ALLAHYARHAM Zakaria Ariffin tidak dikenal sebagai penyair. Saya sendiri tidak pernah membaca sajak hasil nukilan beliau. Maka itu apabila Nawawee Mohammad di dalam hantaran FBnya menyebutkan bahawa arwah menyerahkan sajak “Harapan Dari Gunung” untuk diterbitkan dalam koleksi “Sajak-Sajak Pertama” yang sedang diselenggarakannya, saya teruja.
Malah judul sajak itu menarik perhatian saya. Demikian juga saya percaya teman-teman dalam grup WhatsApp “Badan Budaya DBP”. Grup ini terdiri daripada mereka yang pernah aktif dalam teater DBP. Kesemuanya terdapat 35 orang dalam grup ini. Mereka terdiri daripada mantan petugas DBP selain beberapa orang luar DBP
Dalam grup ini arwah dikenal sebagai “Orang Gunung.” Gelaran ini diberikan oleh sebab beliau tinggal di Diamond Creeks, tidak jauh dari Tanjung Malim, di pinggir Banjaran Titiwangsa. Setiap kali arwah muncul dalam WhatsApp grup itu, menandakan munculnya “Orang Gunung.”
Tentulah ironis bahawa sajak beliau yang pertama, yang menurut catatan Nawawee tersiar pada 15 Disember 1975 membawa judul “Harapan Dari Gunung.”
Izinkan saya menurunkan sepenuhnya sajak itu:
“Harapan Dari Gunung”
Sebuah doa dari gunung
meletakkan mahkota bercahaya di kepala
mentakhtakan aku di daerah ini
sebuah perhentian ke arah penantian
harapan mereka
Sebuah harapan dari gunung
menyisihkan aku dari cahaya medallion
dan tiada jejari tersusun di ubun
tiada hati meminta pohon
kutakluki jua daerah hijau ini
kupacakkan tegak panji-panji sutera
dengan iringan balada asli
tudung periuk pandai menari
Sebuah harapan dari gunung
adalah harapan paling agung
dan bila nanti ada penantian di kaki bukit
adalah
airmata serta keringat putih dari permatang
dan demi ukiran senyum pada kedut-kedut wajah tua
aku tiba dengan kemegahan seorang maharaja.
Saya tidak tahu apakah yang bermain dalam fikiran dan imaginasi arwah apabila melahirkan sajak ini 50 tahun yang lalu. Rupa-rupanya kawasan pergunungan akan menjadi tempat arwah tinggal dan tempat persemadiannya.
Beliau sebelum ini tinggal di Subang Jaya tetapi pada tahun 2020, beliau dan isterinya, Cikgu Faziah Sulaiman memutuskan untuk terus tinggal di Diamond Creeks.

Sebelum itupun mereka bermalam di sana pada hujung minggu atau apabila ada kesempatan. Malah pada tahun 2015 mereka mengadakan majlis perkahwinan anak tunggal mereka Syakir di situ. Sejak 2020 bermulalah babak baharu kehidupan beliau dan keluarganya di Diamond Creeks bersama-sama sebuah komuniti yang sebahagian besarnya mantan pensyarah dan pegawai kerajaan.
Di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 1 itulah yang ditinggalkannya pada pagi Selasa 18 Februari 2025 akibat serangan strok. Arwah dibawa ke Hospital Slim River dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.29 pagi 19 Februari 2025.
Demikianlah berakhirnya riwayat Zakaria Ariffin, aktivis seni, penulis skrip, pengarah, pelakon, pensyarah, pengkaji, penyelidik, pengkritik, penelaah, yang bagi teman-teman yang rapat dengan beliau, ”Zek Si Orang Gunung.”
Punca kematian menurut rekod hospital: Left middle cerebral artery infract with cerebral edema. Dipermudahkan: akibat serangan strok yang masif.
Sehingga hari ini, saya dan banyak teman-teman arwah masih belum hilang rasa terkejut ekoran pemergiannya. Bagi saya sendiri, dua hari sebelum pemergiannya (Ahad, 16 Februari) saya bersama beliau dan isterinya menonton drama “Surat Dari Rafah.”

