Amaran: Ini mungkin spoiler, mungkin tidak.
Vince Gilligan sentiasa ada sentuhan pelik yang lembut tetapi meresap perlahan. Walaupun namanya paling sinonim dengan dunia Walter White dalam Breaking Bad, Jesse Pinkman dalam El Camino dan James McGill/Saul Goodman dalam Better Call Saul, minat sebenar Gilligan sebenarnya sudah dapat dikesan sejak awal kerjayanya sebagai penulis, penerbit dan pengarah untuk siri popular The X-Files.
Di situlah dia mula bereksperimen dengan persoalan yang kemudian menjadi teras seluruh dunia kreatifnya: bagaimana manusia berubah apabila sistem yang lebih besar, sama ada kerajaan, teknologi, institusi atau kuasa yang tidak dapat dilihat, mula menentukan apa itu kebaikan, apa itu kebahagiaan dan apa itu kebenaran.
Dalam banyak karyanya, Gilligan sering memberi fokus kepada individu biasa yang terperangkap dalam struktur luar kawalan, memaksa mereka menyoal kembali kewarasan dan autonomi mereka sendiri. Benih inilah yang berkembang menjadi obsesi naratifnya: keinginan manusia untuk memudahkan hidup walaupun harganya ialah kebebasan diri.
Bermula dengan Breaking Bad, Gilligan memilih Albuquerque di New Mexico, bandaraya gurun yang sunyi dan luas, sebagai latar yang serasi dengan banyak karyanya. Di bandaraya berdebu dengan langit cerah yang tidak berpenghujung itu, dia menempatkan watak-watak yang selalu bergelut dengan diri sendiri, mencari makna dalam ruang tenang yang tidak pernah memihak kepada sesiapa. Albuquerque bukan sekadar lokasi; ia adalah watak tambahan yang menyerap dan memantulkan penceritaan Gilligan.
Pluribus, ciptaan terbaharunya, meneruskan obsesi yang sama sambil kembali ke akar fiksyen sains. Kita dibawa semula ke Albuquerque, tetapi kali ini tanpa dunia kartel dadah, makmal syabu atau undang-undang yang retak. Gilligan membina dunia yang lembut dan aman, dunia di mana majoriti manusia telah diserap ke dalam satu kesedaran kolektif, sejenis hive mind, melalui fenomena misteri yang dinamakan joining.
Hive mind itu beroperasi seperti rangkaian saraf gergasi yang berkongsi emosi dan kehendak seolah-olah dunia akhirnya menemui versi bahagia yang paling ideal. Tetapi dalam pandemik kebahagiaan itulah Gilligan mula mengupas lapisan demi lapisan, menunjukkan bahawa manusia yang tidak lagi sendirian sebenarnya adalah manusia yang tidak lagi ada ruang untuk menjadi dirinya sendiri.
Kita diperkenalkan kepada Carol Sturka, novelis romantik yang dibawakan Rhea Seehorn (Kim Wexler dalam Better Call Saul), seorang yang hidup di luar utopia itu bukan kerana pilihan, tetapi kerana dia kebal terhadap virus yang memaksa seluruh dunia berkongsi kesedaran. Setakat episod 3, kita diberitahu hanya ada 13 orang di seluruh dunia yang tidak dijangkiti virus yang telah mengorbankan 886 juta nyawa setakat itu.
Antara yang terkorban adalah pengurus/kekasih Carol, Helen. Lebih menyedihkan, Carol hanya mengetahui kemudian bahawa tubuh dan emosinya bukan sekadar tidak diserap; ia menjadi punca kemusnahan. Setiap ledakan kecil emosi sama ada marah, panik atau terkejut akan memancar ke seluruh dunia seperti arus elektrik yang tersilap sambung. Dan setiap kali itu berlaku, ada manusia yang akan mati.
