“Nanti dia tulis,” kata Airmas. Dengan kesalnya dia menjeling kepada rak buku yang senget itu dan kemudian kepada isterinya. Dia bimbang kami akan menulis mengenai ‘sesuatu’ yang dianggap sebagai rak buku itu.
Tidak diketahui sama ada dia marahkan rak tersebut atau pun isterinya.
Dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar, kami singgah di Sungai Siput untuk memberi tunduk hormat kepada Airmas yang kami hormati itu.
Dengan terhapusnya segala kebaikan yang sepatutnya ada di rak buku, dia menyangka ‘benda’ tersebut akan membuktikan bahawa dia sebenarnya seorang pembaca serius. Mata jahat kami melihat sekeliling dan kelihatan adalah buku yang kali terakhir dibeli pada tahun 1983.
Hati baik kami memujuk diri sambil berkata mungkin dia sebenarnya seorang pengumpul buku-buku langka. Namun tidak terbujuk dek kerana hampa oleh perbuatannya yang tidak menghormati ilmu itu. Langka atau baru, buku harus dihormati selayaknya.
Dia kemudiannya menghalakan telunjuknya kepada sebuah buku hasil tulisan kami. Macamlah kami ini peduli. Hanya sebuah, sedangkan kami sudah menulis empat buah buku!
Jenis binawe.
Kesilapan besar yang dilakukan oleh sesetengah orang ialah mereka beranggapan bahawa apa sahaja tentang diri mereka ada kebaikan untuk ditulis dan apabila penulis hebat seperti kami datang melawat, walaupun kelihatan resah, mereka sebenarnya berharap bahawa kehidupan mundane mereka akan menjadi bahan untuk karya agung kami.
Sepertinya kami ini seorang penulis yang lompong idea dan akan sentiasa memburunya setiap masa lalu tanpa ada rasa bersalah menggunakan nama dan cerita orang terdekat sebagai modal.
Nampaknya mereka terlalu memandang rendah akan keupayaan menulis yang kami miliki.
Demi untuk membuktikan semua itu adalah salah, kami memutuskan untuk tidak menulis mengenai rak buku yang menunggu rebah di rumah Airmas SZ, seorang penyanyi rock kapak yang gagal dan masih mengharapkan kegemilangan masa lalu berulang kembali. Dan kegemilangan yang dikenang itu pula hanyalah berpanggung di medan-medan funfair dengan tiket berharga RM3.50 seorang. Tanda kegagalan terbesar dalam hidupnya ialah apabila dia memuja band SYJ, band yang dianggap lagenda oleh orang Perak sahaja.
Orang Perak, kalau tak bangga dengan SYJ, dia bangga dengan laksa kuala yang tak sedap itu. Kemudian bangga dengan Laki Hanim, orang Terengganu tapi menyanyangi Ipoh lebih dari Gong Badak itu. Sesuai lah mereka duduk bersama kerana kedua-duanya tidak ada jati diri Melayu yang kuat.
Akibat terlalu lama diperintah British gamaknya.
Laki Hanim juga banyak menterjemah buku-buku mengenai pendudukan komunis di Tanah Melayu. Kami harap KDN menyiasat kecenderungan politik yang dia pegang.
Kami mengenal Airmas melalui portal Esastera.com. Kami sama-sama menulis di sana dan kemudian, dengan rasa yang sangat kesal, menjadi rapat dengan dia. Dia kemudiannya banyak menghasilkan lagu-lagu dari puisi yang kami tulis. Kerana itu kami berterima kasih. Namun tidak satu pun lagu-lagu berkenaan menjadi hit dan kami menyalahkan dia kerana menggagalkan impian untuk menjadi sebesar gemulah Loloq.
Lagu-lagu hasil karangan Airmas masih boleh dilayari di YouTube. Cuma kami gagal menemui jaringannya untuk dikongsi di sini. Jika berminat untuk mendengarnya, kami sarankan kamu melayari laman tersebut dan membuat carian dengan menggunakan nama ‘Airmas SZ’ sebagai contoh.
Menurut Laki Hanim yang kami temui sebelum itu, Esastera adalah sebuah portal yang selalu dilupakan apabila kita bercakap mengenai sastera. Dia berpendapat bahawa portal tersebut sebetulnya memberi sumbangan besar kepada dunia sastera tempatan.