Saya pernah menonton “Surat Dari Rafah” yang merupakan hasil kombinasi “Monolog Rafah” dan “Akustik Projek Rafah” pada 9 November 2024 di Hush, The Theatre Damansara. Ini merupakan projek bersama Fullstag Artelier, Persatuan Seni Bina Budaya (PERSENI) dan Komuniti Tarbiah. Saya mendapati persembahan itu menarik lalu mencadangkan pada penerbitnya agar diperkuatkan atau diperkembangkan untuk dipentaskan di DBP.
Saya juga mengatur mereka untuk menemui dua orang pegawai DBP, Aris Othman dan Sharul Rizal Hashim. Hasil pertemuan itu, “Surat Dari Rafah” dipentaskan dari 14 hingga 16 Februari di Auditorium DBP, termasuk dua pementasan pada sebelah petang.
Sebelum pementasan itu, pada 3 Februari saya menghantar mesej ringkas pada arwah: “Jom tengok Surat dari Rafah 16 Feb di Auditorium DBP. Aku dapat tiket.” Jawaban arwah juga ringkas: “Insya Allah boleh. Tak nampak poster pun.”
Pada 14 Februari saya mendapat mesej dari arwah, “Jadi ke tengok teater Ahad ni? Tak nampak sebarang publisiti pun.” Pada hari yang saya memperoleh poster digital dari salah seorang pelakonnya, Zalika Nadia, yang saya forwardkan pada arwah.
Pada malam itu arwah dan isterinya sudah berada di tempat letak kereta sewaktu saya sampai. Rupa-rupanya mereka baru pulang dari satu majlis perkahwinan di Melaka. Selepas menonton kami duduk makan bersama penerbit drama, Mohd Firdaus Abd Rahim. Arwah banyak memberikan pandangannya termasuk tentang kurangya publisiti mengenai pementasan itu. Kami juga mencadangkan agar drama itu dijadikan projek work-in-progress dan kemudian dibawa berkeliling, bermula dengan kampus-kampus. Kami melihat relevannya isu yang dibawakan oleh drama itu dalam konteks apa yang berlaku di Gaza.
Malam itu rupanya kali terakhir saya bersama-sama arwah.
Pada pagi Selasa saya mendapat khabar beliau diserang strok dan meninggal dunia keesokan harinya.
Saya tidak dapat membayangkan bagaimana rasa kehilangan saya ekoran pemergiannya. Kami mengenali satu sama lain hampir 50 tahun. Demikian bermakna hubungan kami maka apabila saya menulis buku tentang pembabitan saya dalam dunia seni dan budaya, saya mendedikasikan satu bab khusus untuk arwah, “Mencari Zakaria Ariffin”. Itu merupakan Bab 44 dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad (terbitan DBP, 2017).
Semuanya bermula dengan pementasan drama “Bujur Lalu Melintang Patah” karya Mustapha Kamal Yassin (Kala Dewata) yang dibawakan oleh pelajar-pelajar drama Universiti Sains Malaysia (USM) ke Kuala Lumur pada tahun 1976. Drama itu diarahkan oleh Dr Zainal Latiff. Pada masa itu saya dalam tahun terakhir di Universiti Malaya (UM).
Arwah masuk ke USM pada tahun 1975, mungkin itu merupakan projek tahun kedua bagi pelajar-pelajar drama. Drama itu pertama kali dipentaskan di Teater Sasaran USM pada 19 dan 20 September 1976. Selepas itu dibawa ke KL. Kumpulan ini menamakan diri mereka “Angkasaran.”
Arwah memainkan watak salah seorang pembesar yang bernama Datuk Mahkota. Faziah sendiri berlakon sebagai Halimah dan dua orang pelakon wanita lain, Rooh Noor membawa watak Mawar dan Normah menjadi Mahani. Azhar Abu Bakar membawa watak Pak Udin.
Selepas pementasan di KL itu saya menemui pelakon-pelakon yang terlibat di belakang pentas. Itulah kali pertama saya bersua muka dengan arwah walaupun sebelum itu kami mengenali satu sama lain melalui berita pementasan di UM dan juga di USM.
