SAYA tertanya sendiri, mengapa meminati muzik? Entah mengapa dan bagaimana ia bermula. Mungkin saja ada beberapa latar tersembunyi yang menjadi punca utama kecenderungan ini. Padahal, saya tidak mempunyai ahli keluarga yang terlibat secara langsung dengan dunia muzik.
Ayah cuma seorang penarik beca. Namun, ayah ada koleksi kaset-kaset yang pelbagai. Ayah sangat berminat mendengar radio. Seingatnya, ayah pernah membeli pelbagai jenama radio kaset. Saya pula berminat dengan bunyi speaker. Dia akan meletakkan speaker radio di mulut tempayan. Bunyi speaker akan kuat dan bergema. Semua keadaan ini mendorong saya bertanyakan kepada ayah mengenai kualiti speaker serta bunyi yang terbaik.
Ayah turut membeli koleksi dikir barat dan wayang kulit. Ayah akan memasangnya di rumah dan kami akan mendengarnya bersama-sama. Ayah ialah peminat lagu-lagu dekad 1960-an terutamanya pop yeh yeh. Antara penyanyi yang digemari seperti M. Shariff, A. Ramlie dan Hussain Marican. Dalam kalangan pendikir barat pula seperti Ismail Gunung Ganang dan Daud Bukit Abal. Saya akan menjadikan semua kaset-kaset ayah sebagai alat permainan, menyusun menjadi bangunan. Ayah tidak begitu peduli dengan keadaan ini. Ayah cuma memberitahu agar mengemaskan semula kaset-kaset tersebut untuk disimpan dalam almari di biliknya.
Ketika 1980-an, ayah berada di Singapura, bekerja sebagai buruh bangunan. Saya pernah meminta ayah belikan radio kecil. Radio ini saya gunakan untuk mendengar rancangan berita semasa, acara sukan tempatan dan alunan muzik. Ketika itu, saya bersekolah rendah di Johor Bahru. Saya akan mendengar siaran radio dari Singapura yang menyiarkan lagu-lagu popular semasa. Saya turut mendengar rancangan drama bangsawan yang disiarkan pada setiap malam Sabtu.
Peristiwa ini berlaku dekad 1990-an. Saya dan ayah pernah menonton siaran lagu Ramli Sarip di TV. Ayah beritahu bahawa beliau mengagumi Ramli Sarip walaupun berambut panjang. Saya tidak begitu pasti mengapa ayah amat menghormati penyanyi tersebut. Saya fikir, ada kemungkinan ayah pernah pergi ke mana-mana konsert Ramli Sarip di Singapura.

Ayah pernah bercerita pengalamannya melihat pemuzik jalanan OKU penglihatan di Pasir Mas. Pemuzik jalanan tersebut ialah Abdul Rahman Alabaladi. Ayah memuji keupayaan mereka bermain gambus. Alabaladi menyanyikan lagu-lagu bercorak nasyid padang pasir. Saya terdengar ayah bercakap seperti berbisik: “Adakah anak aku akan menjadi pemuzik seperti itu.” Saya cuma terdiam saja.
Apa yang dapat dikatakan, semua latar sederhana ini memungkinkan minat kepada muzik mulai tumbuh. Secara tidak disedari, minat saya terhadap muzik dipengaruhi oleh kehidupan dan minat ayah terhadap muzik.
ii)
Semasa di sekolah rendah, saya akan duduk di tepi dewan tempat rakan-rakan lain bermain alat muzik. Saya pernah cuba mendekati kumpulan The Mini Braille Dots. Saya berhasrat agar diterima sebagai ahli mereka. Namun, ketua kumpulan yang menguruskan kumpulan ini tidak membenarkan saya menyentuh semua peralatan muzik yang berada di situ. Saya akan hanya duduk di tepian melihat mereka. Dalam hati berniat mahu menjadi sebahagian daripada anggota pemuzik tersebut.
Di sekolah menengah pula, saya membeli beberapa buah kaset sebagai koleksi. Ketika itu harga kaset mahal. Saya mengumpulkan duit belanja yang diberikan untuk membeli kaset-kaset yang diminati. Minat saya makin bertambah apabila ada kawan-kawan yang meminta saya menyalin semula lirik lagu di kertas yang ada dalam kotak kaset. Saya menulis lirik lagu tersebut dalam tulisan Braille.
Ada ketikanya saya akan menyalin lirik lagu melalui cara mendengar kaset lagu yang dimainkan. Saya berjaya menaip hampir 100 lirik lagu dan dijadikan buku lirik. Ada buku-buku nota lagu yang diterbitkan. Buku ini dijual dengan harga RM3 saja. Saya membeli buku tersebut dan menyalin semula lirik-liriknya. Di atas ada kord gitar sementara di bawahnya disertakan lirik.
