‘ENTAH-entah
habuk yang masuk ke mataku
yang memaksa aku mengerdip
hingga juling mataku
hingga gugur bulu mataku
sebenarnya satu pernyataan rindu,
aku kepadamu,’
Sengaja kami buka tulisan kali ini dengan sebuah puisi. Tujuannya adalah sebagai satu makluman kepada orang ramai yang kami bukan saja handal menulis tapi juga romantis orangnya. Dan ia juga sebagai sindiran kepada portal ini.
Setelah berusia satu tahun, portal ini masih belum pernah menyiarkan walau sepatah ayat yang datang dari sajak dan puisi.
Jenis tidak menghargai seniman sastera kata.
Semua nak kena ajar. Padahal kalau dibayar RM50 satu sajak pun berlumba-lumba penulis sikat tepi menghantar karya.
Macam dunia catan, tak pernah ada ‘hari anugerah’. Nak bagi 100k pun kena bertanding. Berlawan sesama sendiri. Nak kena tunggu Anugerah Catan Seni Malaya padahal beli iklan di portal miskin ini pun berkira.
Baser.
Baik. Kita kembali kepada kisah perjalanan kami ke Pantai Timur.
Setelah selesai dengan Taib Aur, kami pun bergerak menuju Dungun. Tetapi kami kemudiannya diberitahu bahawa Nazli Hamzah, pelukis hiper realis yang terkenal itu sudi untuk bertemu dengan kami.
Bersama sahabatnya Alias, seorang pelukis potret yang belum kami kenali sudah siap menunggu di rumah dan kami pun bergerak menuju ke situ.
Tibanya kami ke alamat yang diberikan, Nazli dan Alias segera membawa kami ke sebuah rumah inap desa milik Nazri.

Disana kami dihiburkan dengan pelbagai lukisan yang dihasilkan oleh Nazli. Rumah yang disewakan kepada sesiapa yang berminat itu dipenuhi dengan karya-karya catan dan sangat menghiburkan.
Dalam bercerita, Nazli sempat memberitahu kami yang dia sudah menjual ‘empat ekor harimau’ kepada seorang pembesar dari Selatan.
“Mula takut jugok, tapi ambe beranikan diri letok 80k sekeping,” kata dia bercerita. Dan pembesar yang terkenal terlalu minat dengan apa-apa catan yang menggambarkan raja rimba yang sedang mengaum itu bersetuju dengan harga berkenaan tanpa tawar menawar.
Terbukti bahawa untuk menjual sebuah karya dengan harga demikian dan tetap tinggal di luar Kuala Lumpur adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Kami yakin jika Nazli melukis seekor harimau mengaum sambil menendang bola, harganya tentu lebih tinggi lagi.
Sebagai makluman, Nazli hanya memberitahu kami harga sekeping lukisan tersebut. Yang lagi tiga keping tidak pula dia ceritakan harganya.
Setelah beberapa lama di inap desa, Nazli kemudian mempelawa kami ke rumahnya yang terletak berdekatan. Sekali lagi kami dijamu dengan karya-karya yang menarik.
Ada sebuah karya yang menggambarkan keperwiraan pendekar tempatan yang menarik minat kami hanya kerana kami dapati sudah agak kurang pelukis yang mahu menghasilkan karya-karya sedemikian.

