KETIKA dunia dilanda berbagai masalah yang merengkuh nurani, masyrakat amat memerlukan satu wadah yang mampu menenang dan menyegarkan jiwa mereka. Antara kaedah yang boleh memberi ketenangan dan menambah ilmu adalah menerusi pembacaan buku-buku yang berkualiti.
Antara bahan bacaan yang boleh dianggap mampu mengasak minda adalah genre sastera. Satu genre yang ada masanya dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat yang tidak tahu menilai dan gagal menggunakan minda dengan waras.
Sastera tidak boleh sama sekali dibiarkan terkubur dek kerakusan sesetengah pihak yang tidak mempunyai jiwa. Mimpi dan aspirasi untuk menghidupkan sastera dan mendakap kekayaan nilai budaya kini disatukan dalam satu gerakan besar yang dinamakan Projek Buku PENA – Malaysia MADANI.
Ia bukan sekadar projek penerbitan, inisiatif ini adalah perjalanan jiwa dan pemikiran untuk memupuk minda mulia, memperkayakan khazanah bangsa, serta mencipta ruang buat penulis baharu dan berpengalaman mewarnai dunia dengan aksara mereka.
Projek ini membawa aspirasi lebih besar daripada sekadar melahirkan buku; ia adalah usaha kolektif untuk menghidupkan semula hasil penulisan yang berkualiti, menyemai semangat baharu dalam industri penerbitan, dan membuka peluang ekonomi bagi ramai yang terlibat.
Bayangkan setiap manuskrip yang terpilih bagaikan helaian daun pada pohon warisan, menggambarkan kepelbagaian suara rakyat Malaysia dalam melukis wajah bangsa dan nilai kemanusiaan sejagat. Di sebalik halaman-halaman ini, terdapat jerih usaha penulis, editor, pereka, dan pekerja syarikat percetakan yang bersama-sama membina perjalanan sastera tempatan.
Di sinilah Projek Buku PENA – Malaysia MADANI mengambil tempatnya, menghidupkan sastera sebagai teras peradaban dan sekaligus membangunkan ekonomi negara. Setiap karya yang diterbitkan adalah batu asas untuk sebuah generasi yang lebih mencintai sastera dan lebih menghargai nilai budaya, sebuah legasi yang disalurkan kepada generasi masa depan.
Projek Buku PENA – Malaysia MADANI yang dilancarkan baru-baru ini merupakan sebuah inisiatif yang berpotensi besar dalam memperkukuh sastera tempatan dan memperkasa industri penerbitan di Malaysia.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada penulis untuk menerbitkan karya mereka, malah turut memberikan impak positif kepada ekonomi dengan melibatkan pelbagai pihak dalam rantaian penerbitan seperti syarikat percetakan, artis grafik, editor, dan pekerja dalam bidang promosi dan pemasaran.
Dikelolakan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan matlamat menerbitkan 100 judul buku menjelang awal tahun 2025, Projek Buku PENA – Malaysia MADANI telah menerima sambutan luar biasa dengan lebih 300 manuskrip pelbagai genre dihantar untuk penilaian.
Setakat ini, sebanyak 91 manuskrip telah melalui proses prapenerbitan dan dijangka diterbitkan secara berperingkat. Dengan tarikh tutup penghantaran manuskrip yang ditetapkan pada 15 November 2024, projek ini tidak hanya menjadi wadah kepada karya sastera bermutu tetapi juga simbol usaha untuk memartabatkan sastera Malaysia di samping merancakkan ekonomi industri buku tempatan.
Menjana ekonomi melalui penerbitan buku
Dari sudut ekonomi, Projek Buku PENA – Malaysia MADANI telah membuka ruang pekerjaan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam proses penerbitan.
Setiap manuskrip yang diterbitkan melibatkan peranan editor yang menyunting karya, artis grafik yang mereka bentuk kulit buku, serta pekerja di kilang percetakan.
Dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI Pengarah Projek Buku PENA – Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron berkata, lebih 100 manuskrip akan diterbitkan dengan cetakan sebanyak 1,000 naskhah setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100,000 naskhah.
Daripada jumlah ini, 800 naskhah akan diedarkan ke sekolah dan perpustakaan tempatan, meningkatkan akses bahan bacaan sastera dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum.
“Tarikh tutup penghantaran manuskrip adalah pada 15 November 2024.
“Dari segi aktiviti, kami telah bergerak mencari manuskrip terbaik di enam lokasi melalui Sesi Perolehan Manuskrip Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI di seluruh negara, iaitu di Miri (Sarawak), Rumah PENA (Kuala Lumpur), Seberang Jaya (Pulau Pinang), Muar (Johor), Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kota Bharu (Kelantan).
“Melihat situasi ini dan sambutannya, kami meyakini sasaran 100 buku dapat diterbitkan pada tempoh yang ditetapkan, iaitu tahun depan dapat dicapai,” katanya.
