SAYA memberitahu Dr. Zakaria Ali, karyanya yang berjudul “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” (cat minyak atas kanvas, 135cm x 87cm, 2004) sebagai sebuah karya yang “nakal.” Dia hanya tersenyum dan tertawa kecil mendengar kata-kata saya itu. Karyanya itu adalah antara sejumlah 68 karya oleh 34 orang pelukis kontemporari Malaysia yang dipamerkan dalam pameran “Now & Then” di Galeri PUTEH daripada 24 Oktober hingga 1 Disember 2024 lalu.
Pameran itu menampilkan karya-karya daripada koleksi kolektor seni terkenal tanah air Pakhruddin Sulaiman atau lebih dikenali dengan panggilan Pakha dengan para pelukis yang diundang menghasilkan karya baharu sebagai reaksi terhadap karya awal mereka dalam koleksi itu, ataupun karya yang mewakili siri karya terbaharu mereka. Hasilnya amat mengujakan, terutamanya dalam membandingkan karya-karya yang baharu dengan yang lama, sama ada dari sudut pendekatan, gaya, bentuk mahupun makna.
Karya-karya daripada koleksi Pakha yang diperagakan secara umumnya terhasil sejak sekitar dekad 1990-an, selaras dengan waktu ketika beliau mula mengumpul seni secara serius. Dalam tulisannya “Petualangan yang berterusan” yang diterbitkan dalam katalog Pameran Now & Then (2024: 4-7) itu, dia menyebut bahawa dia mula terlibat dalam kegiatan mengumpul seni dengan serius bagi mengimbangi kerjayanya sebagai peguam yang penuh dengan cabaran dan tekanan. Baginya, mengumpul karya dan terlibat dengan dunia seni ini menjadi semacam suatu “pelarian” dan saya sifatkan boleh dianggap sebagai suatu bentuk terapi.

Langkah Pakha itu akhirnya mewujudkan suatu koleksi besar yang sangat penting dalam konteks perkembangan seni lukis negara ini, terutamanya karya-karya yang bermula sekitar tahun-tahun 1990-an. Baginya, perolehan karya Bayu Utomo Radjikin berjudul “Does History Change?” (cat minyak atas kanvas, 162cm x 183cm, 1995) telah menentukan arah perolehan selanjutnya dengan tumpuan kepada karya-karya pelukis muda dan kontemporari. Menurutnya, sebelum itu, dia tidak mempunyai satu arah atau fokus yang jelas dalam membuat perolehan dan mengumpul karya. Jelasnya, apa yang dia suka dan sedap dipandang mata akan dibelinya.
Karya-karya daripada koleksi Pakha itu mencerminkan gaya atau suasana seni Era Pluralis yang saya sifatkan bermula sejak dekad 1990-an. Dalam bab bertajuk “Era pluralis dalam seni moden Malaysia” dalam buku Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis (1930 hingga 1990) yang saya tulis (terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, cetakan pertama 2001), saya menyebut:
“Era Pluralis merujuk kepada perkembangan seni lukis Malaysia pada tahun-tahun 1990-an yang kaya dengan kepelbagaian stail, pendekatan dan makna. Pelukis-pelukis dekad itu secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan besar: pertama, para pelukis yang menggunakan seni tradisi sebagai subjek kajian mereka; kedua, pelukis-pelukis yang merujuk kepada estetika seni Islam dan ketiga, para pelukis yang menggunakan serta mengekalkan stail seni Barat atau stail universal dalam karya mereka” (2001: 79).
Sebelum diterbitkan sebagai salah satu bab dalam buku berkenaan, penulisan itu yang asalnya merupakan kertas kerja persidangan telah saya bentangkan dengan tajuk “The pluralist era in Malaysian art” dalam 5th Asian Art Biennale-Bangladesh di Bangladesh Shilpakala Academy, Dhaka, daripada 1 hingga 5 November 1991 di Dhaka, Bangladesh yang telah saya hadiri bersama-sama pelukis Joseph Tan dan Juhari Said atas pembiayaan Balai Seni Lukis Negara.
Kertas kerja itu kemudiannya diadaptasi sebagai makalah bertajuk “Era Pluralis dalam Seni Moden Malaysia” dalam majalah Fantasi terbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd. pada keluaran Januari 1992. Bagi menguji pendekatannya dan mendapatkan reaksi khalayak pembaca yang berbeza, pemantapan kertas itu kemudiannya diterbitkan sebagai esei dalam Inti, Jurnal Perintis Pendidikan Seni Lukis dan Seni Reka terbitan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka (KSSR), Institut Teknologi MARA (ITM) bersempena keluaran khas 25 Tahun KSSR (Ogos 1992).