Pada tahun 1977 Angkasaran membawakan drama “Pintu” karya Nordin Hassan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Drama itu diarahkan oleh Dr Samat Salleh. Arwah memainkan watak Pemuda dan Azhar menjadi Nelayan. Seperti yang saya tulis dalam buku saya, dalam diari malam itu saya mencatatkan begini tentang lakonan arwah: with agility, conviction and intensity.
Drama “Pintu” sebelum itu telah dipentaskan dengan jayanya di Sasaran USM pada 6 Mac 1977. Pementasan ini telah direviu oleh Aripin Said dalam akhbar Berita Harian bertarikh 7 Mac. Menurut Aripin “Pintu” dipentaskan dalam dua bentuk, yang asli dan dalam bentuk free style dan melibatkan 20 orang pelakon yang mengikuti Kursus Lakonan dan Arahan. Menurut laporan itu lagi, “drama ini menggunakan aksi-aksi secara stailistika diiringi dengan muzik menggunakan alat tradisional serta lagu-lagu merdu yang digubah khas lebih disesuaikan dengan kebudayaan dan kesenian Malaysia.”
Selain “Bujur Lalu Melintang Patah” dan “Pintu” arwah juga terbabit “Patung-Patung” dan “Mencari Si Hitam” sewaktu di USM.

Pada tahun 1977, Kumpulan Anak Alam mementaskan drama saya “Angin Kering.” Itu merupakan drama penuh pertama dari Anak Alam. Sebelum itu Anak Alam banyak terbabit dengan improvisasi dan drama pendek.
Setelah mementaskannya di Kuala Lumpur, Mustafa Ibrahim atau Bang Tapa yang mengetuai Kumpulan Anak Alam ketika itu mencadangkan kami membawakannya ke USM. Saya dan Bang Tapa menaiki bas ke USM untuk berbincang dengan teman-teman di sana tentang kemungkinan itu. Kami mendapat bantuan teman-teman di USM untuk tempat tinggal.
Dipendekkan cerita “Angin Kering” dipentaskan di USM tahun itu.
Hubungan saya dengan arwah semakin rapat. Saya masuk bekerja di DBP tahun itu dan ditempatkan di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS). Saya juga mula aktif dengan Badan Budaya DBP. Arwah sendiri menghabiskan pengajiannya dan mendapat ijazah pada tahun 1978.
Dalam surat-suratnya pada saya beliau menyatakan hasratnya untuk bekerja di DBP. Saya juga dimaklumkan bahawa DBP bukanlah pilihan pertamanya. Beliau berharap untuk bekerja di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ketika itu tetapi KKBS tidak memanggilnya untuk temuduga pun. Saya juga mendapat tahu bahawa lama sebelum itu arwah pernah memohon jawatan “Pelukis” di DBP selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau gagal ujian dan langsung tidak dipanggil untuk temuduga.

Menurut balunya, Arwah pernah berkhidmat sebagai Kerani Sementara (Gred Tingkatan III) di Pejabat Pelajaran Pahang di Kuantan dari tahun 1971 hingga 31 Mac 1974. Pada 1 April 1974 beliau menjadi Pegawai Kerani (Tingkatan III) di Kementerian Pertahanan Malaysia di Kuala Lumpur sehingga 31 Disember 1974. Beliau kemudiannya melanjutkan Pelajaran ke USM.
Mungkin akibat kekecewaannya tidak dapat bekerja di KKBS salah satu surat yang dihantar kepada saya ditaip di atas salinan foto ijazahnya.
Arwah menerima ijazahnya dalam majlis konvokesyen pada 22 Julai 1978 yang kebetulan jatuh pada hari jadinya. Sebulan kemudian (1 Ogos 1978) arwah mula berkhidmat di DBP sebagai Pengawai Penyelidik. Saya sudah setahun, sebulan dan 12 hari bekerja di DBP ketika itu. Sudah tentulah kehadiran arwah membawa makna yang besar bagi Badan Budaya DBP. Arwah adalah salah satu bintang cemerlang dunia teater, yang terdidik dari sebuah jabatan teater yang terkenal.
