Judul: Klise Hujan
Pengarang: Mabulmaddin Shaiddin
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) – Malaysia Madani
Tahun terbit: 2025
Penyair kelahiran Sabah, Mabulmaddin Shaiddin mengaku mulai menulis secara rasmi sekitar tahun 1990 dan beliau tetap setia bermukim di tanah kelahirannya, Kampung Tamau, Kota Belud.
Kali ini beliau tampil dengan kumpulan puisi kelimanya yang memuatkan 57 puisi yang menjadikan hujan sebagai subjek dan objek penciptaan puisinya.
Sebagai objek, hujan di mata Mabulmaddin menjadi fokus untuk diajukan soalan demi soalan bagi memuaskan rasa ghairah kepenyairan beliau.
Dengan puisi berjudul “Apa Yang Ada Di Dalam Hujan” (halaman 3), Mabulmaddin bertanya: “Apa yang manis di dalam hujan? … //Apa yang pahit di dalam hujan? …. // Apa yang menyesatkan di dalam hujan?”
Sebagai penyair yang pemilih dan kritis Mabulmaddin juga mempersoal dan menetapkan apa yang diinginkan beliau di dalam sebuah sajak mengenai hujan: “… mesti berisi puji-pujian, misalnya/ dialah yang telah menyuburkan rumput.” (Sajak Tentang Hujan: 23).
Sebagai subjek pula, hujan sebagai suatu fenomena alam menjadi tema utama dan simbol yang menginspirasikan dirinya untuk melahirkan puisi yang secara tidak langsung melampiaskan rasa kecewa di dalam jiwanya.

Hal ini tidak menghairankan. Sebagai seorang penyair dan wartawan sambilan yang sehari-harinya mengusahakan kebun tebu yang diproses Mabulmaddin dan isterinya sebagai perusahaan gula tebu, kehadiran hujan yang berlarutan boleh menjejaskan perusahaannya dan rasa kecewanya itu dibiaskan ke dalam sejumlah puisi yang dimuatkan di dalam kumpulan ini.
Rasa sesal dan kecewa ini menjadikan Mabulmaddin tidak mudah mempercayai dan berharap: “Katanya hujan baru turun/ tapi aku melihat banjir sudah di halaman/ katanya sekejap lagi ia akan surut/ tapi aku dapati langit makin mendung.” (Pemberi Harapan: 59)
Puisi-puisi lain di dalam kumpulan ini “Di Beranda Aku Menonton Hujan”, “Menanti Hujan Lebat”, “Hujan Tak Berlangsung Lama” antara contoh perluahan rasa kecewa, harapan dan pengamatan peribadinya sebagai penyair.
“Di beranda aku menonton hujan sambil/ berfikir adakah engkau juga/ menonton hujan yang sama.//Hujan yang turun mencurah-curah/seperti hilai tawa para pengembara/ yang buat pertama kali mampu melukai.//Di beranda aku mencium sesuatu/ seperti kabus yang terbakar/ oleh kedinginan yang lama terbiar.//”
(Di Beranda Aku Menonton Hujan: 57)
Pada mata batin penyair hujan bukan sekadar fenomena alam, tetapi juga simbol pelbagai emosi, kenangan, dan tafsiran kehidupan: “Saat aku menanti hujan lebat/ yang muncul bulan, walaupun sinarnya lembab/ tapi aku mampu melihat hamparan/ rumput yang sunyi.//
……..
Saat aku menanti hujan lebat – tak ada/ siapa pun yang tahu, waima anak-anakku/ kerana aku ingin merasai dinginnya/ yang dikatakan mampu membekukan cinta.
(Menanti Hujan Lebat: 53)
Puisi-puisi di dalam kumpulan ini membuktikan betapa Mabulmaddin meletakkan posisi dirinya sebagai penyair pemerhati hujan — yang merenung sesuatu, menghayati masa, rasa kesendirian dan terasing atau harapan.
Ini dapat ditelusuri dalam puisi-puisi beliau antaranya “Kesunyian Liar”, “Senja Berbungkus Hujan” atau “Dalam Hujan Ini”.
