Virginia Barat.// Ingatanku / Pada lagu / Dendangan kita, lama dahulu.”
Sebagai kesimpulan, kumpulan puisi “Di Bawah Pohon Chinar” ini sesuai untuk pembaca golongan dewasa yang ingin benar-benar menikmati nuansa puitis daripada pembacaannya. Tidak hanya bertitik tolak pada keindahan, rasa simpati dan kagum, penyair juga menghidangkan juga sejumlah puisi indah bernuansakan hakikat hidup seorang insan.
Beberapa di antara puisi itu adalah “Tanah yang Segenggam Ini” (halaman 47): “Tika butir-butir zikir bergulir/ Dalam alir peta takdir/ Tak tertafsir/ Kami tidak bisa menebak/ Bagaimana pohin hayat kami akan berakhir.”
Selamat membaca.
– MARSLI N.O adalah penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian. E-mail beliau marslino57@gmail.com