Saya sendiri bukan datang dari disiplin teater, hanya pernah terlibat dalam Bangsawan dan Sandiwara di kampung.
Pada tahun 1979 Jabatan Pengajian Melayu (JPM) UM merayakan tahun ke-25 penubuhannya. Sayogia diingat jabatan yang asalnya dikenal sebagai “Malay Studies Department” ini bermula di Universiti Malaya di Singapura. Pada tahun-tahun awal UM, amat terbatas pengajian yang ditawarkan oleh universiti itu. Maka itu kebanyakan mereka yang masuk ke jurusan sastera ketika itu mengikuti JPM. Kebanyakan pegawai tinggi kerajaan Malaya dan Singapura pada tahun-tahun 50-an dan 60-an memulakan pendidikan di situ.
Profesor Ismail Hussein, Ketua JPM meminta kerjasama DBP untuk mengadakan Pesta Drama bagi memperingati JPM. Mendiang Krishen Jit yang terkenal sebagai pengkritik drama yang menggunakan nama “Utih” di akhbar New Straits Times telah diberikan amanah untuk mengendalikanya.
Saya “dipinjamkan” oleh DBP untuk membantu Krishen. Krishen mahukan drama-drama yang terpilih itu secara retrospektif mewakili pelbagai era yang diliputi oleh sejarah JPM sendiri.
Beliau telah mengenal pasti dramatis Shahrom Husain, Kalam Hamidi, Mustapha Kamal Yassin, Usman Awang (Tongkat Warrant), Bidin Subari, Nordin Hassan, Syed Alwi, Dinsman dan saya sendiri sebagai tokoh-tokoh yang mewakili zaman. Shahrom dan Kalam Hamidi mewakili era Sandiwara, Mustapha, Usman dan Bidin era realistik dan Nordin, Syed Alwi, Che Shamsuddin Othman (Dinsman) dan saya mewakili era teater moden dan teater ekperimental.
Drama-drama yang terpilih adalah “Si Bongkok Tanjung Puteri” (Shahrom Husain), “Anak Nazar Tujuh Keramat” (Kalam Hamidi), “Atap Genting Atap Rumbia” (Mustapha Kamal Yassin), “Tamu Di Bukit Kenny” (Usman Awang), “Umbut Keladi Tidak Berisi” (Bidin Subari). “Bukan Lalang Ditiup Angin” (Nordin Hassan), “Tok Perak” (Syed Alwi), “Bukan Bunuh Diri (Dinsman) dan “Angin Kering” karya saya. Bagi mewajarkan pemilihan drama-drama itu Krishen menulis rencana dalam Dewan Sastera Mac dan April 1979 berjudul “Teater Moden Malaysia: Satu Esei Retrospektif.”

Krishen begitu teruja dengan karya-karya Shahrom. Maka itu beliau mencadangkan drama penting Shahrom, “Si Bongkok Tanjung Puteri” memulakan pesta itu. Beliau mengajak saya menemui Shahrom selain mengesan para pelakon asal drama itu. Hasil perbualan kami selain penyelidikan berhubung dengan Shahrom dan para pelakonnya menghasilkan rencana bersama Krishen dan saya dalam Dewan Sastera Mac 1979 dengan judul “Shahrom Husain: Drama-Dramanya Bukan Sekadar Ekspresi.” Dalam keluaran yang sama, Dinsman pula menulis rencana “Shahrom Husain: Seorang Tokoh Sandiwara.”
Dalam keluaran yang sama Maarof Saad menulis pengalaman Baharuddin Zainal mengarahkan “Tamu Di Bukit Kenny” karya Usman Awang pada tahun 1968. Drama itu merupakan drama pertama oleh DBP dan dilakonkan sepenuhnya oleh petugas DBP sendiri. Drama itulah yang memulakan tradisi pesembahan teater DBP yang kemudiannya menggunakan nama “Badan Budaya DBP.” Menurut aktivis teater dan pengkaji A. Wahab Hamzah, sehingga ini lebih 60 buah drama telah dipentaskan atas label itu, sebahagiannya diletakkan sebagai “Teater Perdana DBP.” .
