DALAM lautan kata, terdapat penyair yang menanam makna di dasar puisi dan menanti pembaca menyelam mencari mutiara. Itulah yang dilakukan oleh Moechtar Awang dalam Perwayangan, kumpulan puisi yang baru diterbitkan melalui Projek Penerbitan Buku PENA–MALAYSIA MADANI. Karya Moechtar ini bukan sekadar membaca sejarah dan kehidupan, tetapi membacakan kita kembali kepada diri, asal, dan takdir.
Moechtar Awang, yang lahir di Kota Bharu pada tahun 1956, bukan nama baharu dalam lapangan puisi Melayu. Dengan pengalaman lebih empat dekad sebagai penyair, karyanya memancarkan kematangan intelektual, kepekaan estetik, dan kekayaan spiritual. Perwayangan, himpunan 50 puisi ini adalah manifestasi kepengarangan yang sudah masak ranum. Ia tidak hanya memperlihat kekuatan diksi dan simbolisme, tetapi mengangkat naratif-naratif kecil menjadi falsafah hidup yang besar.
Dalam “Prakata” (hlm. x), Moechtar menulis, “Sesebuah puisi adalah jadinya sebuah rumah.” Ungkapan ini bukan sekadar kiasan. Ia merangkum pendekatan penyair dalam membina puisi sebagai struktur yang berakar pada pengalaman, bersandar pada bahasa, dan bertiang pada pemikiran. Diksinya halus, tetapi tajam bak mata pisau yang mengupas isi daripada kulit realiti.
Puisi “Selepas Sarapan” (hlm. 14) antara contoh terbaik kesederhanaan yang menggugah emosi:
“gelas, cawan dan pinggan
adalah kita
ketika diangkat
ke alam yang lain.”
Metafora peralatan dapur selepas makan menjadi alegori berkenaan kematian dan perjalanan ke alam akhirat. Ia bukan sekadar permainan kata, tetapi renungan falsafah yang terbit daripada kefahaman mendalam terhadap kehidupan dan kematian.
Kepengarangan dan Kematangan Pemikiran
Karya Moechtar dalam Perwayangan menampilkan pengarang yang sudah melalui pelbagai fasa kehidupan; sebagai guru, penyair, dan manusia biasa. Dalam puisi “Tangan” (hlm. 26), diksi yang digunakan mengangkat tema solidariti dan muhasabah:
“tangan kiri mengenal temannya
disapunya kotoran yang terdapat
di tangan kanan”
Simbol tangan kiri dan kanan membawa makna perpaduan dan empati. Dalam kehalusannya, puisi ini membicarakan nilai sosiopolitik … berkenaan kesediaan saling menyokong walaupun berbeza fungsi.
Kematangan penulisan juga terserlah dalam “Transformasi” (hlm. 15-17), yang menghuraikan proses hidup seekor rama-rama sebagai metafora kehidupan manusia. Penyair menyusun puisinya dalam empat fasa seperti modul penyelidikan, memadukan dunia sains, dan puitika dengan begitu kemas.
Puisi judul, “Perwayangan, 1” (hlm. 33), menukilkan peristiwa wayang kulit sebagai simbol kebudayaan dan ketuhanan. Ketika tokoh seperti Rama, Sita, dan Rawana disimpan ke dalam tong, penyair menyelitkan ironi halus:
“Pak Dalangpun menulis-nulis sesuatu ke dalam buku catatannya.”
Wayang di sini bukan hanya pentas seni, tetapi juga lambang kehidupan, penciptaan, dan ilusi. Perwayangan menjadi medan kontemplasi antara makna zahir dengan batin, dan antara realiti dengan bayang-bayang.
Gabungan Tradisi dan Moden
Kekuatan diksi Moechtar terletak pada ketelitiannya menggabungkan kosa kata klasik Melayu seperti plumul, perdu, kelopak, rebung, dengan istilah moden seperti primodium dan morpho menelaus dalam satu alur puitis. Ini mencerminkan latar akademik beliau dalam penulisan kreatif dan pengalaman luas dalam dunia puisi.
Dalam puisi “Ketukan” (hlm. 21), penggunaan kata “Iqra” pada hujung puisi menjadi ledakan makna. Seluruh suasana mistik dan simbolik yang dibina sejak awal, tiba-tiba menyatu dalam satu seruan spiritual. Puisi ini mengangkat kesedaran berkenaan permulaan ilmu dan tanggungjawab insan.
Dengan puisinya yang berlapis-lapis makna, daripada permukaan alam sehingga ke relung batin, Perwayangan adalah cermin sastera yang memantulkan wajah peradaban kita. Buku ini memperlihat betapa puisi Melayu masih hidup, berkembang, dan mempunyai kuasa membentuk wacana dan kesedaran awam.
Kelebihannya bukan hanya pada gaya bahasa, tetapi juga pada pemilihan tema yang menjangkau isu kemasyarakatan, spiritual, sejarah, dan falsafah. Ini menjadikan buku ini bukan sahaja sesuai untuk penggemar puisi, malah cocok untuk pelajar sastera, pengkaji budaya, dan pencinta bahasa.
Sebagai salah satu daripada 125 judul yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Perwayangan menjadi salah satu naskhah penting yang menyumbang kepada peningkatan indeks pembacaan dan memperkukuh warisan sastera bangsa.
Jika puisi adalah rumah, maka Perwayangan adalah rumah Melayu yang beratap tradisi dan berdinding renungan. Ia mengajak kita bukan sahaja membaca, tetapi merenung dan menyelami.
Sejujurnya, saya berasakan puisi dalam Perwayangan bukan untuk dibaca sekali lalu, tetapi untuk disinggahi berulang kali. Setiap kali saya singgah, ia membawa kita pulang ke satu sudut diri yang baharu.
