FILEM pertama yang aku tonton di pawagam ialah filem perang berjudul Battle of the Bulge arahan Ken Annakin. Ayah aku belanja bila dia dapat gaji ketika berkerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Universiti Petaling Jaya (kini PPUM). Aku tonton di panggung Rex, Jalan Sultan. Battle of the Bulge bukan filem terbaik tetapi di situ bermula kisah cinta aku terhadap dunia perfileman.
Budak berumur 5 tahun yang mula berangan untuk bikin filem.
Berbalik pada filem perang. Pada pendapat aku, filem perang terbaik ialah filem anti-perang. Filem-filem seperti Grand Illusion arahan Jean Renoir, Paths of Glory arahan Stanley Kubrick, Bridge on the River Kwai arahan David Lean, Stalag 17 arahan Billy Wilder, Come and See arahan Elem Klimov dan banyak lagi. Namun ada 3 filem yang pendekatannya agak berlainan. Pertama, filem Apocalypse Now arahan Francis Ford Coppola, kedua filem War Horse arahan Steven Spielberg dan ketiga filem Dunkirk arahan Christopher Nolan.
Apocalypse Now sering menganggu fikiran aku. Ia adalah kerana hampir sahaja kita tidak nampak musuh yang hendak dihapuskan tentera Amerika di Vietnam. Dalam adegan “Ride of the Valkyrie’ kita ada nampak tentera Amerika yang rata-rata terdiri dari anak muda membunuh dengan sewenang-wenangnya penduduk kampung yang dituduh menyokong tentera Vietnam Utara. Tetapi tidak ada satu pun adegan yang terang-terang menunjukkan pertembungan tentera Amerika dengan tentera komunis Vietnam. Kapten Willard dan konco-konconya seperti berperang dengan diri mereka sendiri. Malah misi utama Willard ialah untuk membunuh pegawai tentera Amerika iaitu Kolonel William Kurtz lakonan Marlon Brando yang dikatakan telah hilang akal dan berpaling tadah.
Filem Dunkirk yang menggunakan teknik ‘fragmented storytelling’ langsung tidak menunjukkan pada penonton musuh yang diperangi tentera British dan Peranchis. Mungkin ada sedikit ‘silhouette’ segerombolan tentera nazi Jerman ketika watak juruterbang lakonan Tom Hardy yang menyerah diri di akhir cerita. Tentera Bitish dan Peranchis kelihatan seperti berperang dengan ‘phantom’ yang kita tidak pernah dapat lihat di sepanjang filem tersebut. Seolah-olah seperti tiada garisan hitam dan putih yang jelas.
Dalam filem War Horse ditunjukkan adegan tentera British dan Jerman berhenti berperang seketika untuk menyelamatkan seekor kuda yang terperangkap dalam kawat berduri di tengah-tengah medan pertempuran. Tentera British dan Jerman berkerjasama seperti kawan-kawan.
Adegan ‘surreal’ di Do Lung Bridge dalam Apocalyse Now juga kelihatan anggota tentera Amerika yang seperti berperang dengan bayang-bayang mereka sendiri. Api yang bersemarak menyala disekitar kawasan jambatan Do Lung membayangkan siksa yang dilalui oleh di tempat yang tidak sepatutnya mereka berada. ‘Neraka di Bumi’, inilah yang dibayangkan Coppola melalui pengcahayaan dan hasil kerja sinematografi Vittorio Storaro. Malah kelihatan anggota tentera Amerika Syarikat yang tidak pasti akan siapa yang dibom mereka. Pada masa yang sama, dari pandangan yang jauh kawasan itu hampir sahaja kelihatan seperti ‘funfair’ atau sarkas.
Sesuatu yang tidak masuk akal tentang peperangan ialah manusia berbunuhan bukan atas dasar kebencian tapi menurut perintah atau percaya dengan kuasa atau pemerintah yang menekankan fahaman serta falsafah politik mereka. Di dalam Perang Vietnam kebanyakan anggota tentera Amerika Syarikat yang rata-ratanya anak muda, tidak jelas akan sebab mengapa mereka perlu ada di situ seperti yang dipaparkan dalam Apocalypse Now.
Ini bermaksud dalam sesuatu peperangan, mungkin musuh kita itu boleh menjadi kawan yang paling rapat jika kita berada di dalam situasi yang berlainan.
Di dalam filem Dunkirk, tentera British diselamatkan oleh orang awam bukannya tentera. Ini lebih menguatkan hujah tentang betapa tidak masuk akal sesuatu yang dipanggil peperangan.
Berbalik kepada pendekatan ‘fragmented storytelling’ yang digunakan Nolan dalam Dunkirk. Teknik ini ialah antara cara yang paling efektik (malah lebih efektif dari teknik ‘flashback’) untuk mencerminkan pemikiran manusia yang sangat kompleks, tidak tersusun secara kronologi, cara pemikiran akibat sesuatu trauma dimana jika ia dibuat dengan teliti boleh membawa penonton dengan lebih mendalam akan pengalaman sesuatu karektor dalam penceritaan.
