CETUSAN gerakan mandiri atau independent merujuk kepada kelompok seniman bebas. Kolektif seni ini beroperasi di luar arus perdana yang tidak bersandarkan kepada naungan institusi seni, galeri komersial, galakan program dibawah saluran agensi kerajaan atau dibaiyai organisasi kebudayaan dan syarikat konglomerat yang mendanai program berunsur seni dan budaya.
Pergerakan seumpama ini selalunya wujud atas keperluan untuk kebebasan berkarya, kelesuan wacana keilmuan, ekspresi budaya, dan keinginan untuk mencabar batasan struktur konvensional. Gerakan mandiri ini berteraskan pendekatan kerjasama atau kolaborasi sesama mereka serta mendokong semangat visi secara kolektif.
Oleh demikian, wujudnya kumpulan mandiri seperti ini memainkan peranan penting dalam memangkin evolusi berterusan dunia seni. Malah mampu merubah serta menigkat tahap kecelikan dan apresiasi masyarakat kepada keilmuan seni serta membina budaya sesebuah masyarakat. Teks ini akan menjejak serta membicarakan gagasan dan motivasi penubuhan kelompok seniman mandiri prolifik yang wujud di Malaysia.
Peranan dan Impak Pergerakan Seni Bebas
Cetusan atau impetus pergerakan artis mandiri biasanya muncul sebagai tindak balas terhadap hala tuju arus perdana. Kewujudan galeri komersil yang bermotifkan keuntungan atau agenda pengkomersilan seni dan budaya. Dominasi galeri komersil berperanan dalam mencaturkan pasaran arus perdana berteraskan kepada trend atau kehendak pasaran semasa.
Justeru itu, matlamat yang berpaksikan kepada keuntungan berhasil mengetepikan atau meninggirkan wacana keilmuan dan kebebasan berekspresi. Sehubungan itu, para seniman mula bertindakbalas dengan proaktif apabila artis merasakan suara, idea disekat atau identiti budaya mereka tidak diwakili dengan adil.
Namun bukan semua seniman yang bertindak sedemikian tetapi memilih untuk akur atas faktor jualan dan keuntungan. Hanya segelintir daripada mereka yang memilih untuk membentuk inisiatif tersendiri dengan menyatu dalam kumpulan bagi menolak pengkomersilan seni. Platfom yang diwujudkan ini bertindak sebagai instrument pemerkasaan dalam menegaskan pendirian mereka.
Bagi mendapatkan hak pengiktirafan bagi mendirikan ilmu dan ekspresi seni bebas dari doktrin tertentu. Sehubungan itu, wujudnya pelantar alternatif untuk para seniman. Mereka berupaya bereksperimen, menggalakkan inovasi dan cetusan pelbagai perspektif baharu malah segar dapat berkembang secara sihat tanpa terikat dalam kerangka komersil anjuran galeri komersil.
Dalam banyak kes, kumpulan seniman mandiri atau bebas ini lahir daripada keperluan iaitu terutamanya dalam persekitaran yang mencabar dari segi polemik lanskap seni itu sendiri mahu pun ekonomi. Ia berbeza dengan sokongan institusi kerajaan dan swasta yang selektif dalam menyalurkan dana bagi membangunkan seni dan budaya yang mengangkat polisi atau agenda mereka.
Individu kreatif atau seniman yang terdorong bergerak bersama dalam kelompok seni mandiri biasanya berfungsi melalui prinsip kerjasama dan pendekatan sikap DIY (do it yourself). Segala sumber yang mereka perolehi akan dikongsi bersama, bersikap sukarelawan dan proaktif dalam menjana aktiviti perusahaan bagi menyokong kerja-kerja seni mereka. Malah cekap mengenalpasti ruang-ruang yang bukan konvensional dalam penggunaan ruang alternatif dengan berkolaborasi dengan komuniti setempat atau kawasan awam. Di mana penduduk atau pemilik premis sudi meminjamkan ruang sementara untuk mereka mengadakan aktiviti, menyewa ruang yang tidak mengenakan kos terlalu tinggi dan sebagainya mengikut keperluan dan mengadaptasikan ruang mengikut aktiviti atau acara tertentu.
Oleh itu, tanpa kekangan komersial atau saringan oleh galeri komersil yang monotonous. Justeru pergerakan bebas ini berupaya untuk meneroka amalan seni yang terkehadapan, berdaya optimis, eksperimental malah berorientasikan jambatan seni kepada masyarakatan. Hal ini berbeza jika di bandingkan kepada operasi galeri komersil bersifat elit dan hanya meraikan kumpulan kecil tertentu sahaja. Kelompok seniman bebas juga mesra dengan platfom digital dan media sosial sebagai saluran promosi, jaringan dan komunikasi. Makenisma ini membolehkan mereka berhubung dengan khalayak global dan mengekalkan kelangsungan walaupun dengan dana yang terhad.
