Bagi sesebuah kumpulan muzik, bermain di luar negara mungkin kelihatan seperti sebuah pencapaian. Namun bagi Pitahati, perjalanan ke Bali untuk menyertai AXEAN Festival 2026 membawa makna yang lebih luas: sebuah peluang untuk mendengar, bertemu, bertukar dan melihat semula kedudukan muzik Malaysia dalam landskap Asia Tenggara yang semakin saling terhubung.
Kehadiran Pitahati di AXEAN Festival 2026 bukan sekadar soal membawa nama Malaysia ke pentas luar negara. Ia mengangkat persoalan yang lebih besar: bagaimana muzik dari Malaysia boleh bergerak melampaui sempadan, bukan sebagai persembahan eksotik dari rantau ini, tetapi sebagai sebahagian daripada ekosistem muzik Asia Tenggara yang saling berhubung.

Pada 29 dan 30 Ogos 2026, Jimbaran Hub di Bali menjadi titik pertemuan penting bagi muzik Asia Tenggara menerusi AXEAN Festival.
Edisi keenam festival ini menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, selain persidangan, sesi jaringan dan program pembangunan industri muzik seperti forum, conference, bual bicara, mentorship dan lain lain hal bersangkutan industri muzik.
Di antara barisan tersebut ialah Pitahati, kumpulan ‘Psych Rock‘ Malaysia yang akan berkongsi pentas bersama dua lagi wakil negara, MASDO serta kolaborasi Lil Asian Thiccie x DJ Magn3sium.
Namun, kepentingan penyertaan Pitahati mungkin terletak kurang pada persoalan siapa yang berada di atas pentas, dan lebih kepada apa yang berlaku di sekelilingnya.
Dalam ranah muzik hari ini, festival antarabangsa tidak lagi semata-mata menjadi ruang bagi karyawan membuat persembahkan, ia juga berfungsi sebagai infrastruktur dan tempat di mana muzik bertemu industri, jaringan bertemu peluang, dan identiti tempatan diuji dalam pendekatan yang lebih meluas.
Bagi Pitahati, peluang tersebut hadir sebagai kemungkinan untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar serta penggiat industri dari Asia Tenggara dan luar rantau.
“Bila kita pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain,” kata Ilham, vokalis Pitahati. “Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain, dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai.”

Pernyataan itu penting kerana ia mengalihkan tumpuan daripada naratif lama tentang kejayaan antarabangsa, seolah-olah satu persembahan di luar negara dengan sendirinya menjadi ukuran kemajuan.
Hakikat yang jauh lebih rumit, pasaran muzik tidak dibina melalui satu pentas.
AXEAN sendiri lahir dengan orientasi yang jelas terhadap pertukaran dan eksport muzik serantau. Sejak penubuhannya pada 2020, platform ini telah menampilkan lebih 200 artis dari 20 negara, selain menghimpunkan ratusan delegasi industri.
Festival sebegini menyediakan sesuatu yang sukar diperoleh melalui saluran domestik semata-mata: akses kepada jaringan serantau.
Dalam hal tersebut, penyertaan Pitahati boleh dibaca sebagai sebahagian daripada proses yang lebih Panjang, proses menguji bagaimana sebuah kumpulan dari Malaysia berfungsi apabila ditempatkan dalam ekologi muzik yang tidak lagi ditentukan sepenuhnya oleh sempadan nasional.
Rahman, pengurus Pitahati, melihat peluang itu bukan sekadar sebagai persembahan di luar negara, tetapi sebagai ruang untuk bertemu pendengar dan pemain industri baharu.
Pandangan tersebut turut dikongsi Keon Omar, pengurus produksi di Luncai Emas, yang menegaskan bahawa pembangunan pasaran memerlukan kesinambungan: lebih banyak persembahan, kerjasama antara artis, pertukaran industri, promosi dan pembinaan komuniti pendengar di negara lain.

Di sinilah persoalan yang lebih besar muncul. Jika muzik Malaysia mahu bergerak secara serius ke pasaran ASEAN, apakah infrastruktur yang tersedia untuk menyokongnya?
Selama bertahun-tahun, perbincangan tentang “membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa” sering berhenti pada simbolisme. Artis dihantar ke festival, gambar pentas dikongsi, dan penyertaan itu kemudian dianggap sebagai pencapaian.
Tetapi eksport budaya yang berkesan memerlukan sesuatu yang lebih berterusan: strategi, pembiayaan, pengurusan, promosi, hubungan industri dan ekosistem persembahan yang dapat mengekalkan momentum selepas lampu festival dipadamkan.
Dalam hal ini, AXEAN menjadi menarik bukan kerana ia memberikan jawapan mudah, tetapi kerana ia menyediakan medan untuk proses tersebut berlaku.
Kehadiran artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan negara lain menjadikan festival ini sebuah ruang pertemuan yang melampaui logik “wakil negara”.
Di sini, muzik boleh dibaca sebagai bahasa serantau yang bergerak merentasi identiti, genre dan geografi.
Bagi Pitahati, persoalannya bukan bagaimana menjadi “band Malaysia” di Bali, tetapi bagaimana muzik mereka boleh berbicara apabila diletakkan bersebelahan dengan bunyi-bunyi lain dari rantau ini.

“Kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu,” kata Ilham, merujuk kepada perkembangan muzik Asia Tenggara.
Frasa tersebut mungkin menjadi kunci kepada penyertaan mereka. Muzik serantau tidak lagi perlu menunggu pengiktirafan daripada pusat-pusat budaya Barat sebelum dianggap relevan.
Asia Tenggara sendiri mempunyai ekosistem, penonton dan jaringan yang semakin matang untuk membentuk perbualannya sendiri.
Namun, untuk sampai ke tahap itu, mobiliti artis perlu dilihat sebagai pelaburan budaya, bukan acara bermusim.
Keon turut berharap lebih banyak sokongan daripada sektor kerajaan dan swasta dapat diberikan agar identiti muzik Melayu lebih dikenali di peringkat antarabangsa.
Apa yang berlaku selepas AXEAN, justeru, mungkin lebih penting daripada apa yang berlaku di pentas AXEAN.
Adakah akan lahir persembahan susulan? Kolaborasi baharu? Jelajah? Pertukaran artis? Pendengar baharu? Atau jaringan industri yang dapat diterjemahkan kepada peluang sebenar?

Jawapan kepada persoalan-persoalan inilah yang akan menentukan sama ada penyertaan Pitahati sekadar sebuah detik dalam kalendar festival, atau satu langkah kecil menuju mobiliti muzik Malaysia yang lebih konsisten.
Di Bali, Pitahati akan beraksi sebagai sebuah kumpulan dari Malaysia, tapi nilai sebenar perjalanan itu mungkin terletak pada apa yang akan mereka bawa pulang; hubungan, pengetahuan, kemungkinan dan kefahaman bahawa muzik Asia Tenggara tidak berada di pinggir pembicaraan global, ia sedang membina dan mencipta perbualanya sendiri.

Maklumat lanjut: AXEAN Festival