‘Fragmented Storytelling’ adalah cara yang paling tepat dalam memberi penonton pengalaman dalam kejadian yang sebenar. Ini adalah kerana memori manusia tidak pernah tersusun rapi. Ia sentiasa bergerak mengikut masa serta perspektif yang tertentu. Dengan itu pengalaman menonton secara dalam atau luar sedar menjadi lebih ‘benar’ dan mengujakan.
Dalam memaparkan betapa tidak masuk akalnya peperangan maka penggunaan ‘fragmented storytelling’ ini paling efektif kerana ia boleh bercerita dalam pelbagai perspektif yang berlainan. Dan apabila ia disusun dengan tepat ianya boleh memberikan impak dalam menikmati sesuatu penceritaan. Ia jugak boleh memberikan gambaran yang tepat tentang betapa kucar-kacirnya keadaan dalam peperangan.
Teknik yang sama digunakan pengarah Quentin Tarantino dalam filem Pulp Fiction dan Michel Gondry dalam filem Eternal Sunshine of the Spotless Mind. Beberapa karya sastera seperti The Great Gatsby karya F. Scott Fitzgerald serta Mrs Dalloway karya Virginia Woolf menggunakan pendekatan yang sama.
Aku sendiri pernah menggunakan teknik ini dalam Melur vs Rajawali.
Apocalypse Now pula mungkin menggunakan teknik yang berlainan walaupun matlamatnya hampir sama. Ia adalah mengenai perang Vietnam atau lebih jelasnya konflik antara Vietnam Utara dan Selatan dengan campurtangan Amerika Syarikat. Apocalypse Now bermula dengan Perang Vietnam dan berakhir dengan obsesi Captain Willard terhadap Kolonel Kurtz. Satu monolog yang sangat ‘menyeramkan’ apabila Kolonel Kurtz bercerita tentang bagaimana tentera vietcong memotong tangan kanak-kanak kampung yang telah diberi suntikan vaccine oleh tentera Amerika Syarikat. Dari perasaan terkejut hingga menjadi kagum.
Filem ini ditutup dengan acara ‘korban’ oleh orang-orang ‘asal’ pengikut Kurtz mengorbankan seekor kerbau dalam ritual yang sungguh unik dengan diselang-selikan dengan adegan penyembelihan Kurtz oleh Willard. Sebuah filem ‘perang’ yang berakhir dengan pembunuhan yang dilakukan oleh seorang Amerika terhadap seorang Amerika yang lain. Tidak masuk akal tetapi ia mencerminkan logik falsafah perang itu sendiri.
Bill Waterson dalam ruangan Calvin and Hobbes pernah menyoalkan, “ Bagaimana dalam peperangan bila tentera berbunuhan sesama sendiri boleh menyelesaikan masalah dunia?”.
Apocalypse Now dan Dunkirk memberikan gambaran yang peperangan seperti juga seni dan kebudayaan adalah cerminan terhadap falsafah serta pemikiran sesuatu bangsa. Dan War Horse menjelaskan bagaimana musuh perang secara semulajadinya tidak wujud atas perasaan benci tetapi lebih kepada menurut perintah dengan membuta tuli atau dipaksa seperti berjuta rakyat muda Amerika Syarikat yang dipaksa ke Vietnam bertempur dengan musuh yang mereka tidak pernah faham dengan jelas.
Vladimir Lenin pernah dengan jelas mengatakan yang diantara semua jenis cabang seni, filem adalah yang paling penting. Dan dengan secara visualnya filem telah menyedarkan aku (lebih dari cabang seni yang lain) tentang betapa pentingnya menyelami aspek kemanusiaan yang sangat kompleks.
Tidak memahami sesuatu filem itu selepas kali pertama menontonnya adalah perkara biasa. Filem (terutamanya yang kita suka) harus ditonton berkali-kali. Filem yang baik sentiasa akan memberi kita sesuatu yang berlainan setiap kali menontonnya. Fiilem yang baik selalunya mempunyai elemen yang berlapis-lapis dengan pelbagai makna.
Filem perang terhebat ialah Come and See arahan Elem Klimov. Namun Apocalypse Now dan Dunkirk adalah sangat tepat dalam menerangkan tentang betapa perang itu selalunya seperti jiwa kita yang berlawan dengan ‘hantu’ yang wujud di dalam diri kita semua.
Kita berada di dalam era yang sangat kritikal. Dengan perkembangan politik di Amerika Syarikat. Konflik yang tidak berkesudahan di Timur Tengah serta cabaran ekonomi di negara sendiri. Filem adalah terapi tidak langsung aku. Filem sentiasa mengingatkan aku yang peperangan atau ritual berbunuhan sesama manusia itu tidak pernah masuk akal.
Oleh itu ketiga-tiga filem perang yang disebut dalam artikel ini mencerminkan yang kemanusiaan itu bukan hanya tentang keindahan, cinta dan kasih sayang, kemanusiaan itu juga tentang meraikan keburukan, kejelikan dan sifat tidak rasional yang wujud dalam diri kita semua. Kemanusiaan itu membina dan juga memusnahkan.
Maka sekali lagi aku jelaskan bahawa peperangan, dalam apa jenis dan alasan sekalipun, tidak pernah masuk akal serta tidak pernah dapat menyelesaikan apa-apa masalah.
– AL JAFREE MD YUSOP merupakan seorang pengarah dan penulis

