PERJALANAN dari bandar Versailles tempat saya menginap ke Giverny mengambil masa kira-kira satu jam dengan kereta. Sepanjang perjalanan sejauh 65 km itu, saya sempat merakam pemandangan di kiri kanan lebuh raya yang dibarisi pelbagai bentuk seni bina, landskap, padang rumput luas yang diragut kumpulan lembu yang sihat dan tegap, kota lama dan bangunan kilang perindustrian yang besar.
Menyusur keluar dari lebuh raya, kereta yang dipandu adik ipar saya kemudiannya melalui jalan raya yang kecil di kawasan perkampungan dengan melewati rumah-rumah lama yang masih kukuh dan cantik rupa bentuknya. Memandu dengan mematuhi had laju 30 km sejam di jalan itu, kami akhirnya sampai di Giverny, tempat terletaknya rumah dan taman Claude Monet, pelukis impresionis yang tersohor itu.
Oleh kerana bertolak agak lewat pagi dan hampir mencecah tengah hari, kami dapati tempat parkir kereta telah penuh, lalu terpaksa meletakkan kereta di padang yang lapang, agak jauh, kira-kira setengah jam berjalan kaki untuk sampai ke rumah dan tamannya.

Sepanjang berjalan untuk ke lokasi, kami melewati jalan raya kecil yang di kiri kanannya terletak pelbagai bentuk rumah, kedai cenderamata dan studio pelukis. Kesemuanya dihiasi dengan tanaman pelbagai jenis pokok bunga yang cantik lagi berbagai-bagai warnanya. Nampaknya, sebelum sampai ke taman Monet pun pengunjung sudah dijamu dengan keindahan pelbagai jenis bunga.
Untuk memasuki taman Monet dan melawat rumah dan studionya, kami perlu berbaris agak panjang, memakan masa sekitar setengah jam untuk membeli tiket yang harganya 11 Euro, iaitu sekitar RM55 untuk seorang dewasa. Mujur cuaca tengah hari itu agak redup. Dalam barisan panjang untuk membeli tiket itu, ada pelbagai bangsa dengan kedengaran kepelbagaian bahasa yang dituturkan, yang saya rasakan dari Amerika Syarikat, England, Jepun, Korea Selatan, China, Jerman, Sepanyol dan India. Jelaslah, Claude Monet dan tamannya ini cukup terkenal di serata dunia dan menarik kunjungan pelbagai bangsa dan warga negara. Malahan, sewaktu hayatnya pun, Monet menerima tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan pelukis, penulis dan kolektor seni dari dalam dan luar negara, sejauh Negara Mata Hari Terbit.
Untuk memasuki taman dan kawasan rumah Monet, pengunjung perlu melalui kedai buku dan cendera hati yang besar terlebih dahulu. Sekilas pandang, saya dapat melihat pelbagai produk seni, seperti baju T, bag kanvas, alas cawan, mug, magnet peti sejuk, poster dan lain-lain yang bertemakan karya seni Monet. Ada buku mengenai Monet dan Giverny tersusun rapi dengan hiasan kulit yang cantik menawan dan pastinya saya beli sewaktu keluar untuk rujukan dan kenangan.
Melewati pintu masuk ke taman, rumah Monet tersergam indah di sebelah kanan, sementara lorong untuk ke taman terletak di sebelah kiri, atau boleh terus melalui lorong kecil di hadapan rumah. Sambil menghidupkan kamera video telefon bimbit, saya segera merakamkan suasana taman yang dipenuhi pelbagai jenis bunga beraneka warna. Keindahannya memang luar biasa, justeru tidak menghairankan taman ini menjadi subjek dan sumber inspirasi yang penting bagi Claude Monet. Di sini, alam dan seni bertemu.

