SAYA sentuh skrin telefon. Angka “7” dan “25” terpampang besar; cahayanya terpantul di muka dan cermin mata, mencerahkan sedikit ruang keliling yang semakin gelap ketika matahari kian terbenam. Laungan azan Maghrib berkumandang di sekeliling Tasik Raban, bersahut-sahutan seperti kumpulan koir tanpa konduktor. Setiap kalimat terbang dibawa angin yang baru mula mengencang selepas seharian yang panas dan terik.
Di saat itulah, rasa teruja untuk menonton persembahan Seru datang buat kali pertama.
Seru dan Wani Ardy menjadi artis tempatan kedua beraksi di TAPAUfest 2025 selepas Raksar pada sebelah petang. Fugo menjadi satu lagi artis tempatan pada 23 Ogos, manakala Okirama, Insomniacks dan Couple mengubat rindu peminat pada keesokan harinya.
Pesta muzik dan budaya itu dilangsungkan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak buat kali ketiga sejak 2022. Selain enam artis tempatan di atas, turut membuat persembahan ialah KIKI dari Thailand, Cactus Cactus dari Singapura serta Skandal, Sal Priadi, Perunggu dan White Chorus dari Indonesia.
Berbalik kepada Seru, muzik mereka tidak asing bagi saya. Sudah beberapa kali saya tinjau persembahan mereka di pelbagai venue sekitar Kuala Lumpur sejak terbitnya album “Sulung” pada 2023. Persembahan mereka sentiasa penuh dengan aura, bermutu tinggi dan agak teliti, tapi saya tak pernah berjaya menghayati sepenuhnya mood yang mereka bawa. Saya salahkan venue dan sound system. Terasa seperti keberkesanan persembahan Seru sering dipatahkan oleh live mix yang haru-biru atau kelengkapan venue yang terhad. Pengalaman sendiri sebagai pemuzik menguatkan lagi empati terhadap mereka.
Saya sering fikir: Seru selayaknya diberi satu peluang bermain di pentas yang besar. Dan saya yakin, TAPAUfest ialah pentas yang wajar.

Selesai Maghrib, kedengaran pengumuman dari pentas mengajak semua orang yang sedang bersenang-lenang di atas kerusi dan tikar untuk bangun dan maju ke hadapan pentas. Sedikit demi sedikit, kelibat manusia memenuhi ruang. Ketika Seru sedang membuat persiapan terakhir, saya termenung melihat kain rentang yang melambai-lambai menepuk pokok tunggal di belakang pentas, berselang-seli asap yang melayang dipengaruhi angin, berlatarbelakangkan langit senja yang indah. Pemandangan yang majestik.
Ini slot waktu yang terbaik untuk Seru.
Khayalan terhenti seketika apabila melihat Wani Ardy muncul di pentas. Beliau tampil bertopang ketiak, dibantu oleh seorang stage crew. Walaupun dibelenggu kecederaan kaki, raut wajahnya kekal fokus. Ini satu petanda yang baik. Semua ahli kumpulan kelihatan in the zone dan bersedia.
Persembahan dimulakan dengan intro bunyian drone dari sequencer dan sedikit demi sedikit, Seru menambah elemen bunyian sehingga semua bersatu membentuk lagu pertama, “Arungan”. Dentuman drum dan gegaran frekuensi rendah gitar bes mengujakan hati saya. Petikan gitar Emy dan Faridz yang pekat bunyi Nusantara seketul-seketul keluar memenuhi segenap ruang angkasa. Seru kedengaran megah dan agung dengan sound system yang berkualiti tinggi. Alhamdulillah!

Seru terus membuai para penonton dengan dendangan “Ru.a” dan “Sambung Nyawa” diselang dengan bacaan puisi. Saya meremang ketika Wani Ardy mengungkapkan bait puisi buat kali pertama. Suaranya halus dan bergema – ethereal. Seperti bukan berasal dari dunia materi. Bila diatur seiring keterbatasan fizikal pada waktu itu, ada satu juxtaposition yang menarik. Spontan saya membayangkan yang berada di atas pentas itu seorang malaikat yang tercedera jatuh ke bumi.
Gandingan Seru dan Wani Ardy konsisten mendedikasikan sepenuh jiwa dan raga dalam lagu-lagu seterusnya yang lebih rancak dan bertenaga. Gerak tubuh mereka minimal tetapi berkesan. Meskipun ada detik-detik di mana mereka terlihat dan kedengaran sedikit pincang, saya memuji ketenangan dan recovery semua ahli kumpulan Seru. Bagi saya itulah bukti kaliber mereka sebagai pemuzik profesional.
Di antara lagu “Sunyi Dalam Gempita” dan “Track 3”, Wani Ardy sempat mengagumkan para penonton dengan sesi puisi spontan. Saya tidak pasti sama ada beliau sekadar kitar semula salah satu puisi dalam repertoire (yang saya yakin dan pasti sangat-sangatlah luas dan komprehensif), tapi sepanjang sesi tersebut, saya terasa debarannya dan low-key mendoakan kelancaran Wani Ardy.

Set mereka diakhiri dengan sebuah lagu baharu yang belum berjudul. Sepanjang lagu terakhir, jujur saya kurang fokus kerana tersenyum lebar memikirkan keterujaan sepanjang hari. Bagi saya, ini satu persembahan yang berjaya. Bak kata orang putih, the stars were all aligned. Pentasnya, waktunya, cuacanya, bunyinya, lampunya – semua elemen mendukung segala kerja keras Seru dan Wani Ardy ke tahap yang lebih tinggi. Dan saya rasa, pendapat saya berasas melihatkan reaksi para penonton yang memberikan tepukan gemuruh pada penghujung set mereka.
Saya harap mereka – Seru terutamanya – dapat lebih banyak peluang sebesar TAPAUfest, malah lebih besar lagi, pada masa akan datang. Mereka ternyata sudah bersedia dan mampu menggalas tanggungjawab mempersembahkan seni mereka di pentas yang lebih tinggi. Saya ucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepada mereka.
Gheff Abd Ghafar merupakan seorang pekerja kolar putih yang kebetulan juga seorang pemuzik bersama Glistening Redchair dan Chuchengpo serta pengpodcast di Nyongket.