Nazli juga dilihat tidak begitu rajin untuk menghasilkan karya-karya begitu kerana lukisan mengenai sejarah negeri Terengganu itu dihasilkan sekitar awal tahun 2000.
Kita hampir tidak ada pelukis yang menumpukan kepada karya-karya epik.
Sambil minum kopi dan kuih kosui, Alias menghulur telefon bimbit sambil memperlihatkan kepada kami hasil kerjanya. Untuk seorang pelukis potret, kami dapati dia adalah seorang pelukis yang bagus. Mungkin kami perlu ke studionya pula satu masa nanti.
Kerana hari sudah agak lewat, kami meminta diri kerana masih perlu untuk singgah di Dungun. Di sana katanya sudah menunggu sekumpulan pelukis muda yang mengelar diri mereka sebagai Dungun Art Group.
Kerana lapar, kami singgah di Pantai Kelulut.
Oh! Ada kami beritahu kamu mengenai betapa kami terlalu sukakan makanan Terengganu? Dan memang tak ada seorang pun seniman negeri tersebut yang menjamu kami dengan nasi dagang kah, keropok lekor kah hatta singgang ikang ayer yang boleh disediakan sambil pejam mata itu pun tidak disediakan oleh mereka.
Kami terasa hati dan kecewa.
Setelah makan di kedai Siam di Pantai Kelulut, kami semua mengambil Keputusan untuk mandi demi untuk menyegarkan tubuh di Masjid Kelulut. Ialah, mengharap pesegaran Terengganu dan hampa maka adalah lebih baik kami segarkan sendiri tubuh yang kecewa itu.
Kami sendiri mandi agak lama dan setelah selesai kami dapati Raduan dan Mior sedang asyik membaca al-Quran. Mengambil berkat sebagai musafir kami pun segera berdoa supaya diberikan hidayah untuk jadi seperti mereka yakni rajin membaca al-Quran.
Sementara menunggu mereka selesai, kami ke wakaf masjid dan menghisap rokok. Mior dan Raduan selesai beribadah sesuai dengan rokok kedua kami. Nyaris kami nyalakan yang ketiga namun kerana perjalanan masih jauh, kami simpan ketagihan itu untuk satu masa yang lain.
Walaupun sampai sangat lewat dari masa yang dijanjikan, kami disambut oleh kumpulan pelukis Dungun di pantai berhampiran dengan UiTM.
Ini nostalgia. Kami pernah ke sini lama dulu. Bukan untuk belajar tetapi untuk berjumpa girlfriend.
Wan Zakreen, Azmi, Daus dan beberapa sahabat yang kami lupa namanya adalah kumpulan pelukis yang perlu diambil berat. Mereka serius mahu menjadi seniman dan mereka tidak jemu-jemu mahu belajar.
Wan kemudiannya telah mempamerkan sejumlah karyanya kepada kami. Dia sedang dalam persiapan untuk mengadakan pameran solo dan sedang mengumpul dana untuk membuat bingkai kepada semua lukisan tersebut.
Balai Seni Negara sila ambil perhatian kerana kami telah mencadangkan kepada dia untuk memohon dana Tabung Bantuan Seni untuk tujuan tersebut. Jika nanti dia menghantar permohonan dan ditolak, kami akan tulis panjang lebar tentang Balai Seni Negara tidak membantu seniman tempatan.
Kami sangat menghormati kesungguhan pelukis-pelukis dari Dungun ini. Mereka mengingatkan kami kepada diri sendiri semasa mula-mula mahu masuk ke dunia yang tidak ada faedah ini. Kami juga mendoakan agar mereka semuanya berjaya mencapai apa yang mereka impikan.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga dari Pak Aris, Raduan, Mior dan kami sendiri kepada semua seniman yang kami temui sepanjang perjalanan. Kesungguhan semua seniman yang kami temui sangat menginspirasikan. Ia sedikit sebanyak menjadi semangat untuk kami semua.
Terima kasih.
Keriangan dalam menikmati perjalanan ke Pantai Timur dan balik diganggu oleh orang Pahang. Katanya mereka kecewa kerana kami hanya melintas negeri tersebut tanpa menyapa senimannya.
Jenis muka tak malu.
Pernah kamu dengar nama Galeri Seni Lukis Pahang? Tentunya tidak pernah kerana Pahang mana ada galeri lukisan. Mengapa Pahang tidak ada galeri seni lukis kamu tanya. Sebab Pahang tidak ada pelukis jawab kami.
Yang ada mungkin hanya Munif M. Nor. Itu pun kalau dia tidak sibuk dengan kajian bahantaranya. Sekejap nak jadi pelukis sekejap nak jadi saintis. Dia ingat dia Leonardo gamaknya.

Seorang lagi ialah Ismadi Sallehudin yang kalau tak ke Jerman akan ke Perancis atau pakai seluar kecil sambil mandi manda di Mauritius. Kalau tidak dia akan betapa entah di ulu banat mana.
Memang ada yang memberitahu kami satu pameran yang dinamakan sebagai Pameran ADIGURU sedang berlangsung di negeri berkenaan tetapi ia bukan diadakan di sebuah galeri lukisan.
Pameran yang melantik diri sendiri menjadi Adiguru itu diadakan di sebuah perpustakaan.
Jenis tak faham tugas. Orang datang nak baca buku aok sibuk suruh orang tengok lukisan.
Pun begitu, kami ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Perpustakaan Awam Negeri Pahang kerana sering mengambil tugas mempamerkan karya-karya catan di ruang legar bangunan barunya itu. Beberapa pameran telah diadakan disana.
Yang lebih menarik lagi, perpustakaan ini juga mempunyai koleksi tetap lukisan karyawan seni tempatan. Karya-karya yang ada dipamerkan di seluruh bangunan dan ia dilengkapi dengan cermin yang melindungi karya-karya tersebut dalam sebarang ancaman.
Cuma jika kami dibenarkan untuk memberi cadangan maka kami sarankan supaya pihak perpustakaan meminta nasihat dari pihak-pihak tertentu tentang cara bagaimana satu-satu pameran itu perlu diuruskan.
Jika pihak perpustakaan serius, maka yang pertama sekali yang perlu diadakan ialah dinding pameran. Lukisan yang digantung pada ‘gelegor’ seperti sekarang ini agak mencolok mata.
Dan buat lah katalog. Aok kan perpustakaan.
Kami juga mencadangkan pihak perpustakaan menghubungi Balai Seni Negara dan meminta mereka menghantar sang kurator Mohamad Majidi Amir untuk memberi nasihat.
Nanti jika Majidi kesana, setelah dia memberi nasihat ajaklah dia makan di Akob Patin House yang terkenal itu kerana seperti kamu dia juga orang darat.
Jenis makan ikan ada janggut.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang tinggal di kawasan bertaraf antarabangsa tetapi sukar dihubungi.