Menurut Andrien Goetz dalam buku Monet at Giverny (Paris: Editions Gourcuff, 2015) yang diterbitkan dalam bahasa Perancis, Inggeris, Jerman, Jepun dan Itali, taman ini telah memberi inspirasi kepada Monet untuk menghasilkan siri catan “Water Lilies” yang popular dan berpengaruh, hingga mencetuskan ilham kepada pelukis-pelukis lain sehingga lahirnya seni abstrak.
Saya dapati begitu ramai pengunjung dalam taman, daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa, berseorangan, berpasangan dan malahan berkumpulan. Ada yang diiringi pemandu taman, namun ramai yang gemar bersiar-siar sendirian menikmati keindahan dan kedamaian alam sambil diiringi kicauan burung.
Taman di hadapan rumah Monet dipenuhi pokok-pokok bunga pelbagai jenis dan warna, seperti iris, nasturtiums, bunga mawar, bunga mata hari, dan kekwa. Monet sangat sayangkan bunga-bunganya itu, kerana sewaktu berada di luar kawasan pun, dia akan mengutus surat kepada isterinya bertanyakan khabar kalau benih kekwa yang ditanamnya sudah tumbuh dan berbunga. Dia sangat sayangkan tamannya itu, malahan penduduk-penduduk sekitar pun tidak dialu-alukannya. Cuma rakan-rakan pelukis dan penulis yang rapat kerap datang berkunjung, seperti Paul Valery, August Renoir dan Octave Mirbeau. Rakan-rakan sejauh negara Jepun ada mengunjunginya, seperti Mr dan Mrs Kuroki dan Mrs Hayasi (ibid).
Pokok-pokok bunga yang ditanam di halaman rumah tidaklah mengikut sesuatu kaedah atau peraturan yang khusus, atau memerlukan pendekatan tertentu untuk menghayatinya. Pengunjung boleh bergerak dan berjalan mengikut selera sendiri untuk menikmatinya.
Menurut Adrien Goetz, taman Monet di Giverny ini merentas masa dan ruang, kontras dengan landskap persekitaran dan menjadi contoh seni persekitaran atau land art yang hebat. Asalnya ia dibina untuk dilukis, namun kini berdiri sendiri. Taman Giverny ini sendiri adalah sebuah karya seni. Tambah Goetz, ini adalah karya terakhir Monet, karya abad kedua puluh yang melewati seni catan, lima puluh tahun sesudah kejutan pameran tersohor pada tahun 1874 yang melahirkan Impressionisme (ibid).
Sewaktu taman ini dibina semula menerusi kerja-kerja restorasi, tiada contoh atau pelan reka bentuk asal yang dapat dirujuk untuk mengenal pasti kedudukan pokok-pokok bunganya. Justeru itu, catan-catan Monetlah yang menjadi panduan mereka. Sebagaimana menurut penyair Oscar Wilde, di taman ini, “kehidupan meniru seni” (art imitates life) (ibid).
Selain daripada pokok-pokok bunga pelbagai jenis dan beraneka warna di halaman rumah, pengunjung perlu merentas terowong pejalan kaki untuk ke bahagian kedua taman, yang bukan sahaja mengandungi pokok-pokok bunga, malahan tasik dipenuhi teratai dan anak sungai yang mengalir jernih airnya. Di atas anak sungai itulah terbinanya jambatan Jepun berwarna hijau yang dibina pada tahun 1893 dan menjadi subjek banyak catannya, yang kemudiannya semakin melenyap dalam komposisi. Monet memang meminati taman air Jepun yang juga banyak memberi inspirasi catan-catan akhirnya.

Tasik dan teratai di sini menjadi subjek siri catannya yang penting, ‘Water Lilies.’ Di sekitar tasik dan sepanjang lorong kecil di sini, malahan di atas jambatan hijau itu, ramai pengunjung mengambil peluang untuk bergambar merakam kenangan kunjungan mereka ke sini. Meskipun ramai orang, ketenangan dapat dirasakan di sini, dengan kicauan burung dan aliran air anak sungai yang lesu, ramai yang kelihatan mengukir senyuman.
Dari kawasan taman tasik ini, saya mula bergerak semula ke kawasan taman utama di mana terletaknya rumah dan studio Monet. Tangga, tingkap dan pintu rumah berbentuk memanjang ini dicat hijau dengan dihiasi tumbuh-tumbuhan menjalar serta pelbagai jenis pokok bunga termasuklah mawar yang harum semerbak. Saya lihat ramai orang berbaris panjang untuk memasukinya, begitu juga yang sedang bergerak ke luar.
Ruang pertama yang kita temui ketika memasuki rumah ini ialah studio melukis Monet. Di sini, tergantung banyak catan dan lukisan Monet dan rakan-rakan pelukis lain. Di studio ini, terdapat tingkap besar menghadap ke taman di mana cahaya masuk menerangi studio. Sebagai seorang impresionis, karya-karya Monet memang mengutamakan cahaya dan warna, dan cahaya di taman itu memberi inspirasi kepadanya.