Apabila Carol bertemu dengan beberapa orang lain yang tidak dijangkiti, dia mendapati mereka tidak berminat untuk melawan. Soalan mereka kepada Carol hanyalah semudah “Why?”. Mereka lebih memilih untuk menerima takdir dan kelihatan agak gembira dengan susunan dunia baharu yang telah terbentuk.
Kekecewaan dan kekeliruan itu membuat Carol berasa lebih terasing; bukan sahaja daripada hive mind, tetapi juga daripada manusia yang sepatutnya senasib dengannya. Dan di sinilah dia diberitahu bahawa daripada 886 juta nyawa yang terkorban, 11 juta daripadanya maut akibat ledakan emosinya sendiri.
Tema distopia ini bukan baharu dalam fiksyen sains. Brave New World oleh Aldous Huxley (1932) sudah pun membayangkan utopia tanpa kesedihan yang akhirnya menjadi penjara halus. Dalam fiksyen itu, manusia hidup dalam kebahagiaan stabil melalui medikasi, hiburan dan penindasan terhadap emosi mendalam. Tidak ada kebimbangan atau kesakitan, tetapi juga tidak ada kebebasan. John the Savage menentang masyarakat itu kerana dia mahu hak untuk merasa sedih, kecewa dan terluka. Baginya, itulah erti menjadi manusia.
Perasaan inilah yang hidup semula melalui Carol. Ketika Carol melihat dunia yang bahagia, dia tidak melihat ketenangan tetapi kekosongan. Wajah-wajah yang tenang itu tenang kerana mereka tidak lagi memikul beban emosi individu. Mereka tidak perlu melalui kehilangan, keraguan atau renungan panjang. Dalam dunia yang menganggap emosi manusia sebagai gangguan, Carol muncul seperti John the Savage. Dia menjadi satu-satunya manusia yang masih memegang hak untuk merasa.
Menariknya, Gilligan tidak menjadikan hive mind sebagai watak jahat. Ia (atau “kami” dan “kita”) tidak mahu menakluk dunia. Ia hanya mahu membantu tetapi bantuan itu datang daripada cara memahami manusia secara literal, bukan intuitif. Kebaikan tanpa kebijaksanaan sering membuahkan mudarat yang tidak disangka.
Hive mind mahu menggembirakan semua orang, tetapi dalam usahanya itu ia mula menentukan kebahagiaan mengikut logiknya. Manusia yang enggan “bersatu” dianggap tidak lengkap. Manusia yang terlalu banyak perasaan dianggap bermasalah.
Di sinilah siri ini menjadi cermin kepada dunia kita. Kita hidup dalam masyarakat yang semakin tidak sabar terhadap emosi manusia. Kesedihan dianggap masalah yang harus diperbaiki. Kegelisahan dianggap kecacatan, bukan kerumitan. Kita diajar bahawa emosi mesti konsisten dan mudah difahami. Dalam dunia seperti ini, manusia yang rumit sering dianggap beban.
Pluribus adalah kritikan kepada normalisasi ini. Gilligan seolah mengingatkan bahawa manusia memerlukan konflik dan kekeliruan. Tanpa itu, manusia hilang rangkaian pengalaman yang membentuk keaslian diri. Seni, cinta, kreativiti, puisi dan renungan memerlukan ruang untuk salah, gagal dan meraba dalam gelap. Hive mind tidak mengenal ruang gelap itu.
Dalam perjalanan Carol yang terasa semakin sunyi, siri ini menunjukkan apa yang benar-benar dipertaruhkan. Bukan sekadar identiti tetapi keupayaan untuk menjadi manusia. Menjadi manusia bukan soal kesempurnaan atau keselarasan. Menjadi manusia ialah perjalanan yang tidak pernah siap, penuh dengan ketidaksempurnaan dan konflik dalaman.
Pada akhirnya, Pluribus bukan sekadar kisah tentang hive mind. Ia kisah tentang manusia yang semakin takut menjadi manusia. Dunia yang aman tanpa suara sumbang atau emosi yang tidak seragam mungkin kelihatan ideal tetapi ia menuntut pengorbanan yang terlalu besar. Untuk mencapai ketenangan seperti itu, kita perlu memadam naluri, kerumitan dan imaginasi. Apabila semuanya dipadamkan, apa lagi yang tinggal?
