“Nostalgia, menyingkap seribu satu kenangan sedari kecil penulis. Bukan autobiografi, buku riwayat hidup. Sekadar petikan peristiwa lampau yang sukar dilupakan begitu sahaja. Mungkin kesinambungan kepada naskhah Imbauan yang pernah ditangani sebelum ini. Mungkin juga sebuah perkongsian yang jujur dalam bentuk sketsa yang santai” (Mie, Nostalgia, 2025).
Demikianlah catatan kartunis Mie, atau nama sebenarnya Ahmad Hilmy Abdullah pada kulit belakang buku terbaharunya Nostalgia, terbitan Penerbit UTM Press (2025). Ini bukanlah buku pertama karya Mie yang diterbitkan oleh penerbit itu, malahan sepuluh tahun lalu, ada naskah lain yang diterbitkannya, iaitu Corat-coret UTM, karya bersama kartunis Lat dan Amir Astar pada tahun 2015 dan CITRA Soaring Upwards bersama Lat (2016). Pada lembaran awal buku Corat-coret UTM tercatat kata-kata “sketsa memoir kehidupan di kampus UTM, Lat, Mie, Amir Astar. Teks oleh Mahmud Jusan.”
Ini merupakan suatu langkah proaktif lagi menarik bagi sebuah penerbit universiti tempatan untuk menerbitkan buku kartun. Jarang kita dengar, mana-mana penerbit universiti yang berbuat demikian, kebanyakannya lebih cenderung untuk menerbitkan buku-buku ilmiah hasil penyelidikan ataupun buku-buku teks kuliah yang digunakan pelajar.
Untuk menerbitkan buku kajian ilmiah mengenai komik dan kartun pun amat sukar sekali dan perlu melalui proses yang ketat lagi memenatkan. Hal ini agak berbeza seperti penerbit University Press of Mississippi di USA yang banyak menerbitkan buku-buku ilmiah mengenai seni ini, terutamanya kajian-kajian oleh sarjana komik tersohor, Profesor Dr. John A. Lent.
Sebagaimana tercermin dalam buku Nostalgia, kartunis Mie memang terkenal dengan karya-karya yang bertemakan kenangan dan nostalgia. Antara karya-karyanya sebelum ini termasuklah Apa Cerita? (Berita Publishing Sdn Bhd, 2013), Apa Cerita Pulak Ni? (Berita Publishing Sdn Bhd, 2014), Imbauan (Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2016), Imbauan 2 (Institut Terjamahan & Buku Malaysia, 2018), dan Pandemie (Rumah Kartun dan Komik Malaysia, 2022).
Berbeza daripada buku-buku sebelum ini yang kebanyakannya menggunakan ilustrasi satu panel dan teks yang agak panjang dalam muka surat berlainan atau terpisah, buku Nostalgia ini menggabungkan lakaran dengan teks secara bersama. Kalau buku-buku sebelum ini lebih cenderung kepada pendekatan kartun editorial yang bersifat satu panel, buku kali ini lebih berbentuk sebuah “nomik”, iaitu gabungan novel dan komik, yang bersandar kepada kekuatan gabungan imejan dan teks, iaitu lakaran linear atau garis dengan teks yang agak panjang.
Nostalgia juga diterbitkan dalam ukuran yang lebih kecil daripada karya-karya Mie yang terdahulu. Bersaiz A5, iaitu sekitar 5.8 in x 8.3 in, bentuk buku ini sama seperti kebanyakan buku komik terbitan arus perdana dan alternatif, malahan karya-karya manga, justeru mudah untuk dibawa bersama dan dibaca di mana-mana juga.
Nostalgia dipersembahkan dalam lapan bahagian utama menerusi sejumlah 202 episod. Setiap episod memenuhi satu muka surat, dengan naratifnya ditampilkan mengikut kronologi masa kehidupan pelukisnya. Lapan bahagian itu adalah: Kenali Mie (Episod 1-33), Cuti di Kampung Salor (Episod 34-57), Wawasan Mie (Episod 58-76), Cuti di Pangkal Kalong (Episod 77-100), Transformasi Anak Polis (Episod 101-111), Saya Budak Sekolah Sains (Episod 112-161), Pesona Mie di Menengah Atas (Episod 162-200), dan Dunia Baharu, UTM Sanjungan Bangsa (Episod 201-202). Nombor episod juga merupakan nombor muka surat buku ini.