Saya diberikan penghormatan mementaskan drama yang paling tua sementara drama saya sendiri “Angin Kering” dipentaskan oleh kumpulan dari ITM. Seingat saya tidak kesemua sembilan buah drama yang dikenal pasti itu telah dipentaskan, saya tidak pasti yang mana, tapi sekurang-kurangnya dua buah tidak dipentaskan berpunca dari isu kekurangan bajet pada masa itu.
Pementasan “Si Bongkok Tanjung Puteri” itu diadakan di Dewan Tunku Canselor UM pada 6 April 1979.
Untuk mementaskan drama itu saya meminta jasa baik Allahyarham Rahman B, tokoh Bangsawan terkenal sebagai penasihat. Saya juga sedar bahawa disebabkan ada adegan silat dan saya tidak ada masa untuk melatih pelakon saya di KL dalam bidang persilatan, saya telah membawa ke KL dua orang pelakon yang pernah aktif dengan saya dalam kumpulan Sandiwara kampung saya, Badan Bistari Sungai Balang. Mereka adalah Hashim Mohd Yassin dan Ahmad Sidik. Hashim memainkan watak Si Bongkok sementara Ahmad Sidik menjadi Panglima Putih.
Untuk membawakan watak Daeng Alek, saya mempelawa arwah. Saya percaya itu merupakan drama pertama arwah berlakon di KL. Saya juga mengajak teman Anak Alam saya, Omar Abdullah memainkan watak Bendahara. Saya juga telah mempelawa Rooh Noor salah seorang pelakon “Bujur Lalu Melintang Patah” dan “Pintu” berlakon sama.
Pada tahun 1979 Rooh sudah bekerja di KL. Buat beberapa waktu beliau berkhidmat secara sementara di Jabatan Kebudayaan UM di bawah Datuk Arif Ahmad. Beliau kemudiannya berkhidmat di Pusat Kurikulum Kementerian Pelajaran. Selepas itu beliau bekerja di MARA sehingga bersara.
Saya mempelawanya memainkan watak Tanjung dan beliau menerimanya. Itulah drama pertama beliau berlakon dengan saya dan itu juga merupakan drama terakhir beliau berlakon di pentas. Rooh memang seorang pelakon yang berbakat, malah beliau pernah ditawarkan oleh penerbit RTM, Lola Zohara Ghani Batusha untuk berlakon dalam drama TV “Damak” tetapi beliau menolaknya.
Arwah berlakon dalam tiga buah drama yang saya arahkan pada tahun 1979 itu, selain “Si Bongkok Tanjung Puteri”, beliau juga saya ajak berlakon dalam drama saya “Angin Kering” dan drama “Mayat” karya Hatta Azad Khan.
Arwah kemudiannya menjadi penerbit, pengurus pentas dan pengarah produksi (ada kalanya ketiga-tiganya sekali) untuk tiga buah drama adaptasi yang saya arahkan, “Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” dari novel berjudul sama karya Anwar Rithwan (1984), “Salina” karya A. Samad Said (1986) dan “Rumah Kedai Jalan Seladang” dari cerpen A. Samad Ismail (1989).
Arwah pula menawarkan saya untuk berlakon dalam drama arahannya, “Hikayat Pelayaran Indraputera II” karya Ismail Hassan dan “Pentas Opera” yang juga merupakan karyanya sendiri. Dalam drama “Hikayat Pelayaran Indraputera II” saya memainkan watak Pawang Laut sementara dalam “Pentas Opera” saya memainkan watak kecil, tauke Bangsawan bernama Raja Abdul Muluk yang biang keladi. Dalam drama itu saya berpeluang berlakon dengan pelakon terkenal arwah Rohani Yusof yang sentiasa saya kagumi sebagai pelakon.
Saya dan arwah juga pernah berlakon bersama-sama dalam beberapa buah drama. Apabila Hatta Azad Khan mengarahkan drama karya A. Samad Said “Di Mana Bulan Selalu Retak” saya memainkan peranan Omar Si Playboy sementara arwah memainkan watak Yazid kawan Falel, watak utama dalam drama itu. Falel dimainkan oleh Hatta sementara Asiah Sarji membawa watak Zuraidah.