Gilligan memberikan jawapan secara perlahan. Yang tinggal hanyalah tubuh manusia, bukan manusia itu sendiri.
Persoalan hive mind bukan perkara baharu dalam budaya. Dari Star Trek dengan Borg, hingga eksperimen sosiologi era moden seperti Black Mirror, kita sering takut dengan idea kehilangan identiti. Namun Pluribus lebih halus dan lebih dekat dengan realiti kita hari ini. Tidak seperti Borg yang jelas antagonis, hive mind dalam Pluribus datang sebagai penyelamat. Ia menawarkan kebahagiaan mutlak. Dalam dunia di mana manusia sering letih dan cemas, janji seperti itu sangat mudah diterima.
Walaupun Brave New World dan Pluribus bergerak dalam dunia fiksyen berbeza, ada satu penyatuan yang menarik: dalam novel Huxley, masyarakat hidup dalam kebahagiaan yang dikawal melalui medikasi, hiburan dan penindasan halus terhadap emosi mendalam. Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang dikawal melalui kegembiraan.
Dalam Pluribus, kawalan itu berlaku melalui perkongsian minda. Yang menarik, kedua-duanya menunjukkan dunia di mana kesunyian dan keresahan dianggap penyakit, bukan sebahagian asas manusia. Dalam satu babak awal, ketika Carol dikelilingi mereka yang sudah “bersatu”, dia menyedari dirinya seperti seorang pengembara di tengah keramaian yang diam serentak; semua tersenyum, tetapi tiada seorang pun benar-benar hadir.
Kesunyian itu begitu nyata, seolah-olah dia satu-satunya manusia yang masih hidup dengan seluruh kompleksiti dan ketidaksempurnaannya sendiri. Perasaan itu sama seperti John dalam Brave New World.
Gilligan tidak berminat mencipta distopia ganas. Dia lebih suka bertanya soalan yang perlahan-lahan menghantui penonton. Dalam Breaking Bad, dia bertanya sejauh mana manusia boleh mengubah diri demi rasa berkuasa. Dalam Better Call Saul, dia bertanya berapa jauh seseorang sanggup melentur moral untuk mengisi kekosongan dalam diri.
Kini dalam Pluribus, soalan utamanya lebih besar dan lebih dekat dengan dunia kita: apakah harga kebahagiaan kolektif jika kita perlu mengorbankan suara dalam diri yang tidak sehaluan dengan orang lain?
Kerana jika difikirkan, kita sudah pun hidup dalam versi kecil hive mind. Media sosial menghubungkan kita kepada aliran pemikiran massa yang boleh menyebabkan kita berfikir benda yang sama, takut kepada benda yang sama, marah kepada benda yang sama dan merayakan benda yang sama, dalam masa yang sama.
Algoritma pula merumuskan apa yang kita mahu sebelum kita sempat memilih. Pluribus mengolah ketakutan ini secara dramatik tetapi realistik: apabila kesedaran kolektif mula menentukan apa itu normal, apa itu bahagia, dan apa itu baik, mereka yang enggan patuh akan terpinggir atau dianggap rosak.
Pluribus mempersembahkan dunia yang tampak aman, namun di sebalik ketenangan itu berdenyut kesepian halus yang memenuhi setiap inci naratifnya. Gilligan, seperti biasa, tidak menawarkan jawapan atau penghakiman. Dia hanya meletakkan sebuah cermin besar di hadapan kita, dan selebihnya terserah kepada kita untuk melihat sejauh mana kita telah, atau sedang, berubah menjadi versi kecil Pluribus dalam dunia kita sendiri.
– AHMAD KAMAL ABU BAKAR tidak dibayar oleh Apple TV untuk menulis rencana ini.
