CYBERJAYA: Irwan Muhammad Zain, 52, pengasas portal Seni Malaya dan bekas wartawan kanan Astro AWANI, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Cyberjaya pada hari ini, Khamis, 11 Disember 2025.
Allahyarham, yang juga bapa kepada tiga orang anak, dikenali ramai sebagai seorang wartawan yang tegas berpegang pada prinsip, lantang dalam memperjuangkan kebenaran dan amat teliti dalam setiap laporan yang dihasilkannya.
Sepanjang kerjayanya, Irwan memainkan peranan penting dalam pelbagai liputan berskala besar termasuk pilihan raya, isu dasar kerajaan serta perkembangan politik negara. Komitmen dan ketepatannya dalam menyampaikan berita menjadikan beliau antara figura yang dihormati dalam dunia kewartawanan.
Pada tahun 2023, beliau menubuhkan Seni Malaya, sebuah portal yang menonjol dengan liputan seni visual, persembahan pentas, filem, muzik dan sastera, menjadikannya antara laman seni yang berpengaruh di Malaysia.
Seluruh warga Seni Malaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat handai dan rakan seperjuangan Allahyarham.
Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.
Al-Fatihah.
