Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memperkukuh budaya ilmu dan pembacaan sebagai asas kemajuan bangsa. Dalam dunia yang serba digital hari ini, perpustakaan masih membuktikan peranannya sebagai pusat ilmu dan simbol ketamadunan manusia.
Sepanjang tahun 2024, sebanyak 56,473 program galakan membaca telah dilaksanakan di seluruh negara di bawah PNM. Angka ini bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam membina masyarakat berpengetahuan dan berbudaya membaca, seiring dengan misi besar Negara Membaca menjelang 2030.
Sering kedengaran pandangan bahawa perpustakaan semakin sepi di era digital, kononnya kerana buku kini boleh diakses secara dalam talian. Namun, data membuktikan sebaliknya. Sepanjang tahun 2024, seramai 8,281,541 pengguna telah menggunakan perkhidmatan Perpustakaan Negara Malaysia. Ini membuktikan perpustakaan bukan sekadar masih relevan, malah terus menjadi pusat rujukan, pembelajaran dan interaksi sosial yang penting.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa perpustakaan tidak boleh dilihat sebagai bangunan yang menyimpan buku semata-mata.
“Perpustakaan ialah nadi kepada budaya ilmu. Ia bukan sahaja ruang membaca, tetapi ruang membina pemikiran, identiti dan perpaduan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kementerian juga mengakui cabaran persepsi terhadap perpustakaan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang sering menganggapnya membosankan. Justeru, pelbagai pendekatan baharu sedang dijalankan untuk menghidupkan semula pengalaman berada di perpustakaan, antaranya dengan aktiviti interaktif, integrasi teknologi digital dan program pembelajaran yang menyeronokkan.
“Pendekatan ini penting agar perpustakaan kekal relevan dan dekat di hati generasi muda. Kita mahu menjadikan budaya membaca sebagai gaya hidup, bukan sekadar aktiviti sampingan,” katanya lagi.
PNM kini turut bergerak ke arah transformasi digital dengan memperkenalkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, realiti maya dan metaverse. Pendigitalan ini bukan bertujuan menggantikan perpustakaan fizikal, sebaliknya melengkapkan akses ilmu agar lebih luas dan fleksibel.
Aaron turut menekankan bahawa perpustakaan fizikal akan kekal menjadi pusat ilmu yang hidup.
“Teknologi datang dan pergi, tetapi nilai ilmu kekal. Perpustakaan adalah lambang ketamadunan dan identiti bangsa. Ia harus terus menjadi tempat kita mencari makna, bukan sekadar maklumat,” katanya.
Sejarah dunia telah membuktikan bahawa perpustakaan merupakan institusi yang mampu bertahan merentasi perubahan zaman. Dari Perpustakaan Alexandria di Mesir hingga ke Perpustakaan Bodleian di Oxford dan Perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat, semuanya menjadi saksi bahawa ilmu ialah asas kemajuan manusia.
Begitu juga di Malaysia, masa depan perpustakaan bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, komuniti dan individu. Masyarakat yang mencintai ilmu akan terus menghidupkan perpustakaan sebagai ruang pembelajaran sepanjang hayat. Dalam dunia yang semakin kompleks, membaca bukan lagi sekadar hobi tetapi keperluan untuk melahirkan warganegara yang berpengetahuan, kritis dan bersatu padu.
Bersempena dengan matlamat itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui PNM melancarkan Kempen Malaysia Membaca sepanjang bulan Oktober. Pelbagai program dan aktiviti menarik dianjurkan di perpustakaan seluruh negara bagi menyemarakkan semula minat membaca.
Kempen ini bukan sekadar galakan untuk membuka buku tetapi usaha untuk menghidupkan perpustakaan sebagai ruang interaksi komuniti dan simbol perpaduan rakyat. Seiring dengan Misi Negara Membaca 2030, usaha ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik ilmu tetapi juga matang dan berjiwa besar yang menuju sebuah Malaysia yang berasaskan ilmu dan budaya intelektual.
