PERNAH ada kolumnis Senimalaya yang buat artikel yang bersambung selepas hampir setahun? Rasanya tak ada. Itulah keistimewaan darah muda, kreatif walaupun dalam tugas menulis kolum. Tak macam Abdullah Jones.
Saya mahu sambung artikel yang diterbit pada November tahun lalu, tentang Pitahati. Waktu itu, saya mengulas lagu tunggal mereka, Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) dan persoalan besar yang saya letak pada tajuk: Pitahati mahu jadi apa?
Soalan itu saya kemukakan kerana melalui Ana Yang Punya, kekuatan identiti Pitahati saya lihat mula terhakis. Orang menyamakan lagu mereka dengan lagu The Doors, malah status sebahagian ahli mereka sebagai “anak M. Nasir” mula dipetik-petik.
Sekarang sudah sampai masa saya memuktamadkan penilaian sebab Ilham ada hantar semua trek album baharu mereka, Algoritma 432 kepada saya. Sebenarnya dah lama dia hantar, saya saja yang baru nak ulas.

Dan keputusan saya, menjawab soalan saya dahulu, Pitahati mahu jadi dia. Maknanya, mereka masih mahu menegakkan identiti tersendiri, jadi berbeza dan tidak terpengaruh dengan trend-trend semasa.
Itu kesimpulan yang saya buat selepas mendengar album mereka yang berdurasi 1 jam 19 minit itu. Ada 12 lagu semuanya dan lagu paling pendek berdurasi 4 minit 15 saat.
Cerita lagu bercangkuk
Saya suka bila kugiran buat lagu panjang-panjang. Ia semacam jari tengah kepada TikTok, reels Instragram dan had huruf X. Orang cakap, manusia sekarang rentang perhatiannya pendek, jadi semua kandungan perlu pendek-pendek. Nah jari tengah dari Pitahati. Siapa suruh tatal TikTok setiap malam? Awak yang lemah, kenapa nak orang lain pun lemah macam awak?
Perasaannya lebih kurang bila Glistening Redchair terbitkan lagu babyfucker. Waktu orang lain menulis dengan ejaan mengarut di Facebook (bvnvh, b0d0h) sebab takut disekat algoritma medsos, dia selamba menggunakan tajuk yang mengandungi kata carut.
Tapi, tak semua juga lagu seharusnya panjang. Ada lagu yang sesuai pendek-pendek sebab lagu yang panjang tak kena tempat boleh ganggu stamina pendengar. Berbeza dengan apa yang saya dengar dalam Algoritma 432. Kepanjangan lagu-lagu yang ada sangat sesuai dan tidak memenatkan.
Saya fikir, satu hal yang dikuasai Pitahati, yang tidak begitu menyerlah pada kugiran tempatan lain, ialah penceritaan.
Yang saya maksudkan bukan naratif bersambung-sambung pada lirik, sebaliknya dinamik dan tekstur muzik yang disusun teliti, memberikan kita kepuasan sonik yang katartik. Ia ada dalam hampir kesemua lagu dalam Algoritma 432, lebih menyerlah pada Suaka, Serdadu Jiwa dan Hidup Adalah Janji.
Penceritaan Pitahati pada susunan dan permainan instrumen buat kita tersangkut mahu mendengar sampai habis – seperti novel yang plotnya disusun kemas, kita mahu baca dan terus baca.
Itu menyebabkan durasi panjang Algoritma 432 boleh diterima, walau akan dibenci algoritma media sosial dan kaki tatal TikTok.
Janji serdadu suaka
Bayangkan The Great Gig in the Sky tapi penyanyi latarnya lebih gembira dan bahagia, yang menikmati hidup dan terlalai mengingati mati. Itu bayangan yang datang berkali-kali ketika saya mendengar separuh kedua Hidup Adalah Janji, yang bagi saya, kalaupun bukan lagu terbaik dalam Algoritma 432, ia yang paling menarik.
Pitahati merangkul akar psikedelik retronya dalam lagu ini, dengan mood santai tapi masih intens, ringkas tapi mendalam. Melodi vokalnya membawa kita kembali ke 1980-an, ke baju tie-dye tak berlengan, ke Fung Keong, ke Kembara Seniman Jalanan, dengan hiasan bunyi yang lebih sofistikated.
Serdadu Jiwa, walaupun disenarai sebagai trek kedua, jadi tempat anggota Pitahati melepas geram. Rancak dan memasak semangat. Rentak blues jadi pembuka lalu ditutup dengan persembahan instrumental yang menggelegak.
Trek yang hampir lapan minit ini tidak terasa panjang kerana dinamiknya menarik. Jika didengar mengikut turutan, ia lagu penting yang mencangkuk kita untuk terus mendengar Algoritma 432.

Sebagai peminat Neutral Milk Hotel, saya selalu tertunggu lagu yang memanfaatkan bunyi sayu yang ada pada alat tiup seperti trombon dan trumpet. Instrumen itu lebih berkesan membawa suasana meriah (festive) tetapi ia juga ada sifat sayu – seperti memandang ke balik tirai sarkas, melihat hidup sadis penghiburnya.
Pitahati memanfaatkan sifat itu melalui Suaka. Trek yang lebih perlahan dan para gitar, bass serta dram lebih bertenang; tugas mewarna lagu lebih dipegang synthesizer dan alat tiup.
432 sama dengan 9
Dari segi kepuasan sonik, saya boleh letak Algoritma 432 sebagai terbitan tempatan terbaik tahun ini, sekelompok dengan EP Gundah-Gulana oleh Francoe dan album langlang oleh Joni Mustaf.
Dan lebih penting, Pitahati masih menegakkan kekuatan identitinya melalui album ini. Mereka masih Pitahati yang sama, cuma dengan gaya yang sedikit berbeza.
Bila saya cakap Pitahati mahu jadi dia, maknanya mereka masih mahu menjadi diri sendiri. Tidak cuba memakai apa-apa topeng, menyamar menjadi sesuatu yang bukan mereka, semata-mata mahu mengejar validasi orang, terutamanya peminat baharu.
Kekuatan identiti sebegini saya hargai sebab pada zaman ini, semua orang mahu jadi apa yang orang mahu mereka jadi. Dalam kehendak orang ada perhatian dan mungkin wang, jadi semua beratur ke arah itu, tanpa pertimbangan untuk menghidupkan identiti sendiri.
Dengan pandangan-pandangan itu, saya masih keliru dengan pemilihan tajuk Algoritma 432. Adakah mereka mahu melawan algoritma sedia ada dengan mempromosi algoritma gaya mereka? 432 itu merujuk Angel Number atau frekuensi menenangkan?
Saya tak rasa nak tanya mana-mana ahli mereka. Biarlah mereka yang jelaskan nanti, atau kita terus tafsir dengan pengetahuan sendiri.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.