Ketiga-tiga kategori dalam Era Pluralis yang dimaksudkan itu pada dasarnya dikelompokkan secara longgar berdasarkan stail, tema dan subjek yang menjadi pendekatan atau metodologi Sejarah Seni yang penting ketika itu, sebelum munculnya pendekatan-pendekatan dan kencenderungan baharu dalam disiplin Sejarah dan Kritikan Seni yang lebih berfokus kepada isu dan ikonografi.
Jika tafsiran Era Pluralis yang dilihat dalam konteks seni dekad 1990-an itu diambilkira, maka para pelukis dan karya-karya dalam Pameran Now & Then ini juga boleh dikelompokkan dalam ketiga-tiga kategori atau kelompok yang dimaksudkan. Namun begitu, ini adalah klasifikasi secara longgar, dan sudah pasti seseorang pelukis itu boleh berada dalam beberapa kategori pada masa yang sama.
Sebagai contoh, pengkarya dalam kelompok yang merujuk warisan dan tradisi sebagai subjek adalah Amron Omar, Awang Damit Ahmad, Fauzul Yusri, Juhari Said, Mastura Abdul Rahman, Muthalib Musa, Raja Shariman dan Umibaizurah Mahir@Ismail; merujuk estetika seni Islam seperti Awang Damit Ahmad, Ramlan Abdullah, Sharifah Fatimah Zubir dan Tengku Sabri Ibrahim; sementara stail Barat dan universal pula seperti Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Arif Fauzan Othman, Azizan Paiman, Bayu Utomo Radjikin, Chan Kok Hooi, Chong Ai Lei, Chong Soew Ying, Gan Chin Lee, Hamir Soib, Hisyamuddin Abdullah, J. Anurendra, Jalaini Abu Hassan, Kow Leong Kiang, Nadia Bamadhaj, Rafiee Ghani, Samsudin Wahab, Shia Yin Ying, Suddin Lappo, Tajuddin Ismail, Yau Bee Ling, Yusof Majid dan Zakaria Ali.
Klasifikasi berasaskan stail ini selaras dengan pendekatan Sejarah Seni yang lumrah dalam konteks membicarakan seni moden yang kemudiannya dilebarkan kepada persoalan tema, subjek, mesej dan makna berasaskan konteks sosiopolitik dan budaya semasa. Kurator Tamu pameran ini, Syed Muhammad Hafiz dalam eseinya ‘Now and Then’: A tribute to artists and patronage telah menyentuh perihal pengaruh semasa dan keadaan sosiopolitik Malaysia yang menyumbang kepada kepelbagaian stail itu, serta perihal peranan dan penaungan seni oleh institusi dan kolektor persendirian seperti Pakha.
Menyahut hasrat dan objektif Galeri PUTEH dalam menganjurkan pameran ini agar perbandingan yang baharu dan lama dapat dilakukan, dalam konteks pameran ini, karya Dr. Zakaria Ali “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” adalah antara karya yang menarik perhatian saya kerana simbolisme dan maknanya yang berlapis-lapis.
Kebetulan pada malam Majlis Anugerah Seni Negara pada 13 November 2024 lalu di Hotel Majestic Kuala Lumpur, saya diletakkan untuk duduk bersebelahan beliau bersama-sama dengan beberapa ahli panel Balai Seni Negara, hal ini telah memberi saya kesempatan untuk berbual panjang dengannya, termasuklah berkenaan catannya yang mencuri perhatian saya itu.
Dr. Zakaria Ali adalah seorang seniman yang versatile. Dia bukan hanya seorang pelukis, malahan seorang mantan Profesor Sejarah Seni, penulis, pemikir, sarjana, sejarawan seni, pakar kesenian Islam, penyair, sasterawan, novelis, dan pendidik.
Anak didiknya begitu ramai, yang mengungguli pelbagai profesion, termasuklah pelukis, guru, pensyarah, sarjana, penyair, penulis, pentadbir, kurator, sejarawan dan pengkritik seni. Kepakaran dan sumbangannya, khususnya dalam bidang pendidikan, falsafah, kritikan, estetika dan sejarah seni tidak boleh disangkal sama sekali. Hasil penyelidikan dan kerja ilmiahnya telah banyak diterbitkan, termasuklah buku-buku berkaitan seni yang menjadi rujukan penting bidang seni visual.
Jika dilihat sambil lalu, karya Zakaria Ali “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” itu mungkin hanya memberi gambaran kepada penghayat bahawa ini merupakan suatu pemandangan biasa dalam rutin kehidupan seseorang yang menggabungkan figura dengan struktur seni bina. Zakaria Ali memang dikenali menerusi catan-catan figuratif yang kuat, lazimnya catan-catan genre atau yang menggambarkan kehidupan seharian.

