BEBERAPA minggu lepas saya menerima sekeping gambar melalui aplikasi WhatsApp dari Petak Daud. Dalam gambar tersebut saya bersama Petak dan Shafiq Halim (Rumah Amok), kami di bawah teduhan pokok dengan tikar yang terhampar dan disusun pelbagai judul buku sambil menonton persembahan di acara Puisi Satu Petang/Buku Jalanan, Shah Alam pada Oktober 2013. Dia pada waktu itu dalam awal 20-an dan saya pula sekitar awal 30-an, gigih mengangkut buku ke mana-mana acara sastera demi mencari rezeki.
Mengenali Petak melalui acara-acara kesenian dan projek penulisan lebih daripada satu dekad saya rasa perlu menulis tentang dia, jika tidak saya pun harapnya ada lagi penulis lain yang boleh menulis perihal seniman muda ini. Iyalah, dalam kita mengenang seniman veteran dan mereka yang sudah meninggal, elok juga kita tak lupa menjenguk lapis bawah yang semangatnya masih membara dan api juangnya sedang marak menyala. Proses pembelajaran, kematangan bergerak menuruti masa.
Dalam dunia seni, hal yang paling melecehkan ialah ‘perlumbaan’ dan ‘pertandingan’ untuk menghasilkan karya yang paling hebat lagi unggul. Tanpa disedari, perlumbaan dalam dunia kreatif ini sekiranya berleluasa akhirnya mensia-siakan keunikan bakat dan menjadikan percambahan hasil karya seni satu jenis corak/gaya yang sehala dan akur mengikut arus estetika semasa. Tapi tak mengapa, dek seniman itu sentiasa ‘berlawan’ (dengan dalaman dan luarannya) maka tempoh penganjuran perlawanan itu adalah seumpama musim yang silih berganti, ia datang berlalu dan berulang lagi.

Menurut Petak, dia mula menceburi dunia seni secara ‘tanpa sedar’ dengan mengamen (busking) jalanan sekitar 2008. Pada tahun 2009 sewaktu saya sedang berhempas-pulas untuk menembusi arus sastera perdana dengan menghantar cerpen ke Tunas Cipta (dan kemudian ke Dewan Sastera), Petak Daud pula sedang tekun membikin zine-nya yang pertama.
“Saya bikin zine Tulisan Tangan. Saya ke Art For Grabs di Annexe, Central Market untuk beri/jual zine ini kepada salah seorang pembaca Blogspot. Itulah kali pertama ke acara untuk menjual zine, satu hal yang tak dirancang. Saya berjalan di ruang acara dan lihat di atas satu meja jualan, ada beberapa naskhah bahan bacaan yang rupa bentuknya semacam zine yang saya bawa,” jawab Petak terhadap soalan pertama saya dalam sesi temubual kami tentang bagaimana kerjaya seninya bermula.
“Ketika itu saya belum tahu istilah zine. Saya hanya mahu mencetak tulisan-tulisan saya. Kertas A4 saya lipat beberapa, saya isi dengan tulisan dan lukisan, kemudian saya fotostat beberapa salinan. Kertas yang dah difotostat (mungkin 5 salinan) saya lipat dua menjadi saiz A5, dan staple di tengahnya atas dan bawah beralaskan pemadam getah. Ketika itu, saya panggil ia sebagai ‘buku.’”
“Kemudian datang seorang brader kurus rambut panjang baju hitam dan berwajah bengis bertanya, “zine kau ni berapa ringgit?” Itulah kali pertama saya mendengar perkataan zine,” ujar Petak.
Di acara itu juga, Alina Abdullah yang sedang menguruskan Pekan Frinjan datang memerhatikan zine Petak, apabila tahu di dalamnya mengandungi puisi, Alina menjemput beliau untuk membaca puisi di Pekan Frinjan 5.0. Sebelum itu beliau juga pernah membaca puisi di program Layar Tanchap, Shah Alam.
Petak menceritakan pengalaman pertamanya ‘naik pentas.’ Sewaktu acara Rantai Art Festival (2009) di Red Bungalow, Petak terlibat sebagai vendor menjual zine dan buku di bawah label Distro Buku; antaranya (arwah) Naha, Hadi Khalid, Dila Raden dan Ulii Azman. Kemudian sewaktu persembahan Otam beliau diundang bersama-sama sepentas. Petak menyumbangkan sebuah ‘lagu 4 kord’ yang diulang-ulang di mana Amylea AF (Akademi Fantasia 2005) rakan Otam turut serta untuk selamatkan nyanyian beliau yang difikirnya ‘sumbang’ ketika itu.

