MENGHASILKAN karya sastera adalah kerja meruntuhkan tembok-tembok, bentang dan segala yang menghalang daripada berfikir dengan bebas dan merdeka. Itulah kerja penulis atau sasterawan – memerdekakan pemikiran. Kemerdekaan itu hanya dikecapi dengan menyusuri karya-karya yang dikerjakan dengan pemikiran yang tidak terbendung.
Semakin banyak karya yang merdeka akan bertambah juga khalayak yang mampu berfikir merentas benteng dan tembok berkenaan. Masa yang sama golongan sasterawan juga perlu merdeka daripada tujuan atau matlamat yang menyimpang daripada kerja meruntuhkan tembok-tembok tadi.
Matlamat yang sedemikian boleh mengurangkan sikap yang suka meminta-minta, sentiasa menyalahkan pihak lain atas segala ketidakupayaan berkarya. Memang benar bidang kesusasteraan memerlukan dokongan birokrat, tetapi semua itu tidak bermakna kalau sasterawan atau penulis tidak merdeka daripada menyalahkan pihak lain.
Dalam hal ini kita boleh melihat ketekunan dan semangat sasterawan besar Nusantara, Pramoedya Ananta Toer yang tidak pernah berasa lelah meruntuhkan tembok yang membendung khalayak berfikir dengan merdeka. Disebabkan hal itu Pramoedya terus berkarya sekalipun dirinya terpasung dalam penjara.
Matlamat Pramoedya menjadi sasterawan amat jelas – membebaskan pemikiran khalayak yang terkepung oleh tembok yang menghalang mereka berfikir dengan merdeka. Maka hal-hal yang menjurus pada keselesaan dan dokongan pihak lain untuk berkarya sudah tidak menjadi beban kepada beliau.
Memang benar menghasilkan novel atau karya bukan fiksyen adalah suatu kerja yang mencabar. Kerja ini melibatkan pemikiran yang secara tidak langsung berkaitan dengan keadaan di sekitar kehidupan pengarangnya. Oleh kerana itu keupayaan Pramoedya menghasilkan beberapa novel ketika dalam penjara tentulah didorong oleh matlamat yang amat jelas.
Menghumban penulis atau sasterawan dalam penjara adalah satu kaedah menumpulkan semangat dan keyakinan pada diri untuk terus hidup. Tekanan dari sudut jiwa ketika dalam penjara boleh menjadikan individu yang digeruni semasa di luar ‘mati’ sebelum waktunya.
Saya percaya banyak yang sudah membaca, atau setidak-tidaknya pernah mendengar judul novel-novel ini – Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Semua buku yang terkumpul bawah judul Tetralogi Pulau Buru ini ditulis ketika pengarangnya menjalani hukuman dan berdepan tekanan jiwa dan fizikal.
Pramoedya bukan tahanan biasa, tetapi tahanan politik yang bertujuan mematikan pengaruh beliau dalam kalangan rakyat, sekaligus membunuh jiwa. Hak sebagai manusia yang semestinya diberi peluang membela diri dan mendapat keadilan dinafikan oleh penguasa.

Pramoedya dipenjara tanpa bicara selama 14 tahun bermula 1965 hingga 1979 di beberapa buah penjara – Tengerang, Salemba, Nusakembangan, Pulau Buru dan Magelang. Paling lama di Pulau Buru iaitu 10 tahun. Ketika di Pulau Buru beliau menulis empat novel dalam Tertalogi Pulau Buru.
Menghasilkan Tertalogi Pulau Buru amat mahal harganya. Semuanya bermula apabila Pramoedya ditangkap oleh sekumpulan pemuda bertopeng dan beliau melalui pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya pada 13 Oktober 1965. Sekalipun terselamat dari maut, Pramoedya dibantai dengan teruk hingga kehilangan deria pendengaran. Bermula saat itu Pramoedya dikurung hingga 14 tahun kemudian tanpa dibuktikan kesalahannya.
Ketakutan rejim Orde Baru terhadap Pramodeya amat luar biasa. Semua buku Pramoedya bukan sahaja diharamkan malah dimusnahkan untuk menyekat pemikiran yang merdeka sampai kepada rakyat. Malah menyebut nama Pramoedya pun boleh mendatangkan musibah. Begitulah takutnya Presiden Suharto kepada lelaki yang berasal bari Blora ini.
Padahal Pramoedya tidak punya apa-apa berbanding Suharto yang amat besar kuasanya. Bezanya hanya kerana Pramoedya mempunyai pemikiran yang merdeka yang tidak boleh direntap oleh sesiapa dan apa cara sekalipun, termasuk penjara. Banyak orang boleh menjadi seperti Suharto, akan tetapi amat sukar mencari seperti Pramoedya.
Novel dalam Tetralogi Pulau Buru diterbitkan tahun 1981 selepas Pramoedya dibebaskan dan menjalani tahanan dalam rumah pada 1979. Bagaimanapun amat malang kerana buku yang ditulis semasa dalam tahanan di Pulau Buru itu terus diharamkan, hinggalah Suharto tersungkur dihempas gelombang reformasi 1998.
Selepas kejatuhan Suharto, pengharaman buku-buku Pramoedya pun ditarik balik. Kini buku karya Pramoedya antara yang mencatatkan jualan tertinggi di Indonesia dan negara ini. Versi terjemahan beredaran pantas di seluruh pelosok dunia.
Empat novel dalam tetralogi itu antara karya Pramoedya yang mendapat sambutan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sejak beberapa tahun lalu. Malah Bumi Manusia pula pernah diterbitkan semula oleh syarikat penerbitan, Biblio Press di Kuala Lumpur.
Jenama ‘Pulau Buru’ menjadi tarikan khalayak yang sudah mengikuti banyak novel lain yang dihasilkan oleh Pramoedya. Sebenarnya buku-buku Pramoedya sudah lama merentas garis diplomatik, Keluarga Gerilya misalnya pernah dijadikan teks sastera di sekolah menengah negara ini pada tahun 1970-an.
Di sebalik semua kekejaman yang dilakukan ke atas beliau, Pramoedya membuktikan bahawa yang terkurung hanya dirinya, bukan jiwa dan semangatnya. Hal itu ditunjukkan dengan menghasilkan karya besar, Tetralogi Pulau Buru yang hingga saat ini terus menggugah pemikiran khalayak.
Sekalipun Pramoedya bukanlah orang pertama yang menulis karya dari dalam penjara, akan tetapi kerja itu bukanlah suatu yang mudah. Halangan dan cabaran yang sangat besar dan banyak penulis yang menjadi tahanan politik tewas pada tekanan jiwa akibat diasing dan disunyikan.
Pramoedya bukan sahaja terkurung, tetapi juga tidak ada peralatan untuk menulis, hatta sebatang pencil dan kertas. Yang ada hanya kertas tandas. Lampu di kem tahanan pula ditutup pada pukul 8 setiap malam. Bagaimanapun semua halangan tidak mampu ‘mematikan’ semangat, keyakinan dan tujuan menulis.
Dalam satu wawancara dengan surat khabar Indonesia, Pramoedya memberitahu, pada tahun 1972, Jeneral Soemitro datang melawat ke Pulau Buru dan bertanya apakah yang beliau perlukan? Pramoedya dengan pantas menyebut – meja tulis, mesin taip, pensil dan kertas. Permintaan tersebut segera dipenuhi oleh Jeneral Soemitro.
Lama sebelum tragedi menimpa Pramoedya, ulama tersohor Ibnu Taimiyyah yang menulis lebih 500 kitab sepanjang hayatnya berdepan keadaan yang sama. Sebahagian besar daripada kitabnya itu ditulis semasa menjalani hukuman penjara. Menulis lebih 500 buku adalah luar biasa. Tetapi lebih luas biasa lagi apabila menulis dalam penjara yang penuh tekanan dan seksaan pada sekitar tahun 650 Hijrah.
Begitu juga keadaannya pemikir tersohor Sayyid Qutb menghasilkan karya tafsir, Tafsir Fi Zhilalil Quran ketika dalam penjara dan menunggu hukuman digantung pada era Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasser tahun 1966. Hukuman itu untuk menghalang pengaruh Sayyid Qutb yang menyertai gerakan Ikhwan Muslimin itu sampai kepada rakyat.
Karya sastera adalah pengarang. Membaca karya adalah menyusuri jiwa dan pemikiran yang dituangkan oleh pengarang. Hubungan pengarang dengan hal-hal di persekitaran hidup dan jiwanya amat mempengaruhi, malah di bawah sedar perkara itu terpancar dalam karya. Penderitaan Pramoedya ketika dalam tahanan juga terbawa-bawa dalam karya, misalnya beliau hampir tidak pernah menyelitkan jenaka dalam novelnya. Pramoedya hilang rasa yang jenaka.
Ahli psikologi, James W. Pennebaker dalam bukunya, Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotion (1990) mengatakan bahawa manusia yang berdepan cabaran getir dan sangat menyeksakan mampu mengeluarkan sesuatu yang besar daripada pemikirannya.
Beliau menambah, semakin terdera dengan penganiayaan atau kekejaman misalnya, individu berkenaan menjadi semakin bertenaga mengalirkan naratif yang menjurus pada semangat untuk bangkit dan melawan dengan cara dan kearifan tersendiri.
Dalam konteks sasterawan, keadaan yang sangat menekan itu menjadi pemangkin lahirnya karya yang besar kesannya kepada khalayak. Kata-kata Pennebaker sangat tepat untuk dirujukkan kepada Pramoedya, sasterawan terkurung yang melawan dengan terus berkarya.
Itulah Pramoedya, sosok yang memiliki keyakinan kuat pada nilai-nilai yang dipercayai dan sekaligus diperjuangkan. Hal itulah yang menjadi pendorong utama beliau menulis. Penjara telah memberi ruang untuk Pramoedya menemukan naratif -naratif baharu yang mungkin tidak akan ditemui di luar.
– KU SEMAN KU HUSSAIN adalah mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang kini menjadi wartawan bebas. Beliau telah menghasilkan dua buku, ‘Anekdot Ku Seman (2018) dan ‘Kata Ku Seman (2023). Kini sedang menyiapkan sebuah memoir yang mencatatkan insiden-insiden penting di sebalik tabir Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Tulisan yang baik untuk memperkenalkan pengarang besar Indonesia, iaitu Pramoedya khususnya kepada khalayak pembaca yang belum mengenali beliau.