CERITA paling kelakar pernah kami dengar tahun ini adalah mengenai seorang pelakon terkenal digigit ular sawa. Yang menceritakannya pula ialah seorang bekas calon pilihan raya yang dibenci oleh partainya sendiri.
Sebelum itu izinkan kami bercerita mengenai Laki Hanim.
“Nok beli? Limer ratuh ambik la! Piang tadok doh. Maha ning’,” kata Laki Hanim dalam loghat Terengganu yang dibuat-buat. Dia memakai kasut Fung Keong edisi khas Osman Tikus.
Kami merasa terhiba melihat perangai suka menangguk di air keruh lelaki yang jika tidak diberi nasihat yang betul, akan dijadikan ‘to pek kong‘ dan disembah oleh budak-budak Ipoh itu.
Sebagai selingan, Laki Hanim dan juga Laki Fazleena Hishamuddin, perempuan teater yang terkenal itu hanya dibuat kawan oleh orang ramai kerana populariti isteri-isteri mereka. Jika bukan kerana itu, tak ada siapa yang teringin bersahabat dengan mereka.
Berbalik kepada cerita jenaka tadi, bekas calon pilihan raya yang tewas itu menceritakan kepada kami bagaimana pelakon terkenal tersebut setelah bimbang lengannya patah disebabkan lilitan ular sawa telah mencekik ular berkenaan dan melemparinya ke tanah.
Ular yang berang itu kemudiannya menerpa dan menggigit lengan pelakon berkenaan dan sekali lagi pelakon terkenal tersebut dengan pantas mencabut gigit ular berkenaan dan dilempar ke dalam sebuah bekas yang disediakan.
Hasilnya, tangan pelakon berkenaan parah berdarah.
“Darah penuh pada lengan aku,” kata pelakon berkenaan dengan muka deadpan yang selalu digunakan dalam lakonan itu.
Kami pecah ketawa dan segera berhenti bila mengingatkan bahawa ada yang jenazah masih sedang diuruskan ditempat kami berbual itu.
Setelah bercerita mengenai ular sawa, kedua-dua mereka kemudian bercerita pula mengenai hutang. Setelah di congak, di antara mereka ada hutang dengan bank sebanyak hampir RM4 juta.
Kami merasa malu melihat kekayaan mereka. Bukan calang-calang orang yang boleh mempunyai hutang dalam jumlah sebesar itu. Kami yang selalu berlagak kaya ini merasa insaf dan mula bertambah hormat kepada mereka.
“Dalam dunia ni ada dua orang je pernah kena patuk dengan ular sawa. Satu Steve Irwin dan satu lagi…,” kata calon pilihan raya yang walau dibuang partai, masih berharap untuk menjadi wakil rakyat sambil menyebut nama mangsa ular sawa tersebut. Bahkan dia membayar hutang-hutangnya dengan tekun bagi mengelak tidak dapat bertanding di masa depan jika diketahui liat membayar pinjaman dan diisytiharkan muflis.
Kualiti sikap yang sama tidak terdapat pada rakan seular sawanya itu.
Lawak yang baik memerlukan ‘ punchline’ yang tidak dijangka dan calon pilihan raya yang agak liar itu adalah seorang yang pandai dalam hal ‘punchline’.
Kami tidak ingin menamakan mereka demi untuk menjaga nama baik mereka tetapi jika kamu tidak mahu ada gelak ketawa di tempat jenazah kamu dimandikan, wasiat kepada keluarga kamu supaya tidak menghebahkan kematian kamu kepada Mutalib Othman. Dan juga jika kamu ingin tahu mengenai bisa atau tidak si ular sawa, kamu boleh bertanya kepada Aloy Paradoks.
Seperti yang kami katakan tadi, lawak yang bagus perlu mempunyai ‘kata penampar’ yang tak dijangka demi untuk mengusik hati pendengarnya.
Lalu Rafi Harumin melalui buku ‘ISI TAPAYAH KUAH LIBIH’ berjaya melakukannya.
Seperti yang selalu kami katakan, kami jarang mahu ketawa bila orang berbuat lawak. Ya lah, sedang kami pun sudah sangat kelakar apa perlunya kami ketawa kepada lawak orang lain yang tidak berkualiti itu. Tetapi cuba kamu baca tulisan dibawah ini dan katakan kepada kami yang kamu tidak akan tergelak:
Saya: Beli nasi ya, take away.
Pelayan: Ala carte, bang?
Saya : Ala kadar saja, cukup sudah itu.
Waktu inilah saya nampak muka pelayan tu berubah macam ada ciri-ciri mahu membunuh.
Rafi ini orang Sabah dan masih tinggal disana. Jika kamu sangka bahawa pelawak Mad Sabah adalah lucu maka kamu belum membaca buku ini.
Dalam buku ini dia menceritakan pengalamannya memesan makanan dan dari sana kita tahu yang dia sukakan Nescafe O panas dan juga nasi goreng.
Kadang dia memesan nasi goreng ikan masin dan ada masanya dia memesan nasi goreng kampung dan selain menjaga keamanan sempadan negeri yang menjadi tugas hakikinya, dia juga sangat suka mencari fasal dengan pelayan kedai-kedai makan yang dilangganinya.
Pelayan : Makan apa,bang?
Abang : Bagi tomyam sajalah. Tomyam ayam.
Pelayan: Boleh, bang… mahu nasi juga?
Abang : Boleh, sekali nasi jugalah.
Pelayan : Okey bang.. tapi nasi kami sudah habis.
Namun begitu yang paling kerap adalah bila dia dikecewakan oleh para pelayan kedai. Lihat situasi diatas dan kamu akan faham apa yang kami maksudkan.
Kami menyukai buku ini. Jenaka yang dipersembahkan adalah ringan namun ianya tidak kelihatan dibuat-buat. Mungkin apa yang direkodkan oleh Rafi adalah situasi sebenar atau mungkin juga dia ada menokok tambah dimana-mana. Namun kita boleh memaafkan dia kerana memang sifatnya penulis adalah untuk memperindahkan pengalaman mereka.
Bahkah jika kamu mempercayai bahawa semua rancangan realiti di televisyen itu sebagai menggambarkan keadaan sebenar maka kamu tidak mempunyai imaginasi yang selayaknya.
‘Isi Tapayah Kuah Libih’ adalah buku yang sesuai dibaca di waktu-waktu santai atau mungkin juga sebagai alat untuk meredakan tekanan yang kamu rasa kamu seorang saja menanggungnya itu.
Pun begitu, kami dapati buku ini mungkin akan lebih baik jika dipersembahkan dalam bentuk komik grafik misalnya. Rafi boleh saja untuk masa akan datang bekerjasama dengan mana-mana kartunis dan menjadikan tulisannya sebagai sebuah novel grafik sementelah pula kita agak kekurangan novel-novel grafik yang menarik.
Kekuatan jenaka yang dipersembahkan oleh Rafi tentu akan lebih mengujakan jika ianya diiringi oleh visual.
Untung jangan makan seorang bah.