“Kalau bercakap tentang karya yang menimbulkan kesan peribadi, barangkali Pak Samad (Said dan Ismail), Rahmat Haron, Nik Jidan, Tajrin Faruqi, dan juga Kurt Cobain,” terang Petak kepada saya tentang seniman kegemarannya dalam berkarya. Dari segi kepekaan, kesenian (seni halus), kemasyarakatan dan kerajinan pula beliau amat mengagumi kolektif Pangrok Sulap.
“Bukan tak ada yang lain dalam kepala, tapi bila saya fikirkan, yang lain-lain itu ialah seni. Setiap ayat, setiap baris, setiap garis, setiap warna, setiap petik, setiap bunyi; memberikan satu maksud yang tepat untuk keadaan kita, perasaan kita, pendapat kita – fizikal dan mental – sebagai manusia, sebagai pekerja seni, sebagai hamba ekonomi,” sambung Petak lagi.
Antara menulis puisi dan cerpen dengan mengarang lagu, Petak sukakan kedua-duanya. Sesekali satu-satu isu beliau jadikan puisi, cerpen atau catatan, sesekali dijadikan lagu berserta lirik, ada masanya lukisan. Ada masa satu satu hal dipilih kerana kesesuaiannya, ada masa kerana itu sahaja termampu, dan banyak masanya kerana ikut mood sahaja, kata beliau.
Seni menurut Petak adalah seluruh isi dunia, berserta persoalan-persoalannya. “Macam hasil kerja seni; buku, lagu, teater – itu adalah seni. Tapi yang saya maksudkan adalah segala bentuk rutin harian juga adalah seni, adalah proses menghasilkan sesuatu. Seawal bangun tidur pun semacam satu hal yang sangat halus dan berat; seni-hadapi-satu-hari-lagi.”
“Sekurangnya itu yang banyak saya lihat dalam setiap kelakuan, pekerjaan, tindakan dan percakapan kita. Segala-galanya berseni dan berkehendakkan kesenian. Tapi menarik juga kalau kita boleh lihat seni itu matematik. Atau matematik itu seni,” ujar Petak berseloroh menggamit nostalgia era kepimpinan PM ke-4, Tun Mahathir (1981–2003).
“Cumanya saya setuju dengan kata-kata Tajrin Faruqi tentang kita tak bertemu maksud seni yang sebenar pun. Semuanya hanyalah interpretasi setiap orang, ‘dan bukan fakta yang mutlak.’”
Seringkali kita ingin menyelami ideologi pemikiran seseorang seniman terhadap isu-isu sosial dan politik. Dan ternyata hal ini sudah pun terjawab dalam karya-karya seni beliau. Menurut Petak, “punk sefaham saya adalah sebuah bentuk ruang perlawanan; idea, gaya hidup, sikap, seni, fesyen.” Melihat pemakaian Petak ala grunge yang tidak terlalu menonong trendy, berkaca mata besar dan berseluar hitam, sering selesa berselipar jika diimbangkan dengan ‘suara’ yang dibawa dalam setiap karya seninyakenyataan itu menjelaskan si penutur bukanlah seorang yang poseur ataupun groupthinker.
Untuk tahun 2025, Petak bercadang untuk menghasilkan sebuah lagi buku puisi dibawah Terbitan Langit dan sebuah album mini.
Setiap generasi seniman membawa semangat zaman tersendiri. Saya meminta pandangan Petak tentang para seniman yang lebih muda. “Mereka ini banyak jenis dan berani-berani. Saya suka sikap sebahagian mereka yang layan hidup dahulu, baru seni. Dan saya fikir hal ini sama sahaja, ada juga dalam generasi-generasi lain.”

Sehingga kini Petak telah menerbitkan 10 buah buku kumpulan puisi, cerpen dan novel pendek solo di bawah terbitan pelbagai penerbit indie, dan terlibat dalam enam buah antologi puisi. Petak turut aktif menyumbang cerpen, puisi, foto dan ilustrasi untuk puluhan zine sastera dan muzik tempatan. Dia masih meneruskan zine Tulisan Tangan yang dimulakan pada tahun 2010, dan sudah menginjak isu ke-10 (2020). Lima buah puisinya pernah dimuatkan dalam jurnal SVARA isu 4 (2020).
Pada tahun 2019 ke 2024 Petak berkolaborasi bersama Mucky dalam Melawan Sembah, sebuah respons terhadap isu sekitar melalui gabungan puisi dan bunyian rewang-kasar. Melawan Sembah dimulakan di Dataran Pahlawan, Melaka sebagai respons terhadap isu pengurusan masa persembahan yang kelihatan seperti ‘meremehkan’ acara baca puisi – sebuah amalan kebiasaan yang seni itu cenderung untuk ‘hiburan’ semata. Aksi ini akhirnya membawa kepada terbitnya zine Melawan Sembah (2019).
Seniman mandiri seperti Petak sentiasa aktif berkolaborasi dengan sebarang projek seni rentas disiplin. Kali terakhir saya berkerjasama dengan Petak adalah sewaktu pameran Garis Puisi di HOM Art Trans (2023), kemudian beliau turut terlibat dalam pameran Membela Angan; Borneo Komrad di Mou Tou (2024), dan Bukan Pelarian (2019–2025).
Jiwa seni Petak masih mengerdip nyala dan dia perlu disokong oleh teman-temannya. Menurut Petak, dia kini aktif dan gigih menguruskan sebuah ruang sepi; separuh studio separuh distro yang dinamakan Studio Baru di Taman Permata, Kuala Lumpur. Sesekali dia menganjurkan gig dan acara-acara kecil yang rahsia dan menurut katanya, yang ‘lambat berkembang.’
Tanyalah kepada setiap seniman, karya seni bukan sekadar tentang tujuan (produk akhir) tetapi kenikmatan dalam proses membikinnya. Rick Rubin dalam The Creative Act: A Way of Being ada mengungkap, “Kesedaran bukanlah satu keadaan yang anda paksa. Terdapat sedikit usaha yang terlibat, walaupun kegigihan itu adalah kuncinya. Ia adalah sesuatu yang anda benarkan untuk berlaku. Ia adalah kehadiran, dan penerimaan, terhadap apa yang terjadi dalam keabadian ini.”
– M. FAREZ KARIM dapat dicapai dan dihubungi melalui mfarez.com