Secara tidak sedar, penyalinan semula lirik-lirik lagu ke dalam tulisan Braille seumpama berada dalam sekolah puisi. Melatih diri mengenal bentuk-bentuk awal penulisan genre ini. Tujuan penyalinan lirik ini bagi memudahkan hafalan. Saya akan membaca lirik-lirik ini berulang. Bilik air itu studionya. Di sini, saya ‘menjadi’ menyatu dalam irama. Menyanyikan lagu yang diminati.

Saya cuba belajar bermain gitar namun sukar. Jari tidak dapat menekan tali gitar dengan betul. Hasilnya bunyi tidak benar-benar sesuai dengan kord yang dimahukan. Peristiwa ini semakin melemahkan semangat untuk mempelajari muzik. Saya diejek oleh teman-teman lain, yang mengatakan bahawa suara ini sumbang.
Dalam dekad 1990-an, teman-teman OKU akan menyewa studio muzik di Pertama Kompleks. Saya cuma akan berada di tepi katil asrama mendengar mereka bercerita. Segala pengetahuan mereka mengenai muzik dirakam dalam fikiran. Saya akan meminjam beberapa kaset tertentu bagi tujuan menyalin lirik-liriknya. Kebanyakan soalan mengenai muzik yang ditanyakan kepada mereka tidak begitu diberikan layanan. Hal ini mendorong saya mencarinya sendiri dengan membaca majalah hiburan atau info dari radio.
Saya terpilih dalam acara Abilympics di India (2003) dan Jepun (2007). Dalam upacara perasmian program, peserta pertandingan disajikan dengan pertunjukan muzik tradisional India dan Jepun. Keadaan ini begitu memukau perasaan. Minat saya kepada muzik antarabangsa semakin memuncak. Sebelum ini, saya sudah mendengar muzik-muzik klasik luar negara seperti Arab, Parsi, India dan China. Apabila melihat sendiri secara langsung persembahan muzik ini, perasaan cinta kepada muzik yang lebih meluas kian berakar dan mendalam.
Saya pernah bercita-cita mahu belajar alatan muzik tradisional seperti rebana. Namun, saya tidak tahu bagaimana mahu mencari guru yang sesuai. Saya mahu belajar alatan-alatan muzik klasik Cina, India, Arab dan Parsi. Saya berangan-angan mahu menjadi pemuzik jalanan. Menyanyikan lagu-lagu kerohanian. Namun semua impian ini sekadar imaginasi saja.
iii)
Masyarakat selalu menganggap bahawa mereka dianugerahkan bakat semula jadi. Ada pendapat yang mengandaikan bahawa sekolah OKU ialah sekolah yang mengajar muzik sepenuh masa. Padahal, realitinya keupayaan dan kecenderungan kepada muzik tidak dominan dalam komuniti OKU. Mereka lebih menikmati muzik sebagai hiburan semata-mata. Persoalan ini penting kerana ia menyentuh stereotaip umum masyarakat terhadap OKU penglihatan. Anggapan ini berpunca daripada gabungan romantisasi kekurangupayaan, naratif media dan sejarah institusi. Padahal wujud suatu realiti yang kompleks dalam komuniti itu sendiri.
Mengapa OKU penglihatan dilihat ‘rapat’ dengan muzik?
Ada mitos popular yang menyebutkan bahawa apabila satu deria hilang, yang lain akan menjadi lebih tajam. Masyarakat cenderung beranggapan bahawa individu OKU penglihatan akan secara spontan menjadi lebih hebat dalam muzik. Kononnya, deria pendengaran mereka akan berubah menjadi luar biasa. Kajian neurologi menunjukkan, meskipun otak mereka menunjukkan kepekaan berbeza dalam memproses bunyi, ia tidak semestinya membawa kepada bakat seni atau muzik yang luar biasa. Masyarakat sekadar meromantisasikan ‘deria ganti’ pendengaran kepada OKU yang kehilangan penglihatan mereka. Keadaan ini cuma bermaksud bahawa mereka lebih fokus dalam deria pendengaran. Ia tidak sama sekali membuatkan OKU tersebut lebih berbakat.
OKU penglihatan memang menggemari muzik. Namun, ia tidak disebabkan oleh bakat terpendam. Sebaliknya, muzik mudah ditemukan melalui audio. Ini memberikan ruang emosi serta pelarian dan seakan-akan satu-satunya medium hiburan tanpa penyisihan visual. Ini sejajar dengan kepenggunaan muzik dalam masyarakat awam yang menjadikannya sebagai ruang untuk menenangkan diri, mengekspresikan emosi atau berimaginasi.
