Persiapan Seorang Aktor (PSA) yang bakal dipentaskan 17 hingga 20 Julai ini membawa saya ke ruang yang lebih luas, dalam segala makna ruang pentas yang lebih besar di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), ruang teknikal yang lebih kompleks, dan ruang perhatian khalayak yang lebih meluas. Tapi apa yang kekal di tengah-tengah semua ini ialah nadi asalnya: pencarian kejujuran dalam lakonan dan tubuh pelakon di atas pentas.
Yang menjadikan produksi kali ini istimewa bukan sekadar konsep baharu pementasannya, tetapi proses kolaboratif yang membentuknya. Kali ini kami cuba sesuatu yang jarang berlaku: mempertemukan tiga dunia yang biasanya bergerak sendiri-sendiri; geng indie, sistem komersil dari Mask Team, dan tenaga akademik dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM. Dalam pertembungan ini, saya dapati satu model kerja yang bukan saja produktif, tetapi juga membuka harapan untuk masa depan ekosistem teater di Malaysia. Diri saya sendiri berada dalam indie dan akademik tetapi tidak dirasakan begitu janggal untuk bekerjasama dengan Mask Team. Bahkan ini bukanlah kolaborasi pertama kami, saya pernah bergabung dengan produksi Shawn Amer ini sejak mementaskan 1 Plastik Hitam di Stor Teater DBP pada 2011 dan kemudiannya turut terlibat dalam teater Projek Kahwin di Istana Budaya pada tahun 2014.
Dalam banyak hal, dunia indie bergerak dengan semangat dan naluri. Dunia akademik pula penuh dengan teori, eksperimen dan pemikiran. Dunia komersial, seperti Mask Team, datang dengan disiplin industri, sumber yang lebih stabil, dan strategi jangkauan. Bila ketiga-tiganya duduk semeja, kita mula nampak bagaimana idealisme boleh diseimbangkan dengan realiti.
Tapi saya juga sedar, di sinilah muncul soalan penting: bolehkah kolaborasi ini benar-benar berjaya? Bila strategi promosi, kehendak pasaran dan algoritma digital mula masuk campur, adakah prinsip persembahan teaterikal dan nilai estetika akan terjejas?

Saya percaya, hal ini perlu diurus dengan cara yang matang dan terbuka. Musyawarah. Persefahaman. Dan paling penting, saling menghormati. Kita perlu tahu bila untuk bertahan dengan prinsip, dan bila untuk melentur tanpa patah. Apa yang saya lihat dalam projek ini, ramai dari kalangan kami yang di luar lingkungan komersil ini sendiri tidak menolak penggunaan media sosial, TikTok, IG Shorts asalkan ia tidak murahan dan masih kelihatan bergaya serta jujur dengan semangat karya. Pendek kata, promosi itu perlu, tapi maruah juga penting.
Saya tak mahu berselindung: kita perlu jual tiket. Kita mahu karya ini ditonton, dikongsi, dirasai. Kalau tidak, bagaimana nak teruskan teater? Maka mencari keseimbangan antara kualiti seni dan strategi pemasaran bukan lagi pilihan, tapi keperluan. Dalam konteks PSA, kami cuba cari titik temu, promosi yang jujur, bentuk persembahan yang berani, dan jalinan kerja yang saling memperkukuh.
Model ini bukanlah satu ciptaan baharu. Di luar negara, kumpulan seperti Complicite dan The Wooster Group sudah lama membuktikan bahawa seni yang kuat masih boleh berganjak ke pentas besar, selagi roh dan niatnya dijaga. Kerjasama dengan institusi, platform besar, atau dana produksi tidak semestinya membunuh semangat ia bergantung bagaimana kita mengurus dan meraikan perbezaan.
Antara perkara yang paling menyegarkan dalam produksi kali ini ialah kehadiran Nam Ron sebagai watak Pengarah. Beliau membawa bukan sekadar pengalaman, tapi tenaga yang memberi hala kepada keseluruhan lakonan. Beliau meletakkan standard, tetapi tidak menekan, dan inilah yang menjadikan pentas itu ruang belajar yang hidup. Bersamanya, tiga pelakon muda membuat debut mereka iaitu Arfie Shah, Aizat Sahar, dan Syahir Shafein yang belajar terus dalam gelanggang sebenar, dan itulah cara paling jujur untuk membina pelakon. Pengalaman mereka di pentas teater PSA ini biarpun sejenak mungkin meninggalkan kesan yang kuat sepanjang karier mereka sebagai pelakon profesional. Apatah lagi mereka semakin mencipta nama di dunia televisyen dan filem.

Dalam masa yang sama, pementasan ini juga menyatukan kembali pasangan pentas yang telah mencipta chemistry yang unik dalam sejarah teater Malaysia, Fazleena Hishamuddin dan Aloy Paradoks. Gabungan ini bukan asing bagi pengikut teater tempatan, yang masih mengingati mereka melalui karya-karya dari era Stor Teater DBP seperti 1 Plastik Hitam, Teater Juta-Juta, dan Neo-Romantik. Mereka membawa tenaga emosional yang kompleks, terkawal namun menggetarkan, dan ramai yang mahu menyaksikan pasangan ini sekali lagi di pentas yang lebih matang dan sempurna.
Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa ini mungkin versi terakhir Persiapan Seorang Aktor yang akan dipentaskan di Lembah Klang. Maka kesempatan ini adalah ruang pertemuan semula, bukan sahaja antara para pelakon, tetapi juga antara penonton dengan sebuah pengalaman teater yang pernah membentuk satu generasi.
Kami masih kekal dengan pendekatan visual yang ringkas ruang terbuka, tab mandi, dan tubuh pelakon sebagai alat utama penceritaan. “Play within a play” terus menjadi struktur yang kami pertahankan, kerana ia bukan hanya permainan bentuk, tetapi cara untuk mengajak penonton mempersoal batas antara lakonan dan kehidupan sebenar. Semangat less is more masih menjadi rujukan bukan sebagai dogma, tetapi kerana kami percaya bahawa keindahan teater tetap datang dari tubuh, jiwa dan suara manusia, bukan dari material.
Kerana bila kita sebut Persiapan Seorang Aktor, persoalannya bukan hanya tentang seorang pelakon yang sedang bersiap untuk naik ke pentas. Soalnya siapa sebenarnya yang sedang bersiap? Saya percaya, kita semua; pengarah, pelakon, institusi, penerbit, malah penonton sedang belajar untuk berubah, untuk berunding, dan menyesuaikan diri tanpa kehilangan arah. Dalam kolaborasi ini, yang mungkin tidak sempurna, kita sedang mencari titik temu antara dunia indie, akademik dan komersial. Kita sedang membuka ruang yang lebih luas untuk karya berkembang, dengan bertanya secara jujur: apa yang mahu kita pertahankan, dan apa yang boleh kita sesuaikan? Dalam dunia seni yang kini semakin kompleks dan terbuka, PSA mungkin bukan sekadar pementasan tetapi ia adalah cerminan kepada dunia teater kita yang masih sedang bersiap, menyesuaikan diri, dan terus percaya bahawa selagi kejujuran dijaga, teater masih ada masa depan.
– DR SYAHRUL MUSA merupakan Ketua Hab Media Kreatif dan Teknologi, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA Shah Alam.