Kalau diibaratkan seperti seni catan, buku ini adalah potret diri pelukis, yang mencerminkan dan menggambarkan dirinya sebagaimana dia mahu dilihat oleh khalayak dan penghayatnya. Namun begitu, dari sisi yang lain, Nostalgia menjadi cerminan masa dan zaman di mana khalayak boleh memahami faktor-faktor kontekstual yang mempengaruhi perjalanan kehidupan Mie dan kehidupan masyarakat secara umumnya serta mencorakkan rupa dan jiwa atau bentuk dan makna buku ini.
Seperti novel grafik The Kampung Boy (Berita Publishing Sdn Bhd, Cetakan Pertama Februari 1977), karya terpenting Seniman Negara Datuk Mohamad Nor Khalid atau Lat, Nostalgia karya Mie juga menggunakan pendekatan autobiografi dalam menggambarkan perjalanan hidupnya sebagai seorang anak kampung dan anak polis hingga membesar memasuki universiti. Hal ini yang berbeza dengan Kampung Boy yang berkesudahan dengan watak utamanya meninggalkan kampung untuk bersekolah menengah di bandar. Namun begitu, kedua-duanya tentang perihal penghijrahan daripada satu fasa kehidupan kepada fasa yang selanjutnya.
Seperti banyak kartunis lain, Mie tidak menafikan yang karya-karya Lat banyak mempengaruhi dirinya dalam berkarya. Sebagaimana catatannya, “Idola saya, Dato’ Lat terlalu banyak mencetuskan idea dan memberi tip berguna dalam menentukan perkara yang perlu ditonjolkan bagi menarik minat pembaca. Antara yang lebih mengesankan adalah memberi gambaran sebenar dengan memilih insiden berunsur humor untuk dikongsi. Lat juga menyarankan agar saya memilih satu watak untuk dikekalkan sebagai watak utama seperti mana watak-watak penting dalam kartun beliau. Saya begitu teruja mendapat perhatian dan menerima teguran daripada tokoh kartun yang sudah setengah abad berkarya” (Mie, Apa Cerita Pulak Ni? Berita Publishing Sdn Bhd, 2014: x-xi).
Nasihat Lat menjadi pedoman atau petua berguna buat Mie dan banyak kartunis lain. Justeru itu, dalam Nostalgia, watak utama yang dimaksudkan adalah Mie sendiri dengan watak-watak penting lain yang wujud dalam kehidupannya. Mereka semua adalah watak-watak yang wujud, dan yang menariknya beberapa watak itu adalah figura-figura atau personaliti-personaliti yang terkenal dalam pelbagai bidang masing-masing. Hal ini membuatkan karya Mie ini dekat dengan pembaca kerana watak-watak dan naratifnya dapat dihayati dan dihubungkan dengan kehidupan pembaca sendiri. Lazimnya, karya novel grafik atau komik yang baik itu adalah karya yang dapat diselami rupa dan jiwanya oleh para pembaca atau penghayatnya.
Antara watak-watak ini adalah pelukis komik Nik Nordin, seniman Sabri Yunus, gurunya dan penulis seni Dr. Baharuddin Arus. Mereka adalah watak-watak penting dalam dunia seni persembahan, seni lukis, komik dan kartun. Seiring dengan usianya yang semakin meningkat serta perkembangan kehidupan dan kecenderungannya dengan seni lukis, khususnya komik dan kartun, Mie menampilkan watak-watak atau perkara-perkara penting dunia kesenian itu, sama ada dalam bentuk rupa atau kata-kata, seperti Mishar, Rossem, Lat dan Rejabhad, serta watak-watak kartun ciptaan mereka, Pak Buyung, Pak Adil, Si Atan dan Prebet Dabus. Mie juga tertarik dengan watak-watak kartun global seperti Popeye, Dennis the Menace, Tok Misai dan Nancy yang ditiru dan disalinnya bagi mempertajamkan bakat melukisnya.
Secara umum, Nostalgia mengisahkan kehidupan Mie daripada kecil hinggalah dewasa, iaitu daripada zaman persekolahan sehingga dia melangkahkan kaki melanjutkan pengajian ke universiti. Mie anak anggota polis yang dilahirkan di Kampung Salor, Kota Bharu, justeru membesar di banyak tempat lantaran tugas bapanya itu memerlukan dia berpidah dari satu lokasi ke lokasi-lokasi lain. Dia pernah tinggal di kampung dan di berek polis, berpindah dari satu sekolah ke sekolah-sekolah lain, justeru itu memperkayakan pengamatan dan pengalamannya membesar.