Saya dan arwah juga pernah dua kali berlakon dibawah arahan Othman Haji Zainuddin yakni “Titah Tuanku” dan “Zaman Gerhana”. “Titah Tuanku” merupakan Drama Perdana DBP yang dipentaskan sempena menyambut 25 tahun DBP pada tahun 1981. Saya membawakan watak pembesar Jawa yang jahat, Patih Karma Wijaya dalam drama itu. Arwah membawa watak utama Hang Tuah dalam drama itu. Saya juga memainkan watak jahat sebagai Sultan Mahmud dalam “Zaman Gerhana”. Arwah juga berlakon dalam “Zaman Gerhana.”
Anehnya walaupun kami memainkan watak-watak utama dalam kedua-dua drama itu, kami tidak pernah bertemu dalam babak yang sama.
Pada tahun 1988 sesuatu berlaku pada saya. Saya telah diberikan tugas mengarahkan drama “Tuk Selampit” karya Dr Anuar Nor Arai, teman sekuliah saya di UM. Sedang kami memulakan latihan, saya telah dinaikkan pangkat untuk memimpin majalah-majalah DBP, maknanya saya menjadi Ketua Bahagian Majalah. Ini merupakan tugas baharu yang berbeza. Saya diberikan tanggungjawab menjadi Ketua Pengarang majalah-majalah seperti Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Siswa dan lain-lain. Saya juga diarahkan ke Tokyo, Jepun untuk mempelajari perkembangan dunia majalah dan pengedaran majalah di sana.
Saya tidak ada pilihan melainkan menyerahkan tugas pengarahan “Tuk Selampit” kepada arwah. “Tuk Selampit” mewakili Malaysia dalam Pesta Teatar ASEAN yang pertama di Manila dari 1 hingga 8 Ogos 1988.
Arwah adalah salah penulis dan aktivis teater yang sangat produktif. Beliau telah menghasilkan 17 buah skrip drama pentas, di antaranya “Pentas Opera”, “Raja Lawak”, “Perempuan Seorang Leftenan Inggeris”, “Budak Raja”, “Riwayat Osman Bombay” dan “Muzikal Si Penarik Tirai.”

Beliau telah membuat tujuh buah adaptasi untuk pentas di antaranya “Si Tanggang Anak Derhaka,” “Sungai Mengalir Lesu”, “Bangsawan Siti Zubaidah” dan “Bangsawan Menyerahnya Seorang Puteri.” Arwah juga telah menulis 17 buah skrip drama TV di antaranya “Kalau Dah Ajal”, “Putik-Putik Yang Gugur”, “Pisau Cukur”, “Tragedi Salmah”, “Serakah” dan “Sangeetha.” Beliau juga telah menyiapkan skrip video dokumentari dan majalah TV agak banyak. Arwah juga mengarahkan 12 buah drama di bawah banner Badan Budaya DBP bermula dengan “Penunggu Pusaka” pada tahun 1977. Beliau telah berlakon dalam tidak kurang 13 buah drama terbitan DBP. Beliau juga seorang pelakon TV yang baik, dan pernah berlakon dalam 17 buah drama TV.
Saya tentulah tidak pernah membayangkan bahawa arwah akan meninggalkan DBP. Pada tahun 1996 beliau pencen awal untuk terbabit sepenuhnya dalam teater. Beliau aktif menulis skrip, mengarah serta membuat drama dan filem dokumentari. Pada tahun 1996 hingga 2018 beliau berkhidmat di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kemudian menjadi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Bagi saya arwah bukan sekadar teman di pentas. Kami bersama-sama di DBP bertugas di bahagian yang sama, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS) sebelum saya bertukar ke Bahagian Penerbitan Umum (BPA). Saya meninggalkan DBP untuk menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada tahun 1992. Saya juga terbabit dalam dunia korporat. Saya pernah menjadi Pengerusi Media Prima dan juga Pengerusi DBP.
