Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan seniman, Datuk M. Nasir, di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri dan M.Nasir membincangkan isu-isu berkaitan seni, budaya dan industri kreatif negara.
Dalam satu hantaran di akaun sosial medianya, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar M. Nasir dalam memartabatkan seni dan budaya Malaysia.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada M. Nasir agar terus berkarya dan menyumbang kepada perkembangan industri muzik tanah air.
“Kerajaan MADANI akan pergiat usaha menyokong anak-anak seni tempatan untuk menghasilkan karya yang terbaik dan bermutu,” katanya dalam satu kenyataan di sosial media.
M. Nasir, yang dikenali sebagai ‘sifu’ dalam kalangan penggiat seni, telah banyak menyumbang kepada industri muzik Malaysia sebagai komposer, penyanyi, pelakon, penerbit album, pengarah, dan pelukis berbakat.

Sepanjang penglibatannya, beliau telah melahirkan ramai bintang terkenal seperti Search, Wings, Hattan, Spider, dan ramai lagi.
Pertemuan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong dan memperkukuh industri kreatif negara. Ia juga menjadi simbol penghargaan terhadap para seniman yang telah banyak berjasa dalam membentuk identiti budaya Malaysia.