Sedari kecil bakat dan kebolehannya dalam melukis sudah dikesan oleh guru, sehinggakan dia menjadi “pelukis sekolah.” Ini antara pengalaman manisnya, termasuklah membantu pelukis komik terkenal Nik Nordin melukis mural sekolah. Kebolehannya melukis dan statusnya sebagai “pelukis sekolah” itu membuatkan dia popular di kalangan pelajar-pelajar lain, terutamanya pelajar perempuan.
Dalam episod awal ini juga, Mie memperkenalkan Sabri Yunus yang merupakan rakan karib dari zaman kecilnya. Bakat Sabri dalam lakonan, jenaka, dikir barat dan pantun sudah terserlah sejak kecil, sebagaimana catatan Mie sejak umur lapan tahun Sabri sudah boleh berpantun secara spontan, sebagaimana dilukisnya, Sabri berpantun: “Hendak pergi Kubang Pasu, Hendak pergi rumah cikgu, Hendak pergi hari Sabtu, Hendak pergi makan sagu…” (Episod 31).
Bagi pembaca yang berusia dalam lingkungan lima puluhan dan enam puluhan tahun sekarang, seperti Mie yang lahir pada tahun 1961, segala perkara, objek dan subjek yang disentuh dan dilakarkan oleh Mie dalam buku ini akan menimbulkan banyak nostalgia dan kenangan.
Misalnya mesin jahit jenama Merrit, kerusi cap ikan emas, set geometri, peperiksaan penilaian darjah lima, lampu pam minyak tanah atau lampu gas yang disebutnya sebagai “lampu ajaib,” dan pengalaman menonton televisyen guna bateri kereta adalah sebahagian daripada hal yang dilalui generasi itu, terutamanya yang tinggal di kampung pada zaman penuh kepayahan dan belum mempunyai banyak kemudahan awam. Hal ini yang membangkitkan kenangan dan nostalgia, dan dilukis dengan teliti oleh Mie, sesuai dengan judulnya.
Bukan sahaja peristiwa dan benda yang membangkitkan kenangan, sikap dan tingkah laku watak-wataknya juga mencerminkan nilai masyarakat pada zamannya. Inilah faktor-faktor sosiobudaya masyarakat yang menjadi pemangkin dan konteks karya ini.
Misalnya perihal impian ibu bapa atau anak-anak kampung sendiri yang ingin melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh, terutamanya MRSM, ataupun susah payah ibu bapa hingga sanggup bergadai harta demi pelajaran dan kejayaan anak-anak mereka. Perihal jiran tetangga yang menderma dan memberi pelbagai hadiah bagi mengiringi Mie yang berjaya memasuki Sekolah Menengah Sains Kelantan, meskipun MRSM yang menjadi impiannya.
Di samping pengalaman bersekolah, lakaran Mie mengenai kehidupan di kampung juga amat terperinci, misalnya hal-hal yang berkaitan dengan adat dan budaya, seperti dalam episod 34 hingga 57, “Cuti di Kampung Salor.” Pada bahagian ini, Mie melukis rumah tradisional dengan teliti, suasana di dalam rumah dengan pelbagai objek dan perabut, aktiviti membuat permainan bedil buloh, menjamah makanan tradisional seperti kuih akok dan etok salai, mandi air perigi, mengenali peralatan tradisional kukuran dan pelbagai lagi. Seperti Lat dalam Kampung Boy, lakaran Mie mencerminkan kepekaannya terhadap persekitaran dan hal-hal yang halus lagi terperinci. Hal ini kerana, kesemuanya membawa makna peribadi, zaman dan sosiobudaya.
Minat Mie kepada seni komik dan kartun telah bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi dengan meniru atau menyalin watak-watak kartun yang disukainya seperti Popeye, Dennis the Menace, Tok Misai dan Nancy yang dibacanya dalam surat khabar pada tahun 1960-an itu. Dia juga merujuk karya kartunis-kartunis tempatan seperti Mishar, Rossem, Lat dan Rejabhad yang kebanyakannya dibaca dalam majalah Dewan Pelajar. Sewaktu di Tingkatan Enam, dia mula membaca dan merujuk majalah humor MAD yang dipinjamnya daripada anak jirannya. Dia meminati karya-karya kartun Don Martin dan Sergio Aragones. Pada tahun 1976, kartun pertama Mie tersiar dalam majalah URTV.
