ADA kalanya saya berasa bagai dibuai oleh “fantasi” dan “realiti” yang dibangunkan oleh Luigi Pirandello dalam drama Six Characters in Search of an Actor. Dalam karya yang dianggap mewakili teater absurd, Pirandello cuba mengajak kita memecahkan tembok di antara seni dan kehidupan juga “yang lain” (others) dan “kita” (us) dalam kerangka fantasi dan realiti yang bertindan tindih. Malah salah satu karaktor drama itu mengisytiharkan bahawa watak dalam drama sebenarnya lebih “real” dari pelakon yang memainkannya.
Drama “Persiapan Seorang Aktor” yang saya tonton Jumaat malam di Studio Sedar Ruang menginsafkan saya tentang dilema pelakon yang sebenar. Watak pelakon bernama Saddiq Saufi (lakonan Aloy Paradoks) sedang berdepan dengan krisis ketidakyakinan, keraguan dan ketakutan untuk membawakan watak yang diidamkannya – Hamlet.
Siapapun mengakui bahawa Hamlet bukan sebarangan watak. Malah bagi banyak penelaah Shakespeare, ini merupakan watak terbaik, paling kompleks dan paling mencabar di antara ratusan watak dari sejumlah 37 buah dramanya.

Komuniti teater mengakui untuk benar-benar menjadi “aktor” seseorang harus memainkan dua watak – Hamlet dalam drama Hamlet dan Dr Stockman dalam Enemy of the People (Musuh Rakyat) karya Henrick Ibsen.
Hamlet watak besar dalam drama – malah terlalu besar untuk dihadam sekalipun oleh Saddiq Saufi yang percaya beliau adalah pelakon terbaik di tanahair masa ini. Memang tragedi yang diabadikan oleh Shakespeare dalam dramanya yang terpanjang ini luar biasa. Bukan calang-calang orang yang boleh membawa watak ini.
Walaupun Nina isterinya (lakonan Fazleena Hishamuddin) cuba meyakinkan Saddiq Saufi tentang kemampuannya namun keraguan terus mengelabuinya.
Seperti drama Pirandello, watak ini hanya seorang manusia biasa yang mahu membawa suatu watak besar. Ini cabaran yang luar biasa. Tapi di luar dari kebanggaan diberikan amanah membawa watak itu, beliau menjadi konfius dengan kaedahnya. Bagaimanakah dia harus mendekati watak itu. Lalu terlontarlah wacana tentang “method acting”, teknik yang dipopularkan di New York oleh Lee Strasberg. Beliau menggunakan pendekatan mempersiapkan pelakon yang diilhamkan oleh tokoh teater Rusia yang terkenal, Konstantin Stanislavski.
Strasberg menubuhkan Actors Studio bermula dari tahun 1948 dan di situlah tokoh-tokoh teater dan filem seperti Marlon Brando, Al Pacino, Robert DeNiro, Paul Newman, Dustin Hoffman, Daniel Day Lewis dan banyak yang lain mendapat latihan.
Tajuk drama ini mengajuk judul buku terkenal Stanislavski, An Actor Prepares, Building a Character. Apakah pendekatan method acting itu akan menyelesaikan masalah Saddiq Saufi? Nampaknya tidak. Sistem yang menggalakkan seseorang pelakon mencari motivasi dan emosi dalaman serta menggunakan rujukan psikologi sepatutnya menarik yang terbaik dari mana-mana pelakon. Tetapi secara jujur method acting senang dicakapkan tetapi sukar diamalkan. Malah bagi banyak orang, hanya bahan untuk diwacanakan.
Saddiq Saufi malah menjadi lebih keliru. Kekeliruan itulah yang memperkukuh lakonan Aloy Paradoks lantas memberikan dimensi yang berbeza dan kepelbagaian lapisan -pada penafsirannya sendiri terhadap watak Saddiq Saufi yang dibawakannya.
Saya senang dengan interaksi bersahaja di antara Saddiq Saufi dan Nina. Chemistry sedemikan jarang dilihat di pentas teater akhir-akhir ini. Keintiman mereka menunjukkan kasih sayang yang natural. Tetapi masing-masing punya texture watak yang tersendiri. Walaupun saling membantu tetapi terbetik juga konflik yang panas dan melukakan. Semua itu di sebalik isu barang dapur yang tidak ada, menandakan kedaifan hidup seorang pelakon.
Kita melihat intimasi apabila Nina memandikan Saddiq Saufi. Tetapi secepat pertukaran baju selepas mandi, sepantas itulah realiti sebenar muncul. Saddiq Saufi mahu kembali dalam kokonnya – melarikan diri dari bayangan watak besar yang bakal dibawanya. Dan tiba-tiba bermula konflik – tentang kehidupan, tentang kasih sayang dan tentang hubungan yang meruncing.

Maka kemuncak dari pertelingkahan itu Nina cuba meninggalkan Saddiq Saufi. Tetapi Nina adalah karaktor yang sama kelirunya dengan Saddiq Saufi. Nina memerlukan Saddiq Saufi seperti juga Saddiq Saufi memerlukan Nina.
Apabila Razak Stanislavsky (lakonan Syahrul Musa) datang ke rumah, maka konflik lain bermula. Kali ini Razak Stanislavsky membawakan kenyataan yang pahit dan menyakitkan – keengganan Saddiq Saufi kembali ke studio latihan akan menyebabkan beliau digantikan. No one is indispensable in theatre termasuk pelakon pentas terbaik di Malaysia.
Aloy Paradoks memberikan sentuhan teatrikal paling mengesankan pernah saya tonton di pentas teater semasa apabila beliau membawakan soliloquy dalam Hamlet, dengan lenangan air mata. Itu momen yang sangat istimewa dalam teater ini. Aloy Paradoks memberikan kita satu lagi alasan mengapa drama Persiapan Seorang Aktor ini istimewa.

Kita tahu bahawa soliloquy “to be or not to be” dalam Hamlet mendefinisikan drama besar itu. Ia mengandungi 33 baris dengan sejumlah 262 perkataan. Tidak banyak jumlah perkataan dalam soliloquy itu sebenarya. Lagi pula Hamlet menggunakan 30,557 perkataan. Malah menurut The Complete Works of Shakespeare, penulis Inggeris tersohor ini menggunakan secara keseluruhan 936,443 perkataan dalam 37 buah dramanya. Beliau bagaimanapun menggunakan 27,870 perkataan berasingan (different words) untuk semua drama-dramanya.
Apalah 262 perkataan dalam sebuah drama pentas? Tetapi soliloquy ini adalah di antara petikan teater yang paling banyak dirujuk, disebut dan diulang dalam sejarah manusia.
Saya mengagumi drama ini. Skripnya (oleh Saat Omar) mencabar dan cerdik. Pengarahnya (Syahrul Musa) memberikan makna baharu dalam konteks lengkungan. Dalam keterbatasan ruang di Studio Sedar Ruang, kita tidak berasa sesak dan lemas. Malah ruang dimanfaatkan sepenuhnya.
Saya memberikan pujian pada semua pelakonnya – yang memberikan intensiti yang diperlukan. Mereka berjaya mengemudi watak yang kompleks untuk dihayati secara santai oleh penonton.
Persiapan Seorang Aktor merupakan salah sebuah drama terbaik pernah saya tonton kebelakangan ini.
**********************
* TAN SRI JOHAN JAAFFAR pernah aktif di pentas sebagai penulis naskhah, pelakon dan pengarah. Pembabitan beliau selama lebih 50 tahun dirakamkan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad.
** Semua foto yang disiarkan adalah ihsan Syahid Johan.
