DALAM dunia seni moden yang sering mencetuskan perdebatan, sebiji pisang segar yang dilekatkan di dinding menggunakan pita pelekat telah mencipta sejarah baharu.
Dalam satu pengumuman, Sotheby’s memaklumkan, karya seni provokatif bertajuk Comedian ciptaan artis Itali, Maurizio Cattelan, terjual pada harga $6.2 juta (RM29.4 juta) di sebuah lelongan di New York.
Pemilik baharunya, pengasas mata wang kripto kelahiran China, Justin Sun, menggambarkan karya ini sebagai “fenomena budaya” yang mencerminkan gabungan dunia seni, meme, dan komuniti kripto.
Comedian pertama kali dipamerkan pada 2019 di pameran Art Basel, Miami Beach. Kemunculannya mencetuskan perdebatan besar tentang apa yang layak digelar sebagai seni. Ada yang melihatnya sebagai satira terhadap pasaran seni yang dianggap “gila” dan spekulatif, manakala yang lain menganggapnya sekadar gimik.
Ironinya, pisang yang dilekatkan itu hanya bernilai 35 sen, dibeli daripada seorang penjual buah berasal dari Bangladesh di Manhattan. Namun, nilai seni yang diberikan kepada Comedian melonjak jauh melampaui harga asalnya—dijual pada harga $120,000 (RM570,000) semasa dipamerkan buat pertama kali lima tahun lalu.
Comedian bukan sekadar objek untuk dipamerkan. Justin Sun, yang kini memiliki pisang tersebut, menyatakan niatnya untuk memakan buah itu sebagai sebahagian daripada “pengalaman seni” yang unik.
“Saya akan memakan pisang ini untuk menghormati tempatnya dalam sejarah seni dan budaya popular,” katanya.
Namun, ini bukan kali pertama Comedian dimakan. Versi asal karya ini dimakan oleh seorang artis persembahan, David Datuna, semasa pameran di Miami dengan alasan “berasa lapar,”.
Maurizio Cattelan sering menghasilkan karya seni yang provokatif dan penuh humor. Pisang ini, menurutnya, adalah kritikan terhadap pasaran seni yang sering mengutamakan spekulasi kewangan daripada menghargai bakat artis. Dengan harga lelongan yang mencecah jutaan dolar, Comedian membuktikan maksud tersiratnya—pasaran seni memang “bananas” (gila).
Selain Comedian, Cattelan juga terkenal dengan karya lain yang mencetuskan kontroversi, seperti tandas emas 18 karat bertajuk America dan patung paus yang dilanggar meteor bertajuk The Ninth Hour.
Kejayaan lelongan Comedian juga mencerminkan wajah baharu pasaran seni, di mana kolektor muda dan celik teknologi seperti Justin Sun mula memainkan peranan utama. Sun sebelum ini menarik perhatian dengan pembelian karya Le Nez oleh Alberto Giacometti pada harga $78.4 juta pada 2021.
Namun, dalam konteks global, pasaran seni sedang berdepan cabaran akibat kadar faedah yang meningkat dan ketidaktentuan geopolitik. – AFP