Sebelum lebih banyak portal-portal yang menumpukan kepada sajak, puisi, cerpen dan sebagainya, portal tersebut telah dengan amat bergaya membawa sekian banyak penulis yang pada asalnya sekadar suka-suka, kemudiannya mengambil serius dunia yang satu itu.
Malah Esastera mungkin adalah portal atas talian yang pertama yang menganugerahkan hadiah Sasterawan Alam Siber (SAS) yang membawa hadiah sebanyak RM10,000. Diantara pemenangnya ialah Al-Abror Mohd Yusuf dan juga Anbakri Haron.
Abror kini ialah seorang editor di portal Malaysiakini. Dia juga adalah seorang penyokong tegar partai PAS dan memegang anugerah penyumbang terbesar tabung untuk membina tujuh buah kubah madrasah yang dibina oleh Ahmad Dusuki Abdul Rani.
Wan Abu Bakar Wan Abas atau lebih dikenali sebagai Dr Irwan Abu Bakar memulakan portal Esastera pada tahun 2002 dan portal itu kemudiannya menjadi medan yang penting untuk sebahagian besar penulis.
Ia juga menjadi tapak untuk beberapa penulis muda yang kemudiannya menjadi penulis terkenal alam sastera. Diantara penulis-penulis yang boleh dianggap sebagai bermula di Esastera ialah Fahd Razy, Mohd Dahri Zakaria dan juga N Faizal Ghazali.
Fahd Razy dan Faizal kini adalah penulis dan juga pemilik toko buku yang disegani manakala kami merasa agak segan untuk menulis mengenai Mohd Dahri, lelaki dari Besut yang kuat jati diri Kelantan dan ke mana-mana dengan topi koboinya itu.
Nama-nama lain yang pernah aktif menulis di portal berkenaan ialah Jimadie Shah Othman, Lutfi Ishak, Nimoiz TY, Salman Sulaiman, Anjan Ahzana, Rimanilzah dan beberapa nama lain.
Kami sengaja tidak menyebut nama Fazallah Pit di sini kerana portal Selangorkini yang diselenggara olehnya itu selalu lambat menyiarkan artikel yang kami hantar. Kali terakhir kami menghantar artikel ke portal tersebut ialah pada tahun-tahun sebelum Covid-19 dan disiarkan hampir dua bulan setelah itu.
Kami merasa amat tidak dihargai lalu tidak lagi menghantar apa-apa tulisan kesana.
Dah la bayar murah.
Portal Esastera juga memperkenalkan satu perkataan baru iaitu Sajen bagi mewakili sajak-sajak dalam genre jenaka. Perkataan ini diperkenalkan oleh pemuisi dan penulis terkenal Arisel Ba.
Yang lebih menarik, portal tersebut bukan saja menjadi tempat untuk penulis baru malah penulis-penulis yang sudah terkenal juga giat berkarya di portal berkenaan. Puzi Hadi adalah antara penulis terkenal yang mengambil berat akan portal tersebut manakala T Alias Taib pula mungkin boleh dianggap sebagai godfather portal berkenaan.
Kami tidak tahu sama ada portal berkenaan masih aktif atau tidak. Carian di internet hanya menemukan beberapa jaringan lama portal berkenaan. Pun begitu akaun Facebook portal berkenaan dilihat masih menghasilkan karya dan berita terbaru.
Airmas menjamu kami di sebuah warung berhampiran rumahnya. Di warung tersebut kami dapati hidangannya banyak yang datang dari Pantai Timur. Ada nasi dagang dan laksam dan jika tidak salah penglihatan terdapat juga menu nasi kerabu di situ.
Keinginan kami untuk merasai hidangan tempatan terbantut dan kami menyalahkan seluruh penduduk negeri Perak dek kerana sifat mereka yang mudah mengambil ringan budaya setempat.
Mana perginya nasi lemuni, gulai kemahang, kebebe, dadar telur ikan loma, bubur anak lebah, serawa kuinin, kalakatar dan juga kelemai. Mana?
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang sangat meminati kumpulan May dan Olan.


Bukankah e-Sastera sudah muncul dalam Facebook?