MALAYSIA memerlukan penulis yang mampu melontarkan idea-idea besar yang bukan sahaja dapat mengubah manusia, tetapi juga kemanusiaan secara keseluruhan.
Tokoh akademik Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz menjelaskan, karya-karya sastera yang tidak mempunyai idea besar atau tidak dapat menggugah pemikiran akan menyebabkan penulis terperangkap dalam “lingkungan lama” yang membatasi kemajuan dan pengiktirafan mereka.
Sastera, ujar Dr. Sohaimi, perlu lebih dari sekadar mencatat sejarah atau menyentuh tema-tema yang biasa.
“Ia harus mencipta pemikiran baru, menggali isu-isu global, dan menyentuh kehidupan manusia di seluruh dunia.
“Apabila kita hanya menulis dalam ruang lingkup yang sempit, kita akan terus berada di tempat yang sama, tidak akan dapat mencapai apa-apa yang lebih besar,” katanya dalam forum di hari kedua Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) edisi ketiga.
Menurut Dr. Sohaimi, masa depan sastera Malaysia terletak pada kemampuan pengarang kita untuk menghasilkan karya-karya yang mampu memberi kesan mendalam kepada manusia dan perubahan sosial di peringkat global.
Datuk Dr. Sohaimi juga mengajak sasterawan Malaysia untuk berfikir lebih jauh dan berani melangkah ke pentas dunia.
Katanya, dengan bakat dan keunikan karya sastera tempatan, beliau percaya Malaysia mampu menghasilkan karya-karya yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, ini bukan sahaja akan mengangkat martabat sastera Malaysia, tetapi juga memberi pengaruh positif kepada perkembangan budaya dan intelektual negara di mata dunia.
“Kita memiliki sasterawan yang berbakat, kita hanya perlu mendorong mereka untuk mencipta karya yang lebih luar biasa,” katanya lagi.
SKPM berlangsung dari 19 hingga 20 Disember di Royal Park Hotel Bangi.
Pada sesi ketiga penganjuran SKPM, tema utama yang akan dibincangkan adalah “Penulis Teras Malaysia Madani”.
Tema ini dipilih dengan tujuan untuk menggambarkan peranan penting penulis dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, berbudaya, dan berpandangan jauh dalam era moden.

