LANGKAH awal dalam transformasi digital industri buku adalah dengan memastikan ada permintaan tinggi daripada pembaca sebelum menghasilkan produk digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perdananan Kota Buku (PKB), Adibah Omar, langkah itu penting bagi memastikan usaha digitalisasi itu tidak sia-sia.
Katanya, pihaknya berusaha untuk memastikan terdapat permintaan yang tinggi terhadap buku digital.
“Apabila bercakap mengenai digitalisasi, kita perlu memastikan ada permintaan sebelum menghasilkan produk digital.
“Jika tidak ada permintaan terhadap buku digital tidak ada makna untuk kita menghasilkannya.
“Oleh itu, Kota Buku buat masa ini mahu memastikan terdapat permintaan yang tinggi terhadap produk digital,” kata dalam forum di hari kedua Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Adibah berkata, ketika ini pihaknya menumpukan kepada pendigitalan proses seperti mana pemberian baucar buku kepada murid-murid di seluruh Malaysia.
“Baucar buku merupakan contoh mudah apa yang saya katakan sebagai pendigitalan proses.
“Kita pastikan baucar-baucar buku itu diberikan secara digital kepada murid-murid di seluruh negara dan ia dapat digunakan.
“Baucar buku digital ini sedikit sebanyak membantu penerbit-penerbit tempatan,” katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan, amat penting untuk difahami bahawa digitalisasi hanyalah alat untuk memastikan karya-karya sastera sampai kepada masyarakat.
“Contohnya, karya sastera yang digunakan di sekolah, kalau secara fizikal pihak Kementerian Pendidikan perlu bergerak ke sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Proses ini akan mengambil masa yang agak lama untuk memastikan buku sampai ke sekolah.
“Namun dengan digitalisasi, proses itu lebih cepat dan mudah,” katanya.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”. Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.