Kecenderungan Mie kepada karya-karya kartunis dan majalah-majalah yang menjadi rujukannya bukan hanya disebut dengan kata-kata, tetapi turut disertakan dalam bentuk lakaran dalam buku ini, sama ada dilukis semula ataupun menggunakan imej fotografi atau gambar, misalnya lakaran semula watak-watak Popeye, Dennis the Menace, Tok Misai, Nancy, Pak Buyung, Pak Adil, Prebet Dabus, dan Si Atan pada episod 28, ilustrasi kulit majalah MAD dan watak-watak kartun Don Martin dan Sergio Aragones pada episod 184 dan 185. Sementara itu, pendekatan Mie menggabungkan lakaran dengan gambar sebenar bagi menyampaikan cerita amat menarik dan kreatif dalam memberi konotasi ruang dan waktu dengan lebih nyata.
Di samping mengasah bakat melukis dengan merujuk bahan-bahan terbitan seperti surat khabar dan majalah, akhirnya Mie mendapat bimbingan melukis yang sistematik daripada guru lukisannya Baharuddin Arus, yang disifatkan sebagai “cikgu lukisan pertama” baginya. Cikgu Bahar bukan sahaja mengajarnya melukis, tetapi mengenali pelbagai teknik, bahan dan teori seni. Menyedari minat Mie kepada seni kartun, Cikgu Bahar berkata “tak mengapa, sebab kalau sudah jadi arkitek pun, Mie masih boleh melukis kartun” (Episod 184). Itulah kata-kata Cikgu Bahar yang diingatinya sampai sekarang dan sudah pun menjadi suatu kenyataan.
Nostalgia diakhiri dengan bahagian kelapan, Dunia Baharu, UTM Sanjungan Bangsa (Episod 201 dan 202) di mana akhirnya Mie mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Seni Bina di UTM setelah mendapat kelulusan yang disifatkannya sebagai “cukup-cukup makan” dalam SPM. Dengan melonjak kegembiraan, dia berkata, “UTM AKU DATANG!” Sekarang, di samping melukis kartun, Mie memang merupakan seorang Arkitek Profesional Berdaftar di bawah Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).
Membaca Nostalgia memungkinkan kita mengenali Mie sebagai seorang kartunis, di samping memahami zaman dan masa yang dilaluinya. Satu ruang waktu yang memerihalkan pengalaman banyak orang yang membesar pada akhir tahun 1960-an hingga awal 1980-an, ketika negara masih mundur, terkebelakang dan tiada banyak kemudahan awam, terutamanya bagi masyarakat di kampung dan daerah pendalaman. Suatu fasa masa ketika pekan dan bandar masih dipenuhi dengan deretan bangunan kedai kayu yang serba kekurangan.
Naratifnya mudah difahami kerana dipersembahkan secara kronologi sesuai dengan pendekatan autobiografi, diiringi teks dan bahasa yang mudah serta ilustrasi yang linear tetapi terperinci. Meskipun di penghujung cerita, teks yang terlalu panjang mula mendominasi lembaran yang padat, kepekaan Mie menangkap persekitarannya memungkinkan pembaca menyelami watak-watak dan ruang kewujudan mereka. Mungkin pada karya akan datang, peruntukan ruang lakaran yang lebih besar dan utama harus diberikan berbanding teks yang terlalu panjang, kerana kekuatan ilustrasi seharusnya dapat menyampaikan naratif dengan berkesan.
Buku kartun oleh Mie ini bukan sahaja menggamit nostalgia pengarangnya, tetapi juga para pembaca yang melalui kehidupan pada fasa masa, ruang dan zaman yang sama. Meskipun ini cerita peribadi, pada masa yang sama ia membangkitkan memori pembaca, ada unsur universal, pengajaran dan memberi inspirasi, di samping menampilkan nilai-nilai hidup dalam sosiobudaya masyarakat Melayu yang menjadi latar kehidupan dan faktor kontekstual novel grafik ini.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.


Terharu. Satu sorotan dan riview yang amat terperinci, luhur dan merangsangkan minda untuk saya terus berkarya.
Alhamdulillah. Terima kasih daun keladi, prof….
Satu komen yang padat dan bernas. Saya amat bersetuju dengan komen Prof Dr Muliyadi. Juga tahniah kepada Ar Ahmad Hilmy atas hasil nukilannya yang juga secara tidak langsung menyentuh realiti kehidupan ramai di waktu yang sezaman dengannya.