Namun jika dihayati judul karya ini, dan dianalisis setiap imejan di dalamnya, catan ini membawa makna yang tersirat dan berlapis-lapis, di samping menguji, “bermain” dengan emosi dan minda serta reaksi dan persepsi penghayatnya. Kalaupun tidak “nakal,” karya ini penuh “teka-teki,” justeru itu ia perlu dihayati dengan penuh teliti.
Pendekatan melihat karya dengan teliti ini pun sebenarnya selaras dengan semangat dan pengalaman Pakhruddin Sulaiman dalam mengumpul dan menghayati seni, sebagaimana ditulisnya, bahawa latihan sebagai peguam yang melihat dan mendekati sesuatu perkara atau isu itu secara analitikal, tidak cuma melihat pada permukaan sahaja tetapi perlu ditinjau juga apa yang terdapat di bawahnya telah mempengaruhi cara dia melihat dan mengumpul karya seni (“Petualangan yang berterusan” dalam katalog Pameran Now & Then, 2024: 4-5).
Hal ini juga selaras dengan pendekatan ikonologi Sejarah Seni oleh Erwin Panofsky dalam menganalisis makna karya seni yang dibahagikannya kepada tiga fasa, iaitu: the primary or natural (primer atau natural), the secondary or conventional (sekunder atau konvensional) dan the tertiary or intrinsic (tertiar atau intrinsik). Secara ringkas, penghayatan seni yang terbahagi kepada tiga fasa itu bermula dengan mengenalpasti serta menganalisis imej dan rupa bentuk luaran, kemudiannya mengenali simbol dan makna, dan akhirnya merungkaikan makna yang tersirat atau makna dalaman iaitu intrinsic meaning dengan menghubungkannya kepada hal-hal sosiobudaya.
Dalam Pameran Now & Then, karya “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” ini diperagakan bersebelahan karya baharu Zakaria Ali yang berjudul “Halim Berehat” (cat minyak atas kanvas, 91.5cm x 73.5cm, 2023). Peragaan kedua-dua karya secara bersebelahan ini memungkinkan khalayak membuat perbandingan secara langsung dengan lebih berkesan. Pendekatan ini biasa digunakan oleh tenaga pengajar Sejarah Seni dalam memberi kuliah, terutamanya dalam menguji pelajar-pelajarnya membuat apresiasi, kritikan dan perbandingan karya.

Sewaktu berbual dengan Zakaria Ali, dia memberitahu saya bahawa karya itu adalah pemandangan di studionya sewaktu dia bertugas di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM). Di sebelah studionya ada tangga yang selalu digunakan orang untuk naik ke tingkat atas. Di bahagian belakangnya ada sebuah tangka air yang besar dan dalam catan ini dilukis dalam bentuk struktur meninggi yang agak sensual sifatnya, dalam istilah kesusasteraan disebut “double entrende” atau “kias seleweng” yang mempunyai makna berlapis (prpm.dbp.gov.my).
Di bawah tangga itu, kelihatan seorang lelaki, dalam konteks catan ini merujuk kepada pelukis, sebagai seorang “Dirty Old Man” yang kalau diterjemahkan kepada bahasa Melayu mengikut Kamus Dewan bermaksud “tua-tua keladi” (prpm.dbp.gov.my). Namun begitu, apa yang menarik, di sudut kiri bahagian bawah catan, pelukis telah mencatatkan tajuknya dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu berbunyi: “Portrait of the artist as a dirty old man dan Potret diri pelukis sebagai seorang tua yang gian.”
Ini adalah sebuah karya yang berlapis makna dengan penggunaan judul yang juga berlapis lagi berkias maksudnya. Secara literal, dari segi imejan, catan ini menggambarkan seorang pelukis yang memakai apron dengan bekas-bekas cat yang memang kelihatannya comot dan kotor. Namun dari sudut yang lain, tindakannya mendongakkan kepala memandang ke atas seolah-olah mengintai orang yang menaiki tangga itu menjadikan dia seorang yang “tua-tua keladi:” semakin tua semakin menjadi-jadi perangainya.
Namun apa yang juga menarik mengenai catan ini ialah catatan tajuk oleh pelukis yang berbunyi “Potret diri pelukis sebagai seorang tua yang gian” itu membawa konotasi dan dimensi yang agak berbeza kerana menggunakan bahasa yang agak kolokial sifatnya, justeru lebih bersifat kontemporari dan serasi dengan generasi muda. Pastinya agak menarik untuk melihat reaksi penonton apabila menghayati karya ini jika pihak galeri meletakkan tajuk dalam bahasa Melayu itu, seperti catannya “Halim Berehat” berbanding dalam bahasa Inggeris. Ini menunjukkan betapa penggunaan bahasa dalam tajuk sesebuah karya turut mempengaruhi tafsiran, persepsi dan kefahaman audiens.
