MENJELANG sambutan Tahun Baru Cina tahun 2025, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Pejabat Menteri Perpaduan telah memecahkan stereotaip kelaziman iklan Pesanan Khidmat Masyarakat (PKM) sambutan Tahun Baharu Cina.
Iklan yang diberi tajuk “Periuk Untuk Jiran” ini berpaksikan konsep Faham, Hormat dan Terima yang mana dalam kehidupan masyarakat berbilang agama dan bangsa, sikap saling menghormati dan memahami diterima sebagai salah satu satu resepi kejayaan mengekalkan keharmonian di negara ini.
“Periuk Untuk Jiran” dihasilkan selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi gagasan Malaysia MADANI yang menitik beratkan keharmonian dalam hidup silang budaya dan agama di negara ini.
Menerusi iklan ini, turut diselitkan mesej halus yang memberi penerangan tentang halal dan haram untuk memudahkan masyarakat bukan Islam faham mengenai perkara tersebut.
Iklan ini dilakonkan oleh Chew Kin Wah, pelakon berpengalaman yang mencipta nama di Indonesia. Kehadiran Kin Wah turut memberikan impak yang besar terhadap iklan PKM yang dibawakan oleh KPN ini.
Selain itu, kehadiran Rosnah Johari yang membawa watak Puan Farida memberikan magis tersendiri. Rosnah memegang watak ibu kepada pelakon Izzul Faiq.
Lebih menarik, PKM ini juga turut dilakonkan oleh pelakon yang mewakili kaum India, Sarawak dan Sabah selain Melayu dan Cina. Ia menterjemahkan betapa harmoninya kehidupan bermasyarakat di Malaysia ini sepertimana yang sering di ungkapkan dalam beberapa ucapan Perdana Menteri.
“Periuk Untuk Jiran” disiarkan melalui semua saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 24 Januari sehingga 4 Februari 2025. Ia juga boleh ditonton secara dalam talian di Facebook, Instagram dan Youtube Datuk Aaron Ago Dagang serta Kementerian Perpaduan Negara mulai 24 Januari 2025.