Saat berhadapan dengan hujan, Mabulmaddin kadangkala menjadi seorang perahsia dan pada waktu lain seorang yang amat bersikap terbuka: “Kita boleh bercakap tentang cinta/ bagaimana ia bermula/ dan bila saatnya ia berakhir/ tanpa didengar oleh sesiapa pun.// Kita perlu memanfaatkan pukulan hujan/ di bumbung, bahkan kita perlu berdoa/ agar ia turun dengan lebih lebat lagi, supaya/ kita mampu berbahas dengan lebih lama.//”
(Dalam Hujan Ini: 56)
Selain menggambarkan kesedihan, keterasingan, atau kerinduan yang membungkus jiwa, sejajar dengan suasana suram ketika hujan, di mata kepenyairan Mabulmaddin hujan juga menjadi simbol harapan atau perubahan.
Ini antara lain diungkapkan dalam puisi “Pemberi Harapan”, “Gelap Turun Seperti Hujan”, “Api yang Melekat di Bara”: ” Hujan berjaya meleburkan kekerasan api/ yang melekat di bara, lalu menanggalkannya/ dan diletakkannya di dalam udara.// Tapi dengan cara tersendiri ia menyalakannya/ bagi menghangatkan hatimu yang dingin/ terhadapku, untuk selama-lamanya.//
Hujan begitu pintar menghidupkan pucuk/ yang terkulai, amat pandai mengeraskan/ sesuatu yang lemah dan pandir.” (Api Yang Melekat di Bara: 49).
Di dalam kumpulan puisi terbaru Mabulmaddin ini terdapat banyak judul puisinya yang mencerminkan nada melankolik dan reflektif yang ditulis dengan rasa mendalam terhadap masa lalu, kerinduan, dan persoalan kehidupan. Puisi-puisi tersebut misalnya “Sebenarnya Aku Ini Pelupa”, “Takrif Kehidupan”, “Pertanyaan Hujan” dan “Evolusi Mendung”
Misalnya puisi “Sebenarnya Aku Ini Pelupa” (halaman 14) memaparkan
Wacana batin penyair yang mendalam, yang secara tidak langsung mencerminkan rasa jeran penyair terhadap dunia luar dan keinginannya untuk menyelami makna di sebalik kejadian sehari-hari yang dihadapinya: “Sebenarnya aku ini pelupa/ misalnya semalam, ketika melihat bulan/ aku melupakan hamparan bintang/ ketika menikmati kegelapan di beranda aku/ melupakan dirimu.//
Sekarang aku kedinginan, cuma aku lupa/ bahawa ia disebabkan oleh hujan November/ saat ini aku membaca puisi-puisi cinta/ tapi lupa bahawa aku tidak lagi dirindui.”
Puisi-puisi lain di dalam kumpulan ini, berdasarkan judul-judulnya, seperti “Gelap Turun Seperti Hujan”, “Api yang Melekat di Bara”, “Senja Berbungkus Hujan” — menunjukkan penggunaan imejan puitis yang kuat oleh Mabulmaddin dan menggabungkan unsur alam dengan perasaan dirinya sebagai penyair.
Puisi-puisi seperti “Ritma Hujan”, “Lapisan Hujan” dan “Evolusi Hujan” pula memperlihatkan eksperimen penyair terhadap struktur dan konsep abstrak.
Puisi-puisi Mabulmaddin yang lain seperti “Mendung di Langit”, “Angin Pusar”, “November”, “Dinihari”, “Kopi Tengah Hari” amat ketara menunjukkan kesedaran beliau terhadap waktu dan musim sebagai sebahagian daripada perjalanan emosi dan renungan dirinya.
Sebagai kesimpulan, melalui kumpulan puisi ini Mabulmaddin secara sedar memilih hujan bukan sekadar sebagai latar, tetapi juga sebagai watak utama yang hidup dalam setiap puisinya. Dari hujan yang baru turun, yang lebat, hingga hujan yang pergi — ia menjadi metafora terhadap kehidupan, kenangan, kesepian, serta harapan.
Gaya penulisan yang reflektif, melankolik, dan kaya dengan imejan menjadikan puisi-puisi dalam kumpulan ini bukan sahaja terasa menyentuh, malah memberikan ruang kepada pembaca yang gigih dan serius untuk membuat tafsiran yang lebih luas dan mendalam.
Selamat membaca.
– MARSLI N.O adalah penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian. E-mail beliau: marslino57@gmail.com