Ketika usianya semakin meningkat, Monet banyak menghabiskan masanya di Giverny. Sejak 1899, studionya itu seolah-olah menjadi seperti salon di mana dia memperagakan karya-karyanya. Di sini jugalah dia melayan para tetamu yang terdiri daripada rakan-rakan pelukis dan pengumpul seni, bercerita tentang karya-karya yang digantungnya. Studio ini seakan-akan menjadi ruang pameran yang bermakna bagi dirinya (ibid).
Di tingkat atas rumah Monet, digantungnya karya-karya pelukis yang disukainya dan yang mahu dilihatnya setiap hari, seperti catan-catan Delacroix, dan rakan-rakan impresionis seangkatannya seperti Renoir dan Cezanne, serta pelukis yang dibimbingnya, Signac. Dia juga menggantung karya Berthe Morisot, satu-satunya pelukis wanita yang dikaguminya. Monet amat mengagumi Cezanne dan mempunyai dua karya pelukis itu yang disayanginya, “The Negro Scipio” dan “The Bathers.” Menurut Monet, “tiada apa yang Cezanne fikirkan, kecuali catan, dan tiada apa yang dia cintakan, kecuali catan” (ibid).
Di tingkat bawah, Monet menggunakan warna biru dan kuning muda untuk mewujudkan suasana terang, sesuai dengan dirinya yang disifatkan sebagai pakar warna dalam catan. Penggunaan warna yang cerah ini agak bertentangan dengan zamannya, ketika hiasan dalam rumah ketika itu lebih banyak menggunakan warna gelap dan kelam, seperti warna asli kayu.
Di ruang makan berwarna kuning cerah itu, dihiasi pula dengan karya-karya seni cetakan kayu Jepun, Ukiyo-e yang digantung rapi. Menurut Goetz, Ukiyo-e yang bermaksud “images of the floating world” itu sebenarnya mencerminkan dunia Monet yang terinspirasi dengannya, termasuklah siri teratai yang popular (ibid). Para pelukis impresionis lain juga banyak menerima inspirasi daripada seni Jepun, sehingga melahirkan apa yang disebut sebagai japonisme.

Monet memang mempunyai koleksi cetakan Ukiyo-e yang banyak, sekitar 231 karya kesemuanya, termasuk karya seniman-seniman utama seperti Utamaro, Hokusai dan Hiroshige. Antara karya-karya ini adalah “Young Woman Applying Make-up” (s.1795-6) oleh Utamaro, “Snow on the Sumida River” oleh Hukasai (1760-1849) dan “Sudden Shower over Shin-Oshashi” oleh Hiroshige (1797-1858). Oleh kerana karya-karya ini agak rapuh sifatnya, yang diperagakan di sini adalah karya reproduksi. Monet mula mengumpul karya cetakan kayu Jepun seawal usia 16 tahun ketika membelinya di pelabuhan Le Havre pada tahun 1856.
Selepas ruang makan, bahagian terakhir yang dikunjungi di rumah Monet ini adalah dapurnya yang terang dengan limpahan cahaya dari luar yang turut menghidupkan warna biru muda jubin pada dapurnya. Ini dipadankan dengan perabot kayu yang dicat biru berkilat. Di sudut lain, alatan memasak tersusun rapi di dinding dapur.
Dari dalam dapur ini, kita boleh menjenguk ke luar melihat tamannya yang indah dipenuhi pelbagai bunga beraneka warna. Tentunya sewaktu asalnya, aroma rempah ratus dari Timur dan teh Inggeris yang disukainya dapat dihidu berbaur dengan wangian bunga yang menerjah masuk dari tamannya.
Taman Monet ini memang dibina untuk dilukis. Ia bagaikan sebuah studio besar terbuka di luar rumah, sesuai untuk catan plein-air yang diamalkannya. Itulah perihal rumah dan taman Monet di Giverny, Perancis: tempat di mana alam dan seni bertemu.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