Tetapi hubungan kami berterusan sebagai kawan. Dalam susah dan senang, kami bersama. Apabila DBP menerbitkan semula koleksi drama-drama TV saya, “Asy Syura” pada tahun 2015 (terbitan pertama 1984) saya meminta beliau membuat kata pengantar. Kami akan saling mengunjungi satu sama lain, sama ada di rumah saya di Bukit Gasing, Petaling Jaya atau di kediamannya di Diamond Creeks. Atau “mengeteh” di KL, Subang Jaya atau PJ bersama kawan-kawan lain. Beliau juga sering mengunjungi Tingkap Café, milik anak saya Syahid dan isterinya Nurul Adila di PJ Old Town.
Kali terakhir kami ke Diamond Creeks adalah pada hari Sabtu 28 Disember 2024. Beliau mengadakan majlis atas desakan kawan-kawan kerana beliau dianugerahkan “Tokoh Karyawan Seni: Seni Lakon Pementasan” oleh Kementerian Pelancongan dan Kesenian (MOTAC) pada tahun 2024. Ramai teman-teman dari DBP dan dari luar yang turut hadir termasuklah jiran beliau, ilmuan dan pelukis terkenal Prof Dr Zakaria Ali; Ketua 1 Pena, Dr Mohamad Saleeh Rahmad; pelakon veteran Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan teman lama beliau dari USM, Datuk Azhar Abu Bakar.

Sebelum itu pada 25 dan 26 Oktober 2024, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Perlis menganjurkan pementasan drama saya “Asy Syura”. Drama itu dipersembahkan dalam siri Karya Agung JKKN Perlis. Saya telah diundang untuk menonton drama itu. Arwah pula diundang untuk memperkatakan drama itu dan juga tentang saya. Kami berempat: saya, arwah, Aris Shamsuddin dan pelakon Zaidi Omar bertolak ke Perlis pada 24hb. Setelah menghadiri majlis dialog pada 25 Oktober dan menonton “Asy Syura” di Auditorium JKKN Perlis, kami bertolak pula ke Pulau Pinang untuk menonton persembahan drama terbitan DBP Cawangan Utara berjudul “Achi Patmani.”

Arwah seperti saya juga rapat dengan Tokoh Bangsawan Allahyarham Rahman B. Kami mula mengenal Bang Rahman sejak tahun 1979 apabila saya mengarahkan “Si Bongkok Tanjung Puteri.” Arwah telah menghasilkan buku Biografi Seniman Negara Rahman B yang diterbitkan oleh ASWARA pada tahun 2005. Kami sering menemui Bang Rahman. Pada 2 Mac 2022, Bang Rahman menghembuskan nafas yang terakhir.
Saya forwardkan berita kematian Bang Rahman pada arwah yang saya perolehi dari Sdr Ewan Deen dari Persatuan Teater Malaysia. Saya sendiri tidak dapat hadir hari itu tetapi saya menemui anak (Rosnah) dan cucu Bang Rahman (Hussain) keesokannya harinya.
Arwah menghantar mesej ini pada saya: “Salam kalau jumpa anaknya Rosnah, sampaikan salam takziah saya, atau Hussain cucunya.” Jawaban saya ringkas, “Ok.”
Pada 3 Mac 2022 selepas saya menemui anak dan cucu Bang Rahman di Kampung Baru, saya menelefon arwah. Sebelum mengakhiri perbualan arwah tiba-tiba berkata, “Kalau aku meninggal dunia, jangan tak ziarah aku. Ha ha ha.” Saya dengar ketawa pendek di hujung sana.
Saya tunaikan gurauan “Orang Gunung” pada hari Rabu 19 Februari 2025 dengan rasa terharu yang amat sangat. Al Fatihah untuk sahabatku, Zakaria Ariffin.
– TAN SRI JOHAN JAAFFAR merupakan aktivis seni dan budaya. Beliau menulis skrip, pernah berlakon dan mengarah di pentas. Beliau pernah menjadi Pengerusi Media Prima Berhad dan DBP. Beliau adalah Tokoh Wartawan Negara.
