
MOGOK merupakan kaedah yang sering digunakan golongan pekerja untuk menuntut hak-hak yang disifatkan setimpal oleh mereka berdasarkan kepada kerja-kerja yang telah dilakukan.
Kemunculan kesatuan sekerja di Tanah Melayu bermula sekitar tahun 1900 dan di antara mogok terawal yang pernah berlaku adalah sekitar tahun 1930an yang kemudian melahirkan gerakan buruh yang lebih besar termasuk penubuhan Pan Malayan Federation of Trade Union.
Penyusupan ideologi sosialisme sebenarnya merancakkan lagi senario perjuangan golongan pekerja khususnya di Tanah Melayu. Kemunculan gerakan buruh ini bukan sahaja berlaku di kilang-kilang yang menjana perusahaan komoditi, tetapi turut dirasai kesannya dalam industri perfileman Melayu klasik.
Hal gerakan buruh dan mogok dalam industri filem Melayu khususnya di Malay Film Production adalah berkisar kepada soal kebajikan pekerja filem termasuk krew teknikal, pengarah dan pelakon sendiri.
Hal-hal kebajikan ini termasuklah soal gaji, suasana kerja dan faedah-faedah lain yang difikirkan wajar diperolehi mereka.
Mogok besar-besaran dalam industri filem Melayu berlaku di Malay Film Production pada sekitar Mac 1957. Menurut akhbar The Straits Times bertarikh 4 Mac 1957 langkah berkenaan diambil oleh Persatuan Artis Malaya PERSAMA selepas pihak Shaw Brothers memecat aktres Musalmah Nooralim, pelakon dan pengarah Omar Rojik dan penolong pengarah, Rohaizat yang juga merupakan Naib Presiden PERSAMA.

PESAMA ditubuhkan pada 20 April 1954 dengan P.Ramlee menjadi perintis awal dan Salleh Ghani dilantik sebagai Setiausaha Agung.
Ketika Tanah Melayu sedang sibuk menguruskan kemerdekaannya, delegasi PERSAMA yang diketuai P.Ramlee telah bertemu dengan Ketua Menteri Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman untuk meminta beliau campurtangan dalam penyelesaian pertikaian di antara pihak PERSAMA dan Shaw Brothers.
Dalam pertemuan berkenaan Tunku telah menasihati pihak PERSAMA agar tidak melakukan apa-apa tindakan yang dilihat ekstrem dan meminta supaya jalan rundingan dibuat.
Namun begitu, PERSAMA tetap bertegas untuk meneruskan mogok jika tiada sebarang tindakan penyelesaian dapat dipersetujui.
Sepanjang mogok berlangsung, proses rundingan tetap berjalan dan akhirnya Tunku Abdul Rahman bersetuju menghantar wakilnya, Senu Abdul Rahman untuk berbincang dengan pihak pekerja dan majikan dan mencari jalan penyelesaian.
Akhirnya setelah 23 hari bermogok, PERSAMA bersetuju untuk menghentikan mogok dan mencari jalan damai dengan majikan mereka.
Filem pertama yang memulakan penggambaran kembali selepas mogok 23 hari ini ialah filem Pancha Delima yang diarahkan oleh P.Ramlee.
Beberapa bulan selepas mogok berkenaan, pada bulan Julai tahun yang sama sebuah filem berjudul Mogok telah dilancarkan. Ironinya filem ini diterbitkan oleh Malay Film Production dan diarahkan oleh K.M Basker dan lakon layarnya ditulis oleh Jamil Sulong dan Omar Rojik bertindak sebagai penolong pengarah.


Lebih menarik, kebanyakan pelakon yang terlibat dalam filem Mogok ini ialah mereka yang terlibat dalam mogok sebenar pada 16 Mac 1957 seperti Omar Rojik, S.Kadarisman, S.Shamsuddin dan Mustarjo.
Mogok menampilkan Ahmad Mahmud sebagai hero di samping Saadiah, Daeng Idris, Mariani, Siti Tanjung Perak.
Filem Mogok (1957) menjalani penggambaran di rumah Run Run Shaw di Singapura dan di kilang National Carbon (Union Carbide) yang mengeluarkan jenama bateri Eveready.
Selain itu, terdapat penggambaran babak mogok di dalam filem ini yang turut dijalankan di Malay Film Production. Seolah-oleh menghimbau kembali detik-detik mogok sebenar yang bermula pada 16 Mac 1957.
Walaupun kisah di dalam filem Mogok ini bukanlah memaparkan sebuah kisah perjuangan golongan pekerja secara total dan tidak melihatkan kekuatan yang mampu menumbangkan majikan, namun beberapa babak yang berlaku dalam filem ini sudah cukup membuktikan niat filem ini dibikin.
P.Ramlee juga tidak mahu ketinggalan menyentuh soal hak dan protes pekerja filem. Filem Seniman Bujang Lapok (1961) ialah kritikan P.Ramlee terhadap industri perfileman khususnya studio filem pada lewat tahun 1950an dan sepanjang tahun 1960an.
Filem ini memaparkan realiti kehidupan seniman dalam bentuk yang paling mudah menyentuh masyarakat, sinikal-komedi-satira.