Dikenalpasti kesan pergerakan mandiri ini memberi impak terhadap dunia seni. Impak sumbangannya seni adalah amat besar jika dibandingkan berbagai pameran yang dianjurkan oleh galeri komersil. Ini kerana, premis tersebut tidak memaparkan potensi seni sebenar dalam sesebuah negara.
Selain itu, institusi dan agensi naungan kerajaan turut dikekang dengan birokasi dan matlamat yang berbeza turut tidak membantu menjernihkan keadaan seni tanahair. Sebab itulah kelompok seniman mandiri ini menggalas tugas dan bertanggungjawab memperkenalkan jalur naratif dan bentuk seni baharu. Mereka mencabar hierarki konvensional dan mengembangkan definisi tentang apa itu seni dan untuk siapa seni itu wujud.
Sehubungan itu, inisiatif dan kehendak seniman mandiri berhasil mewujudkan pelantar atau ruang kepada suara yang kurang diwakili, memperkayakan landskap budaya dan mencetuskan wacana yang bermakna. Pengaruh integriti mereka sering meresap ke dalam saluran arus perdana, memberi inspirasi kepada kaedah aliran baharu dan membentuk semula arah seni sezaman yang authentic dan bukannya manufactured seiring dengan pergerakan seni global.
Oleh sebab itu, sekiranya inisiatif atau saranan dari kelompok seniman mandiri diberikan sokongan sewajarnya. Baik dari segi pembiayaan, infrastruktur atau pengiktirafan dasar misalnya dalam pembentukan sesuatu polisi.
Maka manfaatnya serta sumbangan mereka telah berupaya melangkaui bidang seni. Justeru itu hasil dari dorongan berikutlah yang akan membentuk keterangkuman budaya, merangsang ekonomi setempat, dan menggalakkan penyertaan massa.
Seni akan lebih mudah diakses dan dirayakan oleh semua lapisan masyarakat, berpaksikan komuniti, dan mencerminkan pelbagai pengalaman lokaliti. Dengan kaedah ini, pergerakan artis mandiri bukan sahaja bertindak sebagai pencetus budaya, tetapi juga sebagai ejen sosial yang memperkukuh jalinan berbilang bangsa serta fahaman masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
Sumbangan Seni Kepada Masyarakat Oleh Kumpulan Seni Mandiri
Di Malaysia dikenalpasti ada beberapa kumpulan seniman mandiri sperti Anak Alam yang ditubuhkan pada tahun 1970an yang dianggotai oleh Latiff Mohidin, Ali Mabuha, Mustapa Ibrahim dan Yusoff Osman. Kumpulan ini tidak hanya terdiri daripada pengiat seni sahaja malah dianggotai oleh penyajak dan pemain teater.
Kemudian Matahati yang bergiat aktif pada awal 1990an terdiri daripada Ahmad Shukri Mohamed, Ahmad Fuad Osman, Bayu Utomo Radjikin, Hamir Soib and Masnoor Ramli Mahmud adalah terdiri daripada lulusan seni halus Uitm.
Seterusnya satu kelompok seniman yang menggelarkan diri mereka sebagai Rumah Air Panas. Kumpulan seniman ini mengambil nama sempena Jalan Air Panas di kawasan Setapak, Kuala Lumpur. Komuniti ini diasaskan oleh Liew KungYu, Phuah Chin Kok pada 1997. Berikut adalah ahli kumpulan tersebut: Candice Ng, Chai Chang Hwang, Chan Tim Choy, Chong Kim Chew, Chuah Chong Yong, Foo Wei Meng, Liew Teck Leong, Lim Kok Yoong, Ooi Kooi Hin, Phuan Thai Meng, Wong Tay Sy, Yap Sau Bin.
Kedua kumpulan ini iaitu Matahati dan Rumah Air Panas adalah kelompok sebahagian besarnya terdiri daripada lulusan institusi seni. Ahli-ahlinya merujuk kepada ekslusif kepada ahli kumpulan tetap dari satu bangsa sahaja yang kini telah dibubarkan.
Sepanjang perkembang seni rupa Malaysia (Serum) dikesan kewujudan kelompok seniman mandiri ganerasi baharu seperti Lostgens, Satu: Creative Collective dan Pangrok Sulap.
