Projek filem Dawn Raid: The Hands that Rattled The Queen, cerita yang diangkat daripada peristiwa bersejarah pengambilalihan Malaysia ke atas syarikat perladangan milik British pada tahun 1981, secara rasminya batal selepas gagal mendapat sokongan kewangan daripada SD Guthrie, umum penerbitnya Pixel Play Entertainment.
Guthrie Corporation, syarikat yang ditubuhkan pada 1821 semasa penjajahan British, pernah pada suatu masa dikenali sebagai Sime Darby Berhad dan hari ini menjadi SD Guthrie selepas melalui sejarah perniagaan yang panjang melibatkan penggabungan dan pengambilalihan.
Dalam surat terbuka pengumumannya, Pixel Play Entertainment berkata biarpun dengan kerja keras pasukannya dan sokongan banyak pihak berkepentingan, mereka gagal mendapatkan pembiayaan yang diperlukan daripada SD Guthrie.
Syarikat penerbitan itu menyifatkan SD Guthrie sebagai calon pembiaya utamanya.
“Keputusan Lembaga SD Guthrie untuk tidak membiayai projek itu menandakan tamatnya perjalanan ini.
“Selepas lebih sedekad berdedikasi, kita kini harus menerima bahawa bab ini telah sampai ke penghujungnya,” kata Pixel Play Entertainment.
Syarikat penerbitan itu bagaimanapun mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti sepenuhnya atas kegagalan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan untuk meneruskan projek filem ini.
Pixel Play Entertainment membuat pengumuman itu genap 11 tahun pelancaran projek Dawn Raid dan hampir 10 tahun sejak ia melamar SD Guthrie, pada masa itu Sime Darby, sebagai rakan kongsi.
Projek Dawn Raid mendapat dukungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Dana Filem Cereka sebanyak RM1.5 juta pada 2022, selain sokongan syarikat penerbitan Refinery Media di Singapura.
Dawn Raid sepatutnya diarahkan oleh Bront Palarae daripada lakon layarnya bersama Choong Chi-Ren dan Mayang Al-Mohdar.
Dalam pada itu, Pixel Play Entertainment merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini mendukung dan menaruh kepercayaan atas cita-cita, termasuk pihak pengurusan SD Guthrie.
“Sokongan anda yang berterusan memberi inspirasi kepada usaha kami pada masa akan datang kerana kami tetap berkomitmen untuk menceritakan kisah-kisah penting dan menyumbang kepada lanskap kreatif,” tambah Pixel Play Entertainment.
Dawn Raid, sebuah episod pengambilahan syarikat perladangan British di bursa sahamnya sendiri di London, adalah antara titik penting dalam sejarah ekonomi Malaysia yang kemudian mengurangkan pemilikan asing ke atas sumber ekonomi negara.
Ia sempat mengeruhkan hubungan diplomatik Malaysia dan United Kingdom, serta mengubah undang-undang dan peraturan Bursa Saham London menjadi lebih ketat.
