Teks Ucapan Pembukaan Pameran ‘Pilih dan Pamer’ oleh Dr. Zakaria Ali
17 Mei 2026 – A.POP Jalan Negara, Taman Melawati
Bismillah hir Rahman nir Rahim
Tuan-tuan dan Puan-puan, Yang Berdarjat dan Yang Belum diDarjatkan, kawan-kawan pelukis.
Sebagai pelukis, kita jarang dapat memilih siapa bakal pembeli karya kita. Pengalaman saya, pembeli terawal ialah seorang kawan. Seelok saja dia menerima catan saya itu dia hanya bayar setengah dari harga yang telah dipersetujui. Ini, setelah saya ‘drive’ dari Penang ke Kajang untuk menghantar karya tersebut.
Seorang lagi ambil lukisan saya, memberi saya sekeping cek yang kemudiannya terlantun kosong. Kolektor yang paling bagus, namanya saya tak akan sebut, datang ke rumah saya, pilih enam keping lukisan, hulur bayaran tunai, terus bergerak balik, tanpa tawar menawar.
Disebabkan kita tidak memilih siapa pembeli kita maka sesiapa saja yang masuk di pintu hadapan, itulah yang kita dapat.
Memanglah, hubungan pelukis dengan pembeli adalah transaksional. Kita dibayar setelah menyerah barang belian. Ada di kalangan kita bernasib baik memenangi hadiah yang berprestij, maka galeri jemput dia berpameran, dan pembeli pun beratur hendak tengok.
Ada juga di kalangan kita yang diupah buat potret, atau landskap, atau ilustrasi adegan penuh drama dari sebuah novel, atau buat mural didinding bangunan dekat simpang jalan yang sibuk. Di dalam semua situasi ini, sejumlah wang bertukar tangan.
Sebagai pelukis kita sering melakukan silat imbang-mengimbangi. Contoh, kita sudah menyiapkan kanvas untuk sebuah gambar yang telah kita lama rancang. Kita ingin bercerita tentang kebimbangan eksistensial dalaman yang kita amat letih cuba merungkai.
Seorang pembeli yang sirius dan berilmu pun menengok karya kita yang belum siap itu, memujuk untuk memberinya, sehingga kita pun bersetuju. Dia ingin sangat karya itu sama seperti inginnya kita untuk menyelesaikannya. Dia menawarkan sejumlah wang yang susah untuk ditolak. Dia menyarankan ubah tona catan itu sedikit, bengotkan muka figura, perpanjangkan lehernya.
Dia menyangka kita ikut. Namun, timbullah masalah sebab kita merasa saranannya itu tidak munasabah, bertentangan dengan wawasan yang telah kita bayangkan. Jangan lupa, kita telah dididik bahawa pelukis itu bukan istemewa pun.
Maka kita pun ngengsot-ngengsot ikut apa yang dia sarankan. Kita pun pasrah lantas membayangkan bahawa kita hanyalah petukang yang hina diupah untuk membuat rumah. Kita pun ikut pelan yang telah diluluskan arkitek, patuh pada spesifikasi pembahagian ruang. Akhirnya, tuan punya rumah itulah yang menang.
Saya selalu mengingati pelukis muda, dan pelajar-pelajar saya, bahawa pada zaman sosial media sekarang, kita perlu menyusun semula satu siri kriteria untuk menilai sesuatu ‘masterpiece‘.
Setiap karya seni yang disiarkan dalam sosial media itu boleh saja mendapat penyokong yang besar bilangannya. Pada zaman pra-komputer dahulu, kita anggap bahawa sebuah ‘masterpiece‘ itu mesti ada kualiti kebernasan yang menjadi tunjang kepada pemahaman mengenai karya seni yang baik.
Para ilmuan menulis buku tentang karya tersebut. Banyak dana telah dibelanjakan menyelidik tentang pelukis itu, siapa penganjurnya, huru hara politik zamannya semuanya mempengaruhi bagaimana karya itu dihasilkan. Namun, kehalusan hasil kerjanya, kedalaman wawasannya, keanggunan beliau memaparkan keseniannya masih juga diambil kira pada zaman sekarang sama seperti di zaman silam. Dengan kualiti universal ini tertanam dalam karya seni mana pun, maka karya yang bagus itu pasti tahan diuji zaman.
Kami sebagai pelukis menghargai peranan yang tuan-tuan kolektor mainkan, sehingga mensahihkan kegiatan-kegiatan kami, menjadikan usaha kami itu berbaloi. Di dalam eko-sistem yang didukung oleh pelukis, kolektor, tuan-punya galeri, pensejarah seni, pengkritik seni, orang ramai yang celik visual, pencerita budaya semuanya telah memperkuatkan kepercayaan bahawa penilaian yang didokumentasikan, transaksi direkodkan itu nanti boleh diketengahkan dalam wacana merungkai sejarah seni, sebagai hujah yang berasas dan berwibawa.
Tuan kolektor telah memungkinkan terjelmanya pasaran sekundar yang menyalurkan karya seni Malaysia itu untuk dilelong kepada pembida, di dalam dan di luar negara. Oleh kerana itu, kami ucapkan terima kasih.
Dengan ini maka saya umumkan pembukaan pameran ini.

Dr. Zakaria Ali merupakan tokoh seni, ahli akademik, pelukis dan penulis prolifik yang memberi sumbangan besar dalam dunia kesusasteraan, penulisan kreatif dan seni visual di Malaysia.