Kumpulan Lostgens yang ditubuhkan oleh Yeoh Lian Heng dan Tsuji Lam pada 2004. Mereka mewujudkan ruang seni disebuah rumah kedai di Jalan Panggung, Kuala Lumpur. Mereka adalah terdiri daripada kumpulan artis yang mewujudkan ruang pameran eksperimen serta condong dengan karya berbentuk aktivisme dan seni politikal. Lostgens aktif mengadakan dialog, bengkel, persembahan serta memupuk aktivisme. Mereka bertanggungjawab menganjurkan festival ‘nothatBalai’ yang menolak naratif dominan atau master narrative negara ini. Selain itu, mereka juga mewujudkan jaringan dengan beberapa aktivis dan komuniti setempat. Lostgens turut berkerjasama rapat dengan gerakan underground dan politikal seperti Reformasi dan Bersih.
Seterusnya Satu: Creative Collective yang diilhamkan oleh Dr. Elias Yamani Ismail dan Isnian Ibrahim pada 2008. Kolektif ini bergiat aktif di Kuala Lumpur bertindak sebagai platfom yang bukan ekslusif. Akan tetapi mereka tidak mempunyai ruang yang tetap seperti Rumah Air Panas, Lostgens dan Pangrok Sulap. Namun mereka memplopori penggunaan ruang-ruang awam sekitar Lembah Klang bagi mendirikan berbagai pameran seni.
Amalan ‘gotong-royong’ dalam mengembling tenaga dan berkolaborasi bagi mengadakan pameran. Muktahir ini, Satu: Creative Collective berjaya 25 buah pameran bebas, menerbitkan enam buah katalog dan lapan sesi dialog seni kesemuanya dilakukan secara mandiri. Pencapaian ini amat luar biasa malah menerusi Satu: Creative Collective telah berjaya memperkenalkan 66 orang pengkarya sepanjang penubuhannya.
Menyedari bahawa kurangnya apresiasi terhadap tulisan jawi dan seni khat Satu: Creative Collective telah mengetengahkan siri pameran ‘Nuqtah’ yang berlangsung dari 2012 hingga 2013. Siri pameran tersebut adalah landmark dan sumbangan terbesar yang mengangkat seni warisan di Malaysia. Gagasan yang dipegang kolektif ini adalah kepentingan ilmu, merapatkan jurang seni bersama masyarakat dan advokasi dalam kelestrian dalam bidang seni.
Pangrok Sulap ialah kolektif seniman, pemuzik dan aktivis sosial berpuast di Sabah, Malaysia. Matlamat mereka adalah untuk memperkasakan komuniti luar bandar dan golongan terpinggir melalui seni. ‘Pangrok’ adalah gabungan ‘Punk rock’ dan ‘Sulap’ iaitu pondok berehat petani di Sabah. Ditubuhkan pada tahun 2013, mereka aktif beraktiviti cetakan ukiran kayu telah menjadi medium utama kolektif ini dalam menyampaikan mesej sosial, melalui karya pameran berskala besar.
Berslogankan ‘Jangan Beli, Bikin Sendiri’. Karya mereka mengangkat penceritaan komuniti luar bandar di Borneo, cara hidup tradisional yang kian pupus, hutan, serta flora dan fauna berdasarkan oral history orang asli. Menegahkan isu hak asasi manusia, rasuah politik dan eksploitasi alam sekitar. Karya-karya cetakan mereka dihasilkan dengan penglibtan orang awam yang bersifat perfomative dengan tarian ‘Sumazau’ diiringi muzik tradisional. Kumpulan Pangrok Sulap lebih cenderung mengangkat semangat kenegerian atau suara ekslusif negeri Sabah yang diilustrasikan naratifnya pada karya-karya mereka.
Kesimpulannya, gerakan mandiri oleh kolektif artis memainkan peranan penting dalam membentuk dimensi budaya dan sosial dunia kita. Walaupun ada kumpulan yang mengangkat ideologi kiri atau anti-establishment. Kewujudan mereka mencerminkan keperluan terhadap ekspresi yang tulen, keadilan, dan autonomi kreatif dalam Serum.
Apabila diberi ruang dan sokongan, mereka menyumbang kepada masyarakat yang lebih dinamik, inklusif, dan berdaya tahan serta lestari. Kita semua harus percaya kepada seni sebagai instrument pemerkasaan atau agent of change yang membawa angin perubahan jika ia tidak dibataskan dengan nilai-nilai komersil yang memalsukan nilai seni sebenar.
Diyakini gerakan seniman mandiri bertanggungjawab mengukuhkan kedudukan seni. Seharusnya seni kekal sebagai kuasa penting untuk menghubungkan, mencerminkan dan mengubah kehidupan sesebuah masyarakat yang menghuni negara seperti di Malaysia.
