PENGGIAT filem tempatan menyambut baik cadangan agar kerajaan mengambil alih pawagam Coliseum dan menjadikannya sebagai pawagam nasional.
Penubuhan pawagam nasional, kata mereka sepatutnya sudah lama dilaksanakan bukan hanya di Kuala Lumpur tetapi di setiap negeri.
Pengarah filem Mahadi J Murat pada Jumaat mencadangkan agar kerajaan membeli pawagam Coliseum untuk dijadikan pawagam nasional selepas bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur itu diiklankan untuk dijual sejak awal April lepas.
Katanya, pawagam nasional itu perlu ditubuhkan bagi memberi ruang untuk tayangan filem-filem yang tidak hanya memenuhi tuntutan komersial.
Berkongsi pandangan yang sama, pengarah tersohor, U-Wei HajiSaari berkata beliau pernah mengutarakan cadangan penubuhan pawagam nasional beberapa tahun lalu.
Katanya, pawagam nasional boleh membantu penerbit-penerbit filem untuk tidak hanya bergantung kepada pawagam-pawagam sedia ada.
“Pernah saya sebutkan dahulu lagi dan sekarang peluang dengan pawagam Coliseum seharusnya tetapi sekali dengan management group yang boleh berkerja rapat dengan FINAS tetapi bukan berada dibawah FINAS.
“Kerajaan harus adakan duit untuk beli pawagam dan mereka yang benar-benar boleh menguruskan pawagam,” katanya kepada Senimalaya.
Turut senada, pengarah filem Al Jafree Md Yusop mahu kerajaan mengambil alih pawagam tersebut.
“Ia satu cadangan yang baik dan sangat perlu untuk membantu sektor perfileman tempatan.
“Namun perlu satu pasukan pengurusan yang baik dan tidak diletakkan di bawah FINAS,” katanya.
Penulis dan pengkritik filem, Daniyal Kadir pula berkata cadangan penubuhan pawagam nasional ini seharusnya mendapat perhatian.
Katanya, sekiranya kerajaan mengambil alih Colisuem ia dapat mengelak dari panggung bersejarah itu dirobohkan seterusnya dibina sebuah lagi pusat membeli belah.
“Saya sangat bersetuju dengan cadangan ini sekiranya kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk tujuan ini.
“Cadangan penubuhan pawagam nasional ini antara yang sepatutnya mendapat perhatian dan lebih baik dari dibina sebuah lagi pusat membeli belah,” ujarnya.
Pada 9 April lalu, syarikat Knight Frank Malaysia membuat satu kenyataan di akaun media sosialnya yang memaklumkan pihaknya telah dilantik secara eksklusif untuk memasarkan penjualan pawagam Coliseum dan bangunan Coliseum Café dan Hotel.
Pawagam Coliseum yang berusia 104 tahun itu masih merupakan pawagam yang beroperasi dan dikendalikan oleh Lotus Five Star Cinemas.
Knight Frank berkata pembelian hartanah itu boleh dibuat bersama atau berasingan namun tidak menyatakan harganya.