Penyertaan dalam projek ini juga mencipta ruang untuk promosi karya tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa. Dengan strategi pemasaran yang dirancang sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, karya yang diterbitkan akan menerima pendedahan yang lebih luas, membantu penulis untuk memperkenalkan hasil karya mereka secara lebih efektif.
Ini tidak hanya memberi manfaat kepada penulis dari segi royalti, tetapi juga kepada keseluruhan industri buku tempatan, yang secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Meningkatkan kualiti dan akses bahan sastera berkualiti
Salah satu matlamat utama Projek Buku PENA – Malaysia MADANI adalah untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat dan memastikan bahan sastera yang diterbitkan berkualiti tinggi.
PENA melaksanakan penilaian ketat untuk memilih manuskrip yang akan diterbitkan, mengutamakan karya yang membawa nilai pembinaan ilmu, ideologi, dan kemanusiaan.
Menurut Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, karya yang diterbitkan tidak hanya dinilai dari segi teknik penulisan tetapi juga dari segi kekuatan isi yang mampu menyumbang kepada pembangunan minda masyarakat.
Projek ini mengutamakan karya sastera seperti puisi, novel, biografi, memoir, dan esei yang mencerminkan budaya dan identiti Malaysia.
Di samping itu, pemilihan manuskrip yang teliti memastikan karya yang diterbitkan dapat memberikan pengaruh positif kepada pembaca, khususnya golongan muda yang memerlukan inspirasi dan panduan dalam penghasilan karya sastera mereka sendiri.
Dengan adanya edaran buku-buku ini di sekolah dan perpustakaan, ia membuka peluang kepada pelajar untuk mengakses bahan sastera berkualiti, di luar kurikulum biasa. Ini bukan sahaja menggalakkan minat membaca tetapi juga memupuk pemikiran kritis, kreativiti, dan kesedaran budaya dalam kalangan generasi muda.
Menggalakkan penyertaan penulis muda
Projek Buku PENA – Malaysia MADANI juga memberi perhatian khusus kepada penulis muda yang mungkin belum mempunyai platform untuk berkarya secara profesional.
Tanpa mengira usia atau latar belakang, projek ini membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada sastera tempatan. Melalui sesi jelajah di seluruh negara, PENA memberikan bimbingan kepada penulis baharu untuk memperkemaskan karya mereka, memberi panduan agar karya yang dihantar memenuhi kualiti yang diperlukan.
Keterbukaan ini memberikan peluang kepada bakat-bakat muda untuk melibatkan diri dalam arena sastera dan mendapatkan bimbingan langsung daripada profesional.
Dengan menyediakan ruang untuk penulis muda berkarya, projek ini dapat mencungkil bakat baharu dan memastikan kesinambungan sastera tempatan melalui generasi seterusnya.
Sastera sebagai alat pembangunan masyarakat MADANI
Projek Buku PENA – Malaysia MADANI juga selari dengan usaha untuk memperkukuh nilai-nilai kemasyarakatan dan kebangsaan melalui sastera. Menurut Dr. Mohamad Saleeh, kandungan karya yang dipilih dalam projek ini tidak terhad pada nilai estetika tetapi juga mengutamakan nilai positif yang mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat.
“Tema yang diketengahkan dalam setiap buku, walaupun pelbagai, tetap berpaksikan kepada nilai kebudayaan, identiti bangsa, dan pembangunan kemanusiaan.
“Dengan memperkenalkan karya-karya ini kepada masyarakat, projek ini berfungsi sebagai satu bentuk pendidikan sosiokultural yang memberi manfaat kepada pembaca dari pelbagai lapisan umur.
“Karya-karya sastera ini bukan sekadar hiburan tetapi juga alat untuk membangunkan minda masyarakat yang kritis, terbuka, dan kaya dengan nilai budaya yang luhur,” katanya kepada Senimalaya.
Harapan masa depan
Projek Buku PENA – Malaysia MADANI, di samping usaha penerbitannya, membawa harapan besar untuk menjadikan sastera sebagai sebahagian daripada budaya hidup masyarakat Malaysia.
PENA berharap agar inisiatif ini tidak hanya “one-off” tetapi diteruskan untuk membina sebuah platform penerbitan yang lestari bagi penulis sastera tempatan.
Usaha ini juga mencerminkan pandangan PENA bahawa permintaan untuk buku sastera akan berkembang jika penawaran karya berkualiti dapat disediakan secara konsisten di pasaran.
Dengan sokongan masyarakat, khususnya generasi muda, Projek Buku PENA – Malaysia MADANI mampu menjadi pelopor dalam memperkasa sastera dan penerbitan buku di Malaysia.
Melalui projek ini, sastera bukan sahaja dihargai sebagai seni tetapi juga sebagai elemen penting dalam pembangunan budaya dan ekonomi negara.
Inilah masa untuk sastera Malaysia berkembang, bukan sekadar di dalam negara tetapi merentasi sempadan antarabangsa, menandakan bahawa karya tempatan mampu berdiri setanding di pentas dunia.

