SEJARAH awal perkembangan seni moden bukan sahaja dilihat dari sudut gaya ataupun stail baharu yang dicipta, malahan dari sudut tema dan subjek karya yang turut berfokus kepada aspek kemodenan gaya hidup dan persekitarannya. Dalam konteks ini, kunjungan ke Muzium Orsay (Musee d’Orsay) di Paris memungkinkan khalayak memahami sejarah awal seni lukis moden yang dipelopori oleh pelukis-pelukis impresionis seperti Claude Monet, Pierre-Auguste Renoir, Alfred Sisley, Camille Pissarro, Berthe Morisot, Edgar Degas dan Paul Cezanne.
Dibuka pada 1986, Muzium Orsay asalnya adalah sebuah stesen kereta api yang dibina pada tahun 1900 bersempena dengan Pesta Sedunia bagi menghubungkan Paris dengan kawasan barat daya Perancis. Pemodenan sistem pengangkutan kereta api menyebabkan stesen itu terbiar, hinggalah kerajaan Perancis mengambil keputusan untuk menjadikannya sebuah muzium pada tahun 1977. Muzium ini menempatkan koleksi seni catan, arca, fotografi, lukisan dan seni dekoratif Barat dari tahun 1848 hingga 1914, termasuklah koleksi besar karya Impresionisme yang merintis seni moden.
Tindakan Claude Monet mempelawa rakan-rakannya seperti Frederic Bazille, Auguste Renoir dan Alfred Sisley untuk keluar dari studio dan melukis di lapangan merupakan salah satu faktor penting yang telah mencetuskan kecenderungan pelukis-pelukis lain untuk menghasilkan catan dengan tema kehidupan moden.

“Plein air” atau merujuk kepada catan landskap atau karya yang dihasilkan di luar studio telah mencetuskan fenomena baharu sehingga kemudiannya menjadi teras Impresionisme dan ikutan pelukis-pelukis lain pada akhir abad ke-19 di Paris. Mereka merakam aktiviti dan kehidupan seharian masyarakat di lapangan, berbanding dengan subjek-subjek sejarah, mitologi dan keagamaan yang menjadi fokus para pelukis sebelum ini. Catan-catan yang dihasilkan di luar studio membawa gaya dan aura baharu, dengan penggunaan warna-warna yang cerah dalam merakam suasana, cahaya dan bayang di lokasi.
Dengan berkarya di lapangan, mereka tidak lagi terikat dengan suasana pengkaryaan studio yang tertutup lagi terkawal, meninggalkan tradisi dan teknik catan yang bersandarkan idealisme Renaisans, yang memberi keutamaan kepada lukisan, atau aktiviti melukis dalam menghasilkan kesan bentuk dan isi padu yang terperinci, sebaliknya kepada pengolahan cahaya dan bayang yang lebih spontan.
Menurut Anne Daubree dan Guillaume Morel, seperti pelukis-pelukis lain, meskipun menyiapkan karyanya di studio, kesan sapuan berus Claude Monet tetap kekal kelihatan di permukaan kanvas, merakamkan kesan kespontanan dalam karya-karya yang lebih kompleks daripada apa yang kelihatan (“Painting in the open air” dalam Connaissance des arts hors-serie, Musee d’Orsay, 2024).
Para pelukis impresionis seperti Claude Monet, Pierre-Auguste Renoir, Alfred Sisley, Camille Pissarro, Berthe Morisot, Edgar Degas dan Paul Cezanne bukan sekadar memulakan tradisi seni catan moden menerusi pengolahan gaya dan teknik yang inovatif, malahan mencetus kecenderungan baharu terhadap tema kemodenan dengan penampilan subjek-subjek biasa dalam kehidupan seharian masyarakat Paris.
Selain landskap, alam, air dan bunga, Claude Monet juga berminat dengan kehidupan moden di kota dan menjadikan pemandangan serta suasana di kota sebagai subjeknya, misalnya menerusi karya “Boulevard des Capucines” (cat minyak atas kanvas, 1873-74). Suasana Paris waktu musim sejuk itu digambarkan dengan cukup berkesan menerusi imej pergerakan manusia di sebatang jalan penting di tengah kota Paris. Suasana sejuk seolah-olah dapat dirasakan menerusi kesan kekabusan dan kekaburan yang melenyap di latar belakang.
Karya ini dilukis dari studio Nadar di nombor 35 Rue de Capucines dengan melihat ke bawah daripada kejauhan. Kesan perspektif terjelma menerusi bentukan bangunan dan pokok-pokok yang mengecil dan samar-samar di bahagian latar belakang karya. Figura manusia pula dilukis secara samar dan ringkas, tidak terperinci.
Paul Cezanne dan Camille Pissarro pula banyak berkarya bersama di luar studio di Pontoise dan Auvers-Sur-Oise, justeru itu persamaan gaya dapat dikesan dalam karya awal mereka. Karya Cezanne berjudul “The hanged man’s house” (cat minyak atas kanvas, 1873) yang dipamerkan dalam pameran Impresionisme yang pertama pada tahun 1874, memperlihatkan sapuan berus yang berpecah-pecah, penggunaan warna kromatik, dengan kecenderungan kepada warna perang, oker, kelabu dan hijau. Pendekatan ini juga dapat dilihat dalam catannya “La maison du docteur Gachet a Auvers-sur-Oise” (cat minyak atas kanvas, 1873).
Menurut Daubree dan Morel dalam analisis mereka, catan ini menjadi pemula kepada gaya Cezanne yang terkemudian, khususnya yang memberi fokus kepada pembentukan satah gambar dan simplifikasi subjek (Ibid).

Camille Pissarro tertarik dengan landskap desa, terutamanya ketika dia tinggal di Pontoise berhampiran Paris antara tahun 1873 dan 1882. Dalam beberapa karya, seperti “White frost” (cat minyak atas kanvas, 1873), dia merakam suasana musim sejuk dengan tanah dan pokok-pokok membeku dengan berkesan. Pemilihan warnanya yang cenderung kepada skema warna perang dan oker memperlihatkan pertalian dengan stail Cezanne. Kerap kali dalam landskapnya, kesan perspektif digambarkan menerusi imejan jalan atau barisan pokok-pokok yang mengecil ke latar belakang karya seperti dalam catan “June morning, Pontoise” (cat minyak atas kanvas, 1873).
Seperti Pissarro, Alfred Sisley juga menghasilkan catan-catan landskap yang mencerminkan ketenangan perasaan, terjelma menerusi keindahan pemandangan desa pada musim sejuk. Dia menyukai pemandangan yang tulen dengan air menjadi subjek kegemarannya.
Berthe Morisot, satu-satunya pelukis wanita dalam kumpulan pelukis impresionis juga gemar menghasilkan landskap di samping subjek figura manusia. Dalam karya “On the cliff” (cat air dan gouache, 1873), landskap dan figura diberi penekanan sama, apabila kedua-duanya seakan-akan meresap di antara satu dengan yang lain. Hal ini juga dapat dikesan dalam karya “Vue du petit port de Lorient” (cat minyak atas kanvas, 1869) di mana kesatuan landskap wujud menerusi hubungan figura berpakaian putih di sudut bawah kanan karya dengan bangunan dan rumah putih di sudut kiri pada latarbelakang catan.
Jika Monet, Cezanne, Pissarro, Morisot dan Sisley cenderung kepada landskap, Renoir dan Degas pula lebih gemar merakamkan kehidupan di kota seperti di teater dan kelas menari. Dalam karya “The dance at the moulin de la galette” (cat minyak atas kanvas, 1876), Renoir merakam suasana ceria dalam majlis tari menari yang popular di Paris ketika itu. Dengan menggambarkan subjek kehidupan seharian dalam catan berskala besar seperti itu, Renoir disifatkan telah mengangkat catan genre atau catan bertema kehidupan harian setaraf dengan catan sejarah dan keagamaan.

Bagi menghasilkan karya itu, Renoir telah ke lokasi membuat lakaran dan kemudiannya menyiapkan catannya di studio. Menurut analisis Veronique Bouruet-Aubertot, catan yang dipamerkan pada pameran impresionis tahun 1877 itu digambarkan seperti imej rakaman fotografi atau syot kilat (snapshot) dengan beberapa imej figura kelihatan terpotong di bahagian tepi karya (“Painting modern life” dalam Connaissance des arts hors-serie, Musee d’Orsay, 2024).
Edgar Degas pula terkenal dengan karya-karya yang menggambarkan figura para penari sedang bersiap-siap di belakang pentas atau berlatih untuk membuat persembahan. Dia begitu cekap menangkap suasana dan gerak para penari itu dengan penuh cermat. Persepsinya tajam dan tepat dalam melahirkan imej figura-figura berpewatakan lembut lagi memikat, seperti dalam catan “Classe de danse” (cat minyak atas kanvas, 1870).
Degas juga gemar merakam figura manusia sedang melakukan pekerjaan, seperti dalam karya “Woman ironing” (arang, kapur putih dan pastel atas kertas, 1869). Menurut Bouruet-Aubertot, tanpa menekankan apa-apa mesej sosial, karyanya itu menggambarkan kehidupan sebenar dan suasana era itu yang sememangnya menjadi hasrat dan objektif pelukis-pelukis impresionis (Ibid).
Pendekatan dan kecenderungan impresionis telah melahirkan gaya catan moden atau baharu yang kasual dan spontan berbanding dengan pendekatan dan gaya akademik sebelum ini. Tumpuan kepada tema sejarah, mitologi dan keagamaan beralih kepada tema landskap dan kehidupan seharian. Hal ini diperkatakan telah mengangkat catan genre kepada taraf catan sejarah dan keagamaan yang lazimnya dihasilkan dalam skala besar.

Peralihan daripada kegiatan melukis semata-mata di dalam studio kepada kerja-kerja mencatan di luar studio, lapangan atau plein air itu juga telah mendukung penghasilan gaya dan teknik yang lebih spontan dan bebas. Pendekatan ini dilihat lebih terbuka, berbanding dengan pengkaryaan di dalam studio yang lebih terkawal dan tertutup sifatnya.
Penolakan terhadap aspek-aspek tradisi baik dari segi pendekatan pengkaryaan, gaya, teknik, tema dan subjek itu disifatkan sebagai sesuatu yang baharu, moden dan inovatif pada zamannya. Apa yang moden itu dapat dilihat dalam rupa karya, sementara kemodenan itu pula adalah perihal gaya hidup dan kehidupan yang menjadi jiwanya: kehidupan menjelang alaf baharu yang mula dikelilingi revolusi industri, pembangunan infrastruktur dan teknologi, sebagaimana tercermin dengan pembinaan stesen kereta api Orsay itu sendiri.
Rujukan.
Anne Daubree dan Guillaume Morel, “Painting in the open air” dalam Connaissance des arts hors-serie, Musee d’Orsay, 2024: 55-63.
Veronique Bouruet-Aubertot “Painting modern life” dalam Connaissance des arts hors-serie, Musee d’Orsay, 2024: 47-53.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
