Di Pasar Besar Ipoh atau Super Kinta, akan berlangsung acara bacaan puisi spontan, teater interaktif dan festival zine peringkat antarabangsa.
Pasar itu tidak asing dengan acara seni melalui pelbagai acara yang digerakkan kedai-kedai yang beroperasi di situ, seperti BilekBuku, Kinta Zine Club dan beberapa kedai lain. Tetapi acara ini mungkin yang paling besar dan bercita-cita.
Acara yang dimaksudkan ialah Temu Pasor 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 Julai ini.
Temu Pasor 2025 merupakan program interaktif kreatif yang berkonsepkan pendidikan, kesenian dan pembinaan komuniti. Ia menggabungkan tiga acara utama, iaitu teater Zombi Serang Pasor, Ipoh International Zine Fest 2025 dan Tiba-Tiba, Puisi!.
Acara tersebut dianjurkan Persatuan Peniaga Kreatif Pasar Besar Ipoh (PPKPBI) yang merupakan gabungan peniaga dan penggiat seni di kawasan tersebut. Ia lanjutan daripada pelbagai aktiviti seni lain yang pernah dijalankan, termasuk Pasar Dalam Pasar, Super Kinta Noise Fest dan pameran solo Out of Proportion.

Wakil Temu Pasor 2025, Herinza Syadza berkata, acara tersebut memberi tumpuan kepada pembinaan komuniti melalui acara seni yang pelbagai. Aneka acara tersebut diikat dengan tema dan tujuan yang sama: untuk menyemarakkan komuniti seni dan cipta di Pasar Besar Ipoh.
Pemilihan lokasi di Pasar Besar Ipoh pula berdasarkan kedudukannya yang strategik dan sejarahnya yang pernah menjadi hab yang menghimpunkan usahawan dan karyawan kreatif.
“Pasar bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga merupakan tempat pertemuan budaya yang saling berinteraksi dengan harmoni,” kata Herinza dalam siaran medianya.
Zombi Serang Pasor
Zombi Serang Pasor merupakan salah satu francais teater pop interaktif dan projek pembangunan komuniti arahan Cech Adrea.
Dengan asas cerita serangan zombi yang menyebabkan manusia terperangkap dan mencari tempat persembunyian, para penonton akan turut dilibatkan dengan pementasan teater tersebut.
Kekuatan Zombi Serang Pasor ialah pementasannya disesuaikan dengan tempat, budaya, bahasa serta komuniti di lokasi pementasan.
Malah, sebagai persediaan, beberapa siri bengkel teater dan pembinaan keyakinan diri akan turut diadakan sebelum pementasan. Bengkel tersebut dijalankan dengan kerjasama pelajar Kelab Teater Kolej Vokasional Lebuh Cator.

Ipoh International Zine Fest 2025
Selepas penganjuran Ipoh Mini Zine Fest 2023 di Ah Mat Kafe, Ipoh sekali lagi menjadi tuan rumah festival zine melalui Ipoh International Zine Fest 2025.
Kali ini, skalanya lebih besar dengan penglibatan penggiat zine antarabangsa, termasuk Kia dan Dinda dari Berkawan Sekebun (Indonesia), Mariah Reodica (Filipina) dan Ruang Kaeokamechun (Thailand).
Selain itu, penggiat zine tempatan seperti artis seni persembahan dan seni cetak, Sharon Chin; artis seni cetak dan penulisan Port Dickson, Zedeck Siew; wakil Zine Dari Johor dan Amirul Hakim dari Pasar Awam Kluang akan turut hadir berkongsi pengalaman.
Turut mengadakan pembentangan ialah Amir Muhammad dari Buku Fixi dan Matahari Books yang mengendali sesi Ipoh Dari Sudut Pandang PUNAH (1967).
Tiba-Tiba, Puisi!
Seluruh kawasan Pasar Besar Ipoh bakal bergaung dengan bacaan puisi spontan melalui acara Tiba-Tiba, Puisi!.
Pemuisi-pemuisi muda Ipoh akan berpuisi di Aras A (bahagian sayur dan ikan), Aras B (bahagian buah-buahan, bunga dan bingkai) dan Aras C (medan selera, jejantas Pasar Besar Ipoh dan Studio SYJ).
Acara tersebut menyasarkan untuk memperkenalkan keindahan dan keunikan Pasar Besar Ipoh melalui bacaan puisi spontan dan karya puisi baharu yang bertemakan kehidupan seharian di pasar.

Demi pasar
Temu Pasor 2025 diharap dapat membawa lebih ramai pengunjung ke Pasar Besar Ipoh, terutamanya Aras B dan C yang menempatkan perniagaan kreatif seperti kraf tangan, jahitan dan buku.
Menurut Herinza, sasaran khalayak untuk acara tersebut ialah penduduk Ipoh secara umum, selain penggiat seni, peminat seni, pelajar pendidikan tinggi dari seluruh negara.
Acara itu dijalankan dengan sokongan daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Negeri Perak dan ditaja Prima Plus Coffee, OT Cetak, Buku Fixi, Cikgu Rashidi Kharis selain bekerjasama dengan kelab Teater Kolej Vokasional Lebuh Cator.
Selain itu, ia turut menerima sokongan dana khalayak yang dijalankan secara dalam talian.