Di Malaysia, sekolah OKU penglihatan memperkenalkan muzik sebagai salah satu subjek pembelajaran. Ia tidak berdasarkan bakat tetapi kerana muzik mudah dipelajari tanpa memerlukan deria visual. Muzik digunakan sebagai alat terapi dan ekspresi diri. Bidang ini dilihat sebagai saluran kerjaya yang sesuai. Hal ini menimbulkan tanggapan bahawa semua OKU penglihatan mempelajari muzik. Mereka mesti mahir dalam bidang ini. Padahal, minat sebenar OKU berbeza-beza, sama seperti orang awam. Tidak semua orang meminati muzik. Ada yang lebih cenderung kepada sejarah, matematik atau aktivisme sosial.
Naratif media seperti kejayaan Stevie Wonder dan Ray Charles atau populariti S. Jibeng dan Caliph Buskers membentuk imaginasi masyarakat bahawa kebutaan penglihatan terkait dengan muzik. Media mengangkat naratif ‘kecacatan bukan penghalang’ sebagai motivasi kepada OKU lain agar mereka mencipta kejayaan luar biasa. Ini merupakan bentuk objek inspirasi (inspirational porn). Keadaan ini menyisihkan pengalaman hidup OKU yang tidak memenuhi skrip inspirasi tersebut.

Apabila masyarakat menyempitkan identiti OKU penglihatan kepada ahli muzik, ia sebenarnya mengabaikan kepelbagaian identiti dalam komuniti ini. Ada yang mahir dalam teknologi, falsafah, aktivisme atau seni sastera. Tanggapan ini memberikan tekanan tersembunyi kepada individu yang tidak berminat dalam muzik. Mereka akan dianggap sebagai OKU yang ‘tidak cukup berjaya’.
Hubungan antara OKU penglihatan dengan muzik tidak terhasil kerana bakat semula jadi semata-mata. Ia dibentuk oleh sejarah pendidikan, peranan media, stereotaip masyarakat dan cara muzik memenuhi keperluan emosi atau sosial OKU. Muzik dihargai lebih sebagai ruang ekspresi dan hiburan. Ia tidak semestinya sebagai jalan bakat. Kita perlu membuka ruang naratif yang lebih luas dan tidak mengehadkan kebolehupayaan dalam menjalani kehidupan OKU penglihatan kepada naratif bakat ajaib semata-mata.
Saya terfikir lagi. Adakah semua faktor tersembunyi ini yang menjadi latar mengapa saya berminat untuk mengkaji lirik-lirik lagu?
Ada mungkinnya, Tuhan tidak mahu saya mencipta irama dalam bunyi. Tuhan mahu saya membacanya dalam makna. Akhirnya, saya ‘menjadi’ pengembara bunyi, pentafsir sunyi. Begitulah ragamnya jiwa manusia berkembang dalam kesunyian dan keheningan yang tidak disedari. Perjalanan ‘menjadi’ tidak seperti impian. Ia lebih dalam daripada yang dijangkakan. Ini tentang pertumbuhan batin. Pertemuan dengan diri. Tuhan pula yang bekerja dalam diam. Tuhan mahu saya menyusuri sebuah perjalanan jiwa yang menemukan diri. Sesudah redahan kelok dan retak yang penuh hikmah. Seorang yang ‘menjadi’ pentafsir makna dan pengembara bunyi yang kian terlarut.
Pada masa-masa awalnya, saya terasa janggal. Tidak begitu biasa membentangkan kertas kerja dalam mana-mana simposium atau seminar. Saya mencabar diri sendiri. Ini adalah ruang mengasah keupayaan terpendam. Saya semakin hanyut menulis makalah-makalah yang disediakan bagi dibentangkan dalam Simposium Muzik Ipoh. Saya meneliti topik-topik seperti Estetika Kerohanian dalam Lirik Genre Muzik Rock (2020), Citra OKU dalam Lirik Lagu Filem 1960-an (2022), Citra Alam, Manusia dan Tuhan dalam Lirik Harmoni (2023) dan Kepengarangan Lirik Nasyid Pop Al-Jawaher (2025).
– MOHD ROSLI IBRAHIM merupakan seorang penulis dan aktivis Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau telah menulis tiga buah buku iaitu, O.K.U. Bangkit, Gelap Mata: Percikan Renungan Seorang OKU dan Masyarakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU.