Karya “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” oleh Zakaria Ali ini adalah sebuah karya yang pintar dalam pengucapan dan permainan bahasanya, sama ada secara visual mahupun verbal, iaitu melalui judulnya. Kalaupun bukan “nakal,” ada unsur humor, jenaka dan kiasan di dalamnya. Pelukis begitu bijak bermain dengan bahasa dan kata-kata dalam mengusik dan menguji persepsi, maginasi, reaksi dan minda penghayatnya. Sehingga akhirnya, penghayat mungkin bertanya pada diri sendiri, karya ini yang “nakal” atau fikiran penghayat itu sendiri yang “nakal” sehingga memikirkan hal yang bukan-bukan dan sedemikian rupa.


– Foto Dr. Muliyadi Mahamood.
Jika dibandingkan pengolahan seni dan komposisi, kita dapati bahawa kedua-dua catan ini telah dihasilkan dengan begitu sistematik dan mempunyai persamaan struktur serta strategi meskipun jarak antara penghasilan kedua-duanya ialah sekitar 19 tahun. Dengan menggunakan pendekatan analisis catan secara linear sebagaimana diaplikasikan oleh D’zul Haimi Md Zain dalam kajiannya Formal Values in Timurid Miniature Painting (Fargoes Sdn. Bhd., 1989), kita dapat merungkaikan struktur tersirat dan tersembunyi atau the hidden structure dalam kedua-dua catan ini.
Kedua-dua catan menggabungkan rupa geometrik dan organik, dengan bentuk-bentuk tangga yang bersifat garis pepenjuru menghubungkan keseluruhan bahagian kiri dan kanan catan. Figura manusia pula diletakkan di bahagian latar hadapan sebagai subjek utama, sementara bahagian latar belakang karya membentuk ruang cerah bercahaya yang mewujudkan ilusi ruang.
Bentukan garis pepenjuru itu mengukuhkan keseluruhan komposisi karya justeru menjadikan kita sebagai penghayat yang aktif meresap ke dalam catan. Yang satu kita seolah-olah bersama-sama pelukis di bawah tangga itu, mendongak ke atas sama-sama mengintai figura yang sedang menaiki tangga berlatarkan struktur yang sensual, sementara yang satu lagi melihat ke bawah ke arah figura yang sedang berehat dengan semacam rasa belas.
Pendekatan analitik dalam menganalisis komposisi karya secara linear ini menunjukkan bagaimana struktur tersirat atau the hidden structure menjadi teras kedua-dua karya yang kaya dari sudut bentuk dan maknanya. Menerusi karya “Portrait of the Artist – as a Dirty Old Man” atau “Potret diri pelukis sebagai seorang tua yang gian,” Zakaria Ali menunjukkan kepada kita betapa kayanya rupa dan jiwa sesebuah karya seni visual itu jika kita cuba memahaminya dengan sedalam yang mungkin. Kepintaran pelukis mengolah bahasa visual dan verbal melalui tajuknya menunjukkan betapa karya figuratif juga berupaya mengetengahkan imejan yang berlapis makna dan mesej, mengusik serta menguji minda, persepsi dan fikiran khalayaknya.

Dalam konteks ini, Zakaria Ali mengajak kita merenung kembali eseinya “Estetika Melayu: sebuah renungan” dan “Estetika Melayu ditinjau dari segi objek-objek seni” dalam buku yang ditulisnya Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989: 200-241), bahawa terdapat enam prinsip estetika Melayu iaitu halus, berguna, bersatu, berlawan, berlambang dan bermakna. Meskipun prinsip-prinsip ini lebih merujuk kepada kesenian tradisional, Zakaria Ali secara tersirat turut mengambil kira dan mengaplikasikannya ke dalam pengucapan karya seni catannya.
Di samping menunjukkan ketrampilan dan keunikan pengolahan seni Zakaria Ali menerusi kedua-dua karya yang dibicarakan, Pameran Now & Then bukan sahaja telah memberi peluang kepada penghayat untuk meneliti perkembangan baharu para pelukis yang karyanya menjadi sebahagian daripada koleksi penting Pakhruddin Sulaiman, tetapi juga menunjukkan kepentingan penaungan seni oleh kolektor seni persendirian dalam melengkapkan naratif perkembangan sejarah seni tanah air. Dalam konteks ini, skop penulisan mengenai koleksi persendirian sewajarnya bukan sahaja meneliti karya dalam konteks penaungan kolektornya, tetapi harus juga dihubungkan dengan sejarah seni negara.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.


Menarik esei ini. Mutu akal dan bahasa tinggi