P.Ramlee di dalam kebanyakkan filem-filemnya gemar membawakan tema komedi kerana tema ini mudah untuk menyangkuti hati penonton dan kritikan melalui komedi walau setajam mana pun mampu meresap tanpa sedar.
Seniman Bujang Lapok juga seperti itu, tajam dan menikam dengan hasrat P.Ramlee mendedahkan realiti perfileman Melayu pada waktu itu.
Seniman Bujang Lapok terhasil selepas beberapa tahun mogok 23 hari berlaku pada tahun 1957.
Terdapat dua perkara yang cuba ditonjolkan dalam babak pembukaan filem ini. Pertama, syot sulung untuk filem ini ialah patung Stamford Raffles yang boleh ditafsirkan sebagai mewakili penjajahan kuasa asing dan seterusnya beberapa syot poster-poster gergasi di pawagam-pawagam utama di Singapura yang memaparkan filem-filem asing.
Ini menunjukkan bahawa walaupun negara sudah merdeka, tapi pemikiran asing tetap wujud dan mempengaruhi masyarakat. Keduanya ialah filem-filem asing mendapat tempat dan promosi utama di pawagam-pawagam besar.
Namun begitu, filem-filem tempatan terpaksa melakukan promosi secara kendiri dengan membawakan filem mereka menggunakan lori buruk yang kemudian tayarnya pancit. Lebih menarik, Panji Semerang (juga dikeluarkan pada 1961) merupakan filem terbitan Shaw Brothers tetapi terpaksa dipromosikan dengan cara seolah-olah ia sebuah wayang pacak.
Namun, filem-filem asing (di dalam babak berkenaan dipaparkan poster gergasi filem The Great Impostor dan Cimarron) mendapat tempat utama di pawagam-pawagam milik Shaw Brothers.
P.Ramlee telah menyindir Shaw Brothers secara terbuka tetapi tidak disedari. Jelas sekali babak pembukaan filem ini memberikan gambaran penuh mengenai apa yang mahu ditonjolkan P.Ramlee di dalam Seniman Bujang Lapok.
Selain daripada menyindir Shaw Brothers, babak pembukaan di dalam Seniman Bujang Lapok ini juga merupakan satu sindiran kepada penonton filem Melayu.

Ini kerana semasa lori yang melakukan kerja-kerja promosi filem Panji Semerang melalui kawasan bandar, tidak ada penduduk bandar yang tertarik dengan lori dan promosi berkenaan, namun apabila lori berkenaan memasuki kawasan kampung, kelihatan penduduk kampung memberikan sambutan hangat kepada promosi filem berkenaan.
P.Ramlee menonjolkan di sini bahawa masyarakat bandar lebih gemar memberi perhatian kepada filem-filem Barat, manakala filem-filem tempatan mendapat sambutan hangat dalam kalangan masyarakat di kampung.
Filem tempatan boleh ‘meletup’ di kampung seperti meletup dengan kuatnya tayar lori yang membuat promosi filem Panji Semerang itu dan nasib filem Melayu itu boleh pancit seperti tayar berkenaan.


Filem sinikal tentang nasib industri filem Melayu yang dikawal kuasa asing dan dijadikan medan mengaut untung serta menindas pekerja-pekerja filem.
Seniman Bujang Lapok ialah kemarahan P.Ramlee dan rasa marah itu dirasai sepanjang filem ini. Walaupun komedi, namun rasa geram itu begitu menebal dan P.Ramlee melepaskan segala-gala yang dirasainya di dalam filem ini.
Filem Mogok walaupun tidak memiliki latar mengenai industri perfileman, tetapi ironinya dari sudut lokasi dan mogok sebenar yang berlaku adalah cukup kuat.
Seniman Bujang Lapok pula jelas sebuah filem yang kukuh dari sudut emosi dan rasa geram terhadap penindasan dan seputar hal-hal lain yang berkaitan langsung dengan industri perfileman Melayu. Walaupun hal mogok itu tidak begitu jelas, namun komedi di dalam Seniman Bujang Lapok ialah tragedi yang menimpa seniman dan pekerja filem.
Walaupun ramai yang menganggap beliau sebagai anak emas kepada Shaw Brothers dan sebagainya, namun, melalui Seniman Bujang Lapok, P.Ramlee membuktikan bahawa beliau ialah seniman yang sejati, seniman yang melawan penindasan dan kebobrokan yang berlaku dalam industri perfileman melalui filem.
Inilah kelebihan P.Ramlee, halus dalam kritikan terhadap apa yang berlaku di sekeliling beliau. P.Ramlee memberikan kita contoh terbaik, seseorang seniman itu perlu peka terhadap apa yang terjadi di sekelilingnya dan seniman wajar menggambarkan hasil kepekaan ini dalam karya-karya mereka.
Seniman tidak wajar menjauhkan diri daripada masyarakat dan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat.
Artikel ini disusun semula dari tulisan asal Daniyal Kadir daripada buku Membedah Wayang Gambar.
