PROJEK filem terbaharu Ho Yuhang bertajuk Aman/Damai muncul pemenang utama di JAFF Market 2024, acara pasar filem yang berlangsung serentak dengan Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF), yang berakhir semalam.
Aman/Damai menang Kongchak Award dan BSM Award, yang masing-masing menganugerahkannya pembiayaan penerbitan daripada syarikat berkaitan filem terkemuka di Asia Tenggara.
Kongchak Pictures yang berpejabat di Phnom Penh mengendalikan studio rekaan bunyi antara yang terbaik di rantau ini, sementara BSM Equipement adalah sebuah syarikat peralatan penggambaran di Indonesia.
Aman/Damai atau judul antarabangsanya The Silent Village adalah sebuah produksi bersama Malaysia-Indonesia. Lakon layarnya ditulis oleh Prima Rusdi manakala Lorna Tee sebagai penerbit.
Filem keempat Yuhang ini bersaing bersama sembilan projek lain, iaitu tujuh dari Indonesia dan dua dari Australia.
Aman/Damai diilhamkan daripada pembunuh bersiri antara 1986 dan 1997 yang pernah menggemparkan Indonesia, lapor Variety. Filem ini mengisahkan penemuan mayat seorang wanita di sebuah kampung yang sepi di tengah-tengah kehangatan kempen pilihan raya.
Sementara itu, projek filem Pangku yang bakal diarah oleh pelakon Reza Rahadian juga mendapat dukungan apabila menang White Light Post-Production Award.
Projek dokumentari Sampai Mati yang akan diarah oleh Ben Golotta dari Australia juga menang satu lagi hadiah tajaan BSM Rental. Dokumentari ini mengisahkan episod selepas serangan bom Bali 2002 dari sudut pandang antaranya rakyat Australia yang terselamat.
Penyertaan ke JAFF Future Project terbuka kepada peserta dari Asia Pasifik tetapi dikenakan syarat mempunyai elemen Indonesia.
Pasar filem dan kandungan yang julung kali diadakan di Indonesia ini berlangsung selama tiga hari antara 3 hingga 5 Disember serentak dengan JAFF.
JAFF Market diadakan dengan kerjasama Adelaide Film Festival dan didukung oleh Kementerian Kebudayaan Indonesia.
Acara tiga hari itu mendapat sambutan hangat pelbagai syarikat filem antarabangsa dan menghasilkan 61 memorandum persefahaman kerjasama dan perniagaan, lapor Variety.
Penganjurannya diumum dan dilancarkan semasa Cannes Film Festival pada Mei 2024